Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

08 April 2010

Derhakakah kita ini?




(Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya maka KAMI membinasakan mereka disebabkan dosa-dosanya dan KAMI Tenggelamkan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya; dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim( Al Anfal 54).
Demikianlah salah satu firman Allah di dalam Al Qur an tentang kaum yang derhaka, yang mana kisah kaum-kaum yang derhaka ini disebut kisahnya berulangkali di dalam kitab suci umat islam itu.


Daripada Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim, Ahmad dan Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Fudhalah bin ‘Ubaid r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka : Seorang lelaki yang meninggalkan jemaah, menderhakai imamnya dan mati sebagai penderhaka. Seorang hamba lelaki atau wanita yang lari lalu mati. Seorang wanita yang ketiadaan suaminya di rumah padahal suaminya telah mencukupkan kepadanya belanja dunia lalu ia berhias selepas ketiadaan suaminya di rumah. Maka mereka tidak ditanya. Dan tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka iaitu: Seorang lelaki yang merebut pakaian Allah kerana pakaian Allah ialah kesombongan dan kainnya ialah kemuliaan. Dan seorang lelaki yang ragu mengenai urusan Allah dan putus asa dari rahmat Allah.”


Dari kedua ayat Al Qur an dan hadis ini kita dapat renungkan betapa menjadi seorang penderhaka itu amatlah dilarang oleh Allah dan Rasulnya. Sebagai orang Melayu Islam perkataan derhaka itu dirasakan sejenis petualangan yang besar yang mana selain berbuat dosa besar ianya juga akan meruntuhkan adab kesopanan sebagai seorang Melayu. Pantang Melayu menjadi penderhaka namun pada hari ini berbagai penderhakaan telah dibuat oleh sebahagian besar orang Melayu itu sendiri. Bukan sekadar satu jenis penderhakaan yang dibuat malah mencakupi berbagai sudut dalam kehidupan ini.


Derhaka yang paling besar dilakukan oleh Melayu Islam khususnya dan sebahagian umat Islam amnya pada hari ini ialah berbuat dosa dan engkar akan perintah Allah SWT.Kita sering abaikan solat fardhu lantaran kita sedang sibuk dengan hal-hal duniawi atau sedang mencongak-congak kelazatan dunia mahupun sedang sugul dilanda pelbagai masalah. Pernahkah kita bermuhasabah diri bahawa apakah penderhakaan yang telah dilakukan oleh kita terhadap Allah pada hari ini? Selagi diri kita masih diseliputi oleh rasa "keakuan" sepenuhnya maka selagi itulah kita akan sentiasa menjadi ego dan bongkak di bumi Allah ini. Rasa keakuan ini mencakupi pelbagai perkara yang khafi tanpa kita sedari sedikit pun. Semua kejayaan atau semua perkara yang telah dikecapi itu atas usaha sendiri tanpa bersandar pada ketentuan Allah. Maka jadilah kita ini sebagai qarun moden walaupun sekelumit cuma terlintas di hati pada kejayaan atau kesenangan yang sedang kita kecapi ini adalah dari jerih payah diri sendiri. Kenapa apabila sedang ditimpa sebarang kepayahan ataupun kesusahan maka terlintas pula di hati, Allah itu tidak adil dalam membahagikan kebahagiaan terhadap makhluk ciptaanNYA. Kenapa tidak ada keakuan diri apabila ditimpa sebarang musibah, kenapa pula mempertikaikan keadilan dan kasih sayang Allah terhadap diri sendiri? Bukankah itu suatu cabang penderhakaan terhadap Allah? Kita cuma cungkilkan satu sahaja dari jenis penderhakaan terhadap Allah namun renungkanlah betapa sudah jauh kita terpesong dengan perkara sekecil ini. Padahal setiap kejadian itu merupakan ujian Allah semata-mata terhadap makhluk yang dilantik menjadi khalifah di muka bumi ini. Allah tidak meletakkan sesuatu ujian itu melebihi tahap keimanan dan ketahanan diri seseorang itu.


Derhaka pada Rasululullah SAW juga suatu perkara yang amat besar yang patut kita fikirkan. Apakah salah satu sunnah Rasul itu sudah cuba kita praktikkan dalam diari kehidupan kita pada hari ini? Pernahkah kita cuba untuk mengenali dan menyayangi Rasululullah dengan lebih mendalam lagi? Di atas jasa Bagindalah kita semua berada di jalan yang lurus. Berapa banyak hukum-hukum yang ditekankan oleh Rasululullah sudah kita amalkan? Semua ajaran dan undang-undang hidup yang dibawa oleh Baginda Rasululullah SAW itu adalah suci... pernahkah kita mempertahankannya? Rasa kasih sayang pada Rasululullah SAW itu hanya akan timbul apabila kita meniti sirah baginda dan memperbanyakan selawat ke atas Baginda. Percayalah bahawa sesiapa saja yang memperbanyakan selawat ke atas Rasululullah maka suatu hari nanti akan lahir kerinduan yang amat sangat kepada Baginda. Bukan setakat itu sahaja, memperbanyakan selawat ini akan mendatangkan kekuatan di dalam diri dan memudahkan perjalanan dan urusan hidup. Tidak hairanlah kebanyakan aliran thorikat tasawuf itu mempunyai kaedah berselawat yang sangat baik untuk dijadikan rutin harian setiap pengamalnya. Maka apabila kita mengabaikan sebahagian dari apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu tidak dinamakan derhaka pada Baginda? 


Apabila telah berlaku penderhakaan terhadap Allah dan RasulNYA maka akan mengheret kita melakukan penderhakaan terhadap banyak perkara lagi. Derhaka pada agama suci yang kita pegangi ini, derhaka pada kedua ibubapa, derhaka kepada para ulamak dan umara', derhaka pada masyarakat yang membawa kecelakaan kepada maruah bangsa kita sendiri dan akhir sekali derhaka kepada sebaik-baik kejadian Allah iaitu diri sendiri. Selama ini kita hanya mengenali derhaka itu dalam bentuk yang amat jumud sedangkan ianya bersulaman diantara satu derhaka kepada derhaka yang seterusnya.


“ Apakah kamu mengira, KAMI menciptakan kamu hanya untuk bermain-main? Dan kamu kepada KAMI tidak dikembalikan?” (Surah Al-Mu’minuun ayat 115.)


Betapa dunia Melayu sekarang kalau diimbas kembali akan membuatkan setiap kita yang bergelar Melayu ini akan terasa semput dan sesak nafas dibuatnya. Yang tua dengan pelbagai kerenah dan onarnya, yang berkuasa dengan mabuk kuasanya dan senantiasa mencari jalan untuk cantas mencantas, disuatu sudut pula terdapat yang susah dan bermasalah menjadi kaku dan sempit fikiran sehingga tidak lagi menghiraukan keadaan sekeliling manakala yang muda gah dengan kehebatan dalam merosakkan diri sendiri termasuk merosakkan masyarakat. Masyarakat kita pula sekarang sering mengambil sikap tidak suka menjaga tepi kain orang. Sikap aku dengan urusan aku dan kau dengan urusan kau.Tidak seperti kehidupan orang tua-tua dahulu yang hidup di kampung susah senang, bahagia derita jiran sekampung sama dirasa. Zaman sekarang yang bermasalah lagi ditekan, dihimpit dan dipersalahkan tidak ada keikhlasan dalam membantu mahupun memulihkan keadaan saudara sebangsa sendiri. Seandainya berlaku sebarang kesilapan dan kesalahan, ramai yang lebih selesa menuding jari dan menghukum. Tidak ramai pula yang tampil mengaku kesalahan diri atau berdiri mengutarakan solusi bagaimana hendak menangani atau mengatasi sebarang masalah atau kesalahan tersebut. 


Suatu ketika dulu fahaman Black Metal menular menyusur sampai berjaya melahirkan ramai anak muda Melayu murtad yang tergamak memijak dan mengencingi kitab suci Al Qur an. Pun begitu berapa ramai Melayu Islam yang mula bertindak menangani akan gejala tersebut. Ibubapa sendiri pun tak akan sedar bahawa anak-anak sendiri pun terkadang terpengaruh dengan fenomena bahaya itu. Belum reda budaya black metal, gejala rempit dan bohsia pula merampas takhta dipersada noda yang mana semakin dilihat menjadi-jadi. Sekali lagi ibubapa sendiri seolah-olah lepas tangan dan tidak teringin pun nak siasat aktiviti anak-anak di luar pagar rumah.Agaknya tanggungjawab membendung budaya ganas merempit ini hanya tertakluk pada pihak berkuasa semata kerana lepas dari lingkungan rumah ibubapa sudah boleh cuci tangan. 


Budaya ala samseng seperti dalam filem-filem Hong Kong menjadi kebanggaan dan ikutan. Rentetan dari semua itu maka terlihat kerakusan seperti binatang dalam mempamirkan pengaruh dan gah diri, kumpulan-kumpulan samseng yang meluaskan empayar dan budaya kuning yang lain-lainnya. Malah acara penzinaan seolah tersebar luas pula dalam bentuk video dan 3gp akan hebatnya anak-anak Melayu dalam aksi berzina seperti tidak terbendung lagi. Anak-anak Melayu yang beragama Islam dengan bangganya menjadi aktor dan aktres dalam klip-klip tersebut. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah janin dan bayi-bayi yang tidak berdosa dilempar, dilontar dan dihumban tanpa ada rasa kemanusiaan lagi.


Apabila terjadinya kemungkaran demi kemungkaran maka wujudlah gagasan derhaka dalam dunia bangsa kita.Bangsa kita akan terus leka dan asyik dalam menjunamkan diri kearah pelbagai sudut penderhakaan. Hidup dalam zaman serba canggih ini, tiada sekatan tiada larangan kerana semua ada hak keatas kebebasan dalam melakukan apa saja. Ibubapa perlu seratus peratus mempercayai apa saja tindakan anak-anak mereka tanpa ada tinjauan susulan, kerana zaman dunia tanpa batas ini berfikiran juga harus terbuka dan moden.


Sucikan kembali bumi tercinta yang sedang kita pijak ini dari sebarang bentuk penderhakaan. Jangan sampai Allah mendatangkan bala untuk membasuh noda yang telah kita perbuatkan di muka bumi milik Allah ini. Semua pihak tidak terlepas untuk mengembling tenaga dan fikiran dalam memulihkan maruah bangsa. Jangan jadikan jurang ideologi politik, taraf pendidikan, kaya miskin dan sebagainya sebagai batu penghalang untuk menjernihkan kembali maruah bangsa yang semakin jauh tercemar. Bersatulah sebagaimana puak Ansar dan Muhajirin bersatu dalam menangani ancaman luar. Selagi kita ini punya darah sebagai Melayu Islam maka bersatulah dan bertegaslah dalam memulihkan sebahagian dari umat ini dari terus dipaliti oleh dosa-dosa sebagai penderhaka! Bulat air kerana pembentung, bulat Melayu kerana muafakat.


“ Sesungguhnya ALLAH itu tidak menzalimi manusia sedikit pun, tetapi manusia itulah yang menzalimi diri mereka sendiri” (Surah Yunus ayat 44.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan