Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

23 Disember 2011

MAAFKAN AKU SAHABAT, AKU TIDAK PERNAH SEMPURNA!



Tak sangka dalam sebulan dua ni Fakir dapat bertemu kembali rakan-rakan di zaman persekolahan dulu melalui laman sosial FB. Dah hampir 20 tahun lebih Fakir tidak pernah ambil tahu kabar dan tentang kehidupan sahabat-sahabat Fakir di zaman persekolahan dulu. Hati rasa terharu juga bila seorang demi seorang sahabat handai meminta jadi rakan dalam FB, walhal ada diantara mereka yang sudah memegang jawatan tinggi seperti Ketua Pengarah dan orang-orang professional serta usahawan yang berjaya.

Jauh disudut hati perasaan bercampur baur, samada nak beramah mesra, bergurau senda macam zaman remaja dulu atau hanya berdiam diri. Rasa segan dan kekok pulak nak bergurau macam dulu-dulu, almaklumlah Fakir ini ke langit tidak, ke bumi pun tidak. Hidup ini nak kata susah sangat pun tidak juga hanya ala kadar saja... Alhamdulillah pun begitu Allah masih melapangkan kehidupan Fakir walau Fakir ini banyak sangat engkar akan perintah Allah.

Masa silih berganti dan perubahan demi perubahan berlaku, sedar tak sedar semuanya dah punya anak-anak yang meningkat remaja. Malah ada di antara mereka punya anak-anak yang sudah melanjutkan pelajaran ke luar negeri.Tinggal Fakir, anak-anak masih kecil. Yang sulung akan mencapai usia 12 tahun pada 2012 nanti.

Terkenang - dalam masa-masa mereka berusaha menempa kejayaan, Fakir banyak “laqho” dengan kehidupan. Kehidupan Fakir macam rojak, banyak merapu dan terkadang keras hati dan baran juga sentiasa mendampingi diri ini. Pantang orang lintas angin mulalah melenting. Dalam masa-masa itu juga Fakir terputus langsung dengan sahabat-sahabat zaman sekolah dulu. Bila usia dah mula mencecah 25 tahun keatas barulah Fakir terbuka mata, dibantu oleh guru pertama Fakir dalam bidang tarikat untuk menjadi manusia seadanya. Bermula dari itulah Fakir buang jauh-jauh sifat panas baran dan yang buruk-buruk yang ada dalam diri Fakir ini.

Fakir juga terkenang akan perbualan Fakir dengan guru, nak bersihkan diri dan nak dekat dengan Allah bukannya mudah - kata guru. 1001 halangan yang perlu ditempuhi, salah satu ialah kebencian orang pada kita merupakan cabang halangan yang akan menanti. Sungguh benar apa yang diucapkan oleh guru. Fakir diuji dengan seribu satu masalah, terutama hal-hal rezeki yang hampir-hampir membuatkan Fakir tenggelam punca. 

Kebencian orang jangan dibilang, pernah dihina sampai maruah terjelepuk ke tanah. Pernah juga terdengar desas desus ada rakan yang berjaya dalam hidup sanggup mengatakan Fakir ini jenis “job hoping” . Diketika itu ada timbul rasa benci kerana Fakir tidak pernah pun berhasrat nak minta tolong sesiapa dari sahabat-sahabat zaman sekolah dulu. Fakir harungi seorang diri.

Alhamdulillah juga sebab dalam naik turun alunan kehidupan ini, Allah masih memberi peluang untuk Fakir kerana masih tetap cintakan mencari ilmu tentang cara membersihkan diri. Ada di antara guru-guru pembimbing Fakir itu telah kembali ke rahmatullah – al Fatihah. Fakir ini terkadang amat degil dan bebal juga. Kehidupan hari ini masih juga “laqho” tapi punya batas disebabkan pesanan-pesanan dari guru-guru masih tersemat melekat di hati ini walau sedegil dan sebebal mana pun diri Fakir ini.

Dipendekkan cerita, disebabkan diri Fakir ini tidak pernah sesempurna dan sehebat orang lain, maka Fakir ambil keputusan hanya akan berhubung dengan orang-orang yang tidak pernah jemu berhubung dengan Fakir. Maafkan aku wahai para sahabat, aku tak mampu memeriahkan suasana -  hanya sekadar bertanya kabar lantaran diri ini tidak pernah sesempurna dan sehebat anda semua. Pun begitu Fakir doakan kejayaan anda semua di dunia dan akhirat- insyaAllah.


16 Disember 2011

Khasiat Pokok Beka @ Bonglai



Pokok Beka hidup meliar di tepi sungai dan belukar tanah rendah hampir di seluruh Malaysia. Pokok beka sederhana besar, kira-kira 10m tingginya. Batang tumbuh tegak tanpa cabang, kecuali apabila hujungnya dipangkas. Daun panjang dan lebar, berbentuk bujur ovat dan mempunyai anak daun yang banyak. Helai daun nipis, pangkal tidak simetri kecuali anak daun hujung.Bunga terdapat pada jambak rasem yang panjang, iaitu 1-2 m. Bunga kembang satu demi satu, tidak serentak. Warna bunga merah muda keperangan dan berbelang krim. Buah berbentuk kapsul sepanjang 1 m dan kira-kira 8 cm lebar.Bijinya banyak, leper dan nipis. Buah yang panjang menyebabkan pokok ini mudah dicam dari jauh. Beka atau nama saintifiknya Oroxylum indicum daripada keluarga tumbuhan bignoniaceae mempunyai pokok yang sederhana besar.

KEGUNAAN DAN KHASIAT
Pucuk dan buah boleh dibuat sayur. Di India dan di Jawa, kulit luar akar digunakan untuk mengubati sakit usus. Oleh sebab sifat kelat dan toniknya, kulit akar digunakan untuk mengubati cirit-birit. Campuran daun boleh diminum untuk mengubati sakit perut, hilang selera makan dan reumatisme. Daun yang dimasak dibuat ubat untuk wanita yang sakit sewaktu bersalin dan sebagai campuran ubat selepas bersalin. Air rebusan daun beka merupakan ubat sakit urat yang sangat mujarab. Orang Cina menggunakan biji beka sebagai ubat.

Menurut Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, buah beka juga baik untuk kesihatan kerana ia boleh mencuci darah.

"Memakan buah beka juga boleh membantu menambahkan susu ibu terutama bagi mereka yang baru lepas bersalin,'' ujarnya.

Tambah beliau, selain buahnya, rebusan daun beka jika diminum akan mengurangkan demam atau sakit kepala di samping boleh dijadikan mandian lepas bersalin.

"Untuk mendapatkan lebih kesegaran bagi ibu lepas bersalin, selain daun beka rebusan juga ditambah dengan campuran herba lain, termasuk serai wangi,'' jelasnya.

Kata Tajuddin, manakala akar pokok beka pula boleh melegakan demam, sakit atau pening kepala dan juga selesema.

"Akar beka yang dicampur sedikit air perlu ditumbuk halus sebelum ia dipupuk di kepala,'' ujarnya.

BAGI mereka di pantai timur terutama di Kelantan dan Terengganu, buah beka sudah tidak asing lagi. Ia merupakan makanan popular sama ada sebagai ulam atau dijadikan kerabu.Sepanjang bulan puasa misalnya, kerabu beka yang dijual di kebanyakan gerai makanan di pasar Ramadhan di negeri itu adalah antara pilihan utama pengunjung.

Walaupun rasanya agak pahit tetapi kerabu beka menjadi hidangan pembuka selera dan kemestian ketika berbuka puasa.

Jika dijadikan ulam, peminat beka selalunya membakar buah muda tersebut terlebih dahulu bagi mengurangkan rasa pahitnya.


11 Disember 2011

Manisnya Sabda Baginda Rasulullah SAW




Rasulullah SAW bersabda:
“Manisnya iman tidak akan merasuk ke dalam hati seseorang hingga dia mahu meninggalkan sebahagian ucapan kerana takut dusta, meskipun dia itu jujur; dan mahu meninggalkan sebahagian sanggahan meskipun dia itu benar.” (HR Dailami)
 
“Barangsiapa benar-benar bersabar dalam menghadapi masalah yang amat sulit, nescaya Allah akan menempatkannya di syurga Firdaus dan di dalamnya dia boleh memilih tempat di mana saja yang disukainya” (HR Abu Syaikh)
 
“Siapa yang tergiur memenuhi syahwatnya (yang haram) namun dia mampu untuk menolaknya dan lebih mengutamakan penolakannya daripada memenuhi keinginan dirinya, maka dosa-dosanya diampuni” (HR Daraquthni)
 
“Tidaklah seorang hamba mengucapkan suatu ucapan yang maksudnya hanya untuk membuat orang lain tertawa, melainkan sungguh dia telah jatuh ke dalam jurang yang ukuran dalamnya lebih jauh daripada jarak antara langit dan bumi; dan sungguh dia tergelincir kerana olah lisannya yang kadarnya lebih parah daripada ketergelinciran kedua kakinya” (HR Khara’ithi)
 
“Diam adalah akhlaq yang terbaik, barangsiapa suka jenaka, tentu dia akan dihinakan” (HR Dailami)
 
“Ada enam faktor yang boleh menghapus amal kebaikan: iaitu suka memerhatikan atau membicarakan aib orang lain, hati yang keras beku (tidak mahu menerima nasihat orang lain), cinta keduniaan, kurang memiliki rasa malu, panjang angan-angan, dan senantiasa berbuat zalim (kepada orang lain)” (HR Dailami)

07 Disember 2011

Lebih baik dari dunia dan seisinya




Untuk apakah Allah SWT jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah SWT dan ada malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah SWT. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.

Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya.

 Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah SWT. Berkata Al Fudhail bin Iyadh, “Apabila terbenam matahari maka aku gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka aku berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!” Abu Sulaiman pula berkata, “Jikalau tidaklah kerana malam nescaya aku tidaklah menyukai tinggal di  dunia ini.”

Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-mlaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepda hamba-hambaNya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya.

Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barang siapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya aku wajibkan kedua rakaat itu atas mereka.”

 Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
“Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur.”

 Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah SWT memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggalkan keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wudhuk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hambaNya yang menghidupkan malam.

Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia melakukannya.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah s.w.t nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian nescaya menjadi keji jiwa dan malas.”

Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka di dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah SWT. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan dan rutin para abid dan orang-orang soleh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa.”

17 November 2011

Terapi Iman



assalamualaikum, agak lama Fakir tak menjengah ke selasar ini kerana banyak masa Fakir dirampas oleh kerja-kerja yang menimbun dan bercampur pula perasaan malas untuk merayau di dunia siber. Jom untuk kali ini, kita buat sikit terapi dan muhasabah...jom, jom...

Kelebihan Umat Rasulullah Menurut Pandangan Nabi Adam

Disebutkan bahwa Nabi Adam A.S telah berkata, "Sesungguhnya Allah S.W.T telah memberikan kepada umat Muhammad S.A.W empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku:

Taubatku hanya diterima di kota Mekah, sementara taubat umat Nabi Muhammad S.A.W diterima di sebarang tempat oleh Allah S.W.T.

Pada mulanya aku berpakaian, tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah menjadikan aku telanjang. Umat Muhammad S.A.W membuat derhaka dengan telanjang, tetapi Allah S.W.T memberi mereka pakaian.

Ketika aku telah berderhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah memisahkan aku dengan isteriku. Tetapi umat Muhammad S.A.W berbuat derhaka, Allah S.W.T tidak memisahkan isteri mereka.
Memang benar aku telah derhaka kepada Allah S.W.T dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga, tetapi umat Muhammad S.A.W durhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kepada Allah S.A.W.
dan....
Hidup ini menjadi bermakna apabila ilmu kita terus bertambah dari masa ke semasa. Sesungguhnya kesalahan dan kesilapan tidak menjadi penyebab manusia terjerumus kedalam siksaan Allah kerana manusia sentiasa melakukan kesalahan dan kesilapan. Tetapi, sifat tidak mahu memperbaiki diri yang menjadi penyebab kita hampir dengan azab Allah. Sebesar manapun kesalahan kita dapat dihapuskan dengan bertaubat. Asalkan kita segera meninggalkan kesalahan itu dan berusaha memperbaiki diri sendiri.

Firman Allah yang bermaksud,
" Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum hingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan pada sesuatu kaum, tidak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tidak akan ada pelindung bagi mereka selain Dia."
( Surah ar-Ra'd;11)

Allah swt telah berfirman dalam sebuah hadis qudsi :

“ Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan memohon keampunan dariKu, maka akan Aku ampunkan segala dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosa yang telah engkau lakukan menggunung setinggi langit kemudian kau memohon keampunan dariku, maka akan Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya kau datang kepadaku dengan dosa sebanyak seisi dunia dan kau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, maka akan Aku datangkan padamu maghfirahku sebanyak seisi dunia”.

06 Oktober 2011

KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH MENURUT TEORI FIZIK



Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan. Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama. Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan.

Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan - sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita. Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dakam tubuh. Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama. Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.

Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak. Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakaat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail) .

Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah ynag tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini.

Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.......


sumber: taman-taman syurga

01 Oktober 2011

Petua Imam Syafie



4 PERKARA UNTUK SIHAT

Empat perkara menguatkan badan
1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas

Empat perkara melemahkan badan
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih

Empat perkara merosakkan mata
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulamak

4 CARA TIDUR
1. TIDUR PARA NABI
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi.
2. TIDUR PARA ULAMAK & AHLI IBADAH
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.

3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA
Miring ke sebelah kiri untuk mencerna kan makanan yang banyak dimakan.

4. TIDUR SYAITAN
Menelungkup/ tiarap seperti tidurnya ahli neraka.

28 September 2011

Sepuluh Jenis Manusia Yang Kejam

Sufyan Atsauri berkata:"Sepuluh macam daripada kekejaman ialah: 

1.Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin. 

2.Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat. 

3.Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat. 

4.Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur. 

5.Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah. 

6.Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya. 

7.Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu. 

8.Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang. 

9.Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan. 

10.Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.

25 September 2011

Orang Miskin Yang Beriman dan Orang Kaya Yang Kafir

Di masa lampau ada dua orang mukmin dan kafir, keduanya pergi untuk memancing ikan. Si kafir jika akan mengangkat jalanya menyebut nama berhalanya, maka ia mendapat ikan yang banyak sedangkan si mukmin jika akan mengangkat jalanya menyebut nama Allah SWT namun tidak mendapat apa-apa.

Apabila hari telah hampir maghrib barulah si mukmin mendapat ikan dan ketika diangkat tiba-tiba ikan itu bergerak-gerak dan jatuh kembali ke dalam air, maka si mukmin tidak mendapat apa-apa lagi sedangkan si kafir jalanya penuh dengan ikan.

Maka menyesallah malaikat yang menjaga si mukmin itu dan ketika ia naik ke langit, Allah SWT memperlihatkan kepada malaikat itu tempat yang disediakan oleh Allah SWT untuk si mukmin dalam syurga, sehingga malaikat itu pun berkata, “Demi Allah tidak bererti (tidak apa-apa) penderitaannya di dunia jika kelak ia akan mendapat ini.”Juga diperlihatkan tempat si kafir dalam neraka, maka malaikat itu berkata, “Demi Allah tidak berguna apa yang ia dapatkan di dunia, jika kelak akan kembali ke sini.”


Pada hari kiamat Allah SWT akan menolak alasan empat orang dengan empat iaitu:
>menolak alasan orang-orang kaya dengan nabi Muhammad s.a.w., jika si kaya berkata, “Kekayaan itulah yang menyebabkan aku sibuk sehingga tidak sempat beribadat.” Maka dijawab Allah SWT, “Engkau tidak lebih kaya dari Sulaiman a.s. tetapi kekayaannya tidak melupakannya dari ibadat.”

>Jika hamba sahaya berkata, “Kerana saya sebagai hamba sahaya maka tidak dapat bebas untuk beribadat kepadaMu.” Maka Allah SWT menjawab, “Yusuf AS menjadi hamba sahaya tetapi kehambaannya tidak menghalangi untuk melakukan ibadat.”

>Jika si miskin berkata, “Kemiskinanku itulah yang menghalangi untuk beribadat kepadaMu.” Maka Allah SWT menjawab, “Engkau tidak lebih miskin dari Isa AS tetapi Isa AS tidak terhalang untuk melakukan ibadat.”

>Jika terhadap orang yang sakit dengan Nabi Ayyub AS. Jika si sakit berkata, “Penyakitku itulah yang menghalangi aku untuk beribadat.” Maka Allah SWT menjawab, “Penyakitmu tidak lebih berat dari penyakit Ayyub AS tetapi ia tidak terhalang untuk beribadat kepadaKu.”

**Sehingga tidak ada alasan bagi orang yang akan beralasan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. Orang-orang sholihin senang dengan penyakit dan kesukaran itu kerana dapat menjadi penebus dosa.

Abu Dardaa’ RA berkata, “Orang tidak suka kemiskinan dan saya suka, orang tidak suka mati dan saya suka, orang tidak suka penyakit dan saya suka. Saya suka penyakit kerana menjadi penebus dosa-dosaku, saya suka miskin sebab menjadikanku tawadhu’ kepada Allah SWT dan saya suka mati kerana rindu kepada Allah SWT.”

22 September 2011

Uniknya Jika Api Adalah Air

Jom sesaja cuci-cuci mata.....






17 September 2011

Seminggu kehidupanku

Hari-hari yang ku lalui minggu ini sangat hambar, tawar tanpa rasa setawar minuman tanpa gula.  Saat-saat ini ternyata aku terlalu merindui ayahandaku yang telah hampir dua tahun kembali menemuiNYA. Kenapa hari ini aku begitu rindu kepadanya. Aku sendiri tidak pasti. Adakah terlalu banyak tekanan dalam kehidupan, atau kerana tiba-tiba terlintas di kepala bahawa yang pastinya aku tidak dapat berbuat banyak yang mendatangkan rasa bangga kepadanya ketika hayatnya masih ada...entahlah. Apatah lagi setelah dia tiada, langsung aku tidak berpeluang lagi ke arah itu.


Kehilangan ayahanda ku sehingga hari ini tanpa disedari sangat-sangat memberi impak yang besar terhadap kehidupan aku. Aku terkadang merasa hampa kerana ada niat yang ku simpan untuk kedua ibubapaku sudah berkubur sama sekali. Namun itulah takdir yang aku yakin sangat-sangat bahawa ada kebaikannya yang akan muncul disebalik itu, tak kiralah samada ianya akan muncul hari ini, esok, lusa hatta berpuluh tahun lagi.

Walaupun semasa hayatnya (ketika aku masih muda belia) aku jarang berbual namun aku tetap menyanjungi kasih sayang dan pengorbanan yang telah ayahku lakukan. Pun begitu aku tetap terasa puas kerana setahun dua sebelum ayahku kembali ke rahmatullah aku banyak memenuhi keinginannya. Aku juga lebih rapat dengannya sehinggalah saat-saat akhir aku bersamanya sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir dia memegang tangan ku erat, tak siapa pun tahu bahawa ayahanda ku membisikkan bahawa dia dah tak lama lagi dan mengamanatkan aku agar menjaga ibuku dengan sebaik mungkin. Rahsia itu hari ini telah ku bongkarkan. Alhamdulillah aku telah dan akan senantiasa kotakan harapannya itu.

Itu sebahagian apa yang aku sedang rasakan dikala ini. Terselit juga dalam hari-hari hambar ku bahawa terkadang aku ini terlalu leka dan semakin jauh dari kecintaan Allah. Terlalu sibuk dengan urusan dan kesukaan duniawi hingga dapat ku rasakan hati ku semakin gelap dan semakin hilang kuasa tarikan magnet kecintaan kepada Allah dan RasulNYA. Aku seharusnya lebih peka dengan apa saja yang datang dariNYA. Aku telah semakin buta menilai segala nikmat atau ujian yang datang dariNYA. Ya Allah pimpinlah aku kembali ke jalanMU dan limpahkan segala keredhaanMU  ke atas diriku yang hina disisiMU ini.

Adakalanya dalam hari-hariku ini aku mudah sangat berkecil hati dan rasa tersisih serta kecewa. Aku mula merasakan aku tidak berjaya seperti orang lain, tidak dilayan seadilnya seperti orang lain. Apa saja kerja buatku yang menghasilkan kebaikan tidak diendahkan langsung, aku kecewa bukan kerana minta disanjung tetapi penat lelah terkadang tidak dihargai.

Aku terkadang merasa bingung dengan kehidupanku sendiri, yang nyata tidak semuanya indah seperti yang terlihat oleh sepasang mata ini. Ibarat melihat sebuah keindahan dalam air tenang. Apabila terkocak airnya maka leburlah keindahan tersebut dek goncangan alunannya.

Namun apa yang kurasakan dinihari hari ini ketika aku memandu pulang dari tempat kerja, adalah sebuah kesimpulan yang sangat bermakna. Terlintas dan tersentak dikepala bahawa segala rasa kerinduan, kecewa, marah, lalai, tidak bersemangat, sedih dan segala perasaan negatif yang melanda diri ini sebenarnya mematangkan dan mendewasakan diri ku sendiri. Inilah pengalaman yang tidak bisa dijual beli.  Allah menaburkan hikmah disebalik semua yang aku lalui untuk aku lebih merasa erti kehidupan sebenar. Buruk dipandang namun manis kedapatan dipenghujungnya. 

Ibarat orang yang mahu belajar berenang, dibiarkan gurunya lemas dahulu baru dihulurkan tali penyelamat. Setidaknya aku telah mengukur dan berkira-kira kesilapan dan kelalaian aku pada Penciptaku. Semua yang terjadi dibawah kawalanNYA. Rahsia Allah tiada siapa tahu dan tiada siapapun yang berhak menghukum....wallahualam!

02 September 2011

Suasana Hari Raya


Dah masuk raya kelima, tetamu dari kalangan keluarga dan sahabat handai masih mengunjungi pondok Fakir. Dalam keletihan masih terasa keseronokan dapat bertemu dengan handai taulan yang lama-lama sekali baru berjumpa. Walaupun adakalanya sebelum menjelang Ramadhan ada sedikit sebanyak terasa hati namun mudah terhapus bila masing-masing ikhlas menghulurkan tangan melupakan segala silap dan salah yang telah sengaja atau tidak sengaja dilakukan. Itulah manusia yang penuh dengan sifat-sifat yang sangat serba kekurangan ini.


Raya kali ini, perbelanjaannya amat ketara dirasai, semua barang melambung-lambung ke puncak awan harganya. Kalau dulu wang lima puluh ringgit itu paling tidak dapat dibelanjakan untuk 2-3 hari. Tapi pada hari ini dengan duit sebanyak itu kalau digunakan, setengah jam pun tak sampai, sudah habis dengan hanya satu dua barang saja dapat dibeli. Bagi golongan mewah semua itu tidak menjadi hal buat mereka. Bagaimana pula buat golongan yang kurang upaya? Bayangkanlah sebatang lemang sebesar betis budak berumur 2 tahun dijual dengan harga RM10, dodol 500gram pula sudah mencecah RM10 sebungkus.. congak-congakkanlah berapa duit yang harus keluar untuk dua benda ini saja. Harga barangan runcit pun melambung sederas tsunami melanggar tanah besar.


Fakir langsung teringat raya dulu-dulu, rasanya kemeriahan raya ketika itu jauh lebih terasa meriahnya. Dengan sanak saudara berkumpul bersama menyediakan juadah untuk hari raya, letih macamana sekali pun hati tetap riang. Malah dapat pula berbuka puasa buat kali terakhir untuk tahun itu bersama-sama.


Dulu kemeriahan dan kegilaan menghantar kad raya adalah satu kemestian. Cantik dan penuh kepelbagaian menghiasi muka depan kad tersebut. Ada gambar masjid, bunga, kucing lukisan malah kartun yang menggelikan hati. Ayat-ayat yang terukir di dalam kad-kad tersebut terkadang sangat menyentuh perasaan. Hari ini duit tak payah keluar untuk beli kad  dan setem kerana berbagai e-kad raya boleh dipilih di alam siber. Maka e-kad raya itu hanya boleh diketemukan oleh orang-orang yang menggunakan internet sahaja...titik habis disitu. Bagaimana emak dan ayah atau bapa dan emak saudara yang sudah tua?


Fakir di zaman kanak-kanak dulu riuh sakan bermain bunga api dan mercun, malah meriam buluh juga tidak ketinggalan. Membedil meriam buluh menjadikan satu pertandingan tidak resmi antara kampung. Pun begitu, tidak pernah sekali pun terdengar ada budak yang putus tangan atau melecur sana sini kerana main benda-benda tersebut. Hari ini mungkin budak-budak terlebih genius dan inovatif dalam mengolah semula bahan-bahan tersebut sehinggakan seawal ramadhan sudah masuk televisyen  cedera di sana-sini. Mungkin selari dengan kehebatan teknologi sekarang, anak-anak kita terlebih inovatif dalam segala hal.


Dulu-dulu juga anak-anak bebas ziarah menziarahi sanak saudara untuk kutip duit raya. Tak ada bahaya yang datang mengundang. Hari ini jangan kata hendak kunjung mengunjungi, melangkah keluar pagar sahaja mak bapak pasti sudah risau kerana berbagai jenayah dan bahaya sedang menunggu habuan. Penyangak-penyangak durjana sedang menunggu umpan bagaikan serigala yang rakus bila berpeluang membaham mangsa di depan mata. Kalau dulu juga setiap kunjungan pasti kenyang dengan jamuan namun hari ini anak-anak kecil sudah siap memberitahu mereka tak nak makanan tapi hanya nak kutip duit raya sahaja. (tersengih sendirian bila mengenangkan telatah anak-anak kecil sekarang).


Kalau dulu kuih muih raya semuanya dibuat sendiri. Anak lelaki pun adakalanya turut terpaksa membantu emak atau kakak di dapur. Para ibu masa tu kalau tak silap masih menggunakan marjerin untuk biskut-biskut raya, mentega agak janggal didengar. Dodol dikacau sehingga berbuka puasa pun belum tentu siap, dahaganya alahai mak datuk usah dicakaplah. Paling menarik apabila membakar lemang di malam raya, yang pastinya semua pakat menanti pengisytiharan tarikh 1 Syawal dulu barulah kerja-kerja membakar dijalankan. Hari ini peratusan besar biskut-biskut dibeli, mungkin kerana semuanya hari ini mengejar masa yang semakin sempit. Walaupun harga mencecah RM30-40 untuk 50 ketul terpaksa dibeli hatta bahulu yang benar-benar tradisional pun terpaksa dibeli. Bahulu buatan sendiri emak-emak atau nenek-nenek kita dulu sangat enak kerana garing di luar lembut di dalam. Bahulu mesin yang dikomersilkan hari ini pun tetap enak cuma luar dan dalam sama sahaja.


Begitulah perbezaannya... Fakir nak mengucapkan Selamat Hari Raya dan Mohon Maaf Lahir dan Batin buat rakan-rakan dan saudara-saudara pengunjung Selasar Si Fakir ini. Seandainya   ada yang terkilan, marah dan tersinggung  dalam posting yang lalu. Sebagai manusia yang serba kekurangan ini, Fakir tidak terlepas dari membuat kesilapan, apalagi dosa-dosa yang adakalanya tidak sedar telah dilakukan sesama insan lain.



26 Ogos 2011

Examples of the Prophet Muhammad’s Sayings

1.The believers, in their love, mercy, and kindness to one another are like a body: if any part of it is ill, the whole body shares its sleeplessness and fever.
 Narrated in Saheeh Muslim and Al-Bukhari



2. The most perfect of the believers in faith are the best of them in morals. And the best among them are those who are best to their wives. Narrated in Mosnad Ahmad and at Tirmizi

3. None of you believes (completely) until he loves for his brother what he loves for himself.
Narrated in Saheeh Al-Bukhari and Saheeh Muslim

4. The merciful are shown mercy by the All-Merciful. Show mercy to those on earth, and God will show mercy to you.
Narrated in Al-Tirmizi,  and Abu-Dawood

5. Smiling at your brother is charity... Narrated in Al-Tirmizi

6. A good word is charity. - Narrated in Saheeh Muslim and Saheeh Al-Bukhari

7. Whoever believes in God and the Last Day (the Day of Judgment) should do good to his neighbour.
Narrated in Saheeh Muslim and Saheeh Al-Bukhari

8. God does not judge you according to your appearance and your wealth, but He looks at your hearts and looks into your deeds.
Narrated in Saheeh Muslim

9. Pay the worker his wage before his sweat dries. - Narrated in Ibn Majah

10.A man walking along a path felt very thirsty. Reaching a well, he descended into it, drank his fill, and came up. Then he saw a dog with its tongue hanging out, trying to lick up mud to quench its thirst. The man said, “This dog is feeling the same thirst that I felt.” So he went down into the well again, filled his shoe with water, and gave the dog a drink. So, God thanked him and forgave his sins.} The Prophet  was asked, “Messenger of God, are we rewarded for kindness towards animals?” He said: {There is a reward for kindness to every living animal or human.
Narrated in Saheeh Muslim and Saheeh Al-Bukhari

25 Ogos 2011

Renungan Ramadhan - 9 Kategori Manusia Dan Sembahyangnya



1. Golongan yang langsung tidak bersembahyang dan menolak perintah sembahyang. Mereka ini namanya saja Islam, tetapi memang tidak mahu sembahyang. Malah tak tahu pun macam mana hendak sembahyang dan tak ambil peduli langsung tentang sembahyang. Mengikut Hadis, mereka ini dihukum sebagai kufur. Kalau dah kufur...tentulah kekal selama-lamanya dalam Neraka...waliauzubi llah. 

2. Golongan yang bersembahyang tanpa ilmu sembahyang. Mereka ini sembahyang sebab terikut-ikut orang lain sembahyang.Tetapi yang sebenarnya, tidak tamat ilmu sembahyang pun. Mereka ini tidak tahu yang mana satu rukun dan yang mana satu sunat. Bacaan pun tak betul, yang panjang jadi pendek dan yang pendek jadi panjang. Sah batalnya tidak tahu, bab bersuci pun tidak beres lagi. Sembahyang begini tentulah tidak diterima ALLAH SWT. Macamlah orang yang bagi jawapan tak betul dalam peperiksaan, mana cikgu nak luluskan. Tak luluslah jawabnya! 

3.Golongan yang ada ilmu sembahyang tetapi tak kuat nak lawan nafsu. Mereka ini lulus subjek Pengetahuan Agama Islam, kadang-kadang boleh score A1 lagi. Tapi bila pasukan kegemeran masuk World Cup final, sembahyang pun qada'.Kadang- kadang pula terlepas waktu kerana sibuk sangat buat kerja nak cari duit. Kalau sembahyang pun, sembahyang sembahyang seperti senaman sahaja. Terpacak tertonggeng untuk lancarkan peredaran darah namun fikiran mereka boleh melancong ke seluruh dunia. Mereka ini golongan yang fasik atau zalim. Untuk mudah nak faham, mereka ini golongan Islam yang engkar. Macam mana yang dikatakan engkar? Mengadap Allah boleh lagi nak main-main... kalau depan raja pun orang dah kata biadap, inikan pula depan Allah, Maharaja segala raja.Mereka ini kalau tidak merayu minta ampun, alamatnya akan dihalau dari istana raja . Kalau dah dihalau dari Syurga, kemana agaknya kita kena pergi, sudah tentu semua dah maklum! 

4. Golongan yang lalai dalam sembahyang. Mereka ini satu tangga lebih baik dari yang tadi. Mereka dah tak main qada' sembahyang. Kadang-kadang bila kecewa atau dalam keadaan stress, cukup rajin pula sembahyang jemaah dimasjid atau di surau. Orang sangka mereka ini orang baik-baik, tetapi sebenarnya belum lagi Kalau kita nak tahu, diwaktu sembahyang hati dan fikiran mereka selalu melayang teringatkan masalah yang masih tak selesai. Contohnya bergaduh dengan isteri, ceti dah datang, kunci hilang dan lain lain lagi permasalahan. Kadang-kadang sungguh hebatnya sampai teresak-esak menangis dalam sembahyang. Bukan tangiskan dosa dan takutkan Tuhan tapi sebab melayan perasaan sendiri.  Memang tepatlah kalau mereka ini dikatakan golongan yang lalai.Mereka ini termasuk juga golongan yang biadap dengan Tuhan, macam orang yang berdepan dengan raja tapi buat hal sendiri. Raja tetap marah kerana tidak dihormati. Di Akhirat nanti, tempat mereka ialah di Neraka Wail, waliauzubillah. 

5.Golongan yang sembahyang tarik tali. Mereka ini lebih baik sikit dari yang di atas iaitu sentiasa tarik tali antara ingat bacaan sembahyang dengan tidak. Kadang-kadang ingat, kadang-kadang lalai. Macamlah orang yang ada penyakit amnesia (hilang ingatan). Kejap sedar, kejap tak sedar. Baru cakap separuh jalan, dah pengsan. Kalau raja rasa yang penyakit ini dah teruk, tentu raja suruh dia tinggal di hospital agar penyakitnya boleh di"rawat ".Kalau masih terkawal, ada peluang juga tinggal di kalangan tetamu raja. Jadi, golongan ini walaupun bersembahyang tapi belum selamat. Sebab terpulanglah kepada Allah, macam mana Allah nak beri 'markah'. Golongan ini bila sedar, hendaklah banyak meminta ampun kepada ALLAH, moga-moga ALLAH terima mana-mana bahagian sembahyang yang dia ingat, manakala yang lalai tidak dikira. Disamping itu, hendaklah mereka terus tingkatkan kualiti sembahyang mereka. 

6.Golongan yang tidak memahami sepenuhnya maksud bacaan dalam sembahyang. Mereka ini fikirannya tidak lagi melilau-lilau atau bertarik tali dalam sembahyangnya. Mereka dah boleh beri tumpuan pada bacaan-bacaan dan lafaz-lafaz yang diucap dalam sembahyang. Sembahyang mereka pun nampak cantik dan sempurna. Kalau baca Fatihah, kalah lidah orang Arab, tetapi tak ubah macam duit palsu sahaja. Nampak macam yang original tapi tak ada nilai apa-apa. Mereka ini sebenarnya tak faham apa yang dibaca...dan tak nak pula belajar makna bacaan sembahyangnya. Nak khusyuk macam mana?... memanglah mustahil! Inilah golongan awamul muslimin. Golongan ini juga belum selamat. Kalau di depan raja, mereka ini ibarat burung kakak tua yang tak faham apa yang diperkatakannya. Manusia yang berperangai burung kakak tua didepan Allah? wallahualam! 

7.Golongan yang selamat. Mereka bersembahyang dengan tepat sebagaimana yang dikehendaki ALLAH. Selain sembahyangnya tepat secara zahir, fikiran dan hatinya dapat ditumpukan sepenuhnya kepada sembahyang. Faham pula apa yang diucapkan dalam sembahyang. Kalau di istana, mereka inilah yang layak jadi tetamu raja. Mereka berkelakuan sopan dan pandai menghormati raja. Raja pun suka pada mereka.Raja tidak berat hati nak offer duduk lama-lama dalam istananya. Golongan ini selamat di dunia dan di Akhirat dan dapat masuk Syurga.Mereka inilah yang dikatakan orang-orang soleh. 

8.Golongan muqarrabin Mereka bukan sahaja khusyuk dalam sembahyang, tetapi dapat juga rasa lazat dalam sembahyang, lebih lazat dari makan makanan terhebat dan terenak. Bila baca tentang azab ALLAH, kecut hati dan perut mereka.Bila baca tentang rahmat ALLAH, hati mereka cukup tenang dan gembira. Mereka benar-benar dapat menjiwai sembahyang mereka. Darjat mereka ini lebih tinggi dari golongan 7. Kalau di istana raja, mereka ibarat pekerja-pekerja yang setia dengan raja. Bukan saja mereka memuliakan raja, bahkan semua titah raja dilaksanakan dengan sungguh-sungguh dan rasa seronok. Tak bagi gaji pun tak apa, asalkan dapat berkhidmat kepada raja. Orang begini, memanglah boleh terus menerus duduk di dalam istana. Nak keluar masuk istana, tak payah soal siasat. Cukup tunjukkan pas pengenalan. Malah raja bagi pula kemudahan-kemudahan istimewa untuk mereka. Di Akhirat nanti, mereka bukan sahaja selamat, tetapi tidak banyak dihisab di Padang Mahsyar. Mereka ini bukan sahaja tidak melakukan perkara yang haram dan makruh, malah yang harus juga dijadikan ibadah. 

9. Golongan siddiqin Golongan ini golongan yang luar biasa. Mereka ini bukan kena paksa diri untuk sembahyang tetapi betul-betul seronok nak sembahyang. Bukan rasa lazat sahaja, tetapi sangat terhibur dan begitu asyik mahsyuk kepada ALLAH sewaktu sembahyang (macam orang yang sedang memadu cinta) Mereka ini terdiri dari kalangan para rasul dan anbia' ALLAH , para sahabat serta para wali-wali besar. Mereka ini ibarat menteri-menteri dan panglima raja. Mereka boleh rasa terhibur kalau terpaksa gadaikan nyawa sendiri untuk selamatkan raja. Mana raja tak sayangkan mereka!. Keluar masuk istana langsung tidak diperiksa. Malah banyak keistimewaan yang dianugerahkan raja kepada mereka.Nasib mereka di Akhirat tak payahlah nak dicerita. Merekalah yang menjadi wakil Allah untuk selamatkan manusia. 

Begitulah 9 kategori golongan manusia dan sembahyangnya. ..dimana kita agaknya? Bila diperiksa sembahyang kita agaknya belum lulus lagi... wallahualam

21 Ogos 2011

Renungan Ramadhan - Kisah Hassan al Basri dan Khalifah Harun ar Rashid


Daripada Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r.a. berkata, "Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw. akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami." Lalu baginda pun bersabda, "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang meminpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat."

 ============ ========= ========= =========

Sewaktu menjelang hari perlantikan Harun Al Rashid menjadi khalifah, dia telah mengarahkan seorang menterinya untuk mengutus surat jemputan kepada rakan-rakan rapatnya ke majlis meraikan perlantikannya. Dalam majlis tersebut, rakan-rakannya akan diraikan oleh Harun Al Rashid dengan jamuan yang lazat-lazat. Harun Al Rashid juga menghadiahkan kepada mereka dengan hadiah yang cantik dan mahal di penghujung majlis. Antara yang dijemput ialah Hasan Al Basri. Setelah tarikh majlis keraian tersebut menjelang, kesemua jemputan pun hadir. Seperti dirancang, mereka diraikan dengan jamuan yang enak dan lazat, serta dihadiahkan dengan barangan yang cantik dan mahal di penghujung majlis. Setelah hadirin bersurai, Harun Al Rashid mendapati ada satu hadiah yang masih tinggal dan tidak diberikan kepada jemputan. Maka bertanyalah Harun Al Rashid kepada menterinya. 

Harun Al Rashid : Milik siapakah hadiah ini ? Apakah masih ada jemputan yang belum menerimanya ? Atau jemputan tersebut tidak sudi menerima hadiah ku ini ? Atau apakah ada jemputan yang tidak hadir ?                                                                                               

Menteri : Wahai khalifah, sebenarnya ada seorang jemputan yang tidak hadir. Maka dengan itulah terdapat satu lagi hadiah yang tinggal. Harun Al Rashid : Siapakah jemputan yang tidak hadir tersebut ? 

Menteri : Hassan Al Basri, wahai khalifah. 

Harun Al Rashid terdiam sejenak setelah nama Hassan Al Basri disebut. Setelah berfikir sejenak, maka dia pun berkata kepada Menterinya. 
Harun Al Rashid : Akan aku tulis surat peribadi ku khas untuk Hassan Al Basri. Mungkin kerana dia seorang berilmu tinggi, maka dia inginkan jemputan khusus dan majlis untuknya yang khusus, baru dia senang menerima hadiah anugerah ku. Setelah ku tulis surat itu, kau pergilah ke madrasahnya dan serahkan sendiri surat itu ke tangannya

Harun Al Rashid pun menulis surat tersebut dan mengarahkan menterinya untuk menyerahkan sendiri ke tangan Hassan Al Basri. Si menteri pun segera bertolak ke Madrasah Hassan Al Basri membawa surat tulisan tangan Harun Al Rashid, sambil diringi beberapa orang pegawai istana. Sewaktu Menteri tersebut sampai ke Madrasah, Hassan Al Basri sedang memberikan kuliah pengajian kepada murid-muridnya. 

Menteri tersebut terus berjalan menuju ke pintu madrasah Hassan Al Basri, sewaktu terpandang menteri dari istana datang menuju ke tempatnya berubah riak muka Hasan Al Basri. Dia terus memalingkan mukanya dari Sang Menteri dengan riak muka yang marah dan benci. 

Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri - Tiada jawapan dari Hassan Al Basri. 

Malah Hassan Al Basri meneruskan saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya sambil memalingkan mukanya dari Sang Menteri. Seolah-olah Sang Menteri tidak wujud di situ. 

Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri Sang Menteri memberi salam buat kali ke-2. Masih tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya. Murid-muridnya juga berasa kehairanan. 

Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri. Kedatangan ku membawa surat peribadi milik Khalifah Harun Al Rashid. - Sang Menteri memberikan salam buat kali ke-3. 

Maka berkatalah salah seorang murid tua kepada Hassan Al Basri. Murid : Wahai tuan guru, ada Menteri diutuskan khalifah kepada Tuan, membawa surat dari khalifah

Setelah mendengar kata-kata muridnya, barulah Hassan Al Basri menjawab salam menteri tersebut.

Hassan Al Basri : Salam (Jawab Hassan Al Basri ringkas dengan nada yang marah). Untuk apa kau ke mari ? 

Menteri : Kedatangan ku membawa surat peribadi tulisan tangan khalifah buat mu. Aku harap kau terimalah surat ini. Jawab Menteri, sambil menghulurkan surat tersebut kepada Hassan Al Basri. 
Hassan Al Basri apabila dihulurkan surat tersebut, dengan segera mengelak dan menepis, agar surat tersebut tidak menyentuh dirinya.Hal ini juga mengejutkan murid-muridnya. 

Murid : Wahai Tuan guru, apakah surat ini bernajis sehingga kau enggan menerimanya ? Kasihanilah Menteri ini kerana dia hanya menunaikan arahan Tuannya. Nanti dia pasti akan dihukum kerana kegagalannya menyampaikan surat Tuannya

Hassan Al Basri : Kalau begitu kau saja yang baca surat ini. Biar ku dengar.- Maka muridnya pun mengutip surat tersebut yang jatuh ke lantai Madrasah. 
Lalu dibuka surat tersebut dan dibaca. "Salam sejahtera buat sahabat ku, Sheikh Hassan Al Basri. Tujuan ku tulis surat ini, adalah untuk menjemput mu ke majlis meraikan perlantikan ku sebagai khalifah. Mungkin engkau sibuk sewaktu hari pertama perlantikan ku, maka engkau tidak sempat hadir ke majlis tersebut. Maka atas dasar persahabatan kita, maka akan ku adakan sekali lagi majlis keraian tersebut hanya buat mu. Akan ku jamu engkau dengan hidangan yang enak dan lazat. Dan akan ku anugerahkan kepada mu hadiah yang cantik dan mahal. Aku harap engkau akan hadir ke istana ku esok hari untuk majlis ini. Sekian." Daripada Khalifah Umat Islam - Khalifah Harun Al Rashid 

Dengan riak muka yang marah, dan nada yang tegas Hassan Al Basri mengarahkan muridnya.

Hassan Al Basri : Kau tulis jawapan ku kepada Harun Al Rashid dibelakang suratnya. Salam, Harun, Apakah kau sangka dengan menjamu aku dengan hidangan enak dan lazat, serta anugerah hadiah yang mahal, mampu menjadikan aku menyokong perbuatan mungkar mu ? Tahukah kamu, perbelanjaan majlis meraikan perlantikan mu sebagai khalifah, datangnya dari pembiayaan Baitul Mal ? Engkau tergamak menggunakan harta Baitul Mal yang hakikatnya milik rakyat bagi membiayai majlis peribadi mu. Kau nafikan hak rakyat yang fakir dan miskin, anak-anak yang yatim dan piatu serta janda-janda yang tiada tempat bergantung. Kau biarkan mereka tidur dalam kelaparan bersama fikiran yang rungsing memikirkan, "Dimanakah akan ku cari rezeki keesokan hari ?" Di waktu yang sama, kau menjamu sahabat-sahabat mu dengan hidangan yang enak dan lazat walaupun mereka mampu mengenyangkan diri mereka sendiri dengan kekayaan mereka. Di waktu yang sama, kau anugerahkan mereka dengan hadiah yang mahal-mahal, sedangkan rakyat mu ada yang daif dalam kemiskinan. Kehidupan mereka tenggelam dalam lautan air mata penderitaan dan kesedihan akibat kemiskinan. Belum pun genap sehari engkau menjadi khalifah, sudah banyak dosa yang telah engkau lakukan. Amanah rakyat telah engkau khianati. Apatah lagi jika semakin banyak dan lama hari engkau memerintah, maka akan semakin banyaklah dosa dan kemungkaran yang bakal engkau lakukan. Apakah untuk ini engkau dijadikan Allah ? Mulai saat ini, jangan sesekali engkau melafazkan bahwa Hassan Al Basri adalah sahabat mu. Mulai hari ini dan saat ini, ku putuskan persahabatan ku dengan mu !!! Sekian."- Hassan Al Basri 

Tersentuh hati menteri mendengar ketegasan jawapan yang dilafazkan oleh Hassan Al Basri. Setelah murid Hassan Al Basri selesai menulis jawapan gurunya, surat tersebut pun diserahkan kepada menteri untuk dikembalikan kepada Harun Al Rashid. 

Hassan Al Basri : "Ambillah surat ini dan kembalikannya kepada Tuan mu". Menteri itu pun mengambil surat tersebut dan berlalu. Kata-kata Hassan Al Basri terus bermain di dalam hati dan fikirannya. Kini hatinya menjadi rungsing. Dalam perjalanan pulang ke istana, dia melalui pasar jualan. Di hentikan kudanya, dan turun sambil diiringi pegawai-pegawai yang mengikutinya. Lalu berkatalah menteri tersebut kepada para pedagang di pasar itu. 

Menteri : "Wahai para saudagar, mahukah kamu membeli jubah yang kupakai ini ? Jubah yang bermutu tinggi, lagi ranggi dan cantik ini merupakan anugerah Khalifah kepada ku sebagai salah seorang Menteri di istana. Akan ku jualkan kepada mu dengan harga yang murah"

Para pedagang di pasar tersebut berasa hairan dengan kata-kata menteri tersebut. Berkatalah salah seorang daripada mereka. 
Pedagang : "Mengapa engkau ingin menjual jubah kebesaran mu itu ? Berapakah harganya ?"

Menteri : "Mengapa ingin ku jualkannya, adalah urusan ku dengan Tuhan ku. Harganya amat murah. Aku hanya memerlukan pakaian yang diperbuat dari kain yang kasar seperti yang dipakai oleh ahli sufi"

Maka urusniaga itu pun berjalan lancar antara Menteri dan saudagar di situ. Setelah Menteri mengenakan jubah dari kain yang kasar, dia pun kembali ke istana untuk mengembalikan surat dari Hassan Al Basri. Setibanya Menteri di istana, dia terus pergi menemui khalifah dengan pakaiannya yang kasar dan murah. 

Harun Al Rashid tersentak kehairanan, melihat Menterinya berpakaian demikian. Lalu dia bertanya kepada Menteri. 
Harun Al Rashid : "Mengapa engkau berpakaian demikian ? Ke manakah perginya jubah kebesaran mu sebagai seorang menteri di istana ku ?" 

Menteri : "Wahai khalifah. Sekembalinya aku dari Madrasah Hassan Al Basri, aku telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan ku sebagai Menteri. Maka ku tukarkan jubah kebesaran seorang menteri anugerah mu kepada pakaian yang kasar dan murah ini. Anggaplah aku membawa surat jawapan Hassan Al Basri merupakan tugas dan khidmat ku yang terakhir buat mu. Kerana selepas ini, aku akan mengikuti tuan ku yang baru, iaitu Tuan Hassan Al Basri. Agar aku dapat dididik untuk mentaati Allah dan Rasul Nya"

Menteri itu pun menyerahkan surat jawapan Hassan Al Basri kepada Harun Al Rashid dan terus berlalu dari situ. Menteri itu telah pergi ke Madrasah Hassan Al Basri dan menjadi salah seorang muridnya.Harun Al Rashid, setelah menerima surat jawapan dari Hassan Al Basri, terus membuka dan membacanya. Tersentaklah Harun Al Rashid buat kali kedua di hari itu. Tidak disangka oleh Harun Al Rashid, jawapan yang diberikan oleh Hassan Al Basri amat tegas. Jawapan Hassan Al Basri telah menyebabkan Harun Al Rashid menangis dan terus menangis - Tangisan keinsafan. 

Di beritakan, sesudah peristiwa itu, Harun Al Rashid akan meletakkan surat Hassan Al Basri di sebelahnya sewaktu solat. Sesudah selesai solat, Harun Al Rashid akan membaca surat jawapan Hassan Al Basri dan terus menangis. Dia melakukan ini sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia menjadikan surat tersebut sebagai peringatan buat dirinya yang sering lupa agar dia tidak tergelincir dalam pentadbirannya. Maka tidak hairanlah, Harun Al Rashid merupakan salah seorang khalifah Abbasiah yang yang dikenali kewarakannya.

16 Ogos 2011

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 66 Buat Rakyat Republik Indonesia



Selamat memperingati hari Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-66 pada esok tanggal 17 Ogos 2011 buat teman-teman pengunjung  Selasar Si Fakir dari Indonesia dan diluar sana. InsyaAllah keberkatan nuzul qur'an akan memancarkan lagi keberkatan, kemakmuran, kedamaian dan segala kebaikan buat anda semua rakyat Indonesia. Alangkah indahnya hari kemerdekaan negara anda seiring dengan nuzul qur'an. Sesungguhnya Fakir merasakan ianya sebuah petanda yang baik dan akan mendatangkan keberkatan besar buat anda semua. Fakir di sini mendoakan kesejahteraan buat anda semua...amin

14 Ogos 2011

Renungan Ramadhan - Padang Mahsyar

Setelah semua mahkluk yang bernyawa dialam nyata ini mati dan hancur binasa Allah s.w.t. memerintahkan Malaikat Israfil untuk meniupkan angin Sangkakala yang hebat itu untuk menghidupkan semula semua mahkluk yang sudah mati Israfil meniup dan berteriak dengan sekuat-kuatnya:
"Wahai nyawa yang telah keluar dari badan, tulang-tulang yang telah reput luluh, tubuh yang telah buruk, urat yang telah putus berkecai, kulit-kulit yang telah pecah hancur, rambut-rambut yang telah luruh! Bangunlah kamu semua untuk menjalani hukuman dari Allah s.w.t. yangmenjadi Hakim Besar dan Raja kepada semua raja!".

Maka dengan tiba-tiba mereka pun tegak bangun berdiri. Mereka lihat langit, didapati langit berjalan-jalan, mereka lihat bumi, didapati bertukar wajah, tidak seperti bumi yang dahulu. Dilihat bintang-bintang, semuanya telah berhimpun di satu kawasan dengan padatnya. Dilihat laut terdapat api yang sedang bernyala-nyala diatasnya. Dilihat Malaikat Zabaniah telah berada dihadapan mereka.Dilihat matahari telah hilang cahayanya. Maka sedarlah dan tahulah mereka bahawa mereka berada ditempat yang dijanjikan kiamat.

Lantas mereka berkata: "Inilah dia sebagaimana yang telah Allah janjikan dan inilah menunjukkan kebenaran para Rasul." Seperti yang telah Allah sebutkan dalam Al-Quran: "Mereka berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?, Lalu dikatakan kepada mereka: "Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!" (Yassin, Ayat: 52)

Mereka pun keluar dari kubur tanpa pakaian, tidak berkasut dan sebagainya. Mereka bertelanjang bulat tanpa seurat benang pun dibadan. Dalam masa bangkit itu, manusia dalam keadaan bermacam-macam rupa.

1. Sesetengah mereka ada yang berupa kera kerana di dunia mereka suka membuat fitnah kepada orang lain.

2. Ada yang berupa khinzir kerana suka makan rasuah ketika menjalankan hukuman.

3. Ada yang buta mata kerana keterlaluan pada menghukum manusia.

4. Ada yang pekak dan bisu kerana mereka hairan dengan amalan yang mereka lakukan.

5. Ada yang mengalir daripadanya nanah dan darah yang amat busuk dan sentiasa menikam-nikam lidah sendiri.Ini adalah kumpulan ULAMA yang bercakap dan mengajar tetapi perbuatannya tidak sama dengan apa yang diucapkan.

6. Ada pula yang luka-luka seluruh badan kerana suka menjadi saksi bohong.

7. Ada yang telapak kaki mereka terletak didahi dan terikat kepada ubun-ubun mereka serta menjadi sangat busuk, lebih busuk daripada bangkai. Mereka adalah orang yang sanggup membeli dunia dengan akhirat (mencari kemewahan dunia dengan memperalatkan agama).

8. Ada seperti orang mabuk, rebah ke kiri, rebah ke kanan terhuyung-hayang. Mereka inilah yang sanggup menyimpan harta dari belanjakan ke jalan Allah.

9. Ada yang berkeadaan benar-benar mabuk,orang ini suka bercerita-cerita dalam masjid akan hal dunia.

10. Ada yang berupa khinzir kerana suka makan harta riba.

11. Ada yang tidak bertangan dan tidak berkaki. Mereka ini suka menyakiti orang-orang sekampungnya.

12. Ada yang berupa khinzir kerana mereka mempermudah- mudahkan sembahyang (lalai dalam sembahyang).

13. Ada pula yang bangkit dengan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking yang sentiasa mengigit-gigit dan menyengat-nyengat. Mereka ini di dunia payah hendak mengeluarkan zakat.

14. Ada yang berkeadaan dimana darah yang amat busuk sentiasa keluar dari mulut mereka. Orang ini suka berbohong dalam perniagaan.

15. Ada yang sampai terasing daripada manusia serta badannya sangat busuk dari bangkai. Mereka ini suka menyembunyikan maksiat kerana takutkan manusia,tidak takut pada Allah.

16. Ada yang terpotong halkum,keadaannya tercerai dari leher. Orang ini selalu sanggup untuk bersaksi bohong.

17. Ada yang bangun dari kubur tiada berlidah dan mengalir darah busuk dari dalam mulutnya. Orang itu malas mengucap kalimah syahdah.

18. Ada pula yang berjalan dengan kepala di bawah dan kaki di atas langit. Darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluan mereka. Mereka itu suka berbuat zina semasa hidup.

19. Ada yang berkeadaan muka hitam dan perutnya penuh dengan api neraka. Mereka ini suka memakan harta anak yatim secara zalim.

20. Ada pula yang bangun dengan mengidap penyakit kusta dan sopak. Mereka inilah yang derhaka terhadap kedua ibu bapanya.

21. Ada yang gigi mereka seperti tanduk lembu, lidah mereka terjelir hingga ke perut, najis dan kencing sentiasa keluar dari perut mereka. Mereka adalah orang yang suka meminum arak.

Semoga kita tergolong dalam golongan yang segera menginsafi diri dan bertaubat di atas dosa dan pengkhianatan yang dilakukan terhadap sesama manusia.

10 Ogos 2011

Renungan Ramadhan - 10 Pintu Syaitan Merosakkan Manusia.



Organ dalam tubuh yang paling penting bagi manusia ialah hati yang akan menerima apa saja petunjuk Allah. Hati juga mudah menerima apa jua hasutan nafsu yang dibisikkan syaitan. Malaikat dan syaitan sentiasa beradu tenaga untuk menguasai hati manusia.

PINTU 1
Melalui sifat sombong dan angkuh
Firman Allah,"Jangan engkau memiringkan pipimu ke arah manusia kerana kesombongan dan jangan engkau berjalan di muka bumi dengan riang kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang suka berlenggang ketika berjalan kerana sombong dan bermegah-megah." (Lukman:18).

PINTU 2
Melalui sifat kedekut dan bakhil
Firman Allah, "Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa jua yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian)." (al-Israk:30).

PINTU 3
Melalui sifat takbur yang hadir dalam diri seseorang
Firman Allah, "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur." (an-Nahl: 23)

PINTU 4
Melalui sifat riak dan suka dipuji
Rasulullah SAW pernah bersabda, "Tiga perkara yang membawa kecelakaan ialah orang yang kikir dan disegani, orang yang mengikut hawa nafsu dan bangga dengan diri sendiri."

PINTU 5
Melalui sifat hasad dengki dan iri akan kelebihan orang lain
Rasulullah SAW bersabda, "Hindarilah kamu perbuatan hasad kerana dapat memakan amalan kebaikan kamu seperti api memakan kayu yang kering."


PINTU 6
Melalui sifat suka memandang rendah dan remeh kepada orang lain
Abu Umamah pernah meriwayatkan, "Tiga orang yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua muslim, orang berilmu dan imam yang adil."

PINTU 7
Melalui sifat bangga diri atau ujub
Allah berfirman, "Janganlah engkau mengikut orang yang hatinya Kami lalaikan (butakan) daripada peringatan kami sedang dia mengikut kemahuan hawa nafsunya dan adalah perbuatan itu melebihi yang patut." (al-Kahfi: 28).

PINTU 8
Melalui sifat suka bersenang-lenang
Menurut Imam Ahmad, yang diriwayatkan oleh Abu Naim daripada Muaz bin Jabal, "Jangan kamu bersenang-lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-lenang sahaja."

PINTU 9Melalui sifat suka berangan-angan dan pemalas
Sabda Rasulullah SAW, "Sebaik-baik pekerjaan ialah usaha seseorang pekerja apabila ia berbuat sebaik-baiknya." (Riwayat Ahmad).

PINTU 10Melalui sifat suka berburuk sangka
Rasulullah SAW bersabda,"Nanti akan ada orang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sebenarnya orang yang berkata itulah, yang paling rosak."(Riwayat Muslim).



Sepuluh sifat itu sebenarnya sinonim dengan manusia dan ada dalam diri setiap kita. Sifat-sifat itu, andai tidak dikawal dan dijaga akan menjadi senjata yang bakal makan tuan. Syaitan pula sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan manusia dengan memanipulasi sifat yang sedia ada dalam diri mereka itu.

Disebabkan itu, kita dianjurkan berdoa dengan menyebut, "Ya Tuhanku, jangan Kau jadikan hati kami cenderung kepada kesesatan selepas Kau berikan petunjuk kepada kami dan kurniakan kami rahmat di sisi-Mu kerana sesungguhnya Kaulah Maha Memberi." (Ali-Imran: 8).


Sumber: Taman-Taman Syurga

08 Ogos 2011

Renungan Ramadhan - Dosa Menyerang Dalam 4 Peringkat


Dosa Peringkat Pertama
Seseorang membuat dosa serta lambat menyesali perbuatannya atau pun lambat bertaubat atas dosanya. Ini adalah peringkat awal bagi orang yang membuat dosa. Jika seseorang itu berterusan membuat dosa pada peringkat pertama ini, maka ia akan secara automatik akan naik kedosa peringkat kedua.

Dosa Peringkat Kedua
Seseorang itu akan membuat dosa dan tidak merasai apa-apa diatas perbuatannya. Peringkat ini amat bahaya kerana ianya adalah bibit-bibit permulaan yang boleh menggugurkan iman seseorang.

Dosa Peringkat Ketiga
Seseorang itu membuat dosa dan merasa bangga dengan perbuatan dosanya. Peringkat ini akan sampai kepada suatu situasi dimana orang yang membuat dosa mula merasa sombong, bongkak dan riak Ucapannya juga akan membawa kepada unsur MURTAD. Contohnya ucapan, "Aku minum arak ni biasa ajee..setakat sebotol tak mabuk lagi. "Selepas peringkat ini seseorang itu akan sampai ke peringkat keempat.

Dosa Peringkat Keempat
Seseorang itu akan membuat dosa, bangga dengan perbuatannya dan mula MEMANDANG HINA ATAS KEBAIKAN ATAU KEBAJIKAN. Pada peringkat ini orang tersebut mula mencabar Al-Quran, Hadis & Sunnah kerana sifat sombong, bongkak dan riak sudah sepenuhnya menguasai diri.

Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berkira-kira tentang perbuatan kita setiap hari dan cepat-cepat bertaubat atas kesilapan atau perbuatan kita yang berdosa dan masuklah kita di kalangan orang-orang yang bertaqwa disisi Allah.

Seseorang sahabat pernah bertanya kepada Rasullullah, "Wahai Rasulullah akan adakah orang yang menyeru kearah kejahatan dan dosa setelah datangnya islam yang lengkap ini." Rasullullah menjawab," Ia, memang akan ada pendakwah neraka di akhir zaman setelah datang islam yang lengkap." Sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku bertemu zaman itu dan pendakwah neraka tersebut". Rasulullah menjawab, "Hendaklah kamu cari ulama-ulama benar (ulama pewaris nabi) dan berpeganglah kamu kepadanya dan jangan sekali kali kamu lepas darinya."