Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

28 Oktober 2010

Gelora Hidup


Hidup ini adakalanya dikelilingi oleh rasa suka dan gembira, adakalanya penuh dengan rasa duka dan kecewa dan selebihnya punya semangat dan pengharapan setinggi gunung. Yang datangnya itu kalau membawa suka dan gembira pasti jiwa rasa lapang dan akan  menghamburkan wangian keceriaan. Manakala yang datang mengusung duka dan kecewa pula sudah tentu akan dihurungi oleh kekusutan dan patah hati serta semangat. Ibarat panah beracun yang tertancap tepat ke jantung dan meresap ke seluruh anggota.

Hidup fana ini sesungguhnya penuh dengan liku dan ujian yang tidak akan terduga sama sekali. Dalam gembira ia menyelinap dan dalam kecewa ia menyusup bersama. Maka terhimpunlah seribu satu watak yang bercampur baur dalam setiap diri yang fana ini pula. Adakala penantian membawa kejutan yang amat sangat ibarat terenjat kuasa elektrik yang amat tinggi. Adakalanya pula pengharapan tenggelam tak akan timbul-timbul ibarat disapu oleh tsunami yang dahsyat. Meniti hidup yang sementara ini sesungguhnya amat payah untuk meneka liku-likunya. Benarlah keberadaan kita di dunia majazi ini hanya untuk dinilai sejauh mana ketahanan yang berkota dalam diri dan sejauh mana pula kita sedar akan pengakuan kita kepada Allah SWT sejak azali lagi.

Hidup ini sesungguhnya umpama lukisan abstrak yang sukar dimengerti akan maksud dan kiasannya yang tersirat. Hanya Sang Pencipta sajalah yang tahu akan maksud dan tujuannya kerana semua itu adalah karyaNya. Sulit dimengerti akan seribu rahsia yang terconteng dalam diri kalau ditinjau hanya dari sudut pandang mata kasar dan mengikut logika semata. Yang perit itu tidak semestinya berkekalan sulit manakala yang bahagia itu tidak pula semestinya terus menerus dalam kesegaran rasa. Jangan pula sampai terliur dengan  kenikmatan yang tak bertahan dan jangan pula tersungkur dek derita yang belum tentu membawa bencana.

Terkadang yang membawa seribu kejujuran tak punya sedikit pun ruang untuk ditampilkan kehadapan manakala yang membawa sejuta kepuraan akan dikagumi dan disanjungi. Maka menerpalah pelbagai bisikan kehampaan yang menarik ke lembah hina, maka tercucuklah hidung dengan tali nafsu  ibarat lembu yang patuh mengikut ke mana kemahuan tuannya.

Suhu pengharapan yang tinggi diiringi dengan doa dan keyakinan adakalanya pula hancur berderai ditengah jalan ibarat kaca di puncak gunung terhempas di tanah datar. Keyakinan dan pengharapan yang memanjat usaha diri belum tentu dapat dituai hasilnya di depan mata. Sebaliknya perkara lebih memedihkan akan melukai keyakinan dan pengharapan yang ada ibarat belati merobek isi. Yang diharap tinggal harapan dan yang dinanti tak pernah kunjung tiba.

Inilah rahsia di dalam rahsia untuk lebih mengenali diri sendiri sebelum mengenali Pencipta Sejati. Segala restu hidayah yang sedang menanti tidak akan pernah jemu untuk menyambut dan menyapa mesra bagi yang lulus ujian dan melepasi segala liku yang ada. Mengharungi lautan hidup bukanlah mudah, apatah lagi untuk menemukan daratan kebahagiaan yang baqa. Layarnya mestilah berjenama keredhaan - yang teguh yang tidak mudah carik dek sapaan ribut dan pendayungnya pula wajiblah bermutukan kesabaran yang tidak mudah reput dek masinnya laut dan teriknya mentari! Pada akhirnya menitislah airmata menerima segala anugerah kurniaNya yang tidak pernah terbayangkan.

27 Oktober 2010

Bersatulah hendaknya kita ini...

Hari ini barulah Fakir rasa ketagih nak berceloteh apatah lagi merapik meraban sebab dah agak lama rasa malas dan letih bercampur baur. Niat nak berkongsi apa yang terlintas dikotakfikir, apa yang didengar dan terlihat oleh mata telinga ini dan berkongsi segala rasa bersama teman-teman yang mengunjungi blog yang tak seberapa ini sering ditangguhkan. Mungkin kelemahan fakir ini ialah suka menangguh apa-apa yang dicadangkan bila diri diselubungi kepenatan.

Rasanya semua kita telah sedia ketahui bahawa sejak dua menjak ni, hubungan diantara negara kita Malaysia dan negara saudara kita Indonesia agak renggang dek kerana isu-isu yang terlalu remeh diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak yang pasti mempunyai agenda-agenda tersendiri. Walhal isu yang diperbangkitkan boleh diselesaikan secara diplomatik dan bertolak ansur. Kedua belah pihak perlu lebih berfikiran terbuka dan bersikap sedia menerima teguran serta pandangan sebelah pihak lagi. Kita punya susur galur yang amat kuat, bermula dari keturunan nenek moyang yang sama malah bahasa kita juga merupakan bahasa yang hampir sama dipertuturkan setiap hari, punya adat dan seni yang tidak jauh berbeza dan punya ciri-ciri semangat bangsa yang sama. Bukankah semua itu merupakan penyatuan yang sudah terjalin utuh sejak berkurun lamanya. Pandanglah kebelakang dan sedarlah yang kita ini punya warisan leluhur sejati yang sama semuanya dan ianya perlu dibaja dan dihargai oleh kita semua.

Selagi mana kita ini berdendam dan masih tidak mahu mengalah, sudah pasti orang luar yang bukan dari rumpun bangsa kita merasa gembira dan mencari-cari peluang untuk menghancurkan perpaduan dan kemesraan yang telah lama terjalin diantara kita semua. Hari ini kita bercakaran maka esok lusa pasti ada pihak yang sedang mengatur rancangan dan strategi untuk menyimbah petrol ke atas api kecil yang sedang membakar.

Fakir termenung sejenak...memikirkan semua ini. Di tempat kerja, Fakir punya seorang kawan yang datang dari Surabaya yang bekerja sebagai buruh binaan. Bukan sekadar seorang yang baik dengan Fakir malah ada tiga empat orang yang selalu boleh diajak berbual dan boleh bergurau senda. Cuma yang datang dari Surabaya ini lebih rapat dengan Fakir. Beliau selalu berada dibahagian Fakir bekerja kerana ada kaitan kerja diantara kami. Ada masa yang terluang Fakir pasti mencarinya untuk diajak berbual. Terkadang kami pergi makan bersama. Banyak yang kami perbualkan sebagai contoh Fakir banyak bertanya tentang tanah kelahirannya dan perkara-perkara yang menarik di sana.Sedikit sebanyak rasanya akan terubatlah sedikit kerinduan pada kampung halamannya. Fakir juga banyak memberi panduan kepadanya tentang suasana di Malaysia agar lebih memudahkan beliau dalam segala urusan. Fakir (malah rakan-rakan sekerja yang lain) rasanya tidak pernah menganggap bahawa pekerja-pekerja asing ini sebagai pendatang tetapi merasakan ada kaitan persaudaraan yang sedia terjalin yang perlu dipertahankan. Banyak pula idea-idea untuk kami berbual dari yang penting-penting hinggalah membawa kepada perkara-perkara melalut yang akhirnya disudahi dengan  hilai gelak tawa mesra sesama saudara.

Alangkah baiknya kemesraan kelompok kecil seperti Fakir dan saudara Fakir dari Indonesia itu dapat disemai, dibajai dan dikembangbiak oleh semua kita dari kedua-dua buah negara tercinta ini. Ingatlah kita dari  satu rumpun yang sama iaitu "Rumpun Melayu". Kalau kita tidak mempertahankannya maka siapa lagi yang sudi-sudi untuk kearah itu. Mahu tidak mahu kita yang sedarah sedaging inilah yang perlu mempertahankan dan memperelokkannya.

Artikel Menarik Dari Blogger Indonesia