Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan

03 Ogos 2019

DIA kesayanganku, dia permaisuri hatiku


“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum 30:21)

Dalam hadis, Baginda SAW  bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku". (riwayat al-Tarmidzi).

Hakikatnya Allah SWT menjadikan isteri itu sebagai pasangan buat lelaki adalah merupakan anugerah dan bukannya hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya dan damai apabila dia merasakan dirinya mendapat anugerah yang istimewa daripada Allah SWT. Dan rasa kekayaan itulah yang dirasai apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak pernah akan merasa cukup dengan pemilikan itu, dan sentiasa merasa gelisah  serta berwaspada akan kehilangannya.

Sering seorang lelaki yang juga merupakan suami merasakan bahawa dialah ketua dan dialah yang paling tinggi kedudukannya di dalam keluarga. Sehingga seorang isteri itu perlu taat kepadanya. Kenyataan bahawa “syurga isteri itu bergantung pada redha suami” menjadikan suami kadangkala  menjadi bertambah ego hingga lupa bertanya diri di mana pula syurganya?

Pernahkah suami bertanya di mana syurganya di dalam rumah tangga?

Keluarga adalah lubuk kebahagiaan apabila kita mampu membahagiakan ahli keluarga. Kebahagiaan kita kecapi mencerminkan sebanyak mana kemampuan diri kita membahagiakan pasangan dan anak–anak.

Ramai yang mengejar bahagia hanya untuk diri sendiri tanpa ada keinginan untuk membahagiakan orang lain. Bahagia yang di cari penderitaan yang menjengah.
Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang berlemah lembut dengan ahli keluarganya. Kita para suami, lihatlah ke dalam diri kita. Apakah hari ini akhlak kita baik dengan isteri dan anak-anak kita? Atau adakah kita sebaliknya?

Janganlah jadi lelaki yang tidak bagus akhlaknya. Apabila dia bersama-sama kawan-kawannya, perangainya sangat baik. Jika kawan-kawannya dalam kesusahan, dia sanggup menolong. Bahkan sanggup membelanjakan kebanyakan wangnya untuk mereka. Sedangkan kawan-kawannya tidak sentiasa ada bersama dengannya ketika susah. Isterilah yang setiap masa bersamanya mengharungi suka duka kehidupan.

Kita perlu yakin dan percaya bahawa setiap isteri telah melakukan banyak sumbangannya kepada suami dan anak-anak. Maka, sentiasalah muhasabah dan fikir-fikirkan serta imbang-imbangkanlah dengan kesalahan atau kesilapan yang mereka lakukan. Jika ini kita dapat lakukan, maka sudah pasti kita akan dapat melihat kesilapan mereka adalah kecil berbanding pengorbanan yang mereka lakukan.

Kita manusia, isteri dan anak-anak juga adalah manusia. Sesungguhnya, sebagai manusia, sudah tentu tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang tidak melakukan kesilapan. Pasti ada. Bahkan kita juga sudah pasti ada melakukan kesilapan yang sama. Cuma barangkali ia terhijab dan tidak diketahui orang lain. Barangkali kesilapan itu hanya kita dan Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Maka, untuk itu, tidak salah sekiranya kita menutupi kesalahan isteri dan anak-anak dengan kebaikannya.

Perkahwinan yang tidak didasarkan kepada perasaan kasih terhadap satu sama lain, tidak disulami dengan kemesraan adalah satu perkahwinan yang tidak bahagia dan tidak bermakna.

Justeru, Rasulullah SAW sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaik-baiknya. Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah SAW mengadu mengenai layanan buruk diterima daripada suami mereka.Tidak dapat dinafikan, manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan bersabar dan tidak memperbesarkan kelemahan itu.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub a.s kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun."

Bersama kita renungi kisah seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab r.a untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.

Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya, "Jika beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku? Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.

Lelaki itu berkata, "Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku: Jika begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?

Umar berkata kepadanya, "Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku. Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya.

Lelaki itu menjawab, "Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku. Umar pun berkata kepadanya: Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika."

Oleh itu belajarlah menyayangi isteri dengan lebih jujur dan ikhlas, jangan sia-siakan anugerah dan amanah yang Allah kurniakan kepada kita para suami. Bertengkar dan bermasam muka itu lumrah sebuah perkahwinan… sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Mudah saja untuk memurnikan hubungan suami isteri seandainya kita mengambil jalan berlapang dada, buangkan ego yang melampau-lampau sebagai ketua keluarga dan bertolak ansur dan menerima kritikan secara rela dan berfikiran terbuka.

DIA kesayanganku, dia permaisuri hatiku, dia sentiasa di sanubariku…..DIAlah isteriku. Terimakasih buat isteri tercinta kerana menerima diri fakir yang sefakir-fakirnya ini sebagai peneman hidup. Walau hidup tidak sesempurna dan segembira pasangan lain.. namun kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan yang tiada penghujungnya menjadi antibiotik paling kebal dalam kehidupan kita.

اَللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مَوْلاَنَا مٌحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ فِي كٌكِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ

24 Mei 2019

PEDOMAN UNTUK BELAJAR MEMAHAMI ALLAH




Assalamualaikum, mencelah sebentar semoga ada manafaat untuk kita semua sepanjang menempuh bulan mulia ini... InsyaAllah. Sengaja fakir masukkan hanya 13 kata-kata hikmah ini untuk dikongsi bersama...

JADIKAN 13 PERKARA INI PEDOMAN HIDUP JIKA BENAR-BENAR MAHU KENAL DAN BERSAMA ALLAH.....

1. Kosongkan hati dalam berbagai keinginan, kosongkan fikiran dari khayalan dan lamunan, kerana dalam kekosongan itu terkumpul segala kenikmatan.


2. Untuk mendapatkan apa yang kamu cintai, kamu mestilah terlebih dulu bersabar dengan apa yang kamu benci.

3. Ada orang, masa susah sahaja baru dia ingat kepada Allah swt. Masa ada sesuatu hajat, baru dia mencari Allah swt. Semasa dia kaya, semasa dia ceria, dia lupa pada Allah swt, malah bongkak pula kepada Allah swt. Siapakah antara kita yang berusaha yang sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah swt? Atau sebenarnya kita ini, langsung tidak merasakan keterikatan kita dengan Allah swt? Adakah kita nampak, Allah swt itu di Masjid sahaja? Adakah di Masjid sahaja kita baru sibuk menjaga hubungan kita dengan Allah? Bagaimana di pejabat? Bagaimana di sekolah? Bagaimana di tempat anda berada sekarang? Adakah anda merasai keterikatan anda dengan Allah swt? Hubungan dengan Allah swt ini, adalah hubungan yang unik. Hal ini kerana kita berhubungan dengan Allah yang ghaib dari pandangan kita. Tetapi untuk manusia yang beriman dia akan sentiasa merasakan bahawa Allah swt itu amat dekat dengannya. “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya." (Surah Qaaf ayat 16). Hatta, yang kita bisikkan dalam hati pun Allah mengetahuinya.

4. Wahai hamba! Kedekatan di dalam solat itu adalah di dalam sujud, dan kedekatan dalam berzikir itu apabila tunduk hati mu khusyuk terhadapNya. Kedekatan itu menghampiri mu ketika kamu taat dan patuh kepadaNya. Kedekatan itu hampir kepadamu apabila engkau mengakui dosa dan salah mu di hadapan Allah dan kamu segera bertaubat dan beristighfar. Kedekatan itu adalah ketika engkau membuang syirik dari hati mu yakni engkau melihat Allah yg menjadikan mu dan barang yang engkau perbuatkan. Wahai hamba! Engkau akan diuji dengan kenikmatan kelapangan, kesusahan dan kesempitan, ini adalah ibarat batu pengasah kepada pisau. Pisau akan bertambah tajam apabila diasah. Hendaklah hatimu itu semakin hampir kepada Allah apabila diuji dengan nikmat atau pun dalam keadaan kamu diuji dengan kesusahan. Berbaik sangkalah kamu terhadap Allah, Allah mengikuti sangkaan mu terhadapNya. Telanlah ubat itu biarpun pahit, bersabarlah dengan pahitnya ubat itu, kerana ia adalah doktor pakar yg mengetahui hal keadaan pesakitnya, Dialah Allah Yang Maha Mengetahui hal keadaan mu dan pilihanNya keatas mu itu adalah sebaik baik pilihan, biarpun engkau masih tidak dapat melihat di manakah kebaikan itu.

5. Ilmu itu cahaya daripada Allah, memancar ke luar melahirkan 'amal', memancar ke dlm melahirkan ‘iman'.

6. Jangan patahkan sayap burung dan mengharapnya terbang. Jangan patahkan hati dan mengharap nya bercinta. Jangan kecewakan jiwa dan mengharapnya gembira. Jangan melihat keburukan orang dan mengharap orang melihat kebaikan kamu. Jangan menghukum orang dan mengharap orang memihakkan kamu. Jangan bermain api dan mengharap tidak terbakar diri. Hidup ini adalah perjalanan yang perlu bertolak ansur. Kamu tidak seharusnya mengharap hanya kebaikan dan menolak keburukan semata. Adakah benar ianya berlaku? Ya! Tapi jangan biarkan ia menjadi alasan untuk terus melakukannya walaupun kamu tahu ianya salah. Adalah tidak adil bagi kamu menyalahkan kehidupan mu tentang apa yang berlaku. Hanya kamu yang tidak berhati-hati dan berfikir.

7. Dosa orang awam adalah memandang dosa zahir batin dan bermaksiat. Dosa orang khawas adalah lalai hati dari ingat Allah. Dosa orang khawas al khawas nampak dan memandang wujud lain selain Allah.

8. Jika manusia tidak buat kesilapan, maka sifat Tuhan pun tidak akan sempurna. Atas kesilapan manusia, maka Dia namakan diriNya Maha Pengampun dan Penerima Taubat. Manusia tidak boleh sempurna seperti Tuhan, maka sempurnanya manusia itu ditakdirkan antara berbuat salah dan betul. Tetapi kesalahan manusia itu harus ditebus dengan taubat kemudian barulah manusia dikatakan manusia berbuat yang betul (tukarkan yang buruk kepada yang baik).

9. Org yg selalu menghadapkan hati dan fikirannya kepada Allah Yang Maha Tinggi dan terus menerus berusaha membersihkan hatinya dari berbagai kotoran yang datang setiap saat, nescaya hatinya akan bersinar cemerlang dengan Cahaya Ilahi. Hatinya memantulkan serta memancarkan Nur (Cahaya) Ilahi yang diterimanya menerangi kehidupan serta lingkungan tempat dia berada. Namun org yg memalingkan hati dan fikirannya dari menghadap Allah, dan membiarkan berbagai kotoran bertumpuk menutupi hatinya, tidak akan pernah mendapat Cahaya Ilahi. Hatinya gelap pekat demikian pula hidupnya berada dalam kegelapan dan ketidakpastian, ia tidak mampu menerangi dirinya sendiri apalagi menerangi lingkungan hidupnya

10. Apakah Allah dapat dipandang dan dapat ditilik. Allah dapat dirasa, Allah dapat dipandang dan Allah dapat ditiliki dengan senyata nyatanya oleh hati-hati Mukmin dari mereka mereka yg bermata 'basirah' (melalui pandangan mata hati yang halus). Seumpama sifat angin, angin itu tidak nampak untuk dipandang dan tidak nampak untuk dilihat tetapi ternyata ianya dapat dirasa dan dapat dinikmati dengan perasaan. Melihat Allah tidak dapat hendak diukir melalui lukisan, tidak dapat hendak digambar dengan perkataan. Cara melihat Allah itu, tidak memerlukan kepada dalil dan tidak memerlukan apa-apa bukti. Orang mengenal Allah itu, tidak boleh membuat dalil dan tidak dapat mendatangkan bukti. Melainkan Orang Makrifat itu sendiri sahaja yang tahu, yang dapat memahami dan merasai. Tidak ada bahasa hendak diucap dan tidak ada perkataan untuk dilafazkan, tentang cara mana Allah itu dapat dilihat, bagaimana Allah itu dapat dipandang, dan dirasa oleh mata hati. Perkara melihat Allah adalah perkara rasa, bukan perkara yang melalui pancaindera mata kasar. Hanya bagi mereka yang menikmati sahaja yang merasainya.

11. Yang dimaksudkan dengan 'Mati sebelum Mati' itu adalah membunuh, mematikan atau membuang nafsu amarah atau hawa nafsu kebinatangan dan keiblisan yang ada pada diri kita itu. Buangkan nafsu ini kerana ia 'menghijabkan' hati dari Allah. 'Diri' itu dimaksudkan ego atau nafsu amarah yang dipergodakan oleh syaitan. Antara tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu ada 'diri'nya ialah ia ada sifat-sifat: Takabur, Sombong, Hasad Dengki, Tamak Haloba, Mementing diri sendiri, Ujub, Riya’, Kasih pada yang lain dari Allah, Takutnya kepada yang lain dari Allah melebihi takutnya kepada Allah. Setelah 'diri' telah dimatikan, maka timbullah Allah sebagai gantinya. Berdiri dan nyata Allah dalam hati dan perasaan seseorang itu. Teguh dan nyata lah berdiri Allah dalam sanubarinya dan barulah ia menyedari dan merasai kehampiran dengan Allah Yang Maha Esa. Tiada lain yang dinampakkan kecuali Allah sahaja. Nyata terdirilah Allah padanya dan dinafikan nya yang lain.

12. Seorang asing bertanya kepada seorang Pengemis Hina: “Allah itu tidak ada misalan atau serupa dengan sesuatu, bagaimana engkau dapat melihat dan sampai kepada Allah?”. Jawab 'Pengemis Hina: “Dalam setiap ciptaan, wujud tanda-tanda adanya Pencipta juga Kuasa, Ilmu dan Kehendak Pencipta. Kalau engkau tidak nampak ini, engkau buta. Buat apa engkau habiskan masa untuk berzikir 'Allah Allah Allah', letih lidahmu menyebut, sedangkan hatimu masih buta?”

13. DAN Indahnya Sujud bilamana kamu berbisik di bumi namun kedengaran di Syurga.



اَللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مَوْلاَنَا مٌحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ فِي كٌكِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ


SUMBER / RUJUKAN:
http://kalimah-kalimah-suci.blogspot.com/

04 Januari 2014

Tuturkata Sebagai Penentu!

DUA perkara penting yang diingatkan junjungan Nabi SAW ialah menjaga serta memelihara lidah dan tingkah laku. Lidah termasuk nikmat Allah yang sangat besar kerana kebaikan diucapkannya akan melahirkan manfaat, yang buruk mendatangkan kesan berpanjangan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pesanan itu adalah manifestasi pentingnya menjaga tutur kata, tidak mengucapkan hal yang buruk dan menyakiti hati saudara seagama kerana bertutur sembarangan tanpa berfikir kesannya akan membawa kepada permusuhan, kekacauan bahkan boleh menjurus kepada pertumpahan darah.

Rasulullah SAW berpesan supaya menjaga lidah dan tingkah laku supaya tidak mengganggu serta melampaui batas atau menyentuh hak orang lain. Sabda Baginda yang bermaksud: "Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam beragama." (Hadis riwayat Ahmad)

Pada saat pengaruh kehidupan bersalut kebendaan, didapati manusia semakin boros mengeluarkan kata-kata sehingga ada yang terlupa mempertahankan sifat santun dan adab dalam menuturkannya hingga menyakitkan hati pendengarnya.

Harus diakui manusia memang berbeza pandangan, pendirian dan bebas membuat penafsiran terhadap sesuatu yang dirasakan benar baginya tetapi ketika yang sama, manusia diberi akal dan iman untuk mempertimbangkan ilmu secara beradab.
Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Debat Nabi  SAW jelas beretika dan halus budi bahasanya. Setiap patah kata dalam ungkapannya dapat menjadi contoh mereka yang mencintai kebenaran. Tetapi sayang, sebahagian daripada pendebat sekarang menyimpang jauh daripada panduan kerana debat mereka untuk mencari pengaruh dan kemenangan.

Sedangkan debat yang dicadangkan adalah untuk mencari jalan yang lurus. Oleh itu, berhujah untuk memburukkan lawan, pelbagai kata kasar dan nista terkeluar. Keburukan demi keburukan orang didedah dan diaibkan melalui kata-kata.

Cucunda Rasulullah SAW, Saidina Hussain berkata, seseorang yang menceritakan keburukan orang lain di hadapanmu, boleh jadi dia akan menceritakan keburukanmu (juga) pada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa mampu menjaga apa yang ada antara dua janggut dan apa yang ada di antara dua kaki, maka aku jamin dia masuk syurga." (Hadis riwayat Sahl bin Sa'ad)

Apabila seseorang memahami dan mengerti bahawa setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya akan dihisab dan dibalas maka, dia akan tahu untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya dan mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.

Justeru, jangan biarkan lidah itu lebih cepat daripada akal dalam menuturkan kata-kata. Apalagi apabila akal gagal mengawal tutur katanya menyebabkan apa yang terkeluar itu menjadi zarah amarah dan dendam bersalut nafsu semata-mata. Bahaya lidah sebenarnya amat bisa dan tajam.

Rasulullah SAW pernah mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, yakni perkara baik dan buruk. Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: "Mahukah engkau aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini? Aku (Muaz) menjawab: Mahu wahai Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata: Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik. Aku (Muaz) pun berkata pula: Wahai Rasulullah SAW, apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami? Lalu Baginda SAW menjawab: Moga-moga Allah memelihara engkau. Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur katanya sendiri." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Akhir-akhir ini perkataan melaknat dan mengutuk sering menjadi mainan sesetengah individu atau kumpulan dalam masyarakat. Ucapan seperti itu hanya mengundang kemarahan dan perkara itu amat disenangi iblis.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullullah SAW ada menceritakan suatu kisah: - 
Pada zaman Bani Israil dulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap berbeza. Lelaki pertama suka berbuat dosa, sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah melihat temannya berbuat dosa, ia menyarankan rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya.

Suatu ketika, ahli ibadah itu berkata lagi: "Berhentilah daripada perbuatan dosa." Ahli maksiat pun menjawab: "Jangan pedulikan aku, terserah kepada Allah yang akan menilai perbuatanku. Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi setiap apa yang aku lakukan?" Ahli ibadah membalas:" Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah. "

Selepas kedua-dua ahli ibadah dan ahli maksiat itu meninggal dunia, Allah menghakimi kedua-dua mereka di hadapan-Nya. Allah menyoal ahli ibadah:" Adakah kamu lebih mengetahui daripada-Ku? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang berada dalam kekuasaan-Ku? "

Kemudian, Allah berfirman kepada ahli maksiat: "Masuklah kamu ke dalam syurga Berkat rahmat-Ku. Sementara kepada ahli ibadah dikatakan: Masukkan orang ini ke dalam neraka."

Sesungguhnya Allah menghukum ahli ibadah kerana dia sudah berbuat syirik kepada Allah dengan menentukan seseorang masuk ke neraka. Ini kerana kuasa menghukum mutlak milik Allah, bukan sekali-kali hak milik manusia yang tidak berkuasa atas makhluk lain.

sumber: taman2 syurga

22 Oktober 2013

Cara Syaitan Goda Agar Wanita Buka Aurat


Syaitan dalam menggoda manusia memiliki berbagai cara strategi, dan yang sering dipakai adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu, yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan (ammaratun bis su'). Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.

Berikut adalah cara bertahap:

I. Menghilangkan Definisi Hijab

Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar'i, pakaian, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian.

Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian ikut ganti juga. Demikian pula ketika seseorang berpindah dari suatu negeri ke negeri yang lain, maka harus menyesuaikan diri dengan pakaian penduduknya, apapun yang mereka pakai. Berbeza halnya jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar'i (identiti keislaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen ). Biarpun hidup bila saja dan di mana saja, maka hijab syar'i tetap dipertahankan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus. Caranya?

Pertama, Membuka Bahagian Tangan
Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). "Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik," Tu.. tidak apa-apa kan?

Kedua, Membuka Leher dan Dada

Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. "Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu." Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf "V" yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya.

Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang

Syaitan berbisik lagi, "Pakaian mu hanya gitu-gitu saja, tak "cool" cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ya? Si wanita berfikir. "Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang," syaitan memberi idea baru.

Maka tergodalah si wanita, dicarilah fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan "transparent". "Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin," begitu dia menokok-nambah. Walhasil pakaian tersebut akhirnya membudaya di kalangan wanita muslimah, makin hari makin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat 'ariyat (berpakaian tetapi telanjang).

Keempat, Agak di Buka Sedikit

Setelah para wanita muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru yang sepertinya "cool" dan "vogue", yakni dibisiki wanita itu, "Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, apa tak sebaiknya di belah hingga lutut atau mendekati paha?" Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energik." Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata membuat lebih selesa dan leluasa, terutama ketika akan duduk atau naik kenderaan. "Yah.... tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting enjoy," katanya.

Inilah tahapan awal syaitan merosak kaum wanita, hingga tahap ini pakaian masih tetap utuh dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar'i yang sebenarnya. Maka kini mulailah syaitan pada tahap berikutnya.

II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit
Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih hebat, tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya.

Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit
Syaitan Berbisik kepada para wanita, "Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang leluasa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki." Ini baru agak longgar. "Oh...... ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala....... orang tetap menamakannya dengan jilbab."

Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.

Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis
Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, "Ternyata kebanyakan manusia menyukai apa yang kamu lakukan, buktinya mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang leluasa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya terlihat kira-kira sepuluh centimetre saja." Nanti kalau sudah biasa, baru kamu cari fesyen baru yang terbuka hingga separuh betis."

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.

Ketiga, Terbuka Seluruh Betis
Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berhasil membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak menyelisihi para wanita di masa Nabi dahulu. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, "Ah jelas tidak, kan sekarang zaman sudah berubah, kalau zaman dulu para lelaki mengangkat pakaiannya hingga setengah betis, maka wanitanya harus menyelisihi dengan menjulurkannya hingga menutup telapak kaki, tapi kini lain, sekarang banyak lelaki yang menurunkan pakaiannya hingga bawah mata kaki, maka wanitanya harus menyelisihi mereka iaitu dengan mengangkatnya hingga setengah betis atau kalau perlu lebih ke atas lagi, sehingga nampak seluruh betisnya."

Tetapi? apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki," bersungut. "Fitnah? Ah...... itu kan zaman dulu, di masa itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama- sama suka? Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita maju di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita yang ketinggalan zaman."

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.

III. Serba Mini
Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian sehari- harian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. "Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah."

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi, pakaian malam, petang, musim panas, musim sejuk dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba. Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang sering disebut dengan "bikini". Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na'udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, "Menelanjangi Kaum Wanita."

Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan lelaki lain, di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu" Syaitan tak ingin ambil risiko.

Penutup
Demikian halus, cara yang digunakan syaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa. Maka hendaklah kita semua, terutama orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita kita sekecil apapun, segera secepatnya diambil tindakan. Jangan biarkan berlarut-larutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka akan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya. Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.


Dalam hal ini Allah S.W.T. telah berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat 59:“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. ”

dalam surah An-Nur ayat 31; "Dan katakanlah kepada perempuan -perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan ;janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau anak-anak mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. ”

Imam Syafie r.a berpendapat; perhiasan yang dimaksudkan yang dimaksudkan dalam ayat di atas terbahagi kepada dua makna iaitu:

1. Perhiasan yang bersifat semula jadi seperti muka, pipi mulut, mata, bibir, hidung, kaki, betis, peha dan lain-lain anggota.

2. Perhiasan seperti pakaian, alat-alat solek, cincin, rantai leher, gelang kaki dan sebagainya.

Oleh itu, umat Islam digalakkan mengawal diri agar tidak melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.


sumber: Kitab "At ta'ari asy syaithani", Adnan ath-Thursyah, dsb



13 Oktober 2013

Hayati Erti Pengorbanan Sejati di Ketika Aidil Adha



Pada 15hb. Oktober 2013 ini, kita umat Islam khususnya di Malaysia akan menyambut hari raya korban. Syukur alhamdulillah kita mungkin diberi sekali lagi kesempatan menyambut Aidil Adha dan menghayati segala yang terkandung di dalamnya. Rata-rata umat Islam di Malaysia, Indonesia, Brunei dan seluruh nusantara malahan seluruh dunia Islam yang berkemampuan telah menjalankan ibadah haji dan melakukan ibadah korban menurut kehendak agama kita. Mungkin kita berbuat semua itu atas alasan tuntutan agama Islam yang suci namun kerana keikhlasan yang ada kita terlupa bahawa itulah salah satu pengorbanan ikhlas yang telah kita berjaya lakukan. Bagi yang telah berkesempatan mengerjakan ibadah haji tidak pula kita berkira-kira untuk menabung wang bagi perjalanan ke tanah suci begitu juga bagi yang berkemampuan untuk melakukan ibadah korban tidak pula merasa sayang atau kikir untuk mengeluarkan wang bagi melakukan ibadah tersebut. Semoga semua keikhlasan itu akan menghampirkan dan meraih kasih sayang serta kecintaan Allah SWT terhadap kita semua.Bagi yang kurang berkemampuan kita masih punya peluang untuk berbuat ibadah yang terbaik dengan penuh keikhlasan demi meraih kasih sayang Allah SWT - jangan berkira masa dan jangan berkira membantu orang yang memerlukan bantuan dan pertolongan.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Dan rentetannya Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim a.s, Siti Hajar dan Ismail a.s. Siti Hajar berkata:"Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti."
Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail a.s berkata kepada bapanya: Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih". Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.
Perkara Nabi Ibrahim a.s hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan: Nampaknya Nabi Ibrahim a.s mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya".

Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim a.s tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya: Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku."

Kemudian Nabi Ibrahim a.s pun melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu mengeluarkan pedangnya dan menyembelih leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim a.s. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim a.s pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Allah kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat daripada Allah SWT.

Untuk kali ini Fakir terpanggil untuk berkongsi dengan semua tentang sebuah lagi pengorbanan yang sejati yang kita telah acapkali membaca atau mendengar kisahnya yang sangat mengharukan. Biarlah kita sekali lagi membaca dan menghayatinya agar ianya membangkitkan semangat dan kesungguhan kita dalam memperkukuhkan iman kita kepada Allah SWT dengan lebih ikhlas lagi sehingga membawa kita untuk berkorban apa saja demi agama suci yang benar ini.

SUMAYYAH BINTI KHABATH

Sumayyah binti Khabath adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi hambanya.

Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa.

“Mereka sudah menyahut ajaran Muhammad walaupun ditegah oleh pihak atasan Quraisy. Kamu akan menerima balasan kerana ingkar perintah kami,” kata Abu Jahal kepada pengikutnya sambil menarik keluarga Yasir yang terikat ke kawasan padang pasir di luar kota Mekah.

“Mereka tidak serik dengan hukuman kita walaupun pengikut agama yang dibawa Muhammad telah diseksa oleh kita,” kata seorang bangsawan Quraisy yang berjalan di sebelah Abu Jahal.

“Kali ini saya tidak akan bebaskan mereka bertiga sehingga mereka mengaku berhala-berhala kita sebagai tuhan mereka,” tegas Abu Jahal yang mengacah tombaknya ke arah keluarga Yasir yang diseret secara kasar oleh pengikut Abu Jahal.

Mereka berhenti di kawasan lapang yang dipenuhi bongkah batu besar. Yasir, Amar dan Sumayyah ditanggalkan pakaian mereka lalu diikat pada bongkah batu yang panas mendidih dipanah matahari padang pasir.
Kaki dan tangan mereka diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak seinci pun. Abu Jahal, pembesar Quraisy dan pengikut setianya ketawa melihat penderitaan ketiga beranak itu.

“Kamu akan diseksa dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad. Kamu akan dibebaskan jika kamu sanggup mengaku berhala-berhala di kota Mekah ini sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal mula mengambil tali sebat bagi menakutkan Yasir, Sumayyah dan Amar.
“Kami tidak akan mengaku berhala-berhala itu sebagai tuhan kami. Hanya Allah Tuhan kami,” balas Yasir dengan tenang.
“Saya beriman dengan Allah sahaja,” kata Sumayyah pula.
“Berani kamu melawan kata-kata saya,” api kemarahan Abu Jahal semakin membara mendengarkan kata-kata Sumayyah itu tadi.
“Ini balasan kepada kamu kerana enggan menerima berhala-berhala sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal dan pengikutnya mula menyebat tubuh Yasir, Sumayyah dan Amar dengan kejam. Hinggakan darah mengalir daripada tubuh mereka yang terikat pada bongkah batu yang panas dipanah matahari tengah hari.

Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka.

“Kita lihat berapa lama kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah kepanasan matahari ini,” sindir Abu Jahal sambil memandang wajah Yasir dan Sumayyah dengan bengis.
“Tiada tuhan melainkan Allah,” kata Yasir, Sumayyah dan Amar merintih dalam kesakitan memakai baju panas.
“Letakkan batu besar ke atas badan Yasir,” arah Abu Jahal lagi kerana geram mendengar kata-kata Yasir sekeluarga.
Seksaan demi seksaan ke atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan menyebut nama Allah tanpa menerima agama berhala Abu Jahal.

Walaupun hati Sumayyah hancur melihat suaminya mati akibat seksaan Abu Jahal yang kejam, dia gembira kepada suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.
“Kamu pun mahu mati seperti suami kamu. Lebih baik kamu terima tawaran aku sebelum ajal kamu tiba!” Abu Jahal mahu menunjukkan yang seksaannya mampu mengubah pendirian pengikut Nabi Muhammad kepada ajaran berhala.
“Jangan kamu berharap saya akan menurut kata-kata kamu itu. Tiada tuhan melainkan Allah,”. Hati Sumayyah keras seperti batu teguh pada keimanannya pada Allah.
“Kamu sudah semakin degil dan melawan kata-kata aku!” Abu Jahal mengambil tombak dari tangan kanannya lalu dicucuk ke dalam alat sulit Sumayyah.

“Allahu Akbar”. Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman tombak Abu Jahal itu.
Kematian Sumayyah dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan keimanan pada Allah adalah peristiwa penting dalam sejarah pengembangan agama Islam. Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam.

PENGORBANAN  SUMAYYAH

Pertama, berani menyatakan yang hak.
Beliau dengan beraninya mengumumkan keislamanya dengan kuat kepada seluruh orang kafir Quraisy sehinggakan orang kafir Quraisy memusuhinya.

Kedua, sanggup mempertaruhkan nyawa kerana mempertahankan kesucian Aqidah.
Selepas sahaja beliau serta keluarganya mengumumkan pengislamannya maka Bani Makhzum mengarahkan beliau ditangkap dan disiksa agar Sumayyah serta keluarganya murtad dari agama islam.Mereka memaksa dengan cara menyeret mereka ke padang pasir tatkala cuaca sangat panas dan menyengat. Mereka membuang Sumayyah ke sebuah tempat dan menaburinya dengan pasir yang sangat panas, kemudian meletakkan diatas dadanya sebongkah batu yang berat, akan tetapi tiada terdengar rintihan ataupun ratapan melainkan ucapan Ahad….Ahad...yang diucapkan beliau.

Ketiga, memberi contoh yang baik dalam memperjuangkan agama Islam.
Tatkala para Thaghut telah berputus asa mendengar ucapan yang senantiasa diulang-ulang oleh Sumayyah maka musuh Allah, Abu jahal melampiaskan keberangannya kepada Sumayyah dengan menusukkannya sangkur yang berada dalam genggamannya ke tubuhnya. Maka terbanglah nyawa beliau dari raganya yang beriman dan bersih. Dan beliau adalah wanita pertama yang syahid dalam Islam. Beliau gugur setelah memberikan contoh yang baik dan mulia bagi kita dalam hal keberanian dan keimanan, yang mana beliau telah berkorban dan redhakan segala apa yang beliau miliki, dan menganggap remeh kematian dalam rangka memperjuangkan imannya. Beliau telah mengorbankan nyawanya yang mahal dalam tujuan meraih keredhaan Rabbnya.

Selamat menyambut Aidil Adha kepada semua saudara-saudara dan para sahabat pengunjung selasar yang terpencil ini.



01 Oktober 2013

30 Orang Pertama Dalam Islam


Fakir nak berkongsi apa yang telah dikongsikan oleh sahabat zaman sekolah dulu yang telah dipaparkan dalam grup yang telah tersedia untuk pelajar-pelajar lama. Jadi rasanya berbaloi kalau Fakir kongsikan di sini bersama sahabat-sahabat semua. Cuma sumber yang diambil tidak pula Fakir ketahui.


30 ORANG YANG PERTAMA DALAM ISLAM

1. Orang yang pertama menulis Bismillah : Nabi Sulaiman AS.

2. Orang yang pertama minum air zamzam : Nabi Ismail AS.

3. Orang yang pertama berkhatan : Nabi Ibrahim AS.

4. Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat : Nabi Ibrahim AS.

5.. Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat : Nabi Adam AS.

6. Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah : Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS)

7. Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat : Nabi Muhammad SAW.

8. Orang yang pertama menjadi khalifah Islam : Abu Bakar As Siddiq RA.

9. Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah : Umar bin Al-Khattab RA.

10. Orang yang pertama meletakkah jawatan khalifah dalam Islam : Al-Hasan bin Ali RA.

11. Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW : Thuwaibah RA.

12.. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki : Al-Harith bin Abi Halah RA.

13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita : Sumayyah binti Khabbat RA.

14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran : Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA.

15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah : Saad bin Abi Waqqas RA.

16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan adzan: Bilal bin Rabah RA.

17. Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW : Ali bin Abi Tholib RA.

18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW : Tamim Ad-dary RA.

19. Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah : Az-Zubair bin Al-Awwam RA.

20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW : Ibban bin Othman bin Affan RA.

21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW : Khadijah binti Khuwailid RA.

22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh : Imam Syafei RH.

23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam: Ali bin Abi Tholib RA.

24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam : Muawayah bin Abi Sufyan RA.

25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam : Harun Ar-Rasyid RH.

26. Orang yang pertama mengadakan baitul mal : Umar Al-Khattab RA.

27. Orang yang pertama menghafal Al-Qur'an selepas Rasulullah SAW : Ali bn Abi Tholib RA.

28. Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah : Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur RH.

29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry : Mus'ab bin Umair RA.

30. Orang yang pertama masuk ke dalam syurga : Nabi Muhammad SAW



26 September 2013

Rahsia Tidur dan Solat Tahajjud



SOLAT Tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sebagai shalatulail. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.
Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.

1)TIDUR DAN SOLAT TAHAJUD
Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis, seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.
Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian - tidur ayam dan tidur lelap. Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selama tiga jam. Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.
Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur, mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk (drowsiness) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.

2)Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya.Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti :
1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.
2. Tunaikan solat Isyak sebelum tidur.
3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.
4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.
5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bulan kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga/empat jam sahaja.

Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktor dari China - Dr Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.

Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam. Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhn mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.” ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

3)IBADAH TENGAH MALAM DAN AWAL PAGI DALAM AGAMA LAIN
Penulis pernah bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru dan ketua agama yang bukan Islam seperti Buddha, Kristian, Tao, Confucious dan Sikh. Dalam perhatian penulis, mereka juga mengadakan amalan pada tengah malam seperti ‘berzikir’ dan membaca kitab suci agama mereka. Untuk mengelak dari rasa mengantuk, mereka berlatih tidur hanya lebih kurang tiga jam atau empat jam sehari malah ada yang kurang dari itu. Antara agama yang dimaksudkan itu ialah agama Buddha, Kristian, Tao, Confusius dan Sikh.

4)PENDAPAT AHLI SASTERA BARAT
Terdapat juga ahli sastera barat yang menceritakan mengenai kelebihan mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang cemerlang.
Bila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka, mereka menjawab : “The woods are lovely, dark and deep but I have promises to keep and miles to go before I sleep.”
Maksudnya “Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulu sebelum saya tidur.”
“The heights by great men reached and kept were not attained by sudden fight. But while their companions sleep were toiling upwards in the night.” - Longfellow
Maksudnya “Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur.”
Ini jelas menunjukkan mereka meminimakan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

5)Sekarang kita kembali kepada perbincangan solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur.
Dari segi fikiran logik, kita tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui.
Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan gerak saliran darah. Kedua-dua oksigen dan gerak otot itu sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh badan manusia. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidak merasai nikmat oksigen segar ini.

6)RAHSIA PERGERAKAN OTOT DALAM SOLAT
Cuba kita kaji pergerakan otot-otot kita ketika solat.
Secara kasar, pada mula kita berdiri tegak ( qiyam ) kemudian angkat kedua tangan bertakbir dan letakkan tangan di atas pusat - kita telah membesarkan rongga dada kita manakala paru-paru akan terasa luas serta menggerakkan otot di kedua belah tangan.
Ketika ruku’ dengan badan membongkok ke depan dan kedua tangan di atas kepala lutut dan punggung mendatar ( parallel to the ground ) sekaligus ianya menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tulang tungkin.
Waktu sujud pula, seluruh berat badan terpikul sepenuhnya di atas otot-otot kedua-dua tangan, kaki. dada, perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Lihat sahaja pada waktu sujud ini berapa banyak otot dan persendian yang kita gerakkan.
Setelah itu kita bangkit dari sujud. Kita duduk, kemudian kita sujud lagi dan selepas itu kita berdiri kembali. Dalam gerak badan kali ini kita telah secara automatik menggerakkan sejumlah besar otot-otot di dada , bahu, lengan, perut, punggung, peha, kaki bahagian bawah an lain-lain otot lagi.
Selain dari itu kita juga melakukan dua macam duduk - pertama duduk antara dua sujud dan kedua duduk tahiyat. Kedua-dua jenis duduk ini menggerakkan tumit , pangkal peha, kelengkang, jari-jari kaki dan lain-lain. Dalam kita memberi salam juga kita gerakkan otot-otot leher tengkuk dan lain-lain.
Kalau kita lihat dari dua perkara tersebut di atas iaitu mendapatkan oksigen yang istimewa dan gerak otot-otot yang semuanya ini sudah tentu akan memastikan kesihatan tubuh badan kita.
Solat tahajud juga boleh menjauhkan penyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat dari tidur malam.


15 Ogos 2013

Lima Cara Pilih Sebenar-benar Sahabat


NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya:

Pertama,
pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua,
pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya)..

Ketiga,
pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat,
pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka 
membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima,
sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu. Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.



12 Ogos 2013

Salam Fitrah - Maher Zain : Ramadhan (versi Melayu)

Selamat menyambut Aidil Fitri, semoga kita semua kembali kepada fitrah yang sebenar iaitu kembali bertaat kepada Allah dengan sebaik-baiknya. Fakir ambil kesempatan kali ini memohon maaf lahir dan batin kepada sahabat-sahabat semua seandainya ada celoteh Fakir yang telah menyinggung hati sesiapa yang membacanya. Walau agak lewat ucapkan selamat hari raya namun kita masih berada di awal Syawal lagikan.Walaupun hari kemenangan untuk orang yang berpuasa telah hadir di mata namun ianya terus sugul di hati, entah kenapa raya kali ini Fakir tidaklah begitu seronok untuk menikmatinya mungkin dek kerana Fakir telah benar-benar lalai sepanjang Ramadhan kali ini. Mungkin kerana berdepan dengan berbagai masalah hingga menjadi manusia yang paling lalai dan mensia-siakan Ramadhan kali ini. Terasa di hati adakah ini Ramadhan yang terakhir dalam hidup ini, alangkah malangnya si Fakir ini yang telah mensia-siakan bulan kecintaan ini. Ampunilah diri ini Ya Allah yang telah lalai dan lengah dalam mengingati dan mentaati padaMU sepenuhnya apatah lagi dalam bulan yang mulia yang telah berlalu pergi tanpa menoleh lagi.






Lirik Lagu Ramadan – Maher Zain (Versi Melayu)
Ku menantimu
Saban waktu
Bangkit jiwaku
Kau suluh hatiku
Dengan sinar
Kudus kasihmu
Ku harap kan terus
Bersamamu selamanya
Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan
Ku mohon usah pergi
Rahmat melimpah
Damainya ku rasakan
Ramadan bulan al-Quran
Mendidik jiwaku
Menyuburkan iman
Ku harap kan terus
Bersamamu selamanya
Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan
Ku mohon usah pergi
Sememangnya kau ku nantikan
Hadirmu hidupkan suram di jiwaku
Dan ku berjanji
Akan ku teruskan
Semangatmu itu
Sepanjang hidupku
Oh Ramadan
Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan
Ku mohon usah pergi [2X]
Ku mohon usah pergi

07 Ogos 2013

Fadhilat Tarawih Malam Keduapuluh Sembilan/ Tiga Puluh dan Tazkirah


Tiada sesiapapun meragui di atas malangnya seseorang yang samada ditolak ataupun sendiri menolak segala kebaikan besar di malam lailatul Qadr. Siapakah yang meragui ke atas sidia yang terlepas daripada kenikmatan yang telah dianugerahkan? Sesungguhnya terdapat ramai daripada kita semua semasa berkhidmat dan di dalam menjalankan tugas-tugas pekerjaan mereka terpaksa berjaga malam untuk sepanjang-panjang tahun. Apakah sukarnya bagi mereka-mereka ini untuk berdiri selama sebulan di jalan Allah semata-mata untuk mendapatkan ganjaran yang lebih daripada lapan puluh tahun ibadat? Kepada mereka ini tidaklah menjadi begitu sukar tetapi oleh kerana kurangnya minat, maka tidaklah ada desakan daripada hati mereka untuk berbuat demikian. Jikalau ianya ada, maka bukan sahaja semalam malah seribu malam sekalipun akan menjadi semakin senang  di dalam menyembah Allah SWT.

Desakan dan keinginan itulah yang mesti kita wujudkan. Lihatlah kepada Rasulullah SAW. Baginda maksum dan berkali-kali dijanjikan bahawa tidak apa-apa yang perlu baginda perlu risaukan dan takutkan di hari akhirat. Namun malam demi malam baginda beribadat sehinggakan kaki-kaki baginda SAW menjadi bengkak. Tidak pula dinafikan ramai daripada umatnya yang soleh yang menuruti jejak langkah serta sunnah baginda SAW. Mereka juga manusia biasa seperti kita dan kita tidaklah boleh menafikan atau berkata adalah mustahil bagi kita untuk mendapatkan keinginan yang sama untuk beribadat.

 Marilah kita lihat orang-orang soleh yang agung ini, salah seorang daripadanya ialah Saidina Umar al Khattab r.a yang mana setelah selesai melaksanakan solat Isya' kembali ke rumah dan terus bersolat sepanjang malam sehinggalah kedengaran azan subuh. Kemudian terdapat pula contoh yang ditunjukkan oleh Saidina Osman r.a yang selepas berpuasa untuk satu hari (hampir-hampir sepanjang tahun) dan menghabiskan pula sepanjang malamnya dengan bersolat disamping tidur hanya untuk beberapa ketika pada permulaan malam. Beliau juga sangat mahsyur dengan pembacaan seluruh al Qur'an di dalam satu rakaat dengan sekali pembacaan di dalam solatnya. Di dalam Ihya Ullumuddin karya Hujjatul Islam Imam al Ghazali, Abu Talib Makki  telah menyebut mengenai empat puluh tabi'in yang pernah melaksanakan solat subuh dengan wuduk yang sama yang mereka gunakan untuk bersolat Isya'

Fadhilat Tarawih Malam Keduapuluh Sembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

Fadhilat Tarawih Malam Ketigapuluh
Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.