Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

17 April 2010

Deritanya Hang Tuah


Siapa dikalangan anak Melayu yang tidak kenal dengan pahlawan legenda Dato' Laksamana Hang Tuah? Anak-anak kecil yang dah mula petah berbahasa juga ada yang sudah mengenali siapa pahlawan kebanggaan bangsa Melayu ini. Berbagai asumsi tentang sejarah pahlawan ini dibuat, termasuklah berbagai bentuk response samada positif mahupun negatif tentang perjuangan dan perilaku pahlawan ini. Namun pada hari ini hanya sesetengah orang saja yang sudi menyanjungi sebahagian tindakan beliau yang masih dianggap sebagai kontroversi. Manakala yang paling ramai, sangat-sangat mengecam beliau sebagai seorang yang taat tidak bertempat dan tiada kesudahannya.

Pun begitu berapa ramai dikalangan kita yang sudah habis membaca hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)? Sulalatus Salatin adalah judul asal Sejarah Melayu. Dan judul asal inilah yang digunakan untuk versi terbaru yang diberi jodol Sejarah Melayu. Sepanjang yang diketahui versi ini telah menunjukkan beberapa kelainan yang jelas dan ia lebih mendekati karya asal sekiranya dibandingkan dengan versi-versi yang sedia ada iaitu Shellabear, Abdullah Munshi dan Winstedt Raffles Mss. No. 18. Penghargaan sewajamyalah diberikan kepada Encik A. Samad Ahmad yang telah melakukan satu kajian yang khusus dan teliti bagi menyediakan versi ini. Siapa saja sudah pasti akan dapat merasakan betapa sukarnya untuk membuat kajian bagi sesebuah karya yang lama seperti Sulalatus Salatin ini. Ia menuntut satu gabungan usaha yang sulit dan rumit, selain menghendaki ketelitian dan ketekunan yang tidak jemu-jemu. Inilah yang telah dilakukan oleh penyelenggara buku ini sewaktu beliau menjadi Penulis Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1978. Latar belakang hidupnya banyak mendorong beliau mengenengahkan semula cerita-cerita lama kepada masyarakat hari ini. Sejak kecilnya lagi beliau telah mula berminat membaca hikayat-hikayat lama sehingga beliau mengenali banyak jenis karya tersebut.

Bagaimana bermulanya kehidupan seorang yang bernama Hang Tuah dan bagaimana pengakhiran dari sebuah hikayat yang ternama itu? Apakah rahsia jika direnung sedalam-dalamnya setiap tindakan laksamana ini yang mana kesudahannya mengheret Sultan menjadi sebagai seorang apa dihujung usianya? Si Fakir terbaca satu artikel dalam rantaian facebook yang mempertikaikan kata-kata mutiara Laksamana Hang Tuah "Tak Melayu Hilang Di Dunia" kerana pada penulis tersebut Hang Tuah cakap tidak serupa bikin kerana dia sendiri hilang entah kemana tiada dapat dikesan. Betapa sempitnya pemikiran penulis ini yang telah menerbitkan artikel yang dibuat secara melulu, walau sekadar pandangan peribadi tetap nampak ianya dibuat secara melulu apabila kata-kata mutiara itu dipandang dari sudut keperibadian Hang Tuah itu semata-mata. Walhal kata-kata itu merupakan pandangan jauh dan pembakar semangat dari Hang Tuah ke atas generasi mendatang. Penulis tersebut juga telah melabelkan kategori orang-orang lurus bendul di zaman ini adalah sama sejenis dengan keperibadian Hang Tuah. Apa yang dapat si Fakir perhatikan ialah penulis ini sangat membenci sebuah parti Melayu hingga mudah saja mengecam apa saja berkaitan dengannya, sehingga terlupa pula beliau juga dilahirkan dibumi permai ini dengan darah leluhur yang sama dengan Laksamana Hang Tuah.

Mungkin juga disebabkan pertindihan fakta tentang kewujudan Hang Tuah maka pelbagai teori dibuat diantara mitos, legenda atau sejarah. Kita menjadi pening kepala dibuatnya bila terus-terusan memikirkan tentang hal berkenaan. Si Fakir quote kata-kata Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, En. Mohd Ismail Jamjam yang lebih dikenali dengan nama pena; Zam Ismail yang telah disiarkan dalam Berita Harian pada 8hb Dis, 2009 sebagai berkata "Keraguan tentang benar atau tidak Hang Tuah wujud berpunca kerana kita tidak memahami secara mendalam tentang pensejarahan Melayu.Memanglah ada antaranya yang dicedok daripada cerita-cerita lisan namun tidak bermakna kandungannya langsung tidak boleh diberi peluang untuk dinilai semula" Beliau juga berpendapat ketika Tun Sri Lanang penulis Sejarah Melayu (yang ditulis kira-kira sekurun selepas kejatuhan empayar Melaka ke tangan Portugis) tiada orang Melayu lain yang lebih arif dalam merekodkan apa yang terjadi di zaman tersebut. Oleh itu ianya adalah sumber yang paling hampir yang boleh kita terokai dan mengkajinya.Jalan keluarnya adalah dengan menjalankan kajian yang terperinci supaya kedudukan Hang Tuah lebih kukuh dalam pemikiran dan penilaian generasi semasa dan akan datang. Beliau juga menekankan “Sebarang usaha memutarbelit cerita tentang laksamana itu sebenarnya didorong oleh keinginan untuk merendahkan ketuanan Melayu di negara ini hingga membuatkan masyarakat Melayu berasa lemah. “Tindakan memperlekeh ini tidak boleh berterusan,” tegas Ismail yang juga tidak dapat menerima idea yang mengatakan Hang Tuah itu berketurunan Cina.

Bagi diri si fakir, mudah saja kalau diri ini sentiasa tertanam rasa sayang akan bangsa dan segala khazanah warisannya harus mempertahankannya. Jangan mudah jadi derhaka dengan terjahan emosi sendiri tanpa berfikir panjang. Walau sebanyak mana pertindihan fakta dan pendapat sekali pun kita tetap berpegang dengan apa yang kita fahami sejak dulu. Tinggalan warisan Hang Tuah seperti keris asal 'Pandai Saras' dan 'Taming Sari' kepunyaan beliau, perigi Hang Tuah di Duyong, begitu juga satu catatan sejarah jepun (Kitab Sejarah Ryukyu XXXIX, Doc. No.10) rujukan dari majalah Waris terbitan MANe mengisahkan "Lo-hsi-ma-na (Laksamana) atau Hu-wang-Tu-ha (Hang tuah) singgah di pelabuhan Chiao-chin di Vietnam untuk mendapat bekalan air, Masjid lama Gerisik di Pattani yang dikenali sebagai Pintu Gerbang Hang Tuah, kesan tapak kaki Hang Tuah di Tanjung Kling adalah sebahagian fakta sejarah.Tidak cukupkah fakta-fakta tersebut untuk meyakinkan kita bahawa Hang Tuah benar-benar wujud. Kalau manuskrip-manuskrip berkaitan Hang Tuah tersimpan rapi sebagai rujukan warisan bangsa Melayu samada di tanah air sendiri mahupun di England dan Belanda kenapa tidak kita orang biasa ini mempertahankannya? Sememangnya dalam Hikayat Hang Tuah ada coretan-coretan yang menunjukkan kehebatan Hang Tuah yang kadangkalanya nampak tidak masuk akal, namun itulah hebatnya seni kesusasteraan Melayu dalam menyelitkan beberapa unsur untuk menjadikan pembacanya bertambah jelira lazat untuk menghabiskan sebuah Hikayat yang dipersembahkan.
Berbalik kepada setiap tindakan Hang Tuah yang menampakkan beliau sebagai seorang yang taat melulu juga harus direnung sedalam-dalamnya. Pada si Fakir , Hang Tuah ini seorang yang tenang dalam bertindak dan tidak melatah walau seribu tohmahan dan fitnah dilontarkan kepada beliau. Beliau tahu apa jalur garis perjuangannya dan dimana penghujungnya.Dengan ini sekali gus menidakkan tohmahan hari ini yang mengatakan beliau taat melulu dan sanggup berbuat apa saja demi menunjukkan ketaatan beliau dan seolah-olah mengampu Sultan.
Dalam Hikayat Hang Tuah, kita dapat melihat ketaatan Laksamana Hang Tuah seratus peratus terhadap keturunan Bukit Seguntang, beliau patuh akan suruhan agama agar taat pada para ulamak dan umarak. Kita petik kata-kata Hang Tuah sewaktu bertikam dengan Hang Jebat sebagai "Sayang engkau berdosa. Jika lain dari dosa ini, tiada engkau mati. Barang tipunya dayakan pun ku lepaskan juga engkau daripada mati." Jelas kelihatan bahawa derhaka itu bagi Hang Tuah suatu dosa yang tidak dapat diampunkan. Apabila negeri dipenuhi dengan pemberontak dan para pegawai yang tidak setia maka negeri itu akan mengalami bencana dan akan hancur akhirnya seperti terlihat pada pemberontakan Hang Jebat. Bahawa dengan pemberontakan Hang Jebat itu menyebabkan ribuan rakyat yang tidak berdosa menjadi korban.Tindakan-tindakan Hang Jebat ini sewajarnya dilihat dari sudut perwatakannya. Yang menjadi persoalannya apakah tujuan Hang Jebat yang akhirnya menghalalkan darah ribuan rakyat untuk disimbah sedangkan pada hakikatnya raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah namun kenapa rakyat yang menjadi korbannya? Dalam Hikayat Hang Tuah memang benar dia mencurahkan airmata mengenangkan nasib dan tindakan yang diterima oleh Hang Tuah sebagai orang yang banyak berjasa tetapi dalam masa yang sama Hang Jebat masih menunjukan taat setia kepada raja apabila dititahkan kepadanya untuk mengambil keris pandak dari Hang Tuah, setelah diberi tidak pula sedikit pun ada bantahan darinya, malahan menerimanya dengan rasa gembira. Berkata pula di dalam hatinya "Aku pula rupanya menjadi laksamana." Selanjutnya Hang Jebat diberi pula gelaran 'Paduka Raja' suatu gelaran yang cukup tinggi yang kebiasaannya hanya diberi pada bendahara sahaja. Hang Jebat terus tinggal di istana raja dan tidak pulang-pulang ke rumahnya lagi. Tambahan pula Hang Jebat mula terjebak dengan dosa-dosa besar iaitu berfoya-foya dengan perempuan-perempuan istana. Jika dibaca dari Hikayat Hang Tuah sehingga setakat itu kenapa masih belum ternampak tanda-tanda pembelaan dan membalas dendam mewakili pihak Hang Tuah? Hinggakan perbuatannya yang sumbang itu ditegur oleh saudaranya Hang kasturi.Dari mula tamat perguruan dengan guru mereka Aria Putra, guru tersebut telah berfirasat bahawa Jebat akan mati di tangan Tuah. Apakah kurang wibawa Sang Adi Putra sebagai seorang guru untuk menilai Hang Tuah sebagai orang yang lurus bendul dan taat membabi buta sedangkan beliau boleh mendapat firasat sejauh itu? Pemberontakan ini seolah-olah memenuhi prinsip hidup Hang Jebat iaitu "Sepala-pala nama jahat jangan kepalang."

Kembali kita kepada watak sultan yang telah menghukum Hang Tuah tanpa soal siasat yang lebih mendalam, ternampak dalam hikayat ini sultan telah menerima bencana dengan tindakannya itu apabila tidak tertepis dengan penderhakaan yang dibuat oleh Jebat hingga terpaksa menumpang rumah bendahara. Hukuman yang setimpal diterima oleh sultan dengan tindakannya menghukum tanpa usul periksa. Seorang raja yang berdaulat terpaksa menumpang di rumah pegawainya rentetan dari hukuman yang telah dibuat ke atas Hang Tuah. Pada si Fakir, Hang Tuah menerima ketentuan dari Yang Maha Esa dengan penuh sabar dan Allah membalas sikap zalim terhadap orang-orang yang telah dianiayai.

Nilai-nilai baik yang ada pada Hang Tuah selain sifat keperwiraannya yang gagah berani sesuai dengan jawatannya sebagai pegawai istana ialah kesetiaan. Kesetiaan diberikan tempat yang paling utama bagi seseorang pegawai yang telah diamanahkan. Kesetiaan beliau terhadap rajanya berjaya mengekalkan beliau bersama rajanya. Sehinggalah didalam Hikayat Hang Tuah telah menceritakan bagaimana Hang Tuah telah berjaya merubah rajanya menjadi seorang sufi. Hang tuah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Melaka kepada negara-negara luar dan membawa khabar berita yang cukup asing dari dunia luar kepada rajanya. Dengan itu Sultan Melaka mulai sedar bahawa ada peradaban yang lebih besar dan lebih gah dari kerajaan yang dimiliki baginda. Maka bermulalah terfikir oleh raja bahawa semua berita dari luar jauh dan dekat sudah habis didengar. Kini beliau mula terfikir-fikir untuk mengetahui berita dari alam yang lagi satu iaitu alam kubur kerana tiada siapa pun yang mati kembali dan menceritakan apa yang terjadi di alam kubur.Baginda mula merasakan bahawa ada dunia yang lebih kekal dari dunia yang fana ini. Dipendekkan cerita di sini Hang Tuahlah yang sudi dikuburkan secara olokan untuk menyampaikan apakah rahsia alam kubur itu.

Setelah Hang Tuah menceritakan apa yang dialami didalam kubur itu, membuatkan Sultan berubah sikap. Baginda menjadi tidak lokek dengan bersedekah segedung emas kepada rakyat jelata dan segedung lagi untuk simpanan anak-anak baginda. Baginda juga tidak ragu-ragu lagi menyerahkan takhta kepada anaknya dan beliau hidup sebagai seorang darwisy (sufi) selepas itu. Tidakkah keberhasilan besar ini adalah datangnya dari taat setia Hang Tuah?
Pada diri Hang Tuah juga terdapat keistimewaan yang telah mengukuh keperibadian beliau. Diantara sifat yang penting yang ada pada Hang Tuah ialah pandangannya yang tinggi kepada ilmu dan orang yang berilmu. Hang Tuah memberikan penghormatan yang tinggi kepada guru-gurunya setaraf dengan penghormatan terhadap rajanya. Lihat saja pada kisah ketika beliau hendak meninggalkan gurunya Syeikh Mansur beliau memohon restu dihujung kaki gurunya itu. Selain itu sejak kecil Hang Tuah memperlihatkan kecenderongan beliau dalam berilmu. Beliau telah berusaha mempelajari pelbagai bahasa asing untuk mempersiapkan diri sebagai bakal pegawai istana, tindakan ini menunjukan bahawa Hang Tuah mempunyai wawasan yang jauh dalam memajukan diri.

Kelebihan Hang Tuah juga terlihat apabila beliau mempunyai kemampuan mengetahui hal-hal yang tidak diketahui oleh orang lain. Ia mengetahui semacam 'ilmu firasat' sehingga selalu dapat membaca gerak lawannya. Beliau juga membuktikan kelebihannya apabila dapat membezakan antara kuda tezi dengan kuda biasa. Hang Tuah juga boleh dikatakan sebagai orang yang selalu beringat. Walau dalam keadaan apa pun beliau tidak pernah leka sehinggakan sukar bagi pihak lawan mencubanya.

Namun sebagai seorang manusia biasa Hang Tuah tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan ketika beliau asyik bercerita hinggakan tidak sedar kerisnya dicuri oleh orang suruhan Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada. Hang Tuah terselamat dek kerana kebolehannya berfikir dengan pantas kerana membalasnya dengan mengambil pula keris Patih Gajah Mada. Dengan itu rancangan pembesar Majapahit itu menjadi gagal.

Kegagahan Hang Tuah dalam Hikayat ini mencapai ke tingkat 'super human'. Dalam Hikayat ini juga digambarkan banyak unsur-unsur ghaib. Diceritakan Hang Tuah banyak mendapat pertolongan yang tidak diperolehi oleh manusia biasa seperti munculnya nabi Khidir yang memberikan suatu cembul air kepadanya. Dengan menyapukan air tersebut ke mulut dan telinganya maka Hang Tuah akan petah dan memahami bahasa-bahasa asing yang tidak difahami sebelumnya. Kehadiran Nabi Khidir bagi para ulamak sufi yang bergelar wali adalah suatu kebiasaan yang mana ianya digelar sebagai 'yaqazah'. Fikirlah apa layakkah Hang Tuah untuk bertemu dengan Nabi Khidir kalau beliau bukan seorang yang istimewa?

Pengalaman pahit manis yang Hang Tuah lalui didalam hidupnya sebagaimana diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah telah mencerminkan nilai-nilai orang Melayu dizamannya. Konsep keperwiraan beliau seperti gagah,berani,selalu merendah diri, tidak mencari musuh namun pantang berundur apabila bertemu, taat setia yang tidak berbelah bagi mewakili nilai-nilai dan cita-cita orang Melayu pada zaman itu. Apakah tidak sesuai diterapkan nilai-nilai tersebut pada zaman Melayu sekarang?

Terfikir oleh si Fakir seandainya Hang Tuah masih hidup, alangkah sedih dan deritanya beliau apabila sehingga ke hari ini ramai yang mencemuhnya dari mendengar dan meneliti titian hidupnya dengan lebih menyeluruh. Seakan dugaan buatnya tidak pernah putus. Dengan mudahnya dan tanpa usul periksa kita mengutuk tindakan-tindakan beliau yang nampak amat tidak wajar pada pandangan mata kasar kita. Kalau kita menolak cerita-cerita dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu ini maka dari unsur mana pula kita ambil untuk mengecam wira Melayu ini?

Benarlah kata Hang Tuah "Tak Melayu Hilang Di Dunia" kerana dari setiap zaman orang Melayu sebenarnya melahirkan sebilangan orang yang hebat dipersada dunia ini.Contohnya para Ulamak Melayu suatu ketika dulu cukup disegani walaupun di jazirah Arab sendiri.Tidak perlulah si Fakir menyenaraikan kesemuanya kerana tepuk dada tanyalah selera!

*rujukan dari Hikayat Hang Tuah, 
Sejarah Melayu (diusahakan oleh WG Shellabear-terbitan Fajar Bakti), 
Sulalatus Salatin-Sejarah Melayu (oleh A. Samad Ahmad terbitan DBP)
Peristiwa-Peristiwa Dari Hikayat Hang Tuah-Terbitan Dewan Bahasa dan  Pustaka,
artikel dari Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan