Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

28 September 2011

Sepuluh Jenis Manusia Yang Kejam

Sufyan Atsauri berkata:"Sepuluh macam daripada kekejaman ialah: 

1.Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin. 

2.Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat. 

3.Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat. 

4.Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur. 

5.Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah. 

6.Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya. 

7.Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu. 

8.Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang. 

9.Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan. 

10.Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.

25 September 2011

Orang Miskin Yang Beriman dan Orang Kaya Yang Kafir

Di masa lampau ada dua orang mukmin dan kafir, keduanya pergi untuk memancing ikan. Si kafir jika akan mengangkat jalanya menyebut nama berhalanya, maka ia mendapat ikan yang banyak sedangkan si mukmin jika akan mengangkat jalanya menyebut nama Allah SWT namun tidak mendapat apa-apa.

Apabila hari telah hampir maghrib barulah si mukmin mendapat ikan dan ketika diangkat tiba-tiba ikan itu bergerak-gerak dan jatuh kembali ke dalam air, maka si mukmin tidak mendapat apa-apa lagi sedangkan si kafir jalanya penuh dengan ikan.

Maka menyesallah malaikat yang menjaga si mukmin itu dan ketika ia naik ke langit, Allah SWT memperlihatkan kepada malaikat itu tempat yang disediakan oleh Allah SWT untuk si mukmin dalam syurga, sehingga malaikat itu pun berkata, “Demi Allah tidak bererti (tidak apa-apa) penderitaannya di dunia jika kelak ia akan mendapat ini.”Juga diperlihatkan tempat si kafir dalam neraka, maka malaikat itu berkata, “Demi Allah tidak berguna apa yang ia dapatkan di dunia, jika kelak akan kembali ke sini.”


Pada hari kiamat Allah SWT akan menolak alasan empat orang dengan empat iaitu:
>menolak alasan orang-orang kaya dengan nabi Muhammad s.a.w., jika si kaya berkata, “Kekayaan itulah yang menyebabkan aku sibuk sehingga tidak sempat beribadat.” Maka dijawab Allah SWT, “Engkau tidak lebih kaya dari Sulaiman a.s. tetapi kekayaannya tidak melupakannya dari ibadat.”

>Jika hamba sahaya berkata, “Kerana saya sebagai hamba sahaya maka tidak dapat bebas untuk beribadat kepadaMu.” Maka Allah SWT menjawab, “Yusuf AS menjadi hamba sahaya tetapi kehambaannya tidak menghalangi untuk melakukan ibadat.”

>Jika si miskin berkata, “Kemiskinanku itulah yang menghalangi untuk beribadat kepadaMu.” Maka Allah SWT menjawab, “Engkau tidak lebih miskin dari Isa AS tetapi Isa AS tidak terhalang untuk melakukan ibadat.”

>Jika terhadap orang yang sakit dengan Nabi Ayyub AS. Jika si sakit berkata, “Penyakitku itulah yang menghalangi aku untuk beribadat.” Maka Allah SWT menjawab, “Penyakitmu tidak lebih berat dari penyakit Ayyub AS tetapi ia tidak terhalang untuk beribadat kepadaKu.”

**Sehingga tidak ada alasan bagi orang yang akan beralasan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. Orang-orang sholihin senang dengan penyakit dan kesukaran itu kerana dapat menjadi penebus dosa.

Abu Dardaa’ RA berkata, “Orang tidak suka kemiskinan dan saya suka, orang tidak suka mati dan saya suka, orang tidak suka penyakit dan saya suka. Saya suka penyakit kerana menjadi penebus dosa-dosaku, saya suka miskin sebab menjadikanku tawadhu’ kepada Allah SWT dan saya suka mati kerana rindu kepada Allah SWT.”

22 September 2011

Uniknya Jika Api Adalah Air

Jom sesaja cuci-cuci mata.....






17 September 2011

Seminggu kehidupanku

Hari-hari yang ku lalui minggu ini sangat hambar, tawar tanpa rasa setawar minuman tanpa gula.  Saat-saat ini ternyata aku terlalu merindui ayahandaku yang telah hampir dua tahun kembali menemuiNYA. Kenapa hari ini aku begitu rindu kepadanya. Aku sendiri tidak pasti. Adakah terlalu banyak tekanan dalam kehidupan, atau kerana tiba-tiba terlintas di kepala bahawa yang pastinya aku tidak dapat berbuat banyak yang mendatangkan rasa bangga kepadanya ketika hayatnya masih ada...entahlah. Apatah lagi setelah dia tiada, langsung aku tidak berpeluang lagi ke arah itu.


Kehilangan ayahanda ku sehingga hari ini tanpa disedari sangat-sangat memberi impak yang besar terhadap kehidupan aku. Aku terkadang merasa hampa kerana ada niat yang ku simpan untuk kedua ibubapaku sudah berkubur sama sekali. Namun itulah takdir yang aku yakin sangat-sangat bahawa ada kebaikannya yang akan muncul disebalik itu, tak kiralah samada ianya akan muncul hari ini, esok, lusa hatta berpuluh tahun lagi.

Walaupun semasa hayatnya (ketika aku masih muda belia) aku jarang berbual namun aku tetap menyanjungi kasih sayang dan pengorbanan yang telah ayahku lakukan. Pun begitu aku tetap terasa puas kerana setahun dua sebelum ayahku kembali ke rahmatullah aku banyak memenuhi keinginannya. Aku juga lebih rapat dengannya sehinggalah saat-saat akhir aku bersamanya sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir dia memegang tangan ku erat, tak siapa pun tahu bahawa ayahanda ku membisikkan bahawa dia dah tak lama lagi dan mengamanatkan aku agar menjaga ibuku dengan sebaik mungkin. Rahsia itu hari ini telah ku bongkarkan. Alhamdulillah aku telah dan akan senantiasa kotakan harapannya itu.

Itu sebahagian apa yang aku sedang rasakan dikala ini. Terselit juga dalam hari-hari hambar ku bahawa terkadang aku ini terlalu leka dan semakin jauh dari kecintaan Allah. Terlalu sibuk dengan urusan dan kesukaan duniawi hingga dapat ku rasakan hati ku semakin gelap dan semakin hilang kuasa tarikan magnet kecintaan kepada Allah dan RasulNYA. Aku seharusnya lebih peka dengan apa saja yang datang dariNYA. Aku telah semakin buta menilai segala nikmat atau ujian yang datang dariNYA. Ya Allah pimpinlah aku kembali ke jalanMU dan limpahkan segala keredhaanMU  ke atas diriku yang hina disisiMU ini.

Adakalanya dalam hari-hariku ini aku mudah sangat berkecil hati dan rasa tersisih serta kecewa. Aku mula merasakan aku tidak berjaya seperti orang lain, tidak dilayan seadilnya seperti orang lain. Apa saja kerja buatku yang menghasilkan kebaikan tidak diendahkan langsung, aku kecewa bukan kerana minta disanjung tetapi penat lelah terkadang tidak dihargai.

Aku terkadang merasa bingung dengan kehidupanku sendiri, yang nyata tidak semuanya indah seperti yang terlihat oleh sepasang mata ini. Ibarat melihat sebuah keindahan dalam air tenang. Apabila terkocak airnya maka leburlah keindahan tersebut dek goncangan alunannya.

Namun apa yang kurasakan dinihari hari ini ketika aku memandu pulang dari tempat kerja, adalah sebuah kesimpulan yang sangat bermakna. Terlintas dan tersentak dikepala bahawa segala rasa kerinduan, kecewa, marah, lalai, tidak bersemangat, sedih dan segala perasaan negatif yang melanda diri ini sebenarnya mematangkan dan mendewasakan diri ku sendiri. Inilah pengalaman yang tidak bisa dijual beli.  Allah menaburkan hikmah disebalik semua yang aku lalui untuk aku lebih merasa erti kehidupan sebenar. Buruk dipandang namun manis kedapatan dipenghujungnya. 

Ibarat orang yang mahu belajar berenang, dibiarkan gurunya lemas dahulu baru dihulurkan tali penyelamat. Setidaknya aku telah mengukur dan berkira-kira kesilapan dan kelalaian aku pada Penciptaku. Semua yang terjadi dibawah kawalanNYA. Rahsia Allah tiada siapa tahu dan tiada siapapun yang berhak menghukum....wallahualam!

02 September 2011

Suasana Hari Raya


Dah masuk raya kelima, tetamu dari kalangan keluarga dan sahabat handai masih mengunjungi pondok Fakir. Dalam keletihan masih terasa keseronokan dapat bertemu dengan handai taulan yang lama-lama sekali baru berjumpa. Walaupun adakalanya sebelum menjelang Ramadhan ada sedikit sebanyak terasa hati namun mudah terhapus bila masing-masing ikhlas menghulurkan tangan melupakan segala silap dan salah yang telah sengaja atau tidak sengaja dilakukan. Itulah manusia yang penuh dengan sifat-sifat yang sangat serba kekurangan ini.


Raya kali ini, perbelanjaannya amat ketara dirasai, semua barang melambung-lambung ke puncak awan harganya. Kalau dulu wang lima puluh ringgit itu paling tidak dapat dibelanjakan untuk 2-3 hari. Tapi pada hari ini dengan duit sebanyak itu kalau digunakan, setengah jam pun tak sampai, sudah habis dengan hanya satu dua barang saja dapat dibeli. Bagi golongan mewah semua itu tidak menjadi hal buat mereka. Bagaimana pula buat golongan yang kurang upaya? Bayangkanlah sebatang lemang sebesar betis budak berumur 2 tahun dijual dengan harga RM10, dodol 500gram pula sudah mencecah RM10 sebungkus.. congak-congakkanlah berapa duit yang harus keluar untuk dua benda ini saja. Harga barangan runcit pun melambung sederas tsunami melanggar tanah besar.


Fakir langsung teringat raya dulu-dulu, rasanya kemeriahan raya ketika itu jauh lebih terasa meriahnya. Dengan sanak saudara berkumpul bersama menyediakan juadah untuk hari raya, letih macamana sekali pun hati tetap riang. Malah dapat pula berbuka puasa buat kali terakhir untuk tahun itu bersama-sama.


Dulu kemeriahan dan kegilaan menghantar kad raya adalah satu kemestian. Cantik dan penuh kepelbagaian menghiasi muka depan kad tersebut. Ada gambar masjid, bunga, kucing lukisan malah kartun yang menggelikan hati. Ayat-ayat yang terukir di dalam kad-kad tersebut terkadang sangat menyentuh perasaan. Hari ini duit tak payah keluar untuk beli kad  dan setem kerana berbagai e-kad raya boleh dipilih di alam siber. Maka e-kad raya itu hanya boleh diketemukan oleh orang-orang yang menggunakan internet sahaja...titik habis disitu. Bagaimana emak dan ayah atau bapa dan emak saudara yang sudah tua?


Fakir di zaman kanak-kanak dulu riuh sakan bermain bunga api dan mercun, malah meriam buluh juga tidak ketinggalan. Membedil meriam buluh menjadikan satu pertandingan tidak resmi antara kampung. Pun begitu, tidak pernah sekali pun terdengar ada budak yang putus tangan atau melecur sana sini kerana main benda-benda tersebut. Hari ini mungkin budak-budak terlebih genius dan inovatif dalam mengolah semula bahan-bahan tersebut sehinggakan seawal ramadhan sudah masuk televisyen  cedera di sana-sini. Mungkin selari dengan kehebatan teknologi sekarang, anak-anak kita terlebih inovatif dalam segala hal.


Dulu-dulu juga anak-anak bebas ziarah menziarahi sanak saudara untuk kutip duit raya. Tak ada bahaya yang datang mengundang. Hari ini jangan kata hendak kunjung mengunjungi, melangkah keluar pagar sahaja mak bapak pasti sudah risau kerana berbagai jenayah dan bahaya sedang menunggu habuan. Penyangak-penyangak durjana sedang menunggu umpan bagaikan serigala yang rakus bila berpeluang membaham mangsa di depan mata. Kalau dulu juga setiap kunjungan pasti kenyang dengan jamuan namun hari ini anak-anak kecil sudah siap memberitahu mereka tak nak makanan tapi hanya nak kutip duit raya sahaja. (tersengih sendirian bila mengenangkan telatah anak-anak kecil sekarang).


Kalau dulu kuih muih raya semuanya dibuat sendiri. Anak lelaki pun adakalanya turut terpaksa membantu emak atau kakak di dapur. Para ibu masa tu kalau tak silap masih menggunakan marjerin untuk biskut-biskut raya, mentega agak janggal didengar. Dodol dikacau sehingga berbuka puasa pun belum tentu siap, dahaganya alahai mak datuk usah dicakaplah. Paling menarik apabila membakar lemang di malam raya, yang pastinya semua pakat menanti pengisytiharan tarikh 1 Syawal dulu barulah kerja-kerja membakar dijalankan. Hari ini peratusan besar biskut-biskut dibeli, mungkin kerana semuanya hari ini mengejar masa yang semakin sempit. Walaupun harga mencecah RM30-40 untuk 50 ketul terpaksa dibeli hatta bahulu yang benar-benar tradisional pun terpaksa dibeli. Bahulu buatan sendiri emak-emak atau nenek-nenek kita dulu sangat enak kerana garing di luar lembut di dalam. Bahulu mesin yang dikomersilkan hari ini pun tetap enak cuma luar dan dalam sama sahaja.


Begitulah perbezaannya... Fakir nak mengucapkan Selamat Hari Raya dan Mohon Maaf Lahir dan Batin buat rakan-rakan dan saudara-saudara pengunjung Selasar Si Fakir ini. Seandainya   ada yang terkilan, marah dan tersinggung  dalam posting yang lalu. Sebagai manusia yang serba kekurangan ini, Fakir tidak terlepas dari membuat kesilapan, apalagi dosa-dosa yang adakalanya tidak sedar telah dilakukan sesama insan lain.