Umat Melayu dan Islam - kedua-duanya amat sukar dipisahkan. Walaupun sudah banyak yang tinggal Islam warisan yang mana sesetengah dari kita malas atau tak kisah dan pandang enteng dalam mendalami ilmu agama. Malahan yang lebih teruk banyak juga yang telah murtad... na'uzubillah himinzalik.
Tanpa Islam maka lumpuhlah seluruh benteng yang melindungi bangsa Melayu. Justeru, sebarang usaha untuk menidakkan Islam daripada Melayu umpama menelanjangkan maruah kemelayuan itu sendiri. Tak kiralah samada ianya datang dari musuh Islam atau dari umat kita sendiri.
Mustahil atau benar kalau Fakir katakan bahawa sebahagian besar Melayu hari ini semakin hanyut, lalai, rosak, binasa kerana semakin menebal hubbud dunia? Kita berbuat sesuatu kerana mengharapkan sesuatu sebagai imbal balik. Hatta dalam ibadat sekali pun kita bertekun mengerjakannya kerana mengharapkan syurga, bidadari-bidadari yang rupawan serta kemewahan kehidupan syurga. Mungkin boleh dibilang dengan jari hanya sebilangan kecil dari kita yang beribadat kerana benar-benar ikhlas cintakan, mabuk rindu pada Allah dan RasulNYA tanpa memikirkan sebarang habuan. Kalau ada pun mungkin para ulama' dan para salik serta sufi.
Yang berkuasa gila mempertahankan kuasa atau memperbesarkan pengaruh dan kuasa. Tidak kira dalam halal dan haram, fitnah memfitnah, cantas mencantas. Yang penting terus berkuasa dan menelan apa saja yang ada disekeliling selagi kuasa masih di dalam genggaman. Para Ulama' sudah tidak lagi dihormati malah dicaci cerca. Sedangkan terang-terangan para Ulama' itu pewaris Rasululillah SAW. Menghina para Ulama' samalah seperti menghina Rasulillah SAW. Fikir-fikirkanlah sendiri sejauh mana tebalnya, sesuci dan sebersih mana iman kita yang ambil duduk perkara ini dengan remeh temeh.
Kebenaran nampak pada pandangan Tuan Guru Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu al Banjari al Makki bahawa umat sekarang lebih selesa mendalami ilmu agama secara "mee segera" semuanya instant dan tidak berminat dalam mendalaminya secara talaqqi. semuanya mau segera dan cepat hatta dalam menuntut ilmu. Ilmu yang dikutip dari sanad semakin ditinggalkan. Sumbernya mungkin dari facebook, majalah-majalah atau vcd. Main tangkap muat aja tanpa memikirkan dan mengkaji ilmu yang dikutip itu bersumberkan apa fahamannya, takutnya nanti dicampur aduk semacam rojak buah maka rosaklah diri sendiri dan umat sekeliling. Malah terkadangnya ditakuti dengan penerimaan ilmu secara instant itu pula dijadikan modal untuk berdebat dengan orang lain.
Terkadang-kadang kerana nak membela dan memelihara institusi/ orang yang ditaksubkan, sanggup memandai-mandai mengeluarkan pandangan seakan-akan fatwa sendiri-sendiri yang main agak-agak saja. Sedangkan kita tahu orang yag memandai-mandai membuat hukum sendiri kelak akan tercampak ke neraka jahannam. Sudahkah ada lebih dari 200,000 hadis di dalam dada kita untuk berani-berani mengeluarkan kenyataan atau menghukum sesuatu. Setidak-tidaknya adakah sudah puluhan tahun kita menagih ilmu dan menyebarkan ilmu seperti para ulama' untuk memandai-mandai dalam bab hukum. Mungkin ini salah satu faktor kita kurang menyanjungi para Ulama'. Faktor yang membuatkan kita tidak mendapat berkahnya ilmu dari tangan para ulama'. Fakir pernah berdepan dengan orang seperti ini. Terus terang Fakir katakan bahawa Fakir yang tersangat miskin dalam ilmu ini pun merasa amat sedih melihat orang memperlekehkan dan mempersendakan para ulama' - sakit hati ini bila mengenangkannya.
Samada kita sedar atau tidak bahawa sekarang ini sebilangan besar keluarga melayu Islam tidak mementingkan pendidikan Islam, mereka hanya menekankan pendidikan sains, matematik, bahasa inggeris dan sebagainya untuk anak-anak mereka lulus dalam peperiksaan untuk masuk ke universiti. Mereka rasa semua ini sudah cukup dan berjaya mendidik anak-anak mereka. Tetapi mereka lupa semua yang mereka tekankan dan pentingkan itu merupakan luaran atau intelektual sahaja, ilmu akademik merupakan ilmu keperluan jasmani sahaja untuk mencari kedudukan atau mencari makan dan minum sahaja. Mendidik anak-anak dalam hal agama mungkin hanya dititikberatkan hanya pada pengajian qiraati, iqra dan kafa sahaja. Lepas dari itu maka mungkin sudah dianggap selesai hal-hal ugama. Keperluan mencari dan mengadap guru-guru agama dengan sendirinya telah terbatas atas sikap ambil mudah. Bagaimana anak-anak akan memuliakan para alim ulama' seandainya tidak dididik untuk ketagih menimba ilmu pada alim ulama'? Maka dari sinilah masalah-masalah sosial makin meningkat dan makin berleluasa. Timbul berbagai jenayah yang baru yang menjadikan kita semua haru biru dek kerenah anak-anak Melayu sendiri.
Hari ini kita melihat dengan mata kepala sendiri bahawa umat Melayu semakin melangkah maju kehadapan. Syukur Alhamdulillah sebab kita semakin bersemangat kearah itu. Namun kita juga melihat dengan mata zahir ini berapa ramai dikalangan kita yang semakin hari semakin jauh meninggalkan ilmu agama. Cubalah berjumpa dengan beberapa orang anak muda dan diajak berbual kemudian tanyakan tentang rukun iman dan Islam... berapa ramai yang boleh menjawabnya? Ujilah sendiri akan kebenaran celoteh Fakir ini. Itu belum ditanya tentang sifat 20 atau pun rukun solat. Malah membaca al-qur'an juga menjadi satu kepayahan.
Apakah ini terhasil disebabkan generasi Melayu hari ini semakin gilakan kuasa, pangkat, wang ringgit, jawatan, gaji besar (tanpa usul periksa rezeki tersebut bersumberkan halal atau haram) kereta mewah dan rumah cantik lagi agam?. Sogokan racun musuh-musuh Islam melalui media massa, internet dan hiburan telah menyuntik ke batang tengkuk dan terus meresap ke minda kita tanpa kita sedari. Anak-anak kita mungkin lebih selesa dan bangga ber"trend"kan barat atau KPOP dari cuba belajar mengikuti sunnah Rasulullah SAW walaupun "piece by piece". Bagi yang terhindar dan tidak terpengaruh alhamdulillah.... itu petanda orang yang berjaya dunia dan akhirat insyaAllah. Kita tahu batas dan sempadan malah kita tahu siapa "role model" kita yang sebenarnya.
Nak salah kan mereka seratus peratus memang tak patut juga kerana kalau kita- ibubapa dan para pemimpin sendiri pun tergila-gila akan semua itu. Tak "grand" la kalau tak ikut kemajuan semasa. Biarkanlah walau ibu ketam mengajar anaknya berjalan lurus asalkan sentiasa "happening".
Kita kaji dan renung masa-masa kita selama sehari semalam apa yang telah kita perbuatkan. Tolak waktu tidur paling banyak 8 jam, kerja mencari nafkah pula katakanlah pukul rata 8 jam lebih-lebih mungkin tambahan 2-3 jam lagi. Balik santai bersama keluarga pula 2-3 jam tidak termasuk keluar beli barang keperluan harian samada di pasar-pasar malam ataupun pasaraya. Jadi berapa banyak pula masa kita terbiasakan diri untuk diluangkan ke jalan Allah? Solat paling lama mengambil masa 5 minit hingga ke 15 minit kalilah dengan 5. Mungkin itu saja waktu-waktu yang kita gunakan untuk mengadap Allah. Kepenatan seharian pasti menguasai diri, jadi masa bila kita akan mampu untuk bertelimpuh bertalaqqi mengadap guru-guru agama samada di surau-surau atau masjid? Bertambahkah pengetahuan agama dan benteng iman kalau masa dan detik pun kita jadikan sebagai halangan.
akhir kalam, jom kita renung-renungkan beberapa rantaian ayat-ayat al qur'an serta hadis baginda Rasulullah SAW tentang hal berkaitan...
Peringatan dan penerangan Imam al-Nawawi di dalam karyanya al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (jilid 1, muka surat 47 dan 48) mengenai akibat daripada tindakan sebilangan manusia yang menyakiti atau menghina ulama, seperti mana berikut:
Fasal:
Larangan Dan Ancaman Keras Bagi Sesiapa Yang Menyakiti dan Menghina Para Fuqaha’ Serta Gesaan Untuk Memuliakan Dan Mengagungkan Kehormatan Mereka
Firman Allah SWT bermaksud:
Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.
(Surah al-Hajj: Ayat 32).
Firman Allah SWT bermaksud:
Dan barangsiapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya di sisi tuhannya.
(Surah al-Hajj: Ayat 30).
Firman Allah SWT bermaksud:
Dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.
(Surah al-Hijr: Ayat 88).
Firman Allah SWT bermaksud:
Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang beriman sama ada lelaki atau perempuan tanpa kesalahan yang mereka perbuat maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.
(Surah al-Ahzab: Ayat 58).
Sabit di dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW. Sesungguhnya Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Barangsiapa yang menyakiti waliKu maka Aku mengistiharkan peperangan terhadapnya.
Diriwayatkan Imam Khatib al-Baghdadi, daripada Imam al-Shafie dan Imam Abi Hanifah, kata mereka berdua:Sesungguhnya jika tiada fuqaha’ dan auliya’ maka tiadalah wali Allah.
Imam al-Shafie berkata (menambah): Fuqaha’ yang beramal.
Daripada Ibn Abbas RA, katanya:
Barangsiapa menyakiti fuqaha’ maka dia telah menyakiti Rasulullah SAW, barangsiapa yang menyakiti Rasulullah SAW maka dia telah menyakiti Allah SWT.
Berkata al-Imam al-Hafiz Abu al-Qasim Ibn Syakir:
Ketahuilah saudaraku! Mudah-mudahan Allah memberikan taufik kepada aku dan kamu untuk mendapat redhaNya serta menjadikan kita orang yang sentiasa takut dan takwa kepadaNya dengan sebenar-benar ketakwaan. Sesungguhnya daging para ulama adalah beracun dan kebiasaannya telah dimaklumi bahawa Allah akan membinasakan orang yang menghina ulama. Sesungguhnya sesiapa yang menggunakan lidahnya dengan mencela / menfitnah para ulama maka Allah akan menurunkan bala kepadanya, iaitu sebelum matinya maka hatinya telah mati terlebih dahulu.
Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak mencabut (menghilangkan) ilmu daripada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan roh (mematikan) para ulama. Sehinggalah tiada lagi orang yang alim (ulama) yang tinggal. Ketika itu manusia akan melantik ketua mereka yang jahil. Apabila orang menanyakan sesuatu, mereka mengeluarkan fatwa tanpa asas ilmu. Maka, sesatlah mereka dan menyesatkan orang lain."
( Riwayat al-Bukhari )
Imam Nawawi R.A pernah mengatakan :
"Melihat wajah orang-orang Soleh (Ulama) satu tuntutan adalah merupakan satu Ibadah dan merupakan Ubat bagi hati yang keras".
Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan