Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

tweet twiit

20 Mac 2010

Jejak Ulamak - Sayid Abdul Rahman Bin Muhammad Al Idrus (Tukku Paloh)

Almarhum Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al Idrus atau lebih tersohor dengan gelaran Tukku Paloh merupakan seorang tokoh ulamak silam yang berasal dari negeri Terengganu Darul Iman. Beliau hidup di zaman pemerintahan lapan orang sultan dan pengaruh beliau paling kuat ketika zaman Sultan Zainal Abidin III iaitu Sultan Terengganu ke 11 (1881M-1918M). Boleh dikatakan ulamak ini regu kepada Sultan Zainal Abidin III kerana baginda akan sering merujuk kepada beliau dalam banyak perkara. Sehinggakan perlantikan sultan juga mempunyai kaitan dengan kewibaan Tukku Paloh. Seorang ulamak sufi yang terlibat secara langsung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik Terengganu pada ketika itu.

Keistimewaan hubungan antara Tukku Paloh dengan Sultan ini boleh disamakan dengan keeratan hubungan seorang lagi ulamak besar serta masyhur dari Terengganu, Syeikh Abdul Malik bin Abdullah atau "Tok Pulau Manis" dengan Sultan Zainal Abidin I yang mana kemudian Sultan Zainal Abidin I menjadi menantu kepada Tok Pulau Manis.

Ketika Sultan Zainal Abidin III mula menaiki takhta Tukku Paloh belum memegang apa-apa jawatan penting secara rasmi, namun ketokohan sebagai seorang ulamak cukup membawa pengaruh di kalangan istana. Selepas itu beliau dilantik sebagai Syeikhul Ulamak Terengganu dan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Dengan jawatan dan kedudukan yang diperolehi Tukku Paloh bertanggungjawab membantu kerajaan mentadbir negeri dan rakyat. Beliau merupakan seorang penasihat kepada Sultan Zainal Abidin III dalam membuat keputusan-keputusan dalam pelbagai perkara terutama dasar luar negeri.

Tukku Paloh merupakan seorang Khalifah bagi salah satu thorikat yang muktabar iaitu Thorikat Naqsyabandiah. Beliau juga turut mengembangkan amalan yang dinamakan sebagai "Syahadat Tokku" yang disusun oleh ayahnya Tukku Tuan Besar atau nama sebenar Sayid Muhammad Al Idrus, seorang Syeikhul Ulamak di zaman pemerintahan Sultan Omar dan dianugerahkan gelaran Paduka Raja Indera oleh tuanku sultan.Sebagai ulamak besar Tukku Tuan Besar yang bertanggungjawab melaksanakan hukum-hukum Islam secara meluas dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri dan kehidupan rakyat negeri Terengganu sehingga Terengganu terkenal sebagai negeri yang berpegang teguh dengan Islam sekitar pertengahan abad ke 18 masehi.

Tukku Paloh adalah nasab ke 32 daripada Rasulullah S.A.W dikalangan keluarga Al Idrus. Nasab dari sebelah bapanya sampai kepada Saidina Hussien r.a anak Saidatina Fatimah Az Zahrah r.ha binti Rasulullah. Di antara kalangan adik beradik beliau , Tukku Paloh yang paling mahsyur dan mempunyai banyak keistimewaan yang luar biasa. Semenjak dari kecil sudah ada tanda-tanda pelik yang mengisyaratkan Tukku Paloh akan menjadi orang penting dalam masyarakat suatu ketika nanti.

Pendidikan awal Tukku Paloh bermula daripada ayahnya sendiri dan dengan beberapa ulamak tempatan. Kemudian beliau mengikut jejak langkah ayahnya mendalami ilmu pengajian di Makkah Al Mukarramah.Di sana beliau belajar dengan para ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah serta khatam banyak kitab muktabar dalam pelbagai ilmu tauhid, feqah, tasawuf, tafsir, nahu, saraf dan lain-lain. Tukku Paloh sangat arif tentang ilmu tasawuf dan ada mengarang beberapa kitab dan risalah berkisar persoalan kerohanian.

Setelah lebih 10 tahun di Mekah beliau pulang ke kampung halaman dan mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Di samping itu sebagai seorang khalifah bagi thorikat yang muktabar beliau turut mengembangkan aliran Naqsyabandiah pada masa itu.

Keberanian beliau terbukti apabila membuat keputusan untuk memberi perlindungan kepada pejuang-pejuang ataupun pahlawan-pahlawan dari Pahang sekitar tahun 1894 dan keengganan beliau secara total untuk bekerjasama dengan pihak British. Pahlawan-pahlawan Pahang seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau beserta pengikut mereka menerima tekanan yang cukup hebat dari pihak penjajah biadap yang mendatangkan keadaan serba salah dan hampir-hampir putus asa. Akhirnya pada bulan Mei 1894, para pahlawan ini membuat keputusan untuk menghubungi Tukku Paloh dan ternyata perhubungan yang terjalin memberi nafas baru serta keyakinan terhadap perjuangan mereka kerana Tukku Paloh sendiri bukan sekadar rasa simpati malah bersedia membantu para pejuang tersebut menentang pihak British. Dikesempatan mendapat perlindungan dari Terengganu itulah pula para pejuang ini sempat mendalami ilmu agama lebih banyak lagi dan mendalami perjalanan ilmu kerohanian (kesufian) dengan Tukku Paloh sebagai bekalan dalam perjuangan yang penuh dengan ranjau itu.

Penentangan Tukku Paloh terhadap penjajah amatlah ketara, apabila beliau menyeru para pejuang negara untuk melancarkan perang jihad ke atas penjajah. Sebagai bekalan beliau  memberi amalan-amalan wirid dan pedang bertulis ayat-ayat Al Qur an kepada para pejuang tersebut.Ketika itulah residen Pahang, Hugh Clifford menyedari betapa bahayanya para pahlawan tersebut berlindung di bawah payung kerajaan Terengganu. Bahaya yang paling ditakuti oleh penjajah seandainya ada serangan baru yang bertunjangkan kekuatan agama..

Clifford telah berjumpa dengan Sultan Terengganu untuk mendapatkan kerjasama baginda dalam menangkap para pejuang ini. Kepintaran sultan terbukti apabila beliau dengan senang hati mengeluarkan surat kuasa kepada penjajah untuk menangkap dan menyiasat sesiapa sahaja yang berkomplot dengan para pejuang tetapi surat tersebut tidak memberi sebarang kuasa untuk menangkap dan menyiasat kerabat di raja, keluarga sayid dan para pembesar baginda. Dalam diam baginda juga mengeluarkan satu surat sulit kepada orang-orang besut untuk membantu para pejuang Pahang untuk berlindung di daerah itu.

Hugh Cliiford dari hasil siasatannya dapat mengagak bahawa Tukku Paloh bersekongkol dalam perlindungan ke atas para pejuang Pahang dan bertemu dengan Tukku Paloh. Tukku Paloh membenarkan pasukan penjajah membuat siasatan sekitar rumah beliau dan di Paloh tetapi penjajah gagal menemukan bukti dan dia merasakan penghalang besar bagi usahanya menangkap para pejuang Pahang ialah Tukku Paloh sendiri. Akhirnya Clifford mengambil keputusan meninggalkan Terengganu pada 17 jun 1895.

Tukku Paloh juga menentang pertapakan awal British ke atas Terengganu apabila gabenor Negeri-Negeri Selat Frank Swettenham tanpa terlebih dahulu berunding telah datang ke Terengganu  untuk membuat perjanjian mengikut rangkat perjanjian antara British dan kerajaan Siam. Perjanjian itu secara rasmi ditolak oleh kerajaan Terengganu kerana baginda sultan dan para pembesar menyedari kesan akan perjanjian itu. Pihak penjajah membuat perkiraan lain dengan secara jahat membuat perjanjian baru dengan kerajaan Siam untuk memindahkan kuasa, segala hak naungan, perlindungan dan apa saja yang dipunyai oleh negeri-negeri naungan kerajaan Siam seperti Kelantan, Perlis, Kedah dan Terengganu kepada British.Walhal sebelum itu kerajaan Siam amat menghormati kerajaan Terengganu sebagai negeri yang berdaulat. 

Dengan perjanjian itu bermakna Terengganu bulat-bulat duduk di bawah kekuasaan British. Sekali lagi kerajaan Terengganu tidak mengiktiraf dan menolak perjanjian tersebut. Malah mendatangkan kemurkaan sultan dan kemarahan para pembesar. Walaupun usaha British gagal namun jenis penjajah ini tidak mengenal erti tewas bilamana mereka menjalankan tektik diplomasi dengan menghantar wakil British CW Conlay untuk berunding. Sebanyak dua kali mereka menghadap sultan dan Sultan Zainal Abidin mengarahkan mereka berjumpa dengan Tukku Paloh dengan bertitah kepada British sebagai "Terengganu ini ada tuannya, sila berunding dengan tuannya (Tukku Paloh)"

Segala "gula-gula" dan ucapan semanis madu yang dihulurkan oleh British ditepis dengan sindiran tajam oleh Tukku Paloh malah lebih memalukan dengan keberkatan serta karomah Tukku Paloh, kerusi yang diduduki oleh perunding British seolah melekat dipunggung mereka. Waktu  itu Tukku Paloh dengan bersahaja berkata " Sudahlah tuan-tuan hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan-tuan henndak ambil." Keberanian seorang Ulamak terhadap perkara mungkar yang tidak mengenal erti gentar!

Pihak British pulang dengan keadaan berang bercampur takut akan kebolehan Tukku Paloh.Mereka gagal sama sekali menguasai Terengganu dengan cara diplomasi. Tidak berapa lama pihak penjajah datang lagi ke Terengganu tetapi kali ini dengan armada perang yang menembak meriam ke arah pantai dan menghala ke udara bertujuan menggertak secara keras. Kejadian itu hanya membunuh seekor kambing hitam di Padang Hiliran. Orang ramai menjadi cemas dan sekali lagi khidmat Tukku Paloh diperlukan oleh baginda sultan. Tukku Paloh bersama orang-orang kanannya seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh Ibrahim dan Tok Kelam beserta pengikut mereka meronda sepanjang pantai siang dan malam.

Ekoran dari itu, British tidak lagi membuat kacau dan semua armadanya berundur. Dikatakan angkatan perang British seolah terlihat beribu-ribu pahlawan Terengganu lengkap dengan senjata bersiap sedia melancarkan serangan balas, oleh sebab itulah mereka berundur.Perjuangan beliau terhadap pihak penjajah secara habis-habisan kerana beliau berpegang kepada firman Allah dalam surah Anbid ayat 105
"Sesungguhnya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba Ku yang soleh."
Selepas kembalinya Tukku Paloh ke rahmatullah pada tahun 1917 dan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun berikutnya barulah negeri Terengganu dapat dijajah. Benteng iman dan takwa yang kukuh itulah yang menggagalkan helah British. Beliau juga berpegang kepada falsafah Perjuangan tidak kenal hidup dan mati.  Perginya ulamak dan umara' yang berganding bahu dalam pemerintahan meninggalkan kesan yang mendalam. Betapa pihak penjajah menggunakan pelbagai helah untuk menakluki tanah Melayu namun selagi ada insan-insan yang bertakwa pasti Allah akan menolong!



Suntingan dan rujukan dari buku 7 wali Melayu, laman web rasmi KDYMM Sultan Terengganu.

19 Mac 2010

Peranan Ulamak Silam Dalam Silat

Allahyarham Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir bin Wan Abdullah

Dikesempatan ini si Fakir mengambil langsung dari koleksi seorang pengkaji sejarah ulama nusantara yang ulung iaitu Allahyarham Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir bin Wan Abdullah. Seorang tokoh ilmuwan yang cukup besar jasanya dalam memperkenalkan secara lebih halus dan tepat akan tarikh dan karya para ulamak silam untuk dijadikan rujukan, beliau adalah cucunda Al 'Alamah Syeikh Ahmad Al Fathoni yang tersohor itu. Ada sebahagian kitab-kitab tulisan Allahyarham Tuan Guru menjadi koleksi si Fakir sendiri. Untuk catatan ini si Fakir rujuk langsung
dari pautan blog http://ulama-nusantara.blogspot.com. Hanya sekadar untuk pengetahuan kita bersama dan mengenali dengan lebih mendalam di antara tokoh ulamak-ulamak kita yang sememangnya banyak jasanya.


Tok Ayah Mat Kilau Seorang Pejuang Melayu



BARANGKALI perbicaraan yang menyentuh secara langsung tentang persilatan adalah masih sangat langka. Keterlibatan penulis dalam membicarakan perkara persilatan ini juga amat sedikit berbanding penulisan-penulisan selainnya.
Oleh itu, kelemahan-kelemahan dalam perbicaraan ini rasanya sangat banyak, apatah lagi dunia persilatan hanyalah penulis kenali sewaktu masih kanak-kanak dan ditinggalkan begitu lama, sejak tahun 1960-an.
Jenis-jenis silat memang banyak penulis ketahui, namun penulis bukanlah seorang pelajar mengenai bidang itu secara tekun tetapi hanyalah sebagai pemerhati saja. Di antara silat-silat yang penulis ketahui ialah Silat Pengian, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Buton Kalidupa, Silat Bugis Bone, Silat Sinding, Silat Pukul Tujuh, Silat Minangkabau, Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Patani, Silat Abjad dan Al-Mu'azat.
Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fi sabilillah.
Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan 'senjata' qalam untuk mengajar umat Melayu dna juga senjata pedang unutk perjuangan di medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada penjajah.
Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah mempertahankan Islam dan tanah air.Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah:
*silat menggunakan qalam/pena,
*silat kalam/lidah,
*silat menggunakan siasah/politik, dan lain-lain termasuklah
*silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang seni atau budaya.
Pelajaran silat dalam Kerajaan Pontianak
Tidaklah janggal pada kesempatan ini penulis mulakan petikan mengenai silat yang termaktub dalam sebuah manuskrip "Syair Kerajaan Pontianak".
Kerajaan Pontianak (Indonesia) memang bukan dalam Malaysia, tetapi adalah sebuah kerajaan Melayu yang didirikan oleh Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri yang direstui dan dirasmikan oleh pahlawan Melayu-Bugis, Raja Haji bin Upu Daeng Celak.
Raja Haji pula adalah seorang pahlawan Melayu agung sesudah Hang Tuah, kerana hampir keseluruhan negeri-negeri Melayu pernah dikunjunginya. Akhir riwayat Raja Haji gugur sebagai syahid fi sabilillah di Teluk Ketapang, Melaka.
Syair Kerajaan Pontianak ditulis beberapa tahun setelah berdirinya Kerajaan Melayu-Islam Pontianak, dalam petikan tersebut juga jelas mencerminkan minat dan kesungguhan Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri terhadap seni dan budaya silat. Untuk lebih jelas dan merupakan dokumen sejarah persilatan Melayu, Bab Silat dalam Syair Kerajaan Pontianak penulis sebutkan beberapa petikan awal darinya, iaitu:
Setelah sudah berperi-peri,
baginda berangkat lalu berdiri
Panggilkan Mat Raiyat suruh ke mari,
serta dengan Wan Bakari.
Wan Ahmad, Wan Bakar datanglah sudah,
kepada baginda tunduk menyembah
Dengan segeranya baginda bertitah,
Adalah sedikit hendak diperintah.
Baginda tersenyum seraya berkata,
Jikalau suka rasanya cita
Tuan-tuan yang muda ajarkan kita,
diajarkan silat bermain senjata.
Tuan ajarkan padan-padan,
boleh dilihat usulnya badan
Bagaimana di dalam contoh teladan,
yang mana patut main di medan.
*Tulisan Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam.
Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta bertanggungjawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar.
Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab.
Transliterasi selengkapnya ialah: "Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu.
"Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah suatu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita.
"Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ... " (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm. 95).
Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya "Maka jika datang ia kepada negeri Islam ... " dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat-Belanda dan Inggeris di dunia Melayu pada zaman Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dengan peristiwa Amerika, pengganas terbesar dunia, yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq.
Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas daripada dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah yang tersebut adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam.
Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan kalimat di atas bahawa "jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ..." berperang atau jihad terhadap mereka. Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam.
Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu.
Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atauterrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua golongan yang sedang bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat).
Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas yang tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat keraguan di dalamnya.
Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran-pentafsiran yang tidak betul disusun demikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam.
Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita ketahui dari kalimat beliau, "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia ...".
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan dengan sambungan kalimatnya "dan ditaruhkan senjatanya" maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.
Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan kalimatnya "dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu". Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan "ilmu silat" kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai ketangkasan.
Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat dinafikan diperlukan "kekuatan dalaman" atau "mental" atau "rohani". Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan.
Wirid pertahanan diri Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani
Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa'id an-Nafi'ah fil Jihadi fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri iaitu "Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Sabilillah", beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat bahagian, iaitu:
Faedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi 'Azimat Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan Orang Kafir.
Faedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.
Faedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.
Faedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.
Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau, cetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu "Ini doa diambil daripada Sheikh Abdus Shamad Palembang, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala rupa kejahatan dari seteru ... "Yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli.Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm. 96-98).
Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam terjemahan wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut ada hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:
*Belajar secara fizik di gelanggang.
*Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.
*Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.
Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani terdapat satu doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat Al-Mu'azat. Walaupun dalam Silat Al-Mu'azat tidak mempelajari gerak fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka gerak fizik akan datang dengan sendirinya.
Silat Al-Mu'azat pernah dikembangkan di Johor oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam tahun 1970-an. Wirid yang diamalkan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, yang sama dengan amalan dalam Silat Al-Mu'azat itu, lebih lengkap ditulis oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab Ward az-Zawahir (lihat hlm. 189).
Kesimpulan dan penutup
Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:
Seni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan kerohanian.
Ilmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.
Ulama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi sabilillah mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu bahkan sumber amalan ada yang berasal dari Rasulullah SAW sendiri.
Ulama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.
Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak.
Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan dan pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya supaya dihindari oleh-Nya.
This entry was posted on 15 June 2009 at Monday, June 15, 2009 at ulama-nusantara.blogspot.com .


18 Mac 2010

Adab Berguru Membawa Berkatnya Ilmu (Bah.1)


Sabda Rasululullah S.A.W yang bermaksud "Kelebihan orang yang berilmu berbanding dengan 'abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."(Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi) .

Ini membuktikan betapa peri pentingnya akan berilmu, maka dalam mencari dan menuntut ilmu sudah tentulah tertumpu kepada pencarian orang-orang yang alim ataupun orang yang sememangnya mahir akan sesuatu cabang ilmu itu sendiri.Imam Al-Syafie pernah mengungkap: "Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya."

Guru si Fakir sering berkata kita sebagai pencari ilmu ini (terutama ilmu berkaitan akidah) ibarat orang yang sedang sakit pergi ke klinik berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Adakah kita layak menunjuk ajar pula apa yang patut sang doktor itu perbuatkan? Disuruh kita memakan jenis-jenis ubat sekian waktu yang telah ditetapkan maka apakah boleh kita ubahkan preskripsi yang telah ditetapkan bersesuaian dengan keadaan tubuh kita selagi kita masih menanggung kesakitan? 

Apa yang nak ditekankan di sini ialah betapa pentingnya adab kita apabila berguru. Pernahkah kita terfikir bahawa kita mencari berkat dalam menuntut ilmu? Seandainya kita ikhlas menuntut ilmu untuk memperbaiki diri atau menambah apa yang kurang dalam diri maka adab itu adalah tunjang kepada kejayaan sesuatu ilmu itu.

Disebabkan itulah banyak guru-guru terutama dalam bidang tasawuf sering mendisiplinkan pelajarnya untuk lebih beradab dalam pengajian mereka. Abu Hafsa al-Nisaburi mengatakan: "Sufisma terdiri dari adab (kelakuan baik). Untuk setiap keadaan dan tingkat terdapat adab yang sesuai (dengan tingkat dan keadaan itu). Untuk setiap waktu terdapat kelakuan yang sesuai. Barangsiapa mempertahankan adab akan mencapat Maqam Insan Kamil, dan barangsiapa meninggalkan adab akan dijauhkan dari keterterimaan ke dalam Hadhirat Allah."

Kebanyakan dari kita (termasuk diri saya sendiri) pada masa sekarang ini suka akan ilmu tetapi penghormatan dan adab terhadap guru pencurah ilmu sering diabaikan kerana pada pandangan kita bahawa guru pun manusia biasa sering buat silap dan tidak maksum kerana maksum tertakluk pada Rasulullah S.A.W sahaja. Bermuka-muka di hadapan guru padahal rasa hormat itu terkadang terpalit juga walaupun sedikit rasa keraguan terhadap guru.Tanpa sedari kita sudah mula membuat penilaian secara ikut nafsu atas ilmu dan keperibadian guru kita itu. Yang paling malang lagi secara tidak langsung samada disedari atau tidak kita seolah-olah terlebih tahu dari guru tempat kita menadah ilmu itu sendiri walhal ilmu yang sedang dituntut hanya sekelumit cuma, jauh lagi dari sampai ke sasarannya. Berapa banyak murid-murid yang menuntut sampai kesasaran? Apabila hilang keberkatan maka apa yang dituntut menjadi hampas sia-sia tidak berguna lagi.  Kita tidak nafikan Rasulullah S.A.W adalah PENGETUA bagi segala guru yang ada di dunia ini namun Rasulullah S.A.W juga menekankan keberkatan seseorang guru itu dalam menyampaikan ilmunya yang bermaksud -
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai."-Abu Umamah r.a.





Ada masanya pula kita sering berdalih dengan pelbagai alasan untuk menghadiri pengajian. Kita mengaturkan sendiri jadual diwaktu bila kita sendiri merasa lapang untuk mendalami pengajian kita tanpa sebarang alasan yang kukuh. Jika kita bertemu dengan seorang guru yang penuh berkat dan "masin mulutnya" maka tersilap langkah alasan kita akan memakan diri kita sendiri sedikit demi sedikit. Seorang guru itu umpama orang yang berdiri di puncak bangunan sedangkan kita sebagai murid ini baru hendak merangkak ditengah halaman maka setiap gerak geri kita itu sudah difahami dan diteliti oleh guru yang berada di puncak bangunan itu.

Sejarah membuktikan bagaimana seorang wali Allah Syeikh Sunan Kalijaga (salah seorang wali songo-9)yang amat terkenal di nusantara ini sangat mematuhi dan sangat menjaga adab terhadap gurunya. Lihat saja sejarah permulaan beliau dalam menuntut ilmu.Sunan Kalijaga dengan setia menjaga amanah mursyidnya seandainya beliau hendak mempelajari ilmu dan mendapat bimbingan mursyidnya itu, hendaklah menjaga tongkat mursyidnya di pinggir sungai pada waktu yang lama. Hinggakan muryid tersebut terlupa dan apabila sedar beliau kembali menjenguk Raden Said (Sunan Kalijaga)  dan ketika itu Raden Said sudah diselimuti oleh lumut dan akar yang banyak dan kaku beku dipinggir sungai. Disebabkan peristiwa itulah beliau digelar sebagai penjaga kali atau kalijogo dan dengan itulah beliau menjadi seorang wali. Manakala kisah seorang sufi agung Syeikh Abu yazid Al Bistami naik haji dengan mursyidnya dengan menaiki kapal laut. Ketika kapal telah berlayar tiba-tiba mursyidnya teringat beg yang tertinggal di dermaga. Kemudian beliau menyuruh muridnya (Syeikh Abu Yazid Al Bistami) untuk mengambil beg itu. Langsung saja Syekh Abu Yazid Al Bistami melompat ke dalam laut tanpa berfikir panjang, mursyidnya mengiringi pemergian beliau dengan azan. Belum selesai mursyidnya azan, beliau sudah kembali ke kapal dengan membawa beg yang tertinggal itu.

Sebenarnya cara-cara beradab dengan seorang guru boleh dirujuk dalam kitab 'Diya' al-Murid' karangan ulamak tersohor Syeikh Daud Al Fathoni dan dalam kitab Al Bidayah dan Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam Al Ghazali. 










17 Mac 2010

Malay Martial Art From Malaysia




Silat or bersilat means to learn and to do a various style of fighting, it is a self defense method which started popular since the 15th century. This is a unique culture of malay. Malay youngsters are taught silat as part of their growing up and education system, and not purely for self-defence purpose.Its meant not only as a self-defence technique, but also to inculcate the child with values of self - discipline, and to instill in him the qualities of self-dependence, self-respect as well as respect for others. This is to ensure that the youngster would be a rounded human being, useful and beneficial to society.

The legend of silat practitioners was the famous 15th-century Malaccan warrior Hang Tuah.Hang Tuah is an idol for silat practitioners and students. He learned martial arts together with his four compatriates - Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi and Hang Lekiu - from two of the most renowned silat guru of the era. Hang Tuah is more likely to have been one of the art's disseminators rather than its originator since silat is known to have been practiced long before the founding of Melaka.

In the 16th century, conquistadors from Portugal attacked Melaka in an attempt to monopolise the spice trade. The Malay warriors managed to hold back the better-equipped Europeans for many days before Melaka was eventually defeated. The Portuguese hunted and killed anyone with knowledge of martial arts so that the remaining practitioners fled to more isolated areas but Bugis sailors were particularly famous for their martial prowess and were feared even by the European colonists. 

Nowadays, there are many popular schools of silat (called perguruan) in Malaysia such as Silat Seni Gayong, Seni Silat Pusaka Gayong, Gerak Seni Silat Kuntau Melayu, Seni Silat Cekak, Seni Silat Gayong Fatani, Sendeng, Silat Melayu Keris Lok 9, Seni Silat Lincah, Seni Silat Kalimah and many more.

Actually the syllabus of silat had devided to two branches, first methode is for public display where its always performed at weddings and other festivites. The other is concentrating on combat skills emphasize unarmed combat and focus on weapons.Bersilat emphasizes leg techniques, but punches, throws and holds are so important.The most popular forms are fist and finger attacking, grappling and gripping, and a spectacular style with high leaps and flying kicks.Besides that, silat is also a very good sport which combines a bit of dancing ,mental training and physical work.

The standard full and formal dress of today's silat practitioners usually the combination of the "tengkolok" and "tanjak" (headkerchiefs with different ways of tying them depending on status and region.),"baju Melayu" (Malay clothes), "samping" (waistcloth)."Bengkung" (a cloth belt or sash which secures the samping). 

While the training area or hall called "gelanggang", they were traditionally located outdoors, either in a specially constructed part of the village or in a jungle clearing. The area would be enclosed by a fence made of palm leaves to prevent outsiders from stealing secrets. Before training can begin, the "gelanggang" must be prepared either by the masters, instructors or senior students in a ritual called "opening the training area" (buka gelanggang ) with a prayer, this ritual is still carried out in some form or anoth.Today most practitioners train in modern and sophisticated indoor gelanggang. 

The art focuses on several basic groups of techniques that are practiced faithfully and must be mastered by each practitioner. The syllabus devided to
"Langkah" or "Tapak" , "Bunga silat"(dance or movement) and "Buah Silat" such as weapon forms, avoiding attack, side stepping (Footwork), kicking or falling techniques, grappling and gripping, stabbing techniques and art of the warrior techniques.

The most common of silat's weapons are like "keris" (asymmetrical dagger),"Kerambit" (A concealable claw-like curved blade that can be tied in a woman's hair.), "tekpi" ( Three-pronged truncheon thought to derive from the trident.), "golok" and "tumbuk lada"(machete/ broadsword) , "lembing" (Spear/ javelin), "sundang" (a sword created by the Bugis),"tongkat/kayu/rotan" (pole or rod) and "cindai" (a wearable cloth like sarong usually tied around the waist or draped across one shoulder)

Lastly silat is our heritage and our proud and silat is one of the most deadliest martial art in the world!

14 Mac 2010

Jejak Ulamak- Syeikh Haji Mohd Yusuf Bin Ahmad (Tok Kenali)




Seorang tokoh ulamak yang amat popular dan tidak asing lagi dari negeri Kelantan hinggalah seluruh pelusuk semenanjung tanah Melayu. Di zaman beliaulah bermulanya Kelantan diberi jolokan sebagai "Serambi Mekah"  kerana merupakan penyemarak kebangkitan sekolah pondok dengan teknik pembelajaran yang unik. Tuk Kenali sangat mementingkan pendidikan sehingga pernah berpesan kepada murid-murid beliau dengan dua perkara; belajar bersungguh-sungguh dan buka pondok.

Beliau di lahirkan di Kampung Kenali di bawah jajahan Kota Bharu 1287H/1870M. Seorang anak yang senantiasa berpegang kepada sabda Rasulullah SAW "syurga di bawah tapak kaki ibu", oleh itu beliau sangat-sangat menghormati ibunya dan sentiasa pula memohon restu ibunya apabila hendak melakukan sesuatu pekerjaan yang penting lagi besar.

Pendidikan awal beliau ialah dengan datuknya sendiri yang dikenali dengan gelaran 'Tuk Leh', seorang imam kampung yang alim. Datuk beliaulah mula mengajar beliau menulis dan membaca al quran. Di usia beliau meningkat 10 tahun telah nampak akan kesungguhan beliau dalam mencari ilmu apabila beliau sanggup berulang alik dari kampung beliau ke Kota Bahru sejauh lebih kurang 8 batu dengan berjalan kaki. Di antara guru Tok Kenali yang amat terkenal ialah Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Mohd Salleh yang lebih terkenal dengan gelaran nama sebagai 'Tuan Tabal'.

Di kala usia beliau sudah mencecah 18 tahun beliau telah mula melangkahkan kaki ke Tanah Suci Mekah. Setibanya beliau ke tanah suci beliau tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap maka serambi Masjidil Haram lah tempat beliau menetap buat sementara waktu. Namun walaupun selepas beliau sudah mempunyai tempat tinggal yang tetap beliau masih gemar beriktikaf, bermutaalah dan belajar di masjid.

Tok Kenali merupakan seorang yang amat suka membaca. Peringkat awalnya beliau sering meminjam kitab-kitab dari teman-teman dan di maktabah ataupun membacanya di kedai-kedai buku.Pun begitu apabila beliau mempunyai wang beliau tidak pernah sayang untuk berbelanja membeli kitab-kitab.

Di antara guru-guru beliau dari bangsa Arab ialah seperti Al 'Alamah Syeikh Habibulah, Al 'Alamah Syeikh 'Abid (Mufti Al Malikiah), Al 'Alamah Syeikh   Muhammad Amin, Al 'Alamah Syeikh Bakri, Al 'Alamah Syeikh Mohd Yusuf Al Khiadh dan Al 'Alamah As Sayid Abdullah Bin Sayid Saleh Az Zawawi (Mufti Mekah)

Manakala guru-guru beliau dari bangsa Melayu ialah seperti Asy Syeikh Mukhtar 'Athar Al Jawi Al Minangkabawi Al Bukri, Asy Syeikh Ahmad bin Abdul Latif Al Minangkabawi, Asy Syeikh Muhammad bin Ismail Al Fathani, Tuan Guru Haji Wan Ali Kutan, Tuan Guru Haji Mohd Daud dan Al 'Alamah Asy Syeikh Wan Ahmad bin Ahmad Mustafa Al Fatani. Guru pembimbing ilmu Tok Kenali yang utama ialah Al 'Alamah Asy Syeikh Wan Ahmad bin Ahmad Mustafa Al Fathani.

Setelah 17 tahun berada di Mekah, beliau bersama guru pembimbing beliau iaitu Al 'Alamah Asy Syeikh Wan Ahmad Al Fathani berangkat ke Mesir. Al 'Alamah Asy Syeikh Wan Ahmad Al Fathani merupakan seorang ulamak yang besar. Kedatangan beliau ke Mesir menjadi buah mulut orang ramai. Apabila orang ramai datang mengaju soalan maka Tok Kenali diberi kepercayaan tuan gurunya untuk menjawab soalan.

Tidak berapa setelah pulang dari Mesir, tuan guru beliau Al 'Alamah Asy Syeikh Wan Ahmad Al Fathani telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1325H (1906M). Maka beliau pun bercadang untuk pulang ke tanah air. Tok kenali amat akrab dan menyayangi gurunya itu sehingga pernah berkata " Jika masih ada Syeikh Ahmad tentu aku tidak pulang lagi".

Bermulanya era sebagai pendidik apabila Tok Kenali membuka kelas pengajian untuk orang ramai di rumahnya sendiri. Semakin hari semakin ramai yang datang belajar hingga mereka mendirikan pondok-pondok di sekitar rumahnya agar mudah mengikuti pengajian beliau. Dalam masa yang sama beliau mengajar di Masjid Al Muhammadi di Kota Bahru. Beliau mempunyai prinsip bahawa dakwah,tarbiah dan ilmu perlu disebarluaskan kepada orang ramai.

Di samping itu Tok Kenali juga giat menulis, dengan inisiatif beliau maka lahirlah majalah Pengasuh. Beliau juga sebagai seorang penasihat dan penulis untuk majalah Al Hidayah.Tok kenali juga menerbitkan risalah pelajar Talamiz. Kitab Khasiat Bintang-Bintang dan Mujarrabat merupakan karangan beliau dengan nama pena Awang Kenali (rujuk *1) 

Kehidupan beliau amat zuhud (tidak mementingkan keduniaan), sentiasa merendah diri, sangat pemurah dan suka bersedekah untuk fakir miskin dan anak-anak yatim. Jika ada sesiapa yang terjumpa barang kepunyaan beliau terjatuh maka disuruhnya ambil kerana dikira sebagai rezeki orang yang terjumpa itu.Beliau juga amat membenci amalan-amalan jahiliah seperti berlaga kerbau. Tok Kenali pernah memberi amaran bahawa banjir besar akan melanda Kelantan dan peristiwa itu benar terjadi dan dikenali sebagai bah merah berlaku pada tahun 1926. Kehalusan budi ini merupakan hasil dari amalan thorikat dan penghayatan ilmu tasauf yang diselami dan dihayati serta diterapkan dalam penghidupan seharian beliau terutamanya dari kitab-kitab besar karangan ulamak muktabar seperti Al Imam Al Ghazali, Ibnu Atho'illah dan Syeikh Abdul Samad Al Palimbangi.

Disamping mengamalkan thorikat Ahmadiyyah Idrissiah (pengetua bagi thorikat ini iaitu As Syeikh As Sayid Ahmad ibni Idris Al Fasi- seorang ulamak muktabar), Tok Kenali juga banyak mengamalkan selawat nabi dan melazimkan bacaan surah Al Ikhlas serta doa karangan Al Imam Al Ghazali.

Setelah umur beliau telah melebihi 60 tahun, Tok Kenali mula uzur dan tidak lama kemudian sakit beliau menjadi semakin berat . Akhirnya beliau kembali menghadap Allah kecintaannya pada bulan Syaaban 1352H-19hb. Nov 1933 ketika berusia 65 tahun. Ulamak berjiwa sufi yang banyak menaburkan jasa bakti dalam bidang keilmuan ini telah banyak melahirkan ulamak-ulamak pelapis selepas era beliau. Perginya seorang ulamak yang tiada kenal jemu dan penat lelah dalam menyebarkan ilmu untuk orang ramai.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmatNYA ke atas roh Tuan Guru Syeikh Mohd Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali). 

Al Fatihah buat Tuan Guru Tok Kenali.......




*1- karangan Ustaz Abdullah Qari' - Pusaka Tok Kenali dan buku berjudul Sumbangan Tok Kenali Kepada Dunia Ilmu

Semangat Tidak Akan Luntur!





Terdengar saja tiupan serunai,tingkahan gendang dan paluan gong, badan yang lesu, semangat yang luntur dan malas yang menyelubung seakan segera menghilang. Apatah lagi bila diri sudah berada di dalam gelanggang yang seakan samar yang hanya didindingi oleh pelepah kelapa. Semangat kepahlawan tiba-tiba meruntun jiwa untuk bertitar-titar di dalam gelanggang walaupun ilmu hanya sejengkal kail.


Namun semua itu telah berlalu, dunia persilatan kini sudah banyak berubah. Banyak perguruan sudah mengikut arus kemodenan.Sesungguhnya berbanggalah segala anak Melayu kerana ilmu warisan masih tidak terpinggir walaupun segelintir cuma yang memperjuangkannya.Sudah banyak perguruan silat yang berdiri megah di persada dunia menjulang ilmu persilatan Melayu. Jerih payah golongan ini bukanlah semudah yang disangkakan. Sudah terlalu banyak ranjau cobaan perlu diharungi untuk mencapai matlamat sebenar. Yakinlah setiap orang dan perguruannya berjuang memertabatkan ilmu kepahlawanan ini bukan untuk seronok sendiri tetapi semata-mata hanya kerana sayangkan ilmu warisan ini dan berasa berhak untuk memartabatkannya. Ini kerana setiap yang terdidik di gelanggang persilatan sudah pasti sudah dibajai dengan rasa sayang kepada bangsanya dan apa saja warisan bangsanya.


Dengan adanya segelintir pejuang ini, maka hendaknya bersatu bak kata pepatah "bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat". Bersatu dalam ertikata memikirkan dan memperhebatkan lagi cara untuk mempromosi silat di mata dunia mahupun di hati anak-anak muda sendiri.Kalau di era 80an-90an (semasa saya masih muda belia) samada di layar perak mahupun di kaca televisyen banyak menonjolkan cerita-cerita pendekar yang sudah semestinya membakar semangat untuk menjadi paling tidak sehebat pelakon tersebut. Seingat si Fakir di TV1 pernah tersiar drama bersiri "Pendekar Kundur" lakonan seniman Eman Manan. Di kala itu rasa tak sabar untuk menunggu episod seterusnya sentiasa meruntun hati.Setiap kali selepas melihat aksi memencak Eman Manan dalam drama tersebut semangat untuk turun ke gelanggang senantiasa ada. Rasa hendak menjadi seorang yang bercirikan seorang pendekar tulin senantiasa menjadi khayalan.


Hari ini terlalu ketandusan cerita-cerita seperti itu di kaca televisyen.Terlalu banyak disogokkan dengan kisah seram (yang melahirkan insan serba seram diserata tempat), lawak-lawak slapstick yang kekadang sedikit pun tidak mengeletek hati dan kisah percintaan orang-orang korporat.Cerita keruntuhan akhlak muda mudi juga sudah seakan menjadi "trend" pada masa kini. Kononnya ianya sebuah realiti dan semoga menjadi sempadan dan mendatangkan keinsafan pada muda mudi di masa depan. Impaknya nampak semakin galak budaya kuning dan merempit dikalangan remaja. Seumpama membuka pekung di dada sendiri.


Rasa sudah jelak dengan drama-drama seperti ini. Bukan setakat drama malah diseret genre seperti ini ke layar perak yang akhirnya tidak ke mana pun jua. Kenapa para pembikin drama dan filem tidak memikirkan bagaimana cara untuk memartabatkan warisan bangsa seperti silat melalui kaedah mereka? Apakah ada garis panduan yang perlu dipatuhi atau langsung tidak pernah terfikir sebelum ini? Sudah banyak jasanya medium seperti ini yang mampu menjulang sesetengah aliran bela diri dunia. Lihat saja contoh filem seperti "Best of The Best" yang mengangkat Tae Kwon Do menjadi kegilaan di zaman itu. Filem Under Seige dengan aktornya Steven Seagal seorang master dalam aliran Aikido. Begitu juga filem "Ong Bak" yang telah mengharumkan nama Muay Thai (Muay Boran -teknik purba) ke merata pelusuk beserta dengan pelakonnya Tony Jaa yang memang orang yang berpengalaman dalam Muay Boran. Setidaknya dunia semakin ingin mengenali apa itu Muay Thai yang nampak sangat mengagumkan dan secara tidak langsung segelintir penonton telah bertukar menjadi peminat lantas menjadi seorang murid.


Kita tidak ketandusan penerbit, pengarah dan pelakon yang mempunyai idea yang bernas dan berbakat dalam bidang ini yang mampu ketengahkan kehebatan silat.Sedikit terubat hati bila ada pengarah dan penerbit seperti saudara Nuad Haji Othman yang terus berusaha mengenengahkan ilmu persilatan dalam drama-drama beliau seperti Murid Tok Ayah.Seandainya scene-scene pergaduhan itu diperhaluskan lagi semakin tampak hebatlah silat dalam pertempuran.


Alangkah baiknya jika para karyawan bersatu tenaga dengan pakar-pakar silat yang sedia ada untuk membikin sesuatu yang bermutu dan terus menjulang kehebatan silat dan kembali membakar jiwa anak-anak muda untuk lebih mengenali dan mendalaminya.Untuk memperkenalkan silat di mata warga asing rasanya sudah terlaksana dengan hasil usaha dan jerih payah perguruan itu sendiri dengan dibantu oleh pihak yang berwajib. Apa yang penting anak watan perlu kenal, perlu sayang perlu jadikan satu bentuk disiplin kehidupan terhadap warisan bangsa sendiri. Dengan silatlah para pejuang tanah air seperti Tok Gajah, Datuk Maharajalela, Tok Bahaman, Tok Ayah Mat Kilau, Datu Mohammad Salleh bin Datu Batu (Mat Salleh pahlawan sabah)dan para pejuang yang lainnya mempertahankan maruah bangsa. Kalau tidak digiatkan dari sekarang maka dengan apakah nanti anak-anak muda kita akan mempertahankan agama, bangsa dan negara dari ancaman luar? Bukan semuanya pandai bermain senjata api, bukan semuanya menjadi polis ataupun tentera. Setidak-tidaknya kehadiran para pendekar akan menambahkan lagi kekentalan benteng pertahanan kita.


Fikir-fikirkanlah!