Diabetes- namanya sudah cukup menggerunkan namun berapa ramai yang dalam rasa takut telah benar-benar peka akan bahayanya? Diabetes kini menjadi epidemik senyap di Malaysia, sukar dikesan tetapi melakukan paling banyak kerosakan yang membunuh golongan muda sehinggalah kepada golongan tua.Sejenis penyakit yang mencacatkan dan membunuh penghidapnya tanpa disedari. Kadar kematian pesakit diabetes banyak dikaitkan dengan CVD, iaitu pembunuh utama dunia. Namun kaitan dengan penyakit kardiovaskular (CVD) ini kurang diberi perhatian memandangkan diabetes lebih lazim dikaitkan dengan masalah kaki diabetik.
Statistik terkini, kira-kira 1.4 juta rakyat Malaysia atau satu daripada setiap enam orang dewasa yang melebihi usia 30 tahun menghidap diabetes.
Begitulah yang terjadi pada diri Fakir, empat lima hari lepas. Sejenis penyakit yang sangat Fakir geruni kerana ramai dari jalur keluarga Fakir adalah pengidapnya, samada sebelah ibu mahupun keluarga sebelah allahyarham ayah Fakir. Begitu juga ada handai taulan Fakir yang mengidapinya. Namun dalam takut dan gerun itu Fakir sentiasa leka dan lalai. Dua minggu lepas Fakir mula rasa perubahan pada kecergasan fizikal Fakir. Fakir mula rasa letih yang keterlaluan, rasa nak demam tak demam sama banyak, dahaga dan lenguh sendi-sendi. Pada hari rabu Fakir tak bertangguh untuk ke klinik, alangkah terkejutnya apabila didapati tahap gula dalam darah Fakir pada bacaan 24.4 ( satu bacaan yang sangat tinggi dan bahaya). Terjelepuk Fakir seketika dan rasa kelam masa depan. Nasi sudah menjadi bubur, tidak ada apa yang dapat menghalangnya. Rasa kecewa dan sedih mencengkam diri selama beberapa hari, apakan tidak- terbayang aruah kaum keluarga Fakir yang menderita sakit tersebut hingga ke akhir hayat. Fakir seakan putus asa dan tidak langsung menyentuh ubat yang diberi.
Entah kenapa semalam datang kekuatan dalam diri untuk melawan putus asa tersebut. Berkata-kata suara dalam diri bahawa sakit yang datang adalah ujian dari Allah untuk hamba-hamba yang disayangi. Mungkin sebelum ini Fakir terlalu lalai dengan keduniaan, maka ini suatu peringatan indah agar Fakir kembali mendekati diri kepadaNYA dengan memperbanyakkan amalan. Suatu peringatan bahawa kubur sudah pasti hampir dan peluang terakhir untuk Fakir lakukan segala yang terbaik mengikut kemampuan agar kembali mengadapNYA dalam keadaan bersih dan gembira..itu kata-kata semangat dan iktikad yang mengembalikan kekuatan dalam diri Fakir. Tidak ada penyakit yang tidak mempunyai penawar dalam dunia ini..kecuali maut sudah memanggil. Kalau hendak seribu daya, kalau dulu lalai dalam mencegahnya kini jalan terbaik ialah mengawalnya. Berapa ramai pesakit diabetes yang hidup gembira kerana mereka bersungguh mengawalnya..rasanya belum terlewat untuk Fakir mengikut jejak mereka yang kuat semangat.
Fakir mula membuat pencarian dalam internet tentang perkara berkaitan diabetes, Apa yang lebih mengejutkan, kelaziman berlakunya diabetes di Malaysia hampir dua kali ganda pada kadar yang lebih cepat daripada ramalan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), seiring dengan perkembangan kadar rakyat yang obesiti.Memandangkan perubahan gaya hidup moden yang mendadak, rakyat Malaysia perlu memahami bahawa diabetes ialah masalah kesihatan dan orang ramai perlu mengawal keadaan sebelum terlambat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada tahun 2030, sejumlah 2.48 juta rakyat Malaysia akan menghidap diabetes.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada tahun 2030, sejumlah 2.48 juta rakyat Malaysia akan menghidap diabetes.
Berikut di bawah ini, Fakir nak berkongsi dengan semua rakan-rakan dan pengunjung selasar ini, sebuah artikel dari http://e-kesihatan.blogspot.com secara ringkas mengawal diabetes...
Cara Mengawal Kencing Manis (Diabetes)
Dr. Noraziah Abd. Kadir Jailani.
Pakar Perubatan Am dan Dermatologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor.
Perubahan Cara Hidup
Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis dan mengawal tahap gula dalam darah. Pesakit kencing manis dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dan mengawal kencing manis dengan melakukan beberapa perkara seperti di bawah.
Pakar Perubatan Am dan Dermatologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor.
Perubahan Cara Hidup
Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis dan mengawal tahap gula dalam darah. Pesakit kencing manis dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dan mengawal kencing manis dengan melakukan beberapa perkara seperti di bawah.
- Pemakanan
Pemakanan berkarbohidrat dan gula seharusnya dikurangkan supaya pengambilan kadar kalori pada sesehari itu terkawal. Berbincanglah dengan doktor atau pakar pemakanan untuk cara diet yang terkawal. - Senaman
Senaman penting untuk membantu mengurangkan berat badan dan juga menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru (kardiorespiratori). Senaman perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor. - Penjagaan berat badan
Pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan akan mendapati tahap gula dalam badan sukar dikawal. Terdapat pesakit yang boleh menghentikan ubat kencing manis apabila berat badan dapat dikawal. - Pemeriksaan diri sendiri
Pesakit kencing manis dinasihatkan membuat pemeriksaan sendiri terutamanya pada jari dan kaki yang kebas untuk tanda luka atau jangkitan kerana deria rasa sakit berkurangan. Ini membolehkan rawatan awal agar jangkitan tidak merebak.
Pemeriksaan oleh doktor untuk memastikan kadar gula dalam darah mesti dilakukan secara berterusan. Ini membolehkan penghidap kencing manis memastikan bahawa tahap gula dalam darah adalah terkawal. Dianggarkan bagi setiap 1 peratus pengurangan kadar ujian darah A1 C, mampu menurunkan masalah berkaitan kencing manis sebanyak 40 peratus. Penjagaan anggota kaki dan tangan mampu mengurangkan kes anggota badan perlu dipotong disebabkan oleh komplikasi jangkitan sebanyak 45 hingga 85 peratus.
Kekerapan membuang air kecil boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
- Kencing manis yang tidak terkawal dan tahap gula tinggi dalam darah
- Jangkitan kuman atau kencing kotor
- Kerosakan buah pinggang
- Masalah pundi kencing sama ada gangguan saraf atau masalah pundi kencing seperti pundi kencing yang terlalu aktif, disyorkan agar berjumpa doktor untuk pemeniksaan selanjutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan