Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

Memaparkan catatan dengan label Tokoh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tokoh. Papar semua catatan

07 September 2019

'SULTAN KUBANG PASU'

MAKAM Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih. - Foto Amran Hamid


Assalamualaikum, Artikel ini fakir ambil dari BH Online dan dimuatkan ke selasar si fakir untuk menjadi bahan bacaan terutamanya buat para peminat sejarah. Semoga ada banyak manafaatnya buat kita semua khususnya anak-anak Kedah. Jadi tak perlulah fakir berceloteh banyak untuk kali ini, elok kita teruskan dengan membaca artikel tersebut dibawah…..

suzalina@bh.com.my

ALOR SETAR: Sesiapa sahaja yang melalui jalan utama dari Kubang Pasu ke Jitra, khususnya di Tok Jalai dekat sini, pasti menyedari kewujudan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.

Walaupun nama Tunku Anum dianggap tidak asing bagi penduduk Kedah, hakikatnya tidak ramai menyedari identiti dan peranan individu di sebalik nama Tunku Anum yang dimeterai pada nama sekolah berusia lebih sedekad itu.

Apa yang pasti, Tunku Anum yang juga anak kepada Tunku Rahmah iaitu puteri sulung Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II, memainkan peranan besar dalam mempercepatkan proses pembebasan Kedah daripada penjajahan Siam selama 20 tahun pada 1839, hasil kebijaksanaannya mengambil hati pemerintah Siam di Ligor ketika itu.

Berdasarkan rekod sejarah, Tunku Anum selain membantu membebaskan Kedah, turut mencetus usaha membawa pulang Sultan Kedah ke-22, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, yang diusir Siam ke Melaka, untuk menyambung semula pentadbiran di Kedah, selepas bebas daripada Siam ketika itu.

Kini selepas beratus-ratus tahun, makam Tunku Anum selaku bekas pemerintah negeri Kubang Pasu Darul Qiyam, yang bersemadi di Pulau Pisang, Jitra dan pernah menjadi pusat pemerintahannya, seolah-olah tidak dihiraukan generasi muda, apatah lagi untuk diangkat sebagai antara destinasi pelancongan di Kedah.

Selain Tunku Anum, nasib sama turut menimpa seorang lagi bekas pembesar Kedah iaitu Puteri Lindungan Bulan, yang turut mempunyai peranan tersendiri dalam menyumbang kepada sejarah kelangsungan pentadbiran di Kedah.

Ini kerana, makam Puteri Lindungan Bulan yang menjadi satu-satunya bukti wujudnya pusat pemerintahan Kedah Ke-3 di Kota Siputeh, antara tahun 1282 hingga tahun 1626 yang membabitkan pemerintahan lapan Sultan, turut sepi.

Ketua Penghantar Bunga Emas

Siapa sangka Tunku Anum dan Puteri Lindungan Bulan antara dua nama besar yang pernah menyumbang kepada sejarah pentadbiran kerajaan Melayu di Kedah. Namun, selepas ratusan tahun berlalu, kedua-dua makam ini ternyata dipandang sepi dan gagal ditonjolkan sebagai antara destinasi pelancongan di negeri ini. Sesuatu perlu dilakukan pihak berwajib untuk memastikan generasi muda kini mengenali sejarah membabitkan kedua-dua individu ini.

Tokoh Sejarawan, Wan Shamsudin Mohd Yusof, ketika mengupas sejarah Tunku Anum, berkata pemuda itu turut mendapat gelaran Tunku Paduka Raja Jambangan berikutan dilantik sebagai Ketua Penghantar Bunga Emas kepada Raja Siam di Kota Bangkok pada tahun 1809, iaitu ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin.

Bagaimanapun, katanya, bermula tahun 1821, Raja Siam mengarahkan armada Ligor menawan kota Kuala Kedah dan bandar Alor Setar, sekali gus berjaya mempertahankan taklukannya selama hampir 20 tahun, menyebabkan Sultan Ahmad Tajudin terpaksa menyembunyikan diri di Melaka.

Kebangkitan pahlawan Kedah

Namun, pada masa sama, katanya, berlaku kebangkitan pahlawan di Kedah untuk mengambil semula negeri daripada tangan Siam dengan melancarkan dua jenis peperangan yang masing-masing berlangsung pada era 1828 hingga 1831 dan 1838 hingga 1839.

Beliau berkata, Tunku Anum bagaimanapun ketika itu tidak gemarkan peperangan kerana ia disifatkan beliau sebagai berisiko menyebabkan banyak nyawa terkorban dan membabitkan pertumpahan darah.

Justeru, Tunku Anum menjalankan strategi dengan menggunakan helah berangkat ke Ligor kononnya untuk menjaga tawanan Kedah yang ditahan di sana. Kelebihan diperoleh Tunku Anom sepanjang berada di Ligor, digunakan untuk memujuk dan mendapatkan kepercayaan Raja Ligor bagi menyerahkan kembali Kedah kepada pimpinan asal.
"Hasilnya, proses pembebasan Kedah menjadi lebih cepat, malah Sultan Ahmad Tajuddin yang berkelana di Melaka juga dipanggil balik untuk memegang tampuk pimpinan Kedah semula," katanya.

Wan Shamsudin berkata, sebagai membalas jasa Tunku Anum, Sultan mengurniakan Kubang Pasu Darul Qiyam yang mempunyai 24 mukim dengan jajahan takluknya bermula dari Tunjang ke Sadao, untuk ditadbir sebagai sebuah negeri dengan pusat pemerintahannya terletak di Pulau Pisang di Jitra.
Ketika ditanya bagaimana keadaan Kubang Pasu sepanjang pentadbiran Tunku Anom, ini jawapannya;

Kubang Pasu diserah kembali kepada Kedah

Kubang Pasu sepanjang pemerintahan Tunku Anom pada 1839 hingga 1853 ketika itu pesat membangun dan berjaya menaikkan taraf ekonomi rakyatnya dengan wujudnya kilang kain, mahkamah, penjara, pejabat tanah malah masih tersimpan bukti geran tanah yang mempunyai cop negeri Kubang Pasu.

Namun Wan Shamsudin berkata, malangnya selepas kemangkatan Tunku Anum pada 1854, Kubang Pasu yang diserahkan kepada cucunya, Tunku Ishak yang menjadi Raja dan memerintah selama 10 tahun, gagal mempertahankan negeri itu lalu diserahkan kembali kepada Sultan Kedah ke-24 ketika itu iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.

Puteri Lindungan Bulan

Berbeza dengan sejarah Puteri Lindungan Bulan, Wan Shamsudin berkata terdapat dua versi membabitkan fakta dan legenda yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh penduduk kampung dahulu kala.

Beliau berkata, dari segi mitos dan lagendanya, Sultan Kedah ketika itu iaitu Sultan Sulaiman Syah menyembunyikan puterinya yang bernama Zaleha di dalam sebuah lubang kecil, sehingga terlindung dari cahaya bulan selama tempoh sebulan, bagi mengelak Raja Acheh memperisterikan anaknya itu.

Katanya, dari situlah gelaran Puteri Lindungan Bulan diperoleh dan rentetan insiden itu, Raja Acheh amat marah terhadap Sultan Kedah kerana memperdayakannya sehingga Kedah diserang.
Namun cerita itu hanyalah disebut sebagai mitos dan gagal dibuktikan melalui fakta dan ini adalah cerita sebenarnya;

Kedah diserang Acheh ketika itu berikutan Acheh ingin meluaskan empayarnya di nusantara ini, selain berang dengan tindakan Kedah yang turut menanam lada hitam di beberapa daerah termasuk Langkawi sedangkan Acheh sudah terlebih dahulu menanam tanaman itu yang mampu dijual pada harga tinggi. Keengganan Sultan Kedah mendengar amaran dari Acheh supaya menghentikan tanaman lada hitam menyebabkan Raja Acheh berang lantas menyerang Kedah.

Sumber artikel: Berita Harian Online
                         Rabu 18 March 2015
                Oleh: suzalina@bh.com.my

13 Oktober 2013

Hayati Erti Pengorbanan Sejati di Ketika Aidil Adha



Pada 15hb. Oktober 2013 ini, kita umat Islam khususnya di Malaysia akan menyambut hari raya korban. Syukur alhamdulillah kita mungkin diberi sekali lagi kesempatan menyambut Aidil Adha dan menghayati segala yang terkandung di dalamnya. Rata-rata umat Islam di Malaysia, Indonesia, Brunei dan seluruh nusantara malahan seluruh dunia Islam yang berkemampuan telah menjalankan ibadah haji dan melakukan ibadah korban menurut kehendak agama kita. Mungkin kita berbuat semua itu atas alasan tuntutan agama Islam yang suci namun kerana keikhlasan yang ada kita terlupa bahawa itulah salah satu pengorbanan ikhlas yang telah kita berjaya lakukan. Bagi yang telah berkesempatan mengerjakan ibadah haji tidak pula kita berkira-kira untuk menabung wang bagi perjalanan ke tanah suci begitu juga bagi yang berkemampuan untuk melakukan ibadah korban tidak pula merasa sayang atau kikir untuk mengeluarkan wang bagi melakukan ibadah tersebut. Semoga semua keikhlasan itu akan menghampirkan dan meraih kasih sayang serta kecintaan Allah SWT terhadap kita semua.Bagi yang kurang berkemampuan kita masih punya peluang untuk berbuat ibadah yang terbaik dengan penuh keikhlasan demi meraih kasih sayang Allah SWT - jangan berkira masa dan jangan berkira membantu orang yang memerlukan bantuan dan pertolongan.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Dan rentetannya Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim a.s, Siti Hajar dan Ismail a.s. Siti Hajar berkata:"Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti."
Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail a.s berkata kepada bapanya: Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih". Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.
Perkara Nabi Ibrahim a.s hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan: Nampaknya Nabi Ibrahim a.s mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya".

Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim a.s tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya: Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku."

Kemudian Nabi Ibrahim a.s pun melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu mengeluarkan pedangnya dan menyembelih leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim a.s. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim a.s pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Allah kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat daripada Allah SWT.

Untuk kali ini Fakir terpanggil untuk berkongsi dengan semua tentang sebuah lagi pengorbanan yang sejati yang kita telah acapkali membaca atau mendengar kisahnya yang sangat mengharukan. Biarlah kita sekali lagi membaca dan menghayatinya agar ianya membangkitkan semangat dan kesungguhan kita dalam memperkukuhkan iman kita kepada Allah SWT dengan lebih ikhlas lagi sehingga membawa kita untuk berkorban apa saja demi agama suci yang benar ini.

SUMAYYAH BINTI KHABATH

Sumayyah binti Khabath adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi hambanya.

Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa.

“Mereka sudah menyahut ajaran Muhammad walaupun ditegah oleh pihak atasan Quraisy. Kamu akan menerima balasan kerana ingkar perintah kami,” kata Abu Jahal kepada pengikutnya sambil menarik keluarga Yasir yang terikat ke kawasan padang pasir di luar kota Mekah.

“Mereka tidak serik dengan hukuman kita walaupun pengikut agama yang dibawa Muhammad telah diseksa oleh kita,” kata seorang bangsawan Quraisy yang berjalan di sebelah Abu Jahal.

“Kali ini saya tidak akan bebaskan mereka bertiga sehingga mereka mengaku berhala-berhala kita sebagai tuhan mereka,” tegas Abu Jahal yang mengacah tombaknya ke arah keluarga Yasir yang diseret secara kasar oleh pengikut Abu Jahal.

Mereka berhenti di kawasan lapang yang dipenuhi bongkah batu besar. Yasir, Amar dan Sumayyah ditanggalkan pakaian mereka lalu diikat pada bongkah batu yang panas mendidih dipanah matahari padang pasir.
Kaki dan tangan mereka diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak seinci pun. Abu Jahal, pembesar Quraisy dan pengikut setianya ketawa melihat penderitaan ketiga beranak itu.

“Kamu akan diseksa dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad. Kamu akan dibebaskan jika kamu sanggup mengaku berhala-berhala di kota Mekah ini sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal mula mengambil tali sebat bagi menakutkan Yasir, Sumayyah dan Amar.
“Kami tidak akan mengaku berhala-berhala itu sebagai tuhan kami. Hanya Allah Tuhan kami,” balas Yasir dengan tenang.
“Saya beriman dengan Allah sahaja,” kata Sumayyah pula.
“Berani kamu melawan kata-kata saya,” api kemarahan Abu Jahal semakin membara mendengarkan kata-kata Sumayyah itu tadi.
“Ini balasan kepada kamu kerana enggan menerima berhala-berhala sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal dan pengikutnya mula menyebat tubuh Yasir, Sumayyah dan Amar dengan kejam. Hinggakan darah mengalir daripada tubuh mereka yang terikat pada bongkah batu yang panas dipanah matahari tengah hari.

Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka.

“Kita lihat berapa lama kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah kepanasan matahari ini,” sindir Abu Jahal sambil memandang wajah Yasir dan Sumayyah dengan bengis.
“Tiada tuhan melainkan Allah,” kata Yasir, Sumayyah dan Amar merintih dalam kesakitan memakai baju panas.
“Letakkan batu besar ke atas badan Yasir,” arah Abu Jahal lagi kerana geram mendengar kata-kata Yasir sekeluarga.
Seksaan demi seksaan ke atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan menyebut nama Allah tanpa menerima agama berhala Abu Jahal.

Walaupun hati Sumayyah hancur melihat suaminya mati akibat seksaan Abu Jahal yang kejam, dia gembira kepada suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.
“Kamu pun mahu mati seperti suami kamu. Lebih baik kamu terima tawaran aku sebelum ajal kamu tiba!” Abu Jahal mahu menunjukkan yang seksaannya mampu mengubah pendirian pengikut Nabi Muhammad kepada ajaran berhala.
“Jangan kamu berharap saya akan menurut kata-kata kamu itu. Tiada tuhan melainkan Allah,”. Hati Sumayyah keras seperti batu teguh pada keimanannya pada Allah.
“Kamu sudah semakin degil dan melawan kata-kata aku!” Abu Jahal mengambil tombak dari tangan kanannya lalu dicucuk ke dalam alat sulit Sumayyah.

“Allahu Akbar”. Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman tombak Abu Jahal itu.
Kematian Sumayyah dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan keimanan pada Allah adalah peristiwa penting dalam sejarah pengembangan agama Islam. Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam.

PENGORBANAN  SUMAYYAH

Pertama, berani menyatakan yang hak.
Beliau dengan beraninya mengumumkan keislamanya dengan kuat kepada seluruh orang kafir Quraisy sehinggakan orang kafir Quraisy memusuhinya.

Kedua, sanggup mempertaruhkan nyawa kerana mempertahankan kesucian Aqidah.
Selepas sahaja beliau serta keluarganya mengumumkan pengislamannya maka Bani Makhzum mengarahkan beliau ditangkap dan disiksa agar Sumayyah serta keluarganya murtad dari agama islam.Mereka memaksa dengan cara menyeret mereka ke padang pasir tatkala cuaca sangat panas dan menyengat. Mereka membuang Sumayyah ke sebuah tempat dan menaburinya dengan pasir yang sangat panas, kemudian meletakkan diatas dadanya sebongkah batu yang berat, akan tetapi tiada terdengar rintihan ataupun ratapan melainkan ucapan Ahad….Ahad...yang diucapkan beliau.

Ketiga, memberi contoh yang baik dalam memperjuangkan agama Islam.
Tatkala para Thaghut telah berputus asa mendengar ucapan yang senantiasa diulang-ulang oleh Sumayyah maka musuh Allah, Abu jahal melampiaskan keberangannya kepada Sumayyah dengan menusukkannya sangkur yang berada dalam genggamannya ke tubuhnya. Maka terbanglah nyawa beliau dari raganya yang beriman dan bersih. Dan beliau adalah wanita pertama yang syahid dalam Islam. Beliau gugur setelah memberikan contoh yang baik dan mulia bagi kita dalam hal keberanian dan keimanan, yang mana beliau telah berkorban dan redhakan segala apa yang beliau miliki, dan menganggap remeh kematian dalam rangka memperjuangkan imannya. Beliau telah mengorbankan nyawanya yang mahal dalam tujuan meraih keredhaan Rabbnya.

Selamat menyambut Aidil Adha kepada semua saudara-saudara dan para sahabat pengunjung selasar yang terpencil ini.



05 Julai 2013

Jejak Ulamak - Kelahiran Sheikh Ahmad Al-Fathani rahmat bagi umat Islam

Dengan teliti Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani mencatat tahun-tahun kelahiran orang-orang dalam lingkungannya dan tahun kelahiran beliau sendiri. Tentang ayah dan ibunya tercatat, "Diperanakkan bapak kita Wan Muhammad Zain pada tahun seribu dua ratus tiga puluh tiga (1233) daripada hijrah, iaitu pada tahun harimau dengan bahasa Melayu, pada hari Sabtu qablaz zawal pada hari yang delapan yang bulan kedelapan daripada bulan Melayu. Diperanakkan mak kita Wan Cik pada seribu dua ratus empat puluh satu (1241) daripada hijrah.1241- peranakkan ibu kita

1233- peranakkan bapak kita

.....8- kurang umur ibu kita daripada bapak kita."

Tentang tahun kelahiran beliau sendiri, tertulis dalam kitabnya Hadiqatul Azhar war Rayahin, halaman 178-179,cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1321 H, tetapi tidak termaktub dalam cetakan yang pertama, oleh percetakan yang sama tahun 1307H.

Menurut beliau, "Diperanakkan Ahmad bin Muhammad bin Mushthafa bin Muhammad al-Fathani pada malam Jumaat waktu jendera budak, lima hari bulan Syaaban daripada tahun 1272, tahun ular besar pada bulan lima daripadanya dengan istilah Siam, pada hari yang keenam pada istilah Melayu. Dan tempat beranaknya pada Kampung Jambu negeri Jerim daripada Fathani. Dan mansya'nya pada Kampung Jambu itu, dan pada Kampung Sena Janjar".

Jika dihisab tahun kelahiran itu maka bersamaan dengan 10 April 1856 Masihi. Tahun kelahirannya itu bersamaan dengan mangkatnya Sultan Muhammad Raja Patani (1856 M) dan dengan kehendak Raja Siam telah mengangkat putera beliau bernama Tengku Putih sebagai Raja Patani. Dalam tahun 1856 M itu pula perdagangan di Fathani Darus Salam kembali ramai dan banyak bangsa asing datang sebagai pedagang, tetapi yang teramai adalah bangsa Cina.

Latar belakang dari kemewahan yang mulai tumbuh di Fathani Darus Salam yang tidak merdeka itu mengakibatkan mulai menurunnya intelektual Islam dalam negeri Fathani Darus Salam. Namun Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai intelektual Islam yang agung bukanlah mendapat pendidikan Islam dalam negeri beliau sendiri yang telah dikuasai oleh bangsa kafir itu.

Berbagai-bagai cerita tentang kelahiran Ahmad al-Fathani yang kadang-kadang di sana sini dihiasi dengan mitos yang menarik yang sukar diterima oleh akal yang jernih.

Barangkali tidaklah celanya dalam artikel ini dimuat juga tentang cerita-cerita itu. Seperti yang dikisahkan oleh seorang tuan guru pondok bernama Haji Wan Husein, seorang bekas Tok Guru Pondok di Yala, katanya: "Setelah ulama-ulama Patani banyak mati dibunuh oleh Siam, ada pula yang ditangkap dan dilokap di Bangkok, pada satu malam Panglima Wan Pa bertemu dengan lailatul qadar di perigi Bendang Daya. Malam itu Panglima Wan Pa berdoa agar dari keturunannya ada yang menjadi ahli ilmu untuk menggantikan para ulama Patani yang telah hampir habis. Dipendekkan kisah, bahawa anaknya Muhammad Zain pun berkahwin.

" Tidak berapa lama dia kahwin hamillah isterinya. Ketika hampir cukup bulan kandungannya maka pada satu malam Jumaat, kemudian malam Jumaat lagi, kemudian malam Jumaat lagi jadi tiga kali malam Jumaat secara berturut-turut ibunya Wan Cik bermimpi; bahawa dia melihat isi ubi bertimbun-timbun. Dengan serta merta semuanya pecah berderai. Di mana saja tempat berderainya itu lalu tumbuh menjadi ubi yang baru pula. Oleh sebab mimpi berturut-turut tiga kali serupa dan malam Jumaat pula maka mimpi itu dicari takbirnya kepada alim ulama yang telah mencapai darjat Wali Allah. Akan takbirnya bahawa anak yang dikandung itu akan membawa rahmat, ahli ilmu. Ilmu yang berasal daripadanya akan berkembang lagi. Di mana saja muridnya pergi maka dapat menyebarkan ilmu yang berasal daripadanya. Maklumlah Panglima Wan Pa bahawa doanya telah dikabulkan Allah. Tiba-tiba malam Jumaat yang keempat lahirlah anak yang dikandung itu, yang penuh dengan keanehan. Anak itu diberi nama Ahmad".

Riwayat hidupnya di zaman kanak-kanakAhmad al-Fathani dilahirkan di Kampung Sena Janjar, iaitu sebuah kampung yang ditanam pohon Sena oleh Panglima Wan Pa dengan berbaris-baris melingkari kampung itu. Dari Kampung Sena Janjar itu banyak mengeluarkan ulama sejak masa dahulu, dan Ahmad bergaul menurut tradisi agama Islam yang berkembang di Kampung Sena Janjar itu.

Sejak kecil lagi, kira-kira baru berumur dua tahun, beliau sudah dilatih menghafal pelbagai matan. Menurut ukuran biasa setelah berumur enam atau tujuh tahun baru dilatih dengan demikian itu.

Namun Ahmad al-Fathani tidak mengikut tatacara yang berlaku, kerana ayah dan datuknya tahu benar tabiat Ahmad yang memang sejak lahir selalu tidak sama dengan kebiasaan yang ada pada kanak-kanak lainnya.

Pembawaannya sejak kecil selalu menyendiri diri dari masyarakat ramai. Beliau bertahan duduk di tempat sunyi sepi berminggu-minggu, bahkan kadang-kadang berbulan-bulan untuk menenangkan fikiran, mengingat-ingat hafalan matan yang telah diberikan oleh orang tuanya.

Sekitar empat tahun umurnya, dia mengikut ayah dan ibunya pindah ke Mekah. Ketika di Mekah, dia tidak menampakkan diri sebagai seorang anak yang rajin belajar. Ini kerana dia belajar secara sembunyi-sembunyi, tanpa pengetahuan kedua-duanya.

Ini menyebabkan kedua-dua orang tuanya mulai gelisah, kerana jika hal demikian berlaku terus menerus akan yang mengakibatkan gagal semua cita-cita beliau, yang ingin supaya anaknya itu menjadi seorang yang termasyhur dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Akan tetapi kedua-dua orang tuanya berasa lega dan hairan juga kerana apa yang ditanyakan kepada anaknya tetap dapat menjawab dan hafalannya luar biasa, kerana menghafal pelbagai matan yang melebihi daripada teman-temannya yang lain.

Menurut kitab Nasyrun Naur waz Zahar (mukhtasar), karya Sheikh Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani ke Mekah berusia enam tahun, dan beliau adalah seorang hafiz al-Quran dan juga beberapa kitab matan.

Di kalangan keluarga Patani dan Kelantan yang berada di Mekah ketika itu mempercayai bahawa Ahmad telah mendapat ilmu ladunni. Hal tersebut lebih menonjol setelah dia berumur 12 tahun.

Dalam usia yang demikian muda, dia telah mengajar ilmu tatabahasa Arab (ilmu nahwu sharaf, dan lain-lain) kepada orang tua-tua yang telah puluhan tahun belajar.

Ketika kecil itu, Ahmad selalu bersahabat dengan temannya bernama Ahmad Dahlan yang berasal dari Jawa. Ahmad Dahlan adalah seorang anak yang sangat rajin belajar dan menghafal. Pada satu hari terlepaslah kata-kata dari ayahnya, Sheikh Muhammad Zain, "Ahmad, mu malas belajar nanti mu aku beri air kencing kawanmu Ahmad Dahlan".

Kata-kata itu sangat berkesan bagi Ahmad al-Fathani, maka bertekadlah ia meninggalkan Mekah untuk mencari ilmu pengetahuan. Tujuan pertamanya adalah ke Baitulmaqdis.

Belajar di BaitulmaqdisDi Baitulmaqdis, dia telah belajar ilmu kedoktoran/ilmu tabib. Menurut riwayat bahawa Syeikh Ahmad al-Fathanilah orang Melayu yang pertama sekali mahir ilmu tabib dan mendapat pendidikan khas di bidang itu yang berlainan dengan tabib-tabib tradisional di dunia Melayu. Sebagai bukti dari cerita ini dapat kita telaah dengan saksama melalui kitabnya berjudul Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan.

Sekitar dua tahun lamanya dia menetap di Baitulmaqdis, dia kembali ke Mekah. Dalam masa dua tahun itu pula beliau sempat belajar ilmu-ilmu yang lain, selain ilmu yang disebutkan tersebut, terutama ilmu-ilmu agama. Tentunya beliau telah belajar kepada ulama-ulama di Baitulmaqdis itu.

Selama di Baitulmaqdis beliau bersahabat dengan Saiyid Yusuf an-Nahbani, seorang pengarang pelbagai kitab, di antaranya Al-Anwarul Muhammadiyah yang terkenal itu.

Setelah beliau kembali ke Mekah, maka terkejutlah kedua-dua orang tuanya kerana dalam amalannya sehari-hari, tidak menampakkan bahawa anak yang dikasihinya itu sebagai seorang ulama.

Dilihatnya hanyalah mahir dalam membuat berjenis-jenis ubat seumpamanya makjun dan yang sejenisnya. Sekali lagi ayahnya memaksanya supaya memperdalam pengetahuan agama Islam sebagaimana ulama-ulama tua-tua Fathani Darussalam zaman lampau, antaranya seperti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Berhijrah ke MesirMulai saat itu, bertekad pula Sheikh Ahmad al-Fathani meninggalkan Mekah. Tujuannya adalah ke Mesir kerana diketahuinya bahawa Mesir merupakan pusat ilmu pengetahuan keislaman dengan kemegahan Al-Azharnya, yang menurut beliau memakai istilah Masjid Jami' Al-Azhar.

Sewaktu beliau akan berangkat meninggalkan Mekah, keluarlah kata-kata beliau di hadapan kedua-dua orang tuanya dan juga di hadapan keluarga-keluarganya, bahawa beliau tidak akan berpakaian lebih daripada sehelai dan tidak akan memakai serban yang berekor panjang sebelum menjadi seorang ulama besar yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu.

Maka berangkatlah ia ke Mesir dengan penuh tekad dan tawakal tanpa membawa wang yang banyak. Tidak akan berlebihan kalau diceritakan di sini bahawa beliau ke Mesir tidak menaiki kenderaan berupa apa pun. Pemergian semua ditempuh dengan berjalan kaki dan berenang di Sungai Nil dengan menjunjung sebuah kitab suci al-Quran di kepalanya.

Selama belajar di Mesir, beliau memang benar-benar mempunyai sehelai baju yang berwarna putih, sehelai serban dan sehelai kain untuk bersalin. Bajunya itu dicuci setiap dua hari sekali. Hingga beliau selesai belajar di Masjid Jami' Al-Azhar, baju itu juga yang dipakai dibawa ke Mekah yang banyak tampalannya.

Diriwayatkan bahawa selama belajar itu beliau tidak lebih dari makan roti yang dibelah empat untuk setiap harinya. Seperempat untuk makan siang, seperempat pula untuk makan malam, dan separuhnya disedekahkan kepada pelajar-pelajar yang tidak mempunyai suatu apa pun seperti beliau.

Ada pun roti itu beliau peroleh hasil sedekah daripada murid-muridnya di Mesir, kerana beliau juga mengajar walaupun masih belajar. Sekali-sekali beliau juga dapat sedekah pisang embun daripada beberapa orang hartawan.

Sheikh Ahmad al-Fathani adalah orang yang pertama yang berasal dari Asia Tenggara yang belajar di Mesir. Menurut kitab Nasyrun Naur waz Zahar lagi menyebut bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani tinggal di Mesir selama tujuh tahun, di sana juga beliau bekerja sebagai pentashih kitab-kitab.

Setelah beliau tamat belajar di Mesir, lalu mengajar di Mekah, ketika itulah para murid dan kadernya beliau suruh pula melanjutkan pelajaran ke Mesir.

PenutupKelahiran Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani adalah merupakan matahari terbit setelah kegelapan malam, bahawa adalah cahaya terang bagi warga Fathani Darus Salam, kerana beliau dapat dikenali hingga di peringkat antarabangsa.

Beliau dikenali bukan hanya dalam bidang sempit sebagai seorang ulama Islam tradisional sahaja, bahkan dalam bidang luas dengan pelbagai bidang yang bersifat umum. Bahkan beliau sebagai pembangkit gerakan politik sekalian ulama di dunia Melayu/Asia Tenggara.

Sumber asal:
bicara agama UTUSAN MALAYSIA 2008
KOLEKSI TULISAN ASAL ALLAHYARHAM USTAZ WAN MOHD SHAGHIR ABDULLAH




03 Februari 2012

Jejak Ulamak : Sheikh Daud Abdullah al Fathani


Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani adalah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fathani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin. Beliau mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani.

Menurut catatan koleksi Allahyarham Tuan Guru Wan Mohd Shaghir Abdullah bahawa Syeikh Daud al-Fathani adalah keturunan Faqih Ali. Rujukan asal yang mengatakan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Faqih Ali diperolehi tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: “Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.



“Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H.

“Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”.


Syeikh Daud al-Fathani dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur.

Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.


Ilmu pengetahuan
Ayah Sheikh Daud iaitu Sheikh Wan Abdullah dan datuknya Sheikh Wan Idris adalah ulama besar untuk zamannya. Sejak kecil Sheikh Daud al-Fathani ditanam dan dididik dengan ajaran Islam oleh datuk dan ayahnya.

Tambahan pula menjadi tradisi zaman itu di Patani sentiasa diperkenalkan Islam sejak kanak-kanak lagi. Anak-anak yang berumur lima atau enam tahun dipaksa supaya menghafal pengetahuan mengenal Allah (ilmu tauhid), dan seterusnya diberi pelajaran nahwu dan sharaf juga secara menghafal. Syeikh Daud al-Fathani telah melalui kesemua sistem pendidikan tradisional yang ada di Patani pada ketika itu.

Pada peringkat awalnya Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin.
Ada yang berpendapat bahawa Sheikh Daud al-Fathani menerima pelajaran asasnya di Patani selama lima tahun, kemudian ke Aceh belajar dengan Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi selama dua tahun. Sheikh Muhammad Zain al-Asyi adalah seorang ulama terkemuka di Kesultanan Aceh.

Namun yang dapat dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani dan kawan-kawannya telah belajar di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah. Disebabkan masa belajar yang lama itu beliau digelar al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani.

Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di negeri tumpah darah sendiri. Namun timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu. Diriwayatkan bahawa beliau melibatkan diri dalam peperangan itu, terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah.

Apabila terjadi peperangan tersebut, akhirnya beliau kembali ke Mekah bersama-sama beberapa pelarian politik. Sampai di Mekah, beliau dilantik menjadi Ketua Sheikh Haji dan beliau adalah orang pertama dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dengan penulisan yang merupakan hobi beliau, di samping mengajar di Masjidil Haram. Karangannya dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Karangan beliau dalam bahasa Arab tidak banyak tersebar di Asia Tenggara. Adapun dengan bahasa Melayu tersebar secara meluas, walaupun di zamannya masih merupakan kitab tulisan tangan sahaja kerana belum ada yang bercetak.

Dalam beberapa karyanya, beliau mengupas masalah-masalah keilmuan. Antara lain tulisan beliau: Maka lazimkan olehmu hai saudaraku dengan menuntut ilmu yang fardu ain yang wajib atasmu. Belajar akan dia pada syarak supaya engkau dapat sahkan iktikad kamu dan ibadat kamu. Dan supaya sejahtera daripada seksanya. Dan supaya engkau akan dapat pahala, keredaan dan kasihnya”.

Pada mukadimah karyanya Bughyatuth Thullab, beliau menulis, ertinya “Dan adapun kemudian daripada itu maka bahawasanya beberapa nafas yang cerdik-cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi-tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak.

Beliau juga membuat penafsiran dalam beberapa hadis. Antaranya hadis berikut, “Sedikit Fiqhi itu lebih baik daripada banyak ibadat” yang ertinya: “Barang siapa belajar ilmu dan tiada berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t., tiada kerana-Nya melainkan supaya mengena dengan dia akan kehendaknya daripada dunia tiada akan bilik syurga yang ke atas pada hari kiamat”.

Beliau mengulas tentang hadis-hadis tersebut dalam Bughyatuth Thullab seperti berikut: “Maka dapat difahami hadis ini, tiada dipuji daripada kelebihan ilmu itu melainkan jikalau ada qasadnya dan tuntutnya itu berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t. dan berkehendak ia mengeluarkan dirinya daripada kelam kabut jahilnya kepada Nur ilmu.

“Maka jika ada qasadnya akan dunia seperti harta atau kebesaran atau gelaran atau kemegahan atau masyhur atau melengkapi muka manusia kepadanya dan lainnya maka iaitu dicela seperti barang yang tersebut pada hadis itu”.

Menurut beliau lagi: “Maka tatkala adalah kelebihan ilmu demikian itu maka sebenarnya bahawa tiap-tiap orang yang kasih bagi dirinya kebajikan maka hendaklah ia ijtihad atas qadar kuasa pada menghasilkan dia, kadang-kadang mengaji, kadang-kadang mengajar, kadang-kadang menunjukkan orang yang jahil satu bab daripada masalah memberi manfaat pada agama istimewa pula jikalau lebih lagi”.

Daripada kalimat-kalimat beliau itu dapatlah kita fahami bahawa seseorang Islam yang bertanggungjawab adalah terlebih dahulu memberikan pendidikan agama Islam kepada anak-anaknya. Ini adalah merupakan kewajipan agama Islam.

Adapun pendapat Sheikh Daud al-Fathani bahkan ulama-ulama di zaman lampau lebih terikat dan menitikberatkan pendidikan Islam berbanding pendidikan lainnya. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi faham dua kalimah syahadat, wajib taharah (bersuci), solat, puasa, hukum zakat, hukum berjual-beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam.

Sheikh Daud al-Fathani dalam Bughyatuth Thullab berkata: “Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk belok tentang keIslaman, maka seseorang itu tetap masih jahil, walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa”.

Salasilah keilmuan Syeikh Daud al-Fathani

SETELAH selesai membicarakan salasilah Sheikh Daud al-Fathani mengenai asal-usul keturunannya, pendidikannya dan kewafatannya, maka penulis bicarakan pula tentang guru-guru dan murid-muridnya. Sheikh Daud al-Fathani belajar daripada ramai guru-guru dalam pelbagai bidang. Beliau juga menurunkan ramai murid-murid yang menjadi ulama dan tokoh terkenal di Alam Melayu.

Guru-gurunya

Dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani mendapat pendidikan dasar keislaman dimulai dari lingkungan keluarga sendiri. Ayah dan datuknya adalah ulama besar yang bertanggungjawab dalam pendidikannya.Ada orang meriwayatkan bahawa Sheikh Daud al-Fathani pernah belajar di Aceh sekitar dua tahun. Dalam manuskrip nombor 486 yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia (Kuala Lumpur) ada menyebut bahawa Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani mengambil ijazah muqaranah daripada Sheikh Muhammad Zain Aceh. Bererti tentunya Sheikh Daud al-Fathani juga belajar dengan Sheikh Muhammad Zain. Sheikh Muhammad Zain adalah penyusun kitab Bidayat al-Hidayat, Kasyf al-Kiram dan lain-lain. Nama pada kitab karya-karyanya ialah Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi.

Ketika melanjutkan pelajarannya di Mekah, Sheikh Daud al-Fathani mendekati para ulama Patani yang telah bermastautin di Mekah. Di antara ulama Patani yang telah diiktiraf dan dibolehkan mengajar di Masjidil Haram ialah Sheikh Muhammad Shaleh bin Abdur Rahman al-Fathani. Beliau adalah seorang tokoh ulama Ahli Syari'at dan Haqiqat yang lebih banyak terjun ke dunia kesufian. Kepadanya Sheikh Daud al-Fathani banyak memperoleh ilmu terutamanya ilmu kesufian.

Membai’ah


Dalam salasilah berasal dari tulisan Sheikh Ismail bin Abdul Lathif Pontianak (lebih dikenali dengan nama Haji Ismail Jabal) yang salasilah itu sekarang ada pada salah seorang muridnya seorang ulama Pontianak bernama Haji Abdur Rani Mahmud, bahawa Sheikh Daud al-Fathani belajar kepada Sheikh Ali bin Ishaq pada bidang Tarekat Samaniyah. Akan tetapi pada bidang Thariqat Syathariyah pula adalah sebaliknya, iaitu Sheikh Daud al-Fathani telah membai'ah Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani. Jadi bererti Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani adalah murid Sheikh Daud al-Fathani, bukan guru beliau.Daripada dua sumber yang bertentangan itu, penulis (Haji Wan Mohd Shaghir - HWMS) berpendapat bahawa sebelum Sheikh Daud al-Fathani menjadi seorang ulama besar, mungkin saja beliau belajar kepada Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani. Riwayat yang lain pula dikatakan bahawa Sheikh Daud al-Fathani belajar langsung kepada Sheikh Muhammad bin Abdul Karim Samman al-Madani penegak/pelopor Tarekat Samaniyah.

Tentang ia belajar kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman itu telah penulis (HWMS) bicarakan dalam buku penulis (HWMS) berjudul Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani, juga buku penulis berjudul Perkembangan Ilmu Fiqhi dan Tokoh-tokohnya di Asia Tenggara. Berkemungkinan kerana Sheikh Daud al-Fathani yang termuda, lebih muda pula dari sahabatnya Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani, maka beliau merasa perlu mendapat didikan dan bimbingan dari yang lebih tua.

Namun Sheikh Daud al-Fathani belajar terus secara rutin sehingga ia menjadi seorang yang berkebolehan dalam banyak bidang, maka tidak mustahil sahabatnya yang jauh lebih tua daripadanya kembali belajar kepadanya. Kejadian seperti tersebut ini adalah lumrah dalam dunia pendidikan.Sheikh Daud al-Fathani memang memang belajar kepada banyak guru. Berbagai aliran mazhab dan aliran iktikad dan kepercayaan yang dipelajari.

Pegangan tetapnya tidak berganjak menurut tradisi nenek moyangnya iaitu Mazhab Syafi’e dalam Fiqh dan mengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam iktikad. Beliau tetap tidak berani mengambil jalan keluar supaya dalam Islam ini mesti melepaskan diri dari Mazhab Syafie ataupun tidak mengikat diri dari fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah walaupun pengetahuan beliau dalam segala bidang sangat mendalam.

Pengetahuannya yang menyeluruh lengkap bukan hanya di bidang Islam sahaja, tetapi termasuk pengetahuan umum dan pengetahuan duniawinya. Ilmu kedoktoran, dikuasainya juga ilmu kedoktoran walaupun beliau tidak menjadi seorang doktor. Beliau juga mendalami ilmu hisab dan ilmu falak.

Sungguhpun beliau bukan seorang ahli politik, tetapi beliau bukanlah seorang yang mudah dipengaruhi oleh ideologi politik yang menang di zamannya. Beliau tetap merupakan seorang ulama yang berideologi Islam sebagai dasar negara. Secara asasnya, tentang teori dan praktik zikir dalam Tarekat Syathariyah Sheikh Daud al-Fathani telah menerima bai’ah dari Sheikh Mursyidnya, yang diakui sebagai ulama Sufi yang 'Arif Billah iaitu Sheikh Muhammad As’ad. Salasilah mengenai Tarekat Syathariyah ini secara lengkapnya ada disebutkan di dalam naskhah tulisan tangan beliau sendiri iaitu Kaifiyat Khatam Quran.

Mengenai salasilah Tarekat Samaniyah mulai dari Sheikh Daud al-Fathani yang diikuti Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani, Sheikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, Sheikh Abul Hasan dan Maulana Sheikh Hasib mungkin hidup segenerasi dan dapat menemui Sheikh Muhammad Karim Saman secara langsung. Ada pun tentang penerimaan bai’ah tarekat boleh saja dibai’ah oleh murid yang lebih tinggi darjatnya atau lebih tua umurnya dengan syarat ada pelantikan Sheikh Mursyid sebagai khalifahnya. Salasilah lengkap Tarekat Samaniyah Sheikh Daud al-Fathani ini tertulis dalam kitab Siyarus Salikin karangan Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani.Adapun mengenai sanad Ilmu Tauhid/Usuluddin hingga sampai kepada al-Imam Abul Hasan al-Asy’ari, keterangannya adalah sebagai yang berikut.

Bahawa Sheikh Daud al-Fathani masih sempat menemui tahun-tahun kehidupan seorang ulama besar Mazhab Syafi’e yang menjadi Mahaguru di Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir, yang terkenal dengan sebutan Imam Syarqawi (1150 H- 1227 H). Ulama mazhab Syafie itu banyak murid-muridnya. Seorang di antaranya bernama Sheikh Muhammad bin Ali as-Syanwani yang sangat popular dengan Imam as-Syanwani saja.

Bahawa beliau adalah sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Tarekat Syazaliyah, dari versi lain mengenai Ilmu Usuluddin ini, terkenal lagi dengan nama seorang Imam besar yang disebut Imam Abu Manshur al-Maturidi. Bahkan salasilah Sheikh Daud al-Fathani sampai kepada imam besar tersebut. Salasilah lengkap mengenai sanad Ilmu Tauhid/Usuluddin daripada kedua-dua Imam besar yang disebutkan di atas tidak disentuh, tetapi telah disebut dalam buku berjudul Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara.Pertalian salasilah Tarekat Syazaliyah adalah sebagai berikut iaitu Sheikh Wan Daud bin Abdullah al-Fathani belajar kepada Sheikh Muhammad Saleh bin Ibrahim, ketua Mazhab Syafi’e di Mekah (wafat pada 1226 H) dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan termasuk Tarekat Syazaliyah.

Susunan salasilah lengkapnya tidak penulis senaraikan, tetapi disebut juga dalam buku berjudul Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara.Sebilangan besar pula pernah penulis bicarakan mengenai riwayat hidup mereka sama ada dalam artikel ini mahupun buku-buku tulisan penulis sendiri. 

Ketokohan Sheikh Daud al-Fathani dalam bidang fiqh diperakui oleh semua ulama di Asia Tenggara yang memahami dan mengkaji sejarah Islam di rantau ini. Demikian juga ketokohannya dalam bidang usuluddin, tauhid dan ilmu kalam yang kiranya tidak perlu dijelaskan lagi. 


Ketokohan Dalam Bidang Tasauf dan Tarekat
Ketokohan beliau dalam bidang tasauf serba ringkas telah disentuh penulis (HWMS) sebelum ini. Juga dibicarakan dengan mendalam dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Tasauf (Jilid 1). Namun begitu, masih belum dianggap lengkap dan sempurna sekiranya tidak dibicarakan ketokohannya dalam orde Tarekat Syathariyah, yang mana adalah salah seorang Sheikh Mursyid Kamil Mukammilnya.

Setahu penulis (HWMS) bahawa di Asia Tenggara tercatat dua orang sahaja ulama tokoh besar orde tarekat ini yang terkenal. Mereka ialah Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri dan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Murid Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri bernama Sheikh Burhanuddin Ulakan menyebarkan Tarekat Syathariyah itu ke Pariaman, Minangkabau.

Bahawa pada suatu masa dahulu tarekat ini pernah memegang peranan yang terpenting dalam dakwah Islamiah di Asia Tenggara. Bahkan ia adalah satu orde tarekat yang terbesar pengikutnya di Asia Tenggara sebelum masuknya Tarekat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah.

Syathariyah berkembang di Pulau Jawa, yang terbesar pengikutnya di Cirebon, Jawa Barat. Penyebarnya yang terkenal ialah Sheikh Abdul Muhyi Pamijahan, murid Sheikh Abdul Rauf al-Fansuri iaitu Sheikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu, Sheikh Yusuf Tajul Khalwati, semuanya adalah murid Sheikh Abdur Rahman al-Fansuri.

Di mana sahaja Tarekat Syathariyah dikembangkan di zaman mutakhir iaitu dimulai akhir abad ke 18 hingga ke abad ini, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetap dikenal dan disebut namanya.

Salah seorang muridnya mengenai Tarekat ini seumpama Sheikh Zainuddin Sumbawa. Nama sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani lebih bersemi di hati umat Islam pengikut Tarekat Syathariyah di negeri-negeri di Alam Melayu, bahkan sampai-sampai ke Campa dan Burma. Salasilah tarekat ini di Asia Tenggara ini banyak bersambung dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Daripada Sheikh Daud al-Fathani dikenal pula ulama besar yang berasal dari Patani sebagai khalifah-khalifah Mursyid Tarekat Syathariyah seperti Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani, Sheikh Ismail bin Abdul Qadir bin Mustafa al-Fatani dan lain-lain.

Kewafatan

Sheikh Daud al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

Menurut cerita ibu penulis Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, beliau mendengar daripada ibunya, Hajah Wan Siti Saudah binti Abdullah bahawa jenazah beliau telah dipindahkan oleh Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani ke Mekah, ditanam di bawah pohon Bedara di rumahnya.Hal ini disebabkan pada zaman itu pihak Wahabi akan membongkar semua kubur yang dikeramatkan termasuk kubur Sheikh Daud al-Fathani.

 Bagi penulis (HWMS), walaupun beliau telah lama meninggal dunia namun jenazahnya tidak hancur, darah masih berjalan kecuali nafas sahaja yang tiada. 


al Fatihah!

Sumber dan rujukan:
Koleksi tulisan Allahyarham Tuan Guru Wan Mohd. Shaghir Abdullah - Khazanah Fathaniyah



22 April 2011

Jejak Ulamak - Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari

Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dilahirkan pada 15 Safar 1122 Hijrah bersamaan 17 Mac 1710 Masihi di Kampung Lok Gabang, Martapura, Banjarmasin. Bapanya ‘Abdullah merupakan seorang pemuda yang dikasihi sultan (Sultan Hamidullah atau Tahmidullah bin Sultan Tahlilullah 1700-1734M). Bapanya bukan asal orang Banjar, tetapi datang dari India, mengembara untuk menyebarkan dakwah. Beliau seorang ahli seni ukiran kayu.

Semasa ibunya hamil, kedua ibu bapanya sering berdoa agar dapat melahirkan anak yang ‘alim dan zuhud. Setelah lahir, ibubapanya mendidik dengan penuh kasih sayang setelah mendapat anak sulung yang dinanti-nantikan ini. Beliau dididik dengan dendangan Asmaul-husna, di samping berdoa kepada Allah. Setelah itu diberi pendidikan Al-Quran kepadanya. Kemudian barulah menyusul kelahiran adik-adiknya iaitu 'Abidin, Zainal Abidin, Nurmein, dan Nurul Amien.


Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari Semasa Kecil
Sejak kecil, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari kelihatan cergas dan cerdas serta mempunyai akhlak yang baik dan terpuji.
Kehebatan beliau sejak kecil ialah dalam bidang seni lukis dan seni tulis, sehingga sesiapa sahaja yang melihat karyanya akan berasa kagum dan terpukau. Pada suatu hari, sultan mengadakan kunjungan ke kampung-kampung. Apabila baginda sultan sampai ke kampung Lok Gabang, baginda berkesempatan melihat hasil karya lukisan Muhammad Arsyad yang indah lagi memukau hati itu. Justeru, sultan berhajat untuk memelihara dan mendidik Muhammad Arsyad yang tatkala itu baru berusia 7 tahun.
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari mendapat pendidikan penuh di istana sehingga usianya mencapai 30 tahun. Kemudian, beliau dikahwinkan dengan seorang perempuan yang solehah bernama Tuan Bajut. Hasil perkahwinan, beliau memperoleh seorang puteri yang diberi nama Syarifah.

Syeikh Muhammad Arsyad telah meneruskan pengembaraan ilmunya di Makkah dan Madinah. Segala perbelanjaannya ditanggung oleh Sultan Tamjidillah (1745-1778M) dan pengganti baginda Sultan Tahmidillah (1778-1808M). Selama belajar di Makkah, Syeikh Muhammad Arsyad tinggal di sebuah rumah yang dibeli oleh Sultan Banjar yang terletak di kampung Samiyyah iaitu dikenali sebagai Barhat Banjar.

Syeikh Muhammad Arsyad AI-Banjari Semasa Di Makkah Dan Madinah

Semasa di Makkah, Syeikh Muhammad Arsyad belajar dengan tekun di Masjidil Haram dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau berguru dengan ulama'-ulama' terkenal pada masa itu seperti Syeikh Ataillah Bin Ahmad al-Misriy, Syeikh Muhammad Bin Sulaiman al-Kurdiy, Syeikh Muhammad Bin Abd Karim al-Qadiri, Syeikh Ahmad Bin Abd Mun'im al-Damanhuri, Syeikh Hasan Bin Ahmad 'Akisy al-Yamani, Sheikh Salim Bin Abdullah al Basri dan banyak lagi.

Sahabat-sahabat Syeikh Muhammad Arsyad merupakan golongan pencinta kepada ilmu pengetahuan sehingga setiap pertemuan yang merupakan majlis ilmu, mereka saling bermuzakarah bersama-sama. Antara sahabat beliau ialah: Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, Syeikh Abdul Rahman Mesri, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Abdul Wahab Sadengreng (Bugis), dan Syeikh Muhammad Salih bin Umar al-Samarani atau 'Semarang' .

Untuk menambah ilmu, Syeikh Muhammad Arsyad bersama sahabatnya ingin merantau pula ke Mesir. Namun, setelah bersiap untuk berangkat, mereka mendapat khabar bahawa ulama' besar Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bin Sulaiman al- Kurdie datang ke Madinah. Lantas beliau bersama sahabat pergi ke Madinah untuk berguru dengan syeikh tersebut.

Pulang Ke Tanah Air

Setelah berada selama 30 tahun di Makkah dan lima tahun di Madinah, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari pulang ke tanah air untuk menyebarkan Islam. Setibanya beliau ke kampung halaman, beliau membuka pusat-pusat pengajian untuk memudahkan masyarakat Islam menimba ilmu pengetahuan.

Selain itu, Syeikh Muhammad Arsyad turut membiasakan diri bersama orang kampung berkebun, bersawah, dan bertani. Di samping aktif mengajar dan mendidik masyarakat Islam yang datang dari pelbagai pelosok daerah, beliau turut turun berdakwah ke segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada rakyat biasa
hinggalah kepada golongan pembesar dan bangsawan. Dalam menyampaikan dakwah, Syeikh Muhammad Arsyad  menggunakan pelbagai kaedah pendekatan iaitu Dakwah bil Hal (dakwah yang menggunakan pendekatan contoh dan akhlak yang dipamerkan oleh beliau), Dakwah bil Lisan (dakwah dengan menggunakan pendekatan lidah iaitu mengajak dan menyeru) dan Dakwah bil Kitabah (dakwah dengan menggunakan pendekatan penulisan buku dan risalah).

Karya-karya Syeikh Muhammad Arsyad AI-Banjari

1. Kitab Usuluddin - Ditulis pada 1188H (1774 M), ditulis dalam bahasa Melayu, yang memuatkan masalah tauhid dan keimanan. Risalah ini belum pernah dicetak.
2. Luqthatul 'AjIan fi Bayan Haid wa istihadhati wa nifas al-Niswan - Iaitu kitab yang mengupas mengenai masalah haid, istihadhah, dan nifas. Isi kitab ini terdiri daripada muqaddimah, 15 fasal, dan penutup. Dicetak pada tahun 1992 di Indonesia. Dalam kitab ini dinyatakan bahawa wajib hukumnya bagi perempuan belajar masalah haid, istihadhah, dan nifas. Jika suami orang berilmu, dia wajib mengajar isterinya; jika sebaliknya, dia wajib memberi keizinan kepada isterinya untuk belajar mengenainya.
3. Kitab Tuhfat al-Raghibin - Ditulis pada 1188H (1774M). Pernah diterbitkan di Mesir pada 1353H. Kitab ini membincangkan masalah tauhid iaitu penjelasan tentang hakikat iman, perkara-perkara yang boleh merosakkan iman, tanda seseorang menjadi murtad, dan sebagainya. Kitab ini terdiri daripada muqaddimah, tiga fasal, dan penutup.
4. Kitab al-Qawl al-Mukhtasar fi 'Alamat alMahdi al-Muntazar - Kitab ini mula dikarang pada tahun 1196H. Mengandungi perbahasan tentang tanda-tanda kiamat seperti Imam Mahdi, Dajjal, turunnya Nabi Isa, terbit matahari sebelah barat. Ditulis dalarn tulisan jawi dan pernah dicetak di Singapura tahun 1356H (1937M).
5. Kitab Ilmu Falak - Kitab ini ditulis dalam bahasa Arab. Penulisannya mernuatkan kaedah bila terjadinya gerhana matahari dan bulan. Walau bagaimanapun kitab ini belum sempat dicetak.
6. Kitab al-Nikah - Kitab ini menerangkan tentang pengertian wali dan kaedah melaksanakan akad nikah berdasarkan apa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Kitab ini pernah diterbitkan di Istanbul pada 1304H.
7. Kitab Kanzul Ma'rifah - Kitab ini berkaitan dengan ilmu tasawuf serta penjelasan mengenai hakikat mengenal diri untuk mencapai makrifat kepada Allah. Isi kandungannya ditulis dalam bahasa Melayu dan belum dicetak.
8. Kitab Sabil al-Muhtadin - Inilah kitab beliau yang paling masyhur. Kemasyhuran kitab ini akhirnya menjadi khazanah di beberapa perpustakaan besar iaitu di Makkah, Mesir, Turki, dan Beirut. Kitab ini amat popular di Nusantara yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja, dan Brunei.

Karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang paling terkenal ini merupakan kitab fiqh Melayu yang tersebar luas di seluruh alam Melayu. Terdapat di dalam dua jilid, jilid pertama mempunyai 252 halaman dan jilid kedua 272 halaman. Perbincangan dalam kitab ini meliputi persoalan ibadah yang menyentuh thaharah, solat, puasa, zakat, haji, akikah, korban, makanan yang halal dan haram serta sembelihan.

Kitab ini ditulis atas permintaan Sultan Tahmidillah Bin Sultan Tamjidillah. Penulisannya mengambil masa selama dua tahun iaitu dimulai pada 1193H/1779M dan selesai pada 27 RabiulAkhir 1195H. Kitab ini pertama kali dicetak di Istanbul pada tahun 1300H/1882M kemudian diulang cetak di Kaherah dan Makkah.

Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari Meninggal Dunia
Beliau meninggal dunia pada malam Selasa iaitu di antara waktu Maghrib dan Isyak, pada 6 Syawal 1227 Hijrah bersamaan 13Oktober 1812 Masihi. Beliau meninggal dunia pada usia 105 tahun dengan meninggalkan sumbangan yang besar terhadap masyarakat Islam di Nusantara.

Bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau, beberapa tempat di Indonesia telah mengabadikan nama dan karya beliau. Antaranya ialah Universitas Islam Kalimantan Muhammad Arsyad al-Banjari dan Masjid Raya Sabilal Muhtadin.

Sekalung al Fatihah buat Ulamak ternama Nusantara ini....


14 Februari 2011

Pendekar Wanita Empat Zaman


Ibu Rd Hj Enny Rukmini Sekarningrat

Nama Rd. Enny Rukmini Sekarningrat (96tahun) cukup terkenal dikalangan masyarakat luas terutama bagi mereka yang mencintai seni beladiri pencak silat. Bahkan namanya pun telah tercatat di PB IPSI sebagai Dewan Pakar Pencak Silat Nasional, sehingga tidaklah menghairankan apabila namanya sudah terkenal sampai ke peringkat antarabangsa. Beliau merupakan Guru Utama bagi pencak silat Panglipur dan juga seorang yang peramah, baik, sopan, dan rendah hati.

Menjadi seorang guru dan pemimpin pencak silat dapat dikatakan cukup berat, di samping harus menguasai jurus-jurus dan teknik-teknik seni beladiri pencak silat yang mantap, tubuh yang lasak, serta mental yang kuat tentunya dan juga harus lengkap dalam memahami falsafah seni beladiri pencak silat secara mendalam, seperti yang pernah dialami Rd. Enny Rukmini Sekarningrat, pakar pencak silat dan pejuang wanita empat zaman, puteri Abah Aleh (1856-1980)- pendiri Panglipur. Abah Aleh adalah seorang maestro seni beladiri pencak silat yang mampu menggabungkan aliran-aliran pencak silat menjadi jurus Panglipur yang indah, mantap, efektif, dan praktik untuk membela diri.

Panggilannya pendek saja, boleh dipanggil Ibu atau Ibu Enny, tapi umumnya para pesilat di lingkungan Himpunan Pencak Silat Panglipur memanggilnya "mamih". Sebutan terakhir ini merupakan kebiasaan pesilat Panglipur yang sudah dekat dengannya. Pernah ada yang menanyakan kepada beliau, "apakah betul Ibu ada keturunan Belanda?" Beliau menafikannya: "Saya jawab, tidak, dan memang sebenarnya saya bukan keturunan orang Belanda, tuturnya. Bahkan pertanyaannya tidak cukup sampai di situ saja, kadang-kadang mereka suka meneruskan dengan pertanyaan lain, Ah masa, buktinya raut muka Ibu mirip Indo? Mendengar pertanyaan seperti itu saya hanya tersenyum, mungkin karena saya cukup lama bersama-sama dengan orang Belanda, ketika masih sekolah di Zending School. Tidak heran apabila saya terpengaruh oleh kebiasaan orang Belanda, dan kebetulan kulit saya putih, sehingga orang menyangka bahwa saya mirip orang bule. Padahal saya tidak ada keturunan Indo, ayah saya Abah Aleh keturunan Banten dan Ibu saya Ma Uki asli orang Garut."

Masa Perjuangan

Sejak kecil Ibu Enny sudah menyenangi kesenian daerah dan bahkan pernah belajar tari sunda, termasuk belajar pencak silat hanya tidak sungguh-sungguh dan tidak mendalaminya, cukup asal boleh saja. Setelah meningkat usia remaja malah senang belajar menari iaitu sejenis tarian yang gemar diperagakan oleh remaja-remaja dari Barat (orang asing). Walaupun demikian, ayahnya tidak melarang mempelajari tarian, apalagi sampai mempunyai murid mahasiswa, kerana kebetulan waktu itu banyak mahasiswa-mahasiswa yang menyewa di rumah, sehingga kesenangan pada tarian semakin kuat.

Puteri pasangan Abah Aleh (pendiri Panglipur) dan Ma Uki, yang dilahirkan di Gg. Durman Bandung pada 17 Ogos 1915 ini, dalam usia 12 tahun sudah berumahtangga. Mungkin Abah Aleh merasa khuatir mengenangkan situasi waktu itu kurang aman. Pertama beliau berkahwin dengan seorang pemuda bernama Nandung, mempunyai satu anak bernama Etty Sumartini dan mempunyai 12 cucu  dan tinggal di Jakarta. Abah Aleh mengharapkan puterinya itu menjadi seorang isteri yang berpengetahuan, sehingga Abah Aleh mengizinkannya untuk melanjutkan pelajaran. Setelah tamat dari Zending School diteruskan ke Darul Mualim 6 tahun, sekitar tahun 1946 keluar dari Darul Mualim sempat menjadi Guru Agama di bawah pimpinan Ajengan Toha dan Rachmat Sulaeman, mengajar di Madrasah Al Balah dan di Madrasatul Choeriah di Gg Affandi Braga Bandung. Tidak lama setelah itu suami tercinta meninggal dunia. Lalu berkahwin pula dengan Lurah Cimahi, tidak lama meninggal dunia juga. Kemudian berkahwin buat kali ketiga dengan seorang pejuang kemerdekaan bernama Bunjali, kebetulan beliau seorang tokoh silat sehingga Abah Aleh sangat senang kepadanya, mungkin kerana nasib, tidak lama setelah itu Bunjali ditangkap oleh Belanda ketika sedang pengajian (mengajar membaca Al Qur’an). Ibu Enny sempat mencari suami mudah-mudahan dapat bertemu lagi, lalu ikut menggabungkan diri sebagai wanita pejuang dengan pasukan pangeran papak di Wanaraja Garut, di bawah pimpinan Mayor Kosasih. Nama Sekarningrat juga diberi oleh Laskar Pangeran Papak. 

Berkat kesabaran dan ketabahan hati, akhirnya ia bertemu juga dengan suami tercinta, sehingga waktu itu dapat bersama-sama berjuang mempertahankan kemerdekaan. Tidak lama setelah itu masing-masing mendapat tugas, ia ditugaskan ke Ciniru dan suaminya ditugaskan ke Cipakem Kuningan Ternyata setelah kembali dari tugas, “suami saya meninggal dunia saat berjuang. Hati saya begitu sedih, mungkin sudah nasib dan saya menyadari bahwa ini merupakan takdir Allah SWT”, tuturnya.

Pada tahun 1947, ibu Enny bergabung dengan pasukan yang dipimpin oleh Letkol Abimanyu dan Mayor U. Rukman sampai hijrah ke Yogya dan di sana bertemu dengan seorang perwira TNI bernama Tabrani, ketika itu ia masih berpangkat kapten, lalu kembali ke Jawa Barat dan berhenti sebagai pejuang, dan akhirnya kembali ke masyarakat. Tahun 1950, pengembaraan di hutan belantara berakhir dengan turunnya para pengungsi ke kota Bandung, yang sebelumnya berjuang memakai senjata, namun sekarang perjuangan itu dilakukan dalam bentuk lain. “Kemudian saya menikah dengan Kapten Tabrani dan mempunyai anak lelaki bernama Djadja Widjayakusumah. Waktu itu pimpinan Panglipur oleh Abah Aleh dipercayakan kepada abang ibu Enny, Letnan AURI Udi. Lalu untuk mengenang masa perjuangan, ia mencuba membuat drama pencak silat yang menceritakan perjuangannya dengan suami dari mulai awal pertemuan sampai selesai. Penulisan naskah, skenario, dan sutradara diatur oleh ibu Enny. Waktu sedang latihan, saya berusaha untuk tegar dan kuat tetapi ternyata dalam pelaksanaannya saya tidak kuasa menahan rasa sedih dan merasa tidak kuat sampai saya jatuh pingsan”, tuturnya.

Sekitar tahun lima puluhan, Letnan AURI Udi yang diamanahkan oleh Abah Aleh untuk mengurus perguruan pencak silat Panglipur, meninggal dunia. Kemudian Abah Aleh memanggilnya dan berkata, “Eneng, sabada Kang Udi pupus, taya deui nu katoong ku Abah pikeun neruskeun jadi sesepuh paguron teh iwal ti Eneng, saurna lemah lembut. (Neng, setelah Kak Udi meninggal dunia, tidak ada lagi yang terlihat oleh Abah yang mampu meneruskan menjadi pemimpin perguruan pencak silat panglipur, hanya Enny, katanya serius)”. “Ketika mendengar ucapan seperti itu, hati saya merasa kaget bercampur bingung”, tuturnya, “kerana saya merasa belum mendalami sungguh-sungguh tentang masalah pencak silat, dan putra-putri Abah Aleh itu ada empat orang termasuk saya, Kak Udi, Kak Eyon, dan Kak Dati. Saya tidak mengerti mengapa Abah Aleh memilih saya untuk menggantikannya. Setelah berfikir panjang timbul perasaan dalam hati saya, mungkin Abah Aleh merasa yakin bahwa saya mempunyai kemampuan untuk menjalankannya, sehingga saya tidak bisa menolaknya”, tuturnya tegas. Ternyata ibu berparas cantik ini dulunya tergolong anak yang taat dan patuh kepada orang tua, rasa hormat kepada kedua orang tua sudah tertanam sejak ia masih kecil, jangankan menolak keinginan orang tua, dimarahi dengan tidak merasa bersalahpun beliau tidak berani membantahnya apalagi sampai melawan pada orang tua. Akhirnya tawaran itu dia terima dengan lapang dada.

Memimpin Pencak Silat Panglipur

Pada tahun 1950, Abah Aleh secara rasmi menyerahkan tampuk pimpinan Panglipur kepada Ibu Enny, sebagai pewaris yang diangggap mampu memimpin Panglipur, demi perkembangan dan kemajuan Panglipur di masa yang akan datang. Walaupun anggapannya masih mentah dalam masalah persilatan, namun Ibu Enny berusaha sekuat tenaga untuk memimpin panglipur bersama-sama dengan para tokoh Panglipur yang lain.

“Ketika memperhatikan Abah Aleh sedang melatih pencak silat, saya suka bertanya, kenapa jurus-jurus Panglipur suka diberi nombor, dan semuanya tidak dibeza-bezakan, alangkah baiknya setiap tingkatan dibeza-bezakan”, katanya memberi pertanyaan pada Abah Aleh.

“Untuk ciri khas Panglipur, supaya ada keseragaman, katanya sambil tersenyum. Buktinya terasa oleh saya, ketika melatih 1600 pesilat untuk menyambut Konperensi Asia Afrika tahun 1955. Dengan gerakan yang sudah diseragamkan sehingga tidak sulit untuk melatihnya”, tuturnya. Ibu Enny merasa kagum kepada Abah Aleh yang mampu menyeragamkan gerakan yang begitu rumit dan bermacam-macam.

Ada yang bertanya, Apakah silat dari Abah Aleh diiringi dengan ilmu tenaga dalam? “Saya menjawab tidak, karena memang saya tidak belajar ilmu tenaga dalam, paling juga saya suka tarikat. Saya pernah mengalami dikurung di dalam kamar oleh Abah Aleh selama tiga hari tiga malam, selama di dalam kamar itu hanya disediakan sepiring kentang rebus dan segelas air putih. Oleh kerana itu, tidak hairan apabila saya makan hanya dua hari sekali atau tiga hari sekali” ujarnya lagi.

“Pernah ada kejadian aneh waktu saya berumur 40 tahun tiba-tiba gigi saya merasa ngilu dan seolah-olah terasa menjadi panjang, kemudian diperiksa ke dokter katanya tidak ada penyakit. Malam Jumaat ternyata gigi saya rontok semua sehingga sampai sekarang gigi saya menjadi ompong. Saya tidak mempunyai fikiran yang bukan-bukan, atau mempunyai sangkaan negatif terhadap orang lain, mungkin gigi saya rontok itu disebabkan oleh penyakit”, katanya.

Sejak berdirinya PPSI di Jawa Barat pada tahun 1957, di bawah pimpinan Pangdam Siliwangi, Jendral Kosasih, Ibu Enny berusaha sekuat tenaga mengembangkan seni beladiri pencak silat. Namun dalam pelaksanaannya tidak semudah apa yang kita bayangkan, sebab waktu itu bantuan dari pemerintah maupun dari masyarakat belum mampu diandalkan. Apalagi yang namanya pencak silat, setiap orang banyak yang ingin memiliki kepandaian ini, tapi sedikit sekali yang mahu mengeluarkan wang atau dana untuk itu. Walaupun demikian, Rd. Enny Rukmini Sekarningrat dan kawan-kawan seperguruan seperti Rd. H. Adang Mohammad Moesa (alm), Harun (alm), Tarmedi (alm), Kol. H. MSTA. Jhonny (alm), M. Umbit (alm), Bakri, Udi, dan yang lainnya berjuang untuk melestarikan seni beladiri pencak silat, khususnya Panglipur sebagai warisan Abah Aleh yang sebelumnya telah berjuang tanpa kenal erti jemu dan lelah. Dan terbukti Panglipur telah diakui oleh pemerintah sebagai organisasi yang terdaftar sebagai anggota PPSI maupun IPSI.

Di kota Bandung saja waktu itu sudah ada lima cabang panglipur, antara lain cabang Bandung Barat diketuai oleh H. Basuni (alm), Pagarsih diketuai oleh Abah Bakri (alm), Ciwidey diketuai oleh Lurah Prawira (alm), Babakan Jati diketuai oleh H. Basuki (alm), Lembang diketuai oleh Aki Tarmedi (alm), dan Buah Batu diketuai oleh Bah Soma (alm), Kopo diketuai oleh Bah Omi, Oyi, dan Bah Udi, serta banyak lagi tokoh-tokoh yang lainnya. Cabang-cabang Panglipur di luar Bandung, antara lain Majalengka, Talaga, Kuningan, Garut, Cianjur. Semua cabang-cabang tersebut harus berada dalam pengawasan Panglipur Pusat yang dipimpin olehnya. Sampai detik ini Panglipur terus berkembang dengan pesat, baik di dalam maupun di luar negeri.

Aktiviti
Di samping sebagai seorang pimpinan Panglipur, ternyata Rd. Enny Rukmini Sekarningrat, temasuk juga sebagai seorang guru silat atau pelatih yang aktif, ia pernah melatih anggota tentara Rindam VI Siliwangi, Kompi Protokol Pimpinan Kapten. H. MSTA. Jhonny (alm, terakhir berpangkat Kolonel), melatih anggota tentara BDI II Siliwangi Pangalengan pimpinan Letkol. Suryamin, melatih pemuda-pemuda putus sekolah, pernah melatih di SMP, SMA, SPG dan Mahasiswa, serta siswa-siswa Dodiklat Polri dan anak-anak CPM di Cimahi, melatih orang-orang asing yang sengaja datang untuk berguru di Panglipur. Bahkan pernah mendirikan organisasi tukang becak yang diberi nama Himpunan Pengendara Becak Indonesia (HPBI), kemudian tukang Becak tersebut dikursuskan pula dengan setir mobil sampai mereka, menjadi pemandu Bemo di Cicendo Bandung.

Dicelah-celah latihan beliau sering diberi nasihat oleh Abah Aleh, berupa amanat yang diberikan kepadanya antara lain, “Eneng, boh dina hirup, boh dina penca, teangan pikaresepeun batur, ulah neangan pikangewaeun batur, saurna. (Neng, dalam kehidupan sehari-hari, maupun dalam penca, harus selalu mencari yang membuat orang senang (menyenangkan orang lain) bukan sebaliknya mencari sesuatu yang membuat orang tidak suka atau tidak disukai oleh orang lain, katanya)”. Sesuai dengan falsafah Panglipur yang merupakan singkatan dari:
1. Pek Aranjeun Neangan Guru Luhung Ilmuna, Poma Ulah Ria (Takabur).
Ertinya dalam bahasa Indonesia : Silakan kalian mencari guru yang tinggi ilmunya, tetapi jangan sombong (takabur).
2. Pek Aranjeun Neangan Guru Luhung Ilmuna Pikeun Udageun Rasa.
Ertinya dalam bahasa Indonesia : Silakan kalian mencari guru yang tinggi ilmunya untuk kejaran rasa.

Memimpin Tim Galih Pakuan Jawa Barat

Ada pengalaman yang menarik selama ibu Enny memimpin Panglipur, ketika membawa rombongan Panglipur ke Singapura pada tahun 1980, dengan H. Suhari Sapari (Ketua IPSI/PPSI) Jawa Barat. Ketika mengadakan pementasan di Singapura, setelah sampai di lokasi baru teringat bahwa alat yang akan dipakai untuk peragaan tertinggal di penginapan, padahal waktu untuk pementasan tinggal beberapa minit saja lagi. “Saat itu tiba-tiba saya teringat pada sobrah (sejenis rambut wanita yang panjang, digunakan untuk sanggul) yang dapat mengganti alat yang tertinggal tadi. Ternyata pementasan tersebut mampu memukau penonton dan mereka merasa puas, orang menyangka bahwa sobrah itu merupakan kreasi baru”, katanya sambil tersenyum. Selanjutnya ia mengingatkan, “Oleh kerana itu, peralatan atau senjata yang dipakai untuk pencak silat itu bukan hanya Golok, Gobang (Pedang), Trisula, Toya, Alu (halu), Tongkat, Limbuhan (sejenis senjata pendek) yang bolh diguna dalam peragaan, sobrah pun boleh dipakai untuk demo. Jadi harus kreatif apabila kebetulan alat-alat tersebut ketinggalan atau hilang. Bahkan tali rafiapun mampu dipakai sebagai alat membela diri”, tuturnya lagi.

Selanjutnya beliau menyentuh tentang masalah pakaian pencak silat, yang tidak lepas dari perhatiannya. “Pesilat umumnya mempergunakan pakaian warna hitam, tetapi untuk keperluan pentas tidak selalu harus hitam, warna lain pun boleh dipakai, disesuaikan dengan ibing yang akan ditampilkan, supaya anak-anak kelihatan cantik, indah, dan tidak memalukan. Pakaian ini saya pakai ketika Panglipur ditunjuk sebagai anggota Galih Pakuan Jawa Barat oleh Gubernur H. Aang Kunaefi (alm) dari tahun 1978 sampai tahun 1985, antara lain ketika menyambut Konperensi Asia Afrika (1985), Parasamya Purna Karya Nugraha, dan sebagainya. Selama menjadi Tim Protokoler Jawa Barat (Galih Pakuan Jawa Barat), Panglipur telah puluhan kali mentas di Istana Bogor, bersama-sama dengan kesenian lain seperti Tari, Dogdog Lojor, Sisingaan, Buncis, Jaipongan, dan lain-lain di bawah pimpinan Enoh Atmadibrata, Nugraha, Indrawati Lukman, Yeti Mamat, Irawati Durban, Gugum Gumbira, Tati Saleh, dan seniman sunda yang lainnya”, tutur tokoh yang pandai merias pengantin ini, “Bahkan saya pernah mencoba menampilkan ibing pencak silat dengan pakaian kebaya ternyata berhasil dan dapat diterima oleh masyarakat pencak silat sebagai pementasan yang baik dan indah, tanpa mengurangi nilai-nilai dan kaedah seni beladiri pencak silat yang sebenarnya. Maksudnya iaitu dalam keadaan apapun, seorang pesilat tidak harus selalu memakai seragam silat, khususnya bagi seorang perempuan memakai pakaian kebayapun bisa membela diri dan menampilkan gerakan silat dengan baik”, ungkapnya lagi.

Ibu yang satu ini ternyata tergolong tegas dalam menerapkan disiplin di Panglipur, misalnya antara murid lelaki dan murid perempuan di perguruan harus seperti abang dan adik, saling melindungi, saling menyayangi, dan saling membantu apabila masing-masing mempunyai kesulitan.” Saya tidak memberikan izin ada hubungan lebih dari saudara seperguruan, apalagi sampai terjadi hal-hal yang tidak diinginkan. Saya memperbolehkan murid perempuan berkahwin dengan dengan murid lelaki seperguruan asal benar-benar mampu membangunkan rumahtangga dengan baik dan benar-benar sesuai dengan ajaran Agama Islam. Alhamdulillah, peraturan ini sampai sekarang belum ada yang melanggarnya, apalagi sampai menimbulkan retaknya hubungan kekeluargaan di Panglipur”, tuturnya serius.

Tahun 1997, Rd. Enny Rukmini Sekarningrat dan Rd. H. Adang Mohammad Moesa diarah oleh PB IPSI berangkat ke Malaysia sebagai tokoh dan pakar pencak silat Jawa Barat, selanjutnya berangkat lagi dengan E. Kusnadi ke Trengganu, Malaysia sebagai peninjau pada Kejuaraan Pencak Silat Nusantara.

Sebagai tokoh dan pakar pencak silat, sikap pergaulannya yang baik ternyata mampu membawa Panglipur menembusi pergaulan pencak silat secara antarabangsa sehingga dikenali di kalangan pakar-pakar pencak silat mancanegara. Selain itu, ia telah berhasil membawa Panglipur sebagai perguruan pencak silat yang mampu mempertahankan keasliannya.

Selama lebih 100 tahun (1909-hingga sekarang) Panglipur telah dipelajari oleh pecinta pencak silat dari dalam mahupun luar negera, seperti Asia, Eropah, dan Amerika. Dari waktu ke waktu Panglipur tetap berprestasi dan berdedikasi, Panglipur tidak pernah ketinggalan dalam mengikuti kejuaraan-kejuaraan yang rasmi yang diselenggarakan oleh Pengda IPSI maupun PB IPSI, baik di peringkat kebangsaan maupun antarabangsa/dunia.

“Alhamdulillah selama saya memimpin perguruan pencak silat Panglipur, rasanya murid-murid Panglipur belum pernah ada yang mengecewakan, bahkan cabang-cabang Panglipur terus bertambah dan berkembang sampai ke mancanegara, antara lain Belanda, Amerika, Austria, dan lain sebagainya”, tuturnya kepuasan.

Disunting dari sumber asal :
 http://duel.melsa.net.id/04ennyrs.html