Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

07 September 2019

'SULTAN KUBANG PASU'

MAKAM Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih. - Foto Amran Hamid


Assalamualaikum, Artikel ini fakir ambil dari BH Online dan dimuatkan ke selasar si fakir untuk menjadi bahan bacaan terutamanya buat para peminat sejarah. Semoga ada banyak manafaatnya buat kita semua khususnya anak-anak Kedah. Jadi tak perlulah fakir berceloteh banyak untuk kali ini, elok kita teruskan dengan membaca artikel tersebut dibawah…..

suzalina@bh.com.my

ALOR SETAR: Sesiapa sahaja yang melalui jalan utama dari Kubang Pasu ke Jitra, khususnya di Tok Jalai dekat sini, pasti menyedari kewujudan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.

Walaupun nama Tunku Anum dianggap tidak asing bagi penduduk Kedah, hakikatnya tidak ramai menyedari identiti dan peranan individu di sebalik nama Tunku Anum yang dimeterai pada nama sekolah berusia lebih sedekad itu.

Apa yang pasti, Tunku Anum yang juga anak kepada Tunku Rahmah iaitu puteri sulung Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II, memainkan peranan besar dalam mempercepatkan proses pembebasan Kedah daripada penjajahan Siam selama 20 tahun pada 1839, hasil kebijaksanaannya mengambil hati pemerintah Siam di Ligor ketika itu.

Berdasarkan rekod sejarah, Tunku Anum selain membantu membebaskan Kedah, turut mencetus usaha membawa pulang Sultan Kedah ke-22, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, yang diusir Siam ke Melaka, untuk menyambung semula pentadbiran di Kedah, selepas bebas daripada Siam ketika itu.

Kini selepas beratus-ratus tahun, makam Tunku Anum selaku bekas pemerintah negeri Kubang Pasu Darul Qiyam, yang bersemadi di Pulau Pisang, Jitra dan pernah menjadi pusat pemerintahannya, seolah-olah tidak dihiraukan generasi muda, apatah lagi untuk diangkat sebagai antara destinasi pelancongan di Kedah.

Selain Tunku Anum, nasib sama turut menimpa seorang lagi bekas pembesar Kedah iaitu Puteri Lindungan Bulan, yang turut mempunyai peranan tersendiri dalam menyumbang kepada sejarah kelangsungan pentadbiran di Kedah.

Ini kerana, makam Puteri Lindungan Bulan yang menjadi satu-satunya bukti wujudnya pusat pemerintahan Kedah Ke-3 di Kota Siputeh, antara tahun 1282 hingga tahun 1626 yang membabitkan pemerintahan lapan Sultan, turut sepi.

Ketua Penghantar Bunga Emas

Siapa sangka Tunku Anum dan Puteri Lindungan Bulan antara dua nama besar yang pernah menyumbang kepada sejarah pentadbiran kerajaan Melayu di Kedah. Namun, selepas ratusan tahun berlalu, kedua-dua makam ini ternyata dipandang sepi dan gagal ditonjolkan sebagai antara destinasi pelancongan di negeri ini. Sesuatu perlu dilakukan pihak berwajib untuk memastikan generasi muda kini mengenali sejarah membabitkan kedua-dua individu ini.

Tokoh Sejarawan, Wan Shamsudin Mohd Yusof, ketika mengupas sejarah Tunku Anum, berkata pemuda itu turut mendapat gelaran Tunku Paduka Raja Jambangan berikutan dilantik sebagai Ketua Penghantar Bunga Emas kepada Raja Siam di Kota Bangkok pada tahun 1809, iaitu ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin.

Bagaimanapun, katanya, bermula tahun 1821, Raja Siam mengarahkan armada Ligor menawan kota Kuala Kedah dan bandar Alor Setar, sekali gus berjaya mempertahankan taklukannya selama hampir 20 tahun, menyebabkan Sultan Ahmad Tajudin terpaksa menyembunyikan diri di Melaka.

Kebangkitan pahlawan Kedah

Namun, pada masa sama, katanya, berlaku kebangkitan pahlawan di Kedah untuk mengambil semula negeri daripada tangan Siam dengan melancarkan dua jenis peperangan yang masing-masing berlangsung pada era 1828 hingga 1831 dan 1838 hingga 1839.

Beliau berkata, Tunku Anum bagaimanapun ketika itu tidak gemarkan peperangan kerana ia disifatkan beliau sebagai berisiko menyebabkan banyak nyawa terkorban dan membabitkan pertumpahan darah.

Justeru, Tunku Anum menjalankan strategi dengan menggunakan helah berangkat ke Ligor kononnya untuk menjaga tawanan Kedah yang ditahan di sana. Kelebihan diperoleh Tunku Anom sepanjang berada di Ligor, digunakan untuk memujuk dan mendapatkan kepercayaan Raja Ligor bagi menyerahkan kembali Kedah kepada pimpinan asal.
"Hasilnya, proses pembebasan Kedah menjadi lebih cepat, malah Sultan Ahmad Tajuddin yang berkelana di Melaka juga dipanggil balik untuk memegang tampuk pimpinan Kedah semula," katanya.

Wan Shamsudin berkata, sebagai membalas jasa Tunku Anum, Sultan mengurniakan Kubang Pasu Darul Qiyam yang mempunyai 24 mukim dengan jajahan takluknya bermula dari Tunjang ke Sadao, untuk ditadbir sebagai sebuah negeri dengan pusat pemerintahannya terletak di Pulau Pisang di Jitra.
Ketika ditanya bagaimana keadaan Kubang Pasu sepanjang pentadbiran Tunku Anom, ini jawapannya;

Kubang Pasu diserah kembali kepada Kedah

Kubang Pasu sepanjang pemerintahan Tunku Anom pada 1839 hingga 1853 ketika itu pesat membangun dan berjaya menaikkan taraf ekonomi rakyatnya dengan wujudnya kilang kain, mahkamah, penjara, pejabat tanah malah masih tersimpan bukti geran tanah yang mempunyai cop negeri Kubang Pasu.

Namun Wan Shamsudin berkata, malangnya selepas kemangkatan Tunku Anum pada 1854, Kubang Pasu yang diserahkan kepada cucunya, Tunku Ishak yang menjadi Raja dan memerintah selama 10 tahun, gagal mempertahankan negeri itu lalu diserahkan kembali kepada Sultan Kedah ke-24 ketika itu iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.

Puteri Lindungan Bulan

Berbeza dengan sejarah Puteri Lindungan Bulan, Wan Shamsudin berkata terdapat dua versi membabitkan fakta dan legenda yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh penduduk kampung dahulu kala.

Beliau berkata, dari segi mitos dan lagendanya, Sultan Kedah ketika itu iaitu Sultan Sulaiman Syah menyembunyikan puterinya yang bernama Zaleha di dalam sebuah lubang kecil, sehingga terlindung dari cahaya bulan selama tempoh sebulan, bagi mengelak Raja Acheh memperisterikan anaknya itu.

Katanya, dari situlah gelaran Puteri Lindungan Bulan diperoleh dan rentetan insiden itu, Raja Acheh amat marah terhadap Sultan Kedah kerana memperdayakannya sehingga Kedah diserang.
Namun cerita itu hanyalah disebut sebagai mitos dan gagal dibuktikan melalui fakta dan ini adalah cerita sebenarnya;

Kedah diserang Acheh ketika itu berikutan Acheh ingin meluaskan empayarnya di nusantara ini, selain berang dengan tindakan Kedah yang turut menanam lada hitam di beberapa daerah termasuk Langkawi sedangkan Acheh sudah terlebih dahulu menanam tanaman itu yang mampu dijual pada harga tinggi. Keengganan Sultan Kedah mendengar amaran dari Acheh supaya menghentikan tanaman lada hitam menyebabkan Raja Acheh berang lantas menyerang Kedah.

Sumber artikel: Berita Harian Online
                         Rabu 18 March 2015
                Oleh: suzalina@bh.com.my

07 Ogos 2019

AKU ANAK KAMPUNG



         Namaku Nuha, seorang anak kampung. Aku amat bangga menjadi orang kampung. Hidup kami sederhana. Tak susah dan tak mewah. Sederhana gitu. Ayah aku seorang peniaga kedai runcit, di samping itu ayahku membeli getah sekerap, hasil-hasil kebun seperti pisang, petai, durian dan sebagainya. Pendek kata apa yang orang kampung jual, ayah beli. Hidup aku dan adik beradik tak lah kaya tapi makan minum sentiasa cukup, maklumlah anak taukeh kedai. Masa kecil aku, amat manis untuk dikenang. Segalanya indah di dalam ingatan. Rutin seharian aku bila hari cuti berkumpul ramai- ramai bincang apa nak main. 

      Selalunya, pagi aktiviti kami bermain guli. Aku ada seorang sepupu, lelaki...memang pakar bab main guli. Bila menang banyak cepat cepat dia simpan guli dalam tin milo. Amboi..mak ai, banyak gila guli dia. Lepas tu dengan bermodalkan dua biji guli dia main lagi, menang lagi, simpan lagi. Kadang ada budak budak yang menangis sebab kalah banyak. Aku? Kalau kalah aku ambil kayu atau apa yang dekat dengan aku untuk baling sepupu aku. Jarang kena tapi puas hati..hehe.
         
     Paling aku tak suka bila tengah kusyuk main, mak aku panggil suruh jaga kedai waktu mak nak masak. Ayah selalunya ronda kampung, cari hasil kebun dan timbang getah sekerap. Jadi tugas aku la jaga kedai. Bila kena jaga kedai, bosannya Allah saja yang tahu. Waktu tu bukan ke masih budak-budak tentu panggilan kawan-kawan untuk bermain membuatkan aku tak senang duduk. Musuh aku waktu itu ayam...hahaha..maklum saja, di kampung ayam suka masuk dalam kedai, habis semua dia nak patuk. Tambah lagi bila guni beras bocor. Aduh seksanya jiwa raga  kanak kanak aku waktu itu. Bukan dia faham bahasa, dia masuk aku halau, masuk lagi halau lagi. Last, aku biar dia masuk menikmati beras yang berterabur di lantai. Aku nampak lastik dan batu di meja ayah aku. Dalam hati aku, siap kau ayam. Dalam tengah asyik si ayam menikmati beras, aku tarik lastik yang berpeluru batu. Dari jarak yang tak berapa jauh aku lastik ayam tu. Menggelupur kesakitan kena batu, aku terkejut sebab batu tembus dalam badan dia. Takut aku sebab ayam itu mati. Apa aku nak bagi tau mak aku. Akhirnya mak aku dapat tahu, berbakul aku kena leter. Mak aku kata..perempuan apa ni? Main macam lelaki, pakai seluar pendek lagi. Sudah la tu habis ayam mak aku nanti. Aduh, menyesal sungguh bila tengok satu nyawa melayang di tangan aku.
           
       Selesai satu bab, lagi satu kebiasaan aku dan geng aku ialah mandi sungai. Kalau mandi sungai, pagi turun petang baru balik rumah. Makan tengah hari? Kami akan balik ke rumah masing masing ambil nasi , berkelah ramai ramai. Aku masih ingat masa itu mak ayah tak kongkong kami pun. Tidak pula nampak mereka risau kalua-kalau berlaku trajedi lemas ke, hanyut ke. Kalau mandi di sungai bukan sekadar mandi, kami bermain baling batu masuk dalam lubuk yang paling dalam. Kalau aku kenangkan hari ini, sumpah aku tak bagi kalau anak anak aku beraktiviti macam aku, cara aku. Bahaya weh..
          
      Last aku nak cerita bab main polis sentri. Tak tau betul ke tak aku eja. Aku selalu akan bawa bekal kudap kudapan seperti coklat, keropok untuk sekutu rapat aku. Rasa macam cerita anakku sazali la pulak. Bila aku sampai, berkerumun kawan-kawan nak jadi geng aku. Maklum lah poket seluar aku penuh dengan bekalan dunia akhirat untuk geng aku. Kadang aku bawa susu pekat manis yang dalam peket tu. Masa tu yang femes susu cap junjung la. Kalau tak pun milo peket. Kami pakat ratah macam tu saja. Air? Tak payah. Ayah aku tak pernah kedekut dengan budak-budak. Setiap aku pergi main macam macam makanan aku bawa. Ayah kira sedekah la tu.
        
    Port kami bermain masa tu, dalam hutan la. Ada pokok kopi, jiran punya. Pokok pinang yang kecil jadi mangsa aku dan geng aku. Aku rasa pembaca kisah aku ni mesti rasa pelik kalau aku kata abih pokok pinang yang kecik-kecik rosak kami kerjakan. Kadang aku sampai pening sebab makan umbut pinang muda. Sedap..manis ja. Jiran aku pernah mengadu dekat ayah aku gara gara kami rosakkan pokok pinang muda sebab nak makan umbutnya. Harap-harap tuan tanah yang keba aku rosakkan pokok pinang tu halalkan aku. Kalau tak, sakit lah aku nak mencari dekat mahsyar nanti.
      
    Ayah aku seorang yang tegas kalau dalam bab solat dan mengaji. Aku, kakak dan adik lelaki aku mengaji dekat rumah opah. Rumah opah tu belakang rumah aku ja. Bila nak pergi rumah opah kena lalu bawah pokok rambai. Besar pokok rambai tu. Kakak aku selalu kata ada penunggu dekat pokok rambai tu. Bila lalu setiap kali nak pergi mengaji, berterabur kami adik beradik lari. Selalunya aku yang sampai dulu dekat rumah opah. Sementara menunggu opah habiskan wirid selepas solat maghrib, kami mengaji    yang semalam punya dulu. Elok saja opah habis wirid, laju saja aku terpa, nak mengaji dulu. Maklum la , lepas berita ada cerita combat. Lagi satukan, opah selalu puji aku. Opah kata aku terang hati, mudah ingat bila mengaji. Ewah...kembang aku bila dipuji. Kakak aku kalau bab mengaji slow sikit. Tapi aku dan kakak memang rapat, tak pernah bergaduh. Walau kami berlainan ibu, aku sayang kakak aku. Aku selalu tolong ajar dia mengaji. Sampai sekarang kami berdua rapat. Lagi satu perangai comel aku, selalu aku tipu opah, kata sakit perut sebab takut terlambat tengok combat. Comel la sangatkan?
       
      Aku nak bagi tahu, dekat kampung aku masa tu, cuma pak ngah aku seorang saja yang mampu beli tv. Tak percaya? tanya mak aku...hahaha.Masa tu cerita bersiri yang paling popular combat, chips, bj and the bear dan banyak lagi. Bila malam, rumah pak ngah aku macam panggung wayang, penuh sesak orang datang nak tengok tv. Masa tu pak ngah aku kenakan bayaran sepuluh sen seorang. Bila orang sampai mereka bayar dengan cara bubuh dalam tin milo. Keletung...kelatang duit masuk. Kadang ada juga yang nakal bubuh batu. Masa tu aku berangan, kalau lah ayah aku beli tv, sudah tentu aku kaya raya. Mesti aku perangai macam mail dalam upin ipin.
       
     Aku nak sambung celoteh pasal musim buah. Selalunya musim yang ditunggu tunggu oleh aku dan adik beradik serta sepupu sepapat dah tentu lah musim durian. Pokok durian tok  nenek banyak, semuanya keliling rumah ja. Bila bunyi berdebuk durian luruh, berdesup kami semua berlari, kalah pelari popular marina chin. Apa taknya, ayah aku bukan ke peraih buah. Buah durian tu jual dekat ayah aku. Sanggup tak makan, kalau nak makan jual dulu. Dapat duit, lepas tu minta balik durian dekat ayah aku, untuk makan. Apa jenis anak la kami masa tu kan? Seingat aku beratus juga duit durian yang aku dapat. Aku tahu ayah rugi bila beli durian anak anak, apa tidaknya lepas beli, ayah bawa durian masuk dalam rumah. Ayah aku suruh pula mak aku masak pulut. Makan dengan buah durian dan santan. Sedapnya nikmat musim durian. Itulah untungnya kami sebagai anak anak kampung. Penuh dengan keriangan seumpama warna warna pelangi. 

     Andai dapat aku undur masa, mahu aku bawa anak anak aku saksikan kehidupan aku yang terlalu istimewa. Tidak perlukan barang barang mewah. Serba sederhana namun bahagia sekali.Apapun rindunya aku pada arwah ayah, arwah pak ngah. Al fatihah untuk insan mulia kesayanganku. Itu lah serba sedikit kisah hidupku di zaman kanak kanak . Maaf seandainya kisah ku ini ada membuatkan para pembaca tidak selesa atau bosan membacanya.InshaaAllah, panjang umur boleh aku berceloteh lagi.

06 Ogos 2019

Mutiara Kata Sang Pemikir


Dalam hidup ini, adakalanya kita memerlukan kata-kata mutiara atau kata-kata bijak kehidupan sebagai pembangkit semangat untuk terus hidup, sebagai peribadi yang lebih baik dari sebelumnya. Yang lebih penting lagi, kita harus pandai mengamalkannya dengan perbuatan juga.

Seperti roda yang berputar, ada kalanya kita berada di atas menjalani hidup yang indah dan penuh kegembiraan. Namun, terkadang kita juga terpaksa berada di bawah yang akhirnya mendorong kepada pola fikir yang negatif.

Dalam kehidupan memang liku-liku masalah akan terus dialami oleh manusia namun dengan adanya sebuah motivasi dari kata yang diungkapkan maka tentunya masalah yang terjadi tersebut mampu cepat diselesaikan oleh seseorang itu, dan dengan begitu maka nantinya masalah pun akan dapat segera terselesaikan dengan redha dan tenang.

Orang bijak pernah berpesan, “aku bukan seorang pejuang, aku hanya seorang pecinta, namun aku akan memperjuangkan sesuatu yang aku cintai”. Pesan ini mengisyaratkan bahwa cinta itu memerlukan sebuah perjuangan.

Fakir dah tinjau-tinjau dan dapati banyak kata-kata mutiara yang indah - pembakar semangat untuk memotivasikan hidup kita. Hidup ini merupakan sebuah pembelajaran, maka untuk menguatkan semangat dalam meneruskan kehidupan adakalanya kita perlu merenung sepatah dua mutiara kata. Jom kita baca beberapa mutiara kata yang fakir dah kumpulkan:-

1. Apabila kamu tidak dapat memberikan kebaikan kepada orang lain dengan kekayaanmu, berilah mereka kebaikan dengan wajah mu yang berseri-seri, disertai akhlak yang baik. (Nabi Muhammad SAW)

2. Pahlawan bukanlah orang yang berani menetakkan pedangnya kebahu lawan, tetapi pahlawan sebenarnya ialah orang yang sanggup menguasai dirinya dikala ia marah. (Nabi Muhammad SAW)

3.Manusia yang paling lemah adalah orang yang tidak mampu mencari teman. Namun yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mendapatkan banyak teman namun menyia-nyiakannya. (Ali bin Abu Thalib)

4.Hiduplah seperti pohon kayu yang lebat buahnya; hidup ditepi jalan dan dilempari orang dengan batu, tetapi dibalas dengan buah. (Abu Bakar Sibli)

5. Kebencian adalah penyakit yang akan mematikan kebaikan.
Jangan sirami hidupmu dengan kebencian kerana itu adalah penyakit yang mematikan kebaikan. ubatilah dengan merasa cukup dan menerima keadaan, namun tetap mencuba berusaha yang terbaik agar tidak menyesal nantinya.

6. Sehari selembar benang, lama-lama jadilah selembar kain
Kata-kata bijak tentang kehidupan sehari-hari ini hampir sama dengan pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Kain yang kita pakai itu bukanlah apa-apa tanpa penjahitnya.
Awalnya, dia hanyalah seuntai benang yang lemah tak berdaya. Namun dengan kasih sayang sipenjahit, untaian benang itu mampu kita pakai untuk menghangatkan tubuh.

7. Masalah itu mendewasakan
Ketika banyak permasalahan yang menghampiri diri kita, janganlah meminta untuk lekas dihilangkan. Tapi mintalah agar dapat membuat kita menjadi lebih dewasa.

8.Jika kehidupan membuat diri menangis, ingat ada ribuan kenangan indah yang membuat kita tersenyum.
Beruntungnya kerana Tuhan telah memberikan memori untuk menyimpan sebuah kenangan. Peluklah kenangan indah bersama orang yang teristimewa ketika kamu berada di masa yang sulit. Kelak kenangan tersebut akan membuatmu lebih kuat.

9. Bermimpilah dalam hidup, jangan hidup dalam mimpi.
Hidup dalam mimpi tidak ada ertinya kerana kamu hanya membayangkannya tanpa mewujudkannya.

10.Cinta sejati tidak harus bererti menyatu, terkadang cinta sejati itu terpisah namun tak ada yang berubah

11.Tanda kedewasaan adalah ketika seseorang menyakitimu dan kamu mencuba memahami situasi mereka daripada berpatah balik menyakiti mereka.

12.Jangan pernah menangis untuk seseorang yang menyakitimu. Tersenyumlah dan katakan “terima kasih” kerana dia telah memberimu kesempatan untuk menemukan seseorang yang lebih baik.

13.Kau hanya hidup satu kali. Namun kalau kau menjalaninya dengan benar, sekali pun sudah mencukupi.

14. Percayalah pada keajaiban namun jangan bergantung kepadanya

15. Jangan lihat masa lampau dengan penyesalan, jangan pula lihat masa depan dengan ketakutan, tetapi lihatlah sekitarmu dengan penuh kesedaran.

16. Saat salah satu kebahagiaan tertutup, pintu lain akan terbuka. Hanya seringkali kita terpaku begitu lama pada pintu yang tertutup sehingga tak mampu melihat yang telah terbuka untuk kita.

17. Hidup adalah sebuah tentangan, maka hadapilah. Hidup adalah sebuah lagu, maka nyanyikanlah. Hidup adalah sebuah mimpi, maka sedarilah. Hidup adalah sebuah permainan, maka mainkanlah. Hidup adalah cinta maka nikmatilah.

18. Kita tidak tahu bagaimana hari esok, yang mampu kita lakukan ialah berbuat sebaik-baiknya dan berbahagia pada hari ini.

19. Bahagian terbaik dari hidup seseorang adalah perbuatan-perbuatan baiknya dan kasihnya yang tidak diketahui orang lain.

20. Jadilah kamu manusia yang pada kelahiran mu semua orang tertawa bahagia, tetapi hanya kamu sendiri yang menangis; dan pada kematian mu semua orang menangis sedih,tetapi hanya kamu sendiri yang tersenyum.

21. Bersikaplah kukuh seperti batu karang yang tidak putus-putusnya dipukul ombak. Ia tidak saja tetap berdiri kukuh, bahkan ia menenteramkan amarahnya ombak dan gelombang itu.


 Fakir rasa cukuplah dengan sekadar 21 mutiara kata untuk sama-sama kita menilai dan jadikannya sebagai pembakar semangat dalam hidup ini. Semoga ada manafaatnya buat kita semua.

Akhir sekali.. fakir mengajak semua saudara-saudara fakir untuk tidak lupa melantunkan selawat buat junjungan besar kita Baginda SAW yang kita cintai dan rindui

اَللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مَوْلاَنَا مٌحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ فِي كٌكِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ



03 Ogos 2019

DIA kesayanganku, dia permaisuri hatiku


“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum 30:21)

Dalam hadis, Baginda SAW  bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku". (riwayat al-Tarmidzi).

Hakikatnya Allah SWT menjadikan isteri itu sebagai pasangan buat lelaki adalah merupakan anugerah dan bukannya hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya dan damai apabila dia merasakan dirinya mendapat anugerah yang istimewa daripada Allah SWT. Dan rasa kekayaan itulah yang dirasai apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak pernah akan merasa cukup dengan pemilikan itu, dan sentiasa merasa gelisah  serta berwaspada akan kehilangannya.

Sering seorang lelaki yang juga merupakan suami merasakan bahawa dialah ketua dan dialah yang paling tinggi kedudukannya di dalam keluarga. Sehingga seorang isteri itu perlu taat kepadanya. Kenyataan bahawa “syurga isteri itu bergantung pada redha suami” menjadikan suami kadangkala  menjadi bertambah ego hingga lupa bertanya diri di mana pula syurganya?

Pernahkah suami bertanya di mana syurganya di dalam rumah tangga?

Keluarga adalah lubuk kebahagiaan apabila kita mampu membahagiakan ahli keluarga. Kebahagiaan kita kecapi mencerminkan sebanyak mana kemampuan diri kita membahagiakan pasangan dan anak–anak.

Ramai yang mengejar bahagia hanya untuk diri sendiri tanpa ada keinginan untuk membahagiakan orang lain. Bahagia yang di cari penderitaan yang menjengah.
Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang berlemah lembut dengan ahli keluarganya. Kita para suami, lihatlah ke dalam diri kita. Apakah hari ini akhlak kita baik dengan isteri dan anak-anak kita? Atau adakah kita sebaliknya?

Janganlah jadi lelaki yang tidak bagus akhlaknya. Apabila dia bersama-sama kawan-kawannya, perangainya sangat baik. Jika kawan-kawannya dalam kesusahan, dia sanggup menolong. Bahkan sanggup membelanjakan kebanyakan wangnya untuk mereka. Sedangkan kawan-kawannya tidak sentiasa ada bersama dengannya ketika susah. Isterilah yang setiap masa bersamanya mengharungi suka duka kehidupan.

Kita perlu yakin dan percaya bahawa setiap isteri telah melakukan banyak sumbangannya kepada suami dan anak-anak. Maka, sentiasalah muhasabah dan fikir-fikirkan serta imbang-imbangkanlah dengan kesalahan atau kesilapan yang mereka lakukan. Jika ini kita dapat lakukan, maka sudah pasti kita akan dapat melihat kesilapan mereka adalah kecil berbanding pengorbanan yang mereka lakukan.

Kita manusia, isteri dan anak-anak juga adalah manusia. Sesungguhnya, sebagai manusia, sudah tentu tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang tidak melakukan kesilapan. Pasti ada. Bahkan kita juga sudah pasti ada melakukan kesilapan yang sama. Cuma barangkali ia terhijab dan tidak diketahui orang lain. Barangkali kesilapan itu hanya kita dan Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Maka, untuk itu, tidak salah sekiranya kita menutupi kesalahan isteri dan anak-anak dengan kebaikannya.

Perkahwinan yang tidak didasarkan kepada perasaan kasih terhadap satu sama lain, tidak disulami dengan kemesraan adalah satu perkahwinan yang tidak bahagia dan tidak bermakna.

Justeru, Rasulullah SAW sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaik-baiknya. Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah SAW mengadu mengenai layanan buruk diterima daripada suami mereka.Tidak dapat dinafikan, manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan bersabar dan tidak memperbesarkan kelemahan itu.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub a.s kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun."

Bersama kita renungi kisah seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab r.a untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.

Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya, "Jika beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku? Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.

Lelaki itu berkata, "Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku: Jika begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?

Umar berkata kepadanya, "Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku. Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya.

Lelaki itu menjawab, "Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku. Umar pun berkata kepadanya: Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika."

Oleh itu belajarlah menyayangi isteri dengan lebih jujur dan ikhlas, jangan sia-siakan anugerah dan amanah yang Allah kurniakan kepada kita para suami. Bertengkar dan bermasam muka itu lumrah sebuah perkahwinan… sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Mudah saja untuk memurnikan hubungan suami isteri seandainya kita mengambil jalan berlapang dada, buangkan ego yang melampau-lampau sebagai ketua keluarga dan bertolak ansur dan menerima kritikan secara rela dan berfikiran terbuka.

DIA kesayanganku, dia permaisuri hatiku, dia sentiasa di sanubariku…..DIAlah isteriku. Terimakasih buat isteri tercinta kerana menerima diri fakir yang sefakir-fakirnya ini sebagai peneman hidup. Walau hidup tidak sesempurna dan segembira pasangan lain.. namun kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan yang tiada penghujungnya menjadi antibiotik paling kebal dalam kehidupan kita.

اَللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مَوْلاَنَا مٌحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ فِي كٌكِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ

02 Ogos 2019

Coretan Anak Ku: Perjalanan Hidup Lulu


Ini adalah entri tentang seekor kucing kesayangan anak-anak fakir. Fakir terjumpa hasil luahan hati anak bongsu fakir tentang Lulu yang disembunyikan dari sesiapapun. Alhamdulillah fakir punya keluarga yang amat mengasihi haiwan, sanggup berkorban walau wang ringgit demi keperluan haiwan-haiwan seperti kucing dan anjing. Bukan bermaksud keluarga kami membela anjing tapi anak-anak fakir sanggup memberi makan walau pada seekor anjing jalanan yang kelaparan.. sifat-sifat Maha Kasih Sayang Allah terzahir pada diri anak-anak fakir. Bukan tujuan untuk berbangga dengan anak-anak namun tujuan entri kali ini hanya nak berkongsi betapa kasih sayang mereka pada haiwan-haiwan yang dibela mahupun hanya diberi makan. Fakir dah minta izin padanya untuk dikongsi di dalam blog usang ini. Coretan ini sama sekali fakir tidak edit dan menyalinnya secara total masuk ke dalam entri kali ini. Maaf , tulisan satu-satunya serikandi fakir ini mengikut naluri dan caranya tersendiri. Sungguh Lulu merupakan satu-satunya kucing yang betul-betul unik buat keluarga kami. Dia paling menghiburkan dalam puluhan ekor kucing yang pernah kami rawat dan bela. Inilah coretan luahan hati anak gadis fakir yang berusia dua belas tahun: - 

Setiap kali aku sampai di sekolah, hati aku tersentuh melihat seekor anak kucing yang melangkah longlai. Aku tahu dia kelaparan, so aku bagi ja apa yang aku makan. Selalu dia akan datang duduk sebelah aku, mengharap aku bg makanan kat dia. Sayu sungguh hati aku bila melihat sikecil yang kurus tu.Bila balik ke rumah aku ceritakan kisah kucing tu pada ibu dan ayah aku.Ibu memang tak berapa suka bela kucing, ibu takut berak kencing merata. Terbantut hasrat aku nak bawa sikecil tu balik. Seblm tidur aku terbayang dia...kesiannya tanpa ibu disisi..lapar..sejuk, rasa macam nak nangis bila teringat dia.Aku tk sabar menunggu siang untuk tgk sikecil tu...walaupun tak comel...aku suka dia. Selalu dia main2 dgn aku, gigit beg sekolah..dia ttp comel di mata aku.
       
Suatu hari aku ternampak ada beberapa org bdk lelaki menyepak sikecil aku ke sana sini mcm bola, yg sedihnya.. sikecil aku dibuang dlm tong sampah..dah mati ke dia? Alhamdulillah aku nampak dia masih bernafas...aku nekad, aku nak bawa balik rumah, pasal ibu, nanti aku pujuk pelan2. Sewaktu masa balik..ayah yg datang ambil aku...syukur..ayah benarkan aku bawa balik sikecil. Ibu tak ada...kerja..., aku wasap ibu, tunjuk gambar sikecil kesayanganku. Ibu tanya aku gambar apa tu?..aku tergelak..kucing la ibu..ibu kata, kenapa comey sgt. Ish...ish.. sadis betul ibu ni, tp aku seronok sgt sbb ibu izinkan aku pelihara sikecil dgn syarat kencing atau berak dia aku dan abang2 aku yg cuci. Yes...misi mencari nama sikecil..tunggu ibu balik keja.Tak sabar rasa hati aku.
        
 Malam tu, kami masing2 bagi cadangan nama, tp ibu yg lebih2..tak suka kucing, tapi dia yg sibuk nak boh nama..hahaha..ibu2. Sebagai menghormati org yg lbh tua  .kami terima idea ibu. Sejak dari itu sikecil aku dah ada nama. Lulu nama dia. Ibu kata ibu tambah sikit lg nama dia Lulu Malik, sbb dia dari sekolah Malik. Mcm2 ibu ni...ayah gelak ja.
        
Ada masalah pulak lulu ni...dia kecik lagi, tak da mak..camana nk minum susu. Ibu pegi kedai beli botol susu, dan susu segar..bg lulu minum tapi dia tk pandai..nasib baik tak berapa lama ada sekor ibu kucing di rumah aku beranak...anak2 dia mati, mmg rezki lulu, dia jd ank angkat ibu kucing tu. Lega aku rasa..lulu makin sihat dan membesar...ceria ja dia...tp ada satu lg masalah, dia tk pandai makan makanan lain...asyik minum susu ja, air pun tk pandai minum. Bila ayah suap ..dia luahkn makanan tu..ayah pegi klinik haiwan, beli vitamin.
       
Puas juga la ajar siLulu ni...baru dia pandai makan.Lawak la lulu ni air tetap tk pandai minum, kena paksa... Sejak duduk dgn kami, hidup dia ceria sgt, manja dgn keluarga aku. Suatu hari tu..aku dgr anjing menyalak kuat dpn rumah aku. Aku menjerit bila melihat lulu digigit oleh anjing tu..kesian lulu..tuan anjing tu menepuk2 kepala anjing suruh lepaskan lulu dari mulut anjing . Aku dah menangis..bila anjing tu lepaskn lulu, lulu longlai tak bermaya, badan lulu luka..air liur anjing membasahi badan kecil lulu. Nasib baik abg aku ada di rumah masa tu..abg ambik cangkul, cari tanah untuk samakkan lulu katanya. Lepas abg jirus dia dgn air tanah..dan air bersih, abg sabun badan dia. Mlm tu lulu demam teruk, hilang terus ceria dia. ..sekali dgn ceria aku.Aku sedih sgt..ibu pun sama, sedih sampai nangis dengan keadaan lulu. Ibu srh ayah bg lulu vitamin utk selera mkn. Kesian Lulu msh terkejut, truma agaknya , dekat tiga empat hari baru ok.

Lulu kembali seperti biasa, lega aku tgk dia, makin nakal...tapi ada satu perangai Lulu yg buat ibu angin...hihihi...Lulu suka berak dlm pinggan makanan dia, heeeiii pengotor la Lulu ni, bekas sisa organik Lulu iaitu pinggan dia ibu buang, esoknya ibu bagi pinggan lain...tgk2 dia buat perangai yg sama, ibu marah2 Lulu..last2 ayah kata biaq pi la kat dia..kita bg satu pinggan khas kat dia jadi toilet dia...hahaha...ayah jadi tukang cuci jamban Lulu. Ibu tak mau cuci...geli kata ibu.
       
Lulu...last2 jd kawan baik ibu, bila ibu pegi bilik air, lulu setia tunggu kat pintu, ibu masak dia tunggu kat meja, ibu tgk tv dia duduk dkt kaki. Jeles aku..hahaha..Malam kemarin lulu hilang, ibu dgn abg pegi cari..pusing satu taman. Tak jumpa...mlm tu semua pakat sedih. Masing2 terbayang keadaan Lulu di luar sana. Ibu kata entah2 anjing tu makan dia. Aku sedih bila ibu cakap camtu. Mmg nak kena anjing tu. Esok pagi masa buka pintu aku, besar harapan aku utk tgk Lulu ada menunggu aku, tunggu makanan...tapi sangkaan aku meleset, Lulu tak ada. Di sekolah hati aku tak senang...teringat Lulu yang hilang. Balik dari sekolah aku tak sabar tanya ibu..masih lagi Lulu tak balik. Ibu kata..tak pa la..dah nasib dia nak hilang. Terkenang Lulu ..hilang selera makan aku. Masuk hari ke tiga Lulu hilang, mmg kami dah redha tapi tetap rasa sedih. Masing masing menyesal sbb pernah marah Lulu, tambah2 lagi ibu. 

Hari Jumaat, ayah tgh bersiap nak pergi solat jumaat, bawa abg chik aku. baru lima minit ayah pergi, terdengar abg chik aku panggil ...ibu, ibu,...cuba tgk ni. Aku rasa nak melompat tgk Abg chik tgh pegang Lulu. Ibu pun sama..rupa2nya Lulu sesat, ayah jumpa dekat rumah bangla hujung taman , kesian Lulu, sdh kurus..apapun semua happy tgk Lulu.
        
Aktiviti Lulu mcm biasa. Dia dah tak berani keluar dari pagar rumah. Tau gak erti takut Lulu ni...takut sesat lagi la tuSatu hari Lulu sakit lagi demam, tak mau makan. Sayu ja aku tgk muka dia. Bagi dia makan..tp..dia tk sentuh pun. Dia tak lalu makan...esk pagi lulu hilang lagi..cari punya cari jumpa dkt tong sampah. Lulu lemah..sbb tak makan dah dua hari. Ibu kata nanti esk ibu beli ubat.
 Balik dari sekolah aku tgk lulu terbaring kaku..Ya Allah lulu..ibu kata..sabar, dah sampai masa dia, tapi ibu pun menangis.Ibu ralat sebenarnya..lulu tak sempat makan ubat yg ibu beli. Tiada lagi sikecil ceria yg menyambut aku balik dari sekolah..menemani aku buat homework...tarik rambut aku...gigit stokin aku...😣

اَللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مَوْلاَنَا مٌحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ فِي كٌكِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ

24 Mei 2019

PEDOMAN UNTUK BELAJAR MEMAHAMI ALLAH




Assalamualaikum, mencelah sebentar semoga ada manafaat untuk kita semua sepanjang menempuh bulan mulia ini... InsyaAllah. Sengaja fakir masukkan hanya 13 kata-kata hikmah ini untuk dikongsi bersama...

JADIKAN 13 PERKARA INI PEDOMAN HIDUP JIKA BENAR-BENAR MAHU KENAL DAN BERSAMA ALLAH.....

1. Kosongkan hati dalam berbagai keinginan, kosongkan fikiran dari khayalan dan lamunan, kerana dalam kekosongan itu terkumpul segala kenikmatan.


2. Untuk mendapatkan apa yang kamu cintai, kamu mestilah terlebih dulu bersabar dengan apa yang kamu benci.

3. Ada orang, masa susah sahaja baru dia ingat kepada Allah swt. Masa ada sesuatu hajat, baru dia mencari Allah swt. Semasa dia kaya, semasa dia ceria, dia lupa pada Allah swt, malah bongkak pula kepada Allah swt. Siapakah antara kita yang berusaha yang sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah swt? Atau sebenarnya kita ini, langsung tidak merasakan keterikatan kita dengan Allah swt? Adakah kita nampak, Allah swt itu di Masjid sahaja? Adakah di Masjid sahaja kita baru sibuk menjaga hubungan kita dengan Allah? Bagaimana di pejabat? Bagaimana di sekolah? Bagaimana di tempat anda berada sekarang? Adakah anda merasai keterikatan anda dengan Allah swt? Hubungan dengan Allah swt ini, adalah hubungan yang unik. Hal ini kerana kita berhubungan dengan Allah yang ghaib dari pandangan kita. Tetapi untuk manusia yang beriman dia akan sentiasa merasakan bahawa Allah swt itu amat dekat dengannya. “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya." (Surah Qaaf ayat 16). Hatta, yang kita bisikkan dalam hati pun Allah mengetahuinya.

4. Wahai hamba! Kedekatan di dalam solat itu adalah di dalam sujud, dan kedekatan dalam berzikir itu apabila tunduk hati mu khusyuk terhadapNya. Kedekatan itu menghampiri mu ketika kamu taat dan patuh kepadaNya. Kedekatan itu hampir kepadamu apabila engkau mengakui dosa dan salah mu di hadapan Allah dan kamu segera bertaubat dan beristighfar. Kedekatan itu adalah ketika engkau membuang syirik dari hati mu yakni engkau melihat Allah yg menjadikan mu dan barang yang engkau perbuatkan. Wahai hamba! Engkau akan diuji dengan kenikmatan kelapangan, kesusahan dan kesempitan, ini adalah ibarat batu pengasah kepada pisau. Pisau akan bertambah tajam apabila diasah. Hendaklah hatimu itu semakin hampir kepada Allah apabila diuji dengan nikmat atau pun dalam keadaan kamu diuji dengan kesusahan. Berbaik sangkalah kamu terhadap Allah, Allah mengikuti sangkaan mu terhadapNya. Telanlah ubat itu biarpun pahit, bersabarlah dengan pahitnya ubat itu, kerana ia adalah doktor pakar yg mengetahui hal keadaan pesakitnya, Dialah Allah Yang Maha Mengetahui hal keadaan mu dan pilihanNya keatas mu itu adalah sebaik baik pilihan, biarpun engkau masih tidak dapat melihat di manakah kebaikan itu.

5. Ilmu itu cahaya daripada Allah, memancar ke luar melahirkan 'amal', memancar ke dlm melahirkan ‘iman'.

6. Jangan patahkan sayap burung dan mengharapnya terbang. Jangan patahkan hati dan mengharap nya bercinta. Jangan kecewakan jiwa dan mengharapnya gembira. Jangan melihat keburukan orang dan mengharap orang melihat kebaikan kamu. Jangan menghukum orang dan mengharap orang memihakkan kamu. Jangan bermain api dan mengharap tidak terbakar diri. Hidup ini adalah perjalanan yang perlu bertolak ansur. Kamu tidak seharusnya mengharap hanya kebaikan dan menolak keburukan semata. Adakah benar ianya berlaku? Ya! Tapi jangan biarkan ia menjadi alasan untuk terus melakukannya walaupun kamu tahu ianya salah. Adalah tidak adil bagi kamu menyalahkan kehidupan mu tentang apa yang berlaku. Hanya kamu yang tidak berhati-hati dan berfikir.

7. Dosa orang awam adalah memandang dosa zahir batin dan bermaksiat. Dosa orang khawas adalah lalai hati dari ingat Allah. Dosa orang khawas al khawas nampak dan memandang wujud lain selain Allah.

8. Jika manusia tidak buat kesilapan, maka sifat Tuhan pun tidak akan sempurna. Atas kesilapan manusia, maka Dia namakan diriNya Maha Pengampun dan Penerima Taubat. Manusia tidak boleh sempurna seperti Tuhan, maka sempurnanya manusia itu ditakdirkan antara berbuat salah dan betul. Tetapi kesalahan manusia itu harus ditebus dengan taubat kemudian barulah manusia dikatakan manusia berbuat yang betul (tukarkan yang buruk kepada yang baik).

9. Org yg selalu menghadapkan hati dan fikirannya kepada Allah Yang Maha Tinggi dan terus menerus berusaha membersihkan hatinya dari berbagai kotoran yang datang setiap saat, nescaya hatinya akan bersinar cemerlang dengan Cahaya Ilahi. Hatinya memantulkan serta memancarkan Nur (Cahaya) Ilahi yang diterimanya menerangi kehidupan serta lingkungan tempat dia berada. Namun org yg memalingkan hati dan fikirannya dari menghadap Allah, dan membiarkan berbagai kotoran bertumpuk menutupi hatinya, tidak akan pernah mendapat Cahaya Ilahi. Hatinya gelap pekat demikian pula hidupnya berada dalam kegelapan dan ketidakpastian, ia tidak mampu menerangi dirinya sendiri apalagi menerangi lingkungan hidupnya

10. Apakah Allah dapat dipandang dan dapat ditilik. Allah dapat dirasa, Allah dapat dipandang dan Allah dapat ditiliki dengan senyata nyatanya oleh hati-hati Mukmin dari mereka mereka yg bermata 'basirah' (melalui pandangan mata hati yang halus). Seumpama sifat angin, angin itu tidak nampak untuk dipandang dan tidak nampak untuk dilihat tetapi ternyata ianya dapat dirasa dan dapat dinikmati dengan perasaan. Melihat Allah tidak dapat hendak diukir melalui lukisan, tidak dapat hendak digambar dengan perkataan. Cara melihat Allah itu, tidak memerlukan kepada dalil dan tidak memerlukan apa-apa bukti. Orang mengenal Allah itu, tidak boleh membuat dalil dan tidak dapat mendatangkan bukti. Melainkan Orang Makrifat itu sendiri sahaja yang tahu, yang dapat memahami dan merasai. Tidak ada bahasa hendak diucap dan tidak ada perkataan untuk dilafazkan, tentang cara mana Allah itu dapat dilihat, bagaimana Allah itu dapat dipandang, dan dirasa oleh mata hati. Perkara melihat Allah adalah perkara rasa, bukan perkara yang melalui pancaindera mata kasar. Hanya bagi mereka yang menikmati sahaja yang merasainya.

11. Yang dimaksudkan dengan 'Mati sebelum Mati' itu adalah membunuh, mematikan atau membuang nafsu amarah atau hawa nafsu kebinatangan dan keiblisan yang ada pada diri kita itu. Buangkan nafsu ini kerana ia 'menghijabkan' hati dari Allah. 'Diri' itu dimaksudkan ego atau nafsu amarah yang dipergodakan oleh syaitan. Antara tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu ada 'diri'nya ialah ia ada sifat-sifat: Takabur, Sombong, Hasad Dengki, Tamak Haloba, Mementing diri sendiri, Ujub, Riya’, Kasih pada yang lain dari Allah, Takutnya kepada yang lain dari Allah melebihi takutnya kepada Allah. Setelah 'diri' telah dimatikan, maka timbullah Allah sebagai gantinya. Berdiri dan nyata Allah dalam hati dan perasaan seseorang itu. Teguh dan nyata lah berdiri Allah dalam sanubarinya dan barulah ia menyedari dan merasai kehampiran dengan Allah Yang Maha Esa. Tiada lain yang dinampakkan kecuali Allah sahaja. Nyata terdirilah Allah padanya dan dinafikan nya yang lain.

12. Seorang asing bertanya kepada seorang Pengemis Hina: “Allah itu tidak ada misalan atau serupa dengan sesuatu, bagaimana engkau dapat melihat dan sampai kepada Allah?”. Jawab 'Pengemis Hina: “Dalam setiap ciptaan, wujud tanda-tanda adanya Pencipta juga Kuasa, Ilmu dan Kehendak Pencipta. Kalau engkau tidak nampak ini, engkau buta. Buat apa engkau habiskan masa untuk berzikir 'Allah Allah Allah', letih lidahmu menyebut, sedangkan hatimu masih buta?”

13. DAN Indahnya Sujud bilamana kamu berbisik di bumi namun kedengaran di Syurga.



اَللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مَوْلاَنَا مٌحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ فِي كٌكِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ


SUMBER / RUJUKAN:
http://kalimah-kalimah-suci.blogspot.com/