Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

03 Ogos 2019

DIA kesayanganku, dia permaisuri hatiku


“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum 30:21)

Dalam hadis, Baginda SAW  bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku". (riwayat al-Tarmidzi).

Hakikatnya Allah SWT menjadikan isteri itu sebagai pasangan buat lelaki adalah merupakan anugerah dan bukannya hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya dan damai apabila dia merasakan dirinya mendapat anugerah yang istimewa daripada Allah SWT. Dan rasa kekayaan itulah yang dirasai apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak pernah akan merasa cukup dengan pemilikan itu, dan sentiasa merasa gelisah  serta berwaspada akan kehilangannya.

Sering seorang lelaki yang juga merupakan suami merasakan bahawa dialah ketua dan dialah yang paling tinggi kedudukannya di dalam keluarga. Sehingga seorang isteri itu perlu taat kepadanya. Kenyataan bahawa “syurga isteri itu bergantung pada redha suami” menjadikan suami kadangkala  menjadi bertambah ego hingga lupa bertanya diri di mana pula syurganya?

Pernahkah suami bertanya di mana syurganya di dalam rumah tangga?

Keluarga adalah lubuk kebahagiaan apabila kita mampu membahagiakan ahli keluarga. Kebahagiaan kita kecapi mencerminkan sebanyak mana kemampuan diri kita membahagiakan pasangan dan anak–anak.

Ramai yang mengejar bahagia hanya untuk diri sendiri tanpa ada keinginan untuk membahagiakan orang lain. Bahagia yang di cari penderitaan yang menjengah.
Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang berlemah lembut dengan ahli keluarganya. Kita para suami, lihatlah ke dalam diri kita. Apakah hari ini akhlak kita baik dengan isteri dan anak-anak kita? Atau adakah kita sebaliknya?

Janganlah jadi lelaki yang tidak bagus akhlaknya. Apabila dia bersama-sama kawan-kawannya, perangainya sangat baik. Jika kawan-kawannya dalam kesusahan, dia sanggup menolong. Bahkan sanggup membelanjakan kebanyakan wangnya untuk mereka. Sedangkan kawan-kawannya tidak sentiasa ada bersama dengannya ketika susah. Isterilah yang setiap masa bersamanya mengharungi suka duka kehidupan.

Kita perlu yakin dan percaya bahawa setiap isteri telah melakukan banyak sumbangannya kepada suami dan anak-anak. Maka, sentiasalah muhasabah dan fikir-fikirkan serta imbang-imbangkanlah dengan kesalahan atau kesilapan yang mereka lakukan. Jika ini kita dapat lakukan, maka sudah pasti kita akan dapat melihat kesilapan mereka adalah kecil berbanding pengorbanan yang mereka lakukan.

Kita manusia, isteri dan anak-anak juga adalah manusia. Sesungguhnya, sebagai manusia, sudah tentu tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang tidak melakukan kesilapan. Pasti ada. Bahkan kita juga sudah pasti ada melakukan kesilapan yang sama. Cuma barangkali ia terhijab dan tidak diketahui orang lain. Barangkali kesilapan itu hanya kita dan Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Maka, untuk itu, tidak salah sekiranya kita menutupi kesalahan isteri dan anak-anak dengan kebaikannya.

Perkahwinan yang tidak didasarkan kepada perasaan kasih terhadap satu sama lain, tidak disulami dengan kemesraan adalah satu perkahwinan yang tidak bahagia dan tidak bermakna.

Justeru, Rasulullah SAW sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaik-baiknya. Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah SAW mengadu mengenai layanan buruk diterima daripada suami mereka.Tidak dapat dinafikan, manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan bersabar dan tidak memperbesarkan kelemahan itu.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub a.s kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun."

Bersama kita renungi kisah seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab r.a untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.

Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya, "Jika beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku? Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.

Lelaki itu berkata, "Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku: Jika begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?

Umar berkata kepadanya, "Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku. Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya.

Lelaki itu menjawab, "Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku. Umar pun berkata kepadanya: Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika."

Oleh itu belajarlah menyayangi isteri dengan lebih jujur dan ikhlas, jangan sia-siakan anugerah dan amanah yang Allah kurniakan kepada kita para suami. Bertengkar dan bermasam muka itu lumrah sebuah perkahwinan… sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Mudah saja untuk memurnikan hubungan suami isteri seandainya kita mengambil jalan berlapang dada, buangkan ego yang melampau-lampau sebagai ketua keluarga dan bertolak ansur dan menerima kritikan secara rela dan berfikiran terbuka.

DIA kesayanganku, dia permaisuri hatiku, dia sentiasa di sanubariku…..DIAlah isteriku. Terimakasih buat isteri tercinta kerana menerima diri fakir yang sefakir-fakirnya ini sebagai peneman hidup. Walau hidup tidak sesempurna dan segembira pasangan lain.. namun kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan yang tiada penghujungnya menjadi antibiotik paling kebal dalam kehidupan kita.

اَللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مَوْلاَنَا مٌحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ فِي كٌكِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ

02 Ogos 2019

Coretan Anak Ku: Perjalanan Hidup Lulu


Ini adalah entri tentang seekor kucing kesayangan anak-anak fakir. Fakir terjumpa hasil luahan hati anak bongsu fakir tentang Lulu yang disembunyikan dari sesiapapun. Alhamdulillah fakir punya keluarga yang amat mengasihi haiwan, sanggup berkorban walau wang ringgit demi keperluan haiwan-haiwan seperti kucing dan anjing. Bukan bermaksud keluarga kami membela anjing tapi anak-anak fakir sanggup memberi makan walau pada seekor anjing jalanan yang kelaparan.. sifat-sifat Maha Kasih Sayang Allah terzahir pada diri anak-anak fakir. Bukan tujuan untuk berbangga dengan anak-anak namun tujuan entri kali ini hanya nak berkongsi betapa kasih sayang mereka pada haiwan-haiwan yang dibela mahupun hanya diberi makan. Fakir dah minta izin padanya untuk dikongsi di dalam blog usang ini. Coretan ini sama sekali fakir tidak edit dan menyalinnya secara total masuk ke dalam entri kali ini. Maaf , tulisan satu-satunya serikandi fakir ini mengikut naluri dan caranya tersendiri. Sungguh Lulu merupakan satu-satunya kucing yang betul-betul unik buat keluarga kami. Dia paling menghiburkan dalam puluhan ekor kucing yang pernah kami rawat dan bela. Inilah coretan luahan hati anak gadis fakir yang berusia dua belas tahun: - 

Setiap kali aku sampai di sekolah, hati aku tersentuh melihat seekor anak kucing yang melangkah longlai. Aku tahu dia kelaparan, so aku bagi ja apa yang aku makan. Selalu dia akan datang duduk sebelah aku, mengharap aku bg makanan kat dia. Sayu sungguh hati aku bila melihat sikecil yang kurus tu.Bila balik ke rumah aku ceritakan kisah kucing tu pada ibu dan ayah aku.Ibu memang tak berapa suka bela kucing, ibu takut berak kencing merata. Terbantut hasrat aku nak bawa sikecil tu balik. Seblm tidur aku terbayang dia...kesiannya tanpa ibu disisi..lapar..sejuk, rasa macam nak nangis bila teringat dia.Aku tk sabar menunggu siang untuk tgk sikecil tu...walaupun tak comel...aku suka dia. Selalu dia main2 dgn aku, gigit beg sekolah..dia ttp comel di mata aku.
       
Suatu hari aku ternampak ada beberapa org bdk lelaki menyepak sikecil aku ke sana sini mcm bola, yg sedihnya.. sikecil aku dibuang dlm tong sampah..dah mati ke dia? Alhamdulillah aku nampak dia masih bernafas...aku nekad, aku nak bawa balik rumah, pasal ibu, nanti aku pujuk pelan2. Sewaktu masa balik..ayah yg datang ambil aku...syukur..ayah benarkan aku bawa balik sikecil. Ibu tak ada...kerja..., aku wasap ibu, tunjuk gambar sikecil kesayanganku. Ibu tanya aku gambar apa tu?..aku tergelak..kucing la ibu..ibu kata, kenapa comey sgt. Ish...ish.. sadis betul ibu ni, tp aku seronok sgt sbb ibu izinkan aku pelihara sikecil dgn syarat kencing atau berak dia aku dan abang2 aku yg cuci. Yes...misi mencari nama sikecil..tunggu ibu balik keja.Tak sabar rasa hati aku.
        
 Malam tu, kami masing2 bagi cadangan nama, tp ibu yg lebih2..tak suka kucing, tapi dia yg sibuk nak boh nama..hahaha..ibu2. Sebagai menghormati org yg lbh tua  .kami terima idea ibu. Sejak dari itu sikecil aku dah ada nama. Lulu nama dia. Ibu kata ibu tambah sikit lg nama dia Lulu Malik, sbb dia dari sekolah Malik. Mcm2 ibu ni...ayah gelak ja.
        
Ada masalah pulak lulu ni...dia kecik lagi, tak da mak..camana nk minum susu. Ibu pegi kedai beli botol susu, dan susu segar..bg lulu minum tapi dia tk pandai..nasib baik tak berapa lama ada sekor ibu kucing di rumah aku beranak...anak2 dia mati, mmg rezki lulu, dia jd ank angkat ibu kucing tu. Lega aku rasa..lulu makin sihat dan membesar...ceria ja dia...tp ada satu lg masalah, dia tk pandai makan makanan lain...asyik minum susu ja, air pun tk pandai minum. Bila ayah suap ..dia luahkn makanan tu..ayah pegi klinik haiwan, beli vitamin.
       
Puas juga la ajar siLulu ni...baru dia pandai makan.Lawak la lulu ni air tetap tk pandai minum, kena paksa... Sejak duduk dgn kami, hidup dia ceria sgt, manja dgn keluarga aku. Suatu hari tu..aku dgr anjing menyalak kuat dpn rumah aku. Aku menjerit bila melihat lulu digigit oleh anjing tu..kesian lulu..tuan anjing tu menepuk2 kepala anjing suruh lepaskan lulu dari mulut anjing . Aku dah menangis..bila anjing tu lepaskn lulu, lulu longlai tak bermaya, badan lulu luka..air liur anjing membasahi badan kecil lulu. Nasib baik abg aku ada di rumah masa tu..abg ambik cangkul, cari tanah untuk samakkan lulu katanya. Lepas abg jirus dia dgn air tanah..dan air bersih, abg sabun badan dia. Mlm tu lulu demam teruk, hilang terus ceria dia. ..sekali dgn ceria aku.Aku sedih sgt..ibu pun sama, sedih sampai nangis dengan keadaan lulu. Ibu srh ayah bg lulu vitamin utk selera mkn. Kesian Lulu msh terkejut, truma agaknya , dekat tiga empat hari baru ok.

Lulu kembali seperti biasa, lega aku tgk dia, makin nakal...tapi ada satu perangai Lulu yg buat ibu angin...hihihi...Lulu suka berak dlm pinggan makanan dia, heeeiii pengotor la Lulu ni, bekas sisa organik Lulu iaitu pinggan dia ibu buang, esoknya ibu bagi pinggan lain...tgk2 dia buat perangai yg sama, ibu marah2 Lulu..last2 ayah kata biaq pi la kat dia..kita bg satu pinggan khas kat dia jadi toilet dia...hahaha...ayah jadi tukang cuci jamban Lulu. Ibu tak mau cuci...geli kata ibu.
       
Lulu...last2 jd kawan baik ibu, bila ibu pegi bilik air, lulu setia tunggu kat pintu, ibu masak dia tunggu kat meja, ibu tgk tv dia duduk dkt kaki. Jeles aku..hahaha..Malam kemarin lulu hilang, ibu dgn abg pegi cari..pusing satu taman. Tak jumpa...mlm tu semua pakat sedih. Masing2 terbayang keadaan Lulu di luar sana. Ibu kata entah2 anjing tu makan dia. Aku sedih bila ibu cakap camtu. Mmg nak kena anjing tu. Esok pagi masa buka pintu aku, besar harapan aku utk tgk Lulu ada menunggu aku, tunggu makanan...tapi sangkaan aku meleset, Lulu tak ada. Di sekolah hati aku tak senang...teringat Lulu yang hilang. Balik dari sekolah aku tak sabar tanya ibu..masih lagi Lulu tak balik. Ibu kata..tak pa la..dah nasib dia nak hilang. Terkenang Lulu ..hilang selera makan aku. Masuk hari ke tiga Lulu hilang, mmg kami dah redha tapi tetap rasa sedih. Masing masing menyesal sbb pernah marah Lulu, tambah2 lagi ibu. 

Hari Jumaat, ayah tgh bersiap nak pergi solat jumaat, bawa abg chik aku. baru lima minit ayah pergi, terdengar abg chik aku panggil ...ibu, ibu,...cuba tgk ni. Aku rasa nak melompat tgk Abg chik tgh pegang Lulu. Ibu pun sama..rupa2nya Lulu sesat, ayah jumpa dekat rumah bangla hujung taman , kesian Lulu, sdh kurus..apapun semua happy tgk Lulu.
        
Aktiviti Lulu mcm biasa. Dia dah tak berani keluar dari pagar rumah. Tau gak erti takut Lulu ni...takut sesat lagi la tuSatu hari Lulu sakit lagi demam, tak mau makan. Sayu ja aku tgk muka dia. Bagi dia makan..tp..dia tk sentuh pun. Dia tak lalu makan...esk pagi lulu hilang lagi..cari punya cari jumpa dkt tong sampah. Lulu lemah..sbb tak makan dah dua hari. Ibu kata nanti esk ibu beli ubat.
 Balik dari sekolah aku tgk lulu terbaring kaku..Ya Allah lulu..ibu kata..sabar, dah sampai masa dia, tapi ibu pun menangis.Ibu ralat sebenarnya..lulu tak sempat makan ubat yg ibu beli. Tiada lagi sikecil ceria yg menyambut aku balik dari sekolah..menemani aku buat homework...tarik rambut aku...gigit stokin aku...😣

اَللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مَوْلاَنَا مٌحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ فِي كٌكِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ