Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

09 Mei 2011

Jasa dan Pengorbanan Seorang Ibu



Sempena Hari Ibu ini (sebenarnya pada Fakir tiada istilah untuk satu hari yang ditabalkan untuk setiap yang bergelar ibu, kerana setiap hari itu sewajarnya adalah milik setiap ibu yang berada di atas muka bumi Allah ini), terasa teringin juga nak berceloteh dengan hal-hal yang berkaitan.  Fikirkanlah - tidak pernah sedetik pun seorang ibu itu tidak risau dan tidak memikirkan yang terbaik buat anak-anaknya. Kerisauan yang sentiasa bermain difikiran seorang ibu itu menjangkau berpuluh tahun ke depan dalam kehidupan anak-anaknya nanti.


Itu seandainya kita berbicara tentang kerisauan dan kasih sayang seorang ibu, bagaimana pula pengorbanan yang sering dilakukan tanpa mengharap sekelumit pun balasan dari anak-anak?? Sebermula hidup sebagai janin di dalam kandungan ibu, sang ibu terpaksa tabah dan kuat dalam mengharungi segala macam penderitaan, kepayahan dan kelemahan demi kelemahan. Bermula dari umur sehari pula kita sudah mula disuapkan dengan susu sehinggalah menjelang usia kita empat bulan, penyediaan makanan pula menjadi rutin harian dan tidak pernah pula mendapat tidur yang cukup pun kerana asyik berjaga malam demi bayi yang disayangi.


Sehinggalah anak-anak sudah tumbuh membesar, bertambah bebanan yang harus ditanggung oleh ibu dan ayah. Didikan demi didikan perlu diterapkan, terpaksa merenung dan bertungkus lumus dalam urusan rezeki. Bagi keluarga yang berada dan kaya sekali pun terkadang diuji dengan pelbagai masalah, adakalanya telah ditakdirkan dengan masalah kesihatan anak-anak..maka peranan seorang ibu tetap berat dan setiap masa akan memikirkan penawar terbaik untuk anak tersebut. Apatah lagi bagi ibubapa yang kurang kemampuan tentulah kejerihan hidup itu akan memberatkan lagi peranan hidup seorang ibu untuk menempuhnya. Terkadang hilang perasaan malu untuk meminta-minta demi kesejahteraan seorang anak. Demi anak, setiap ibu tidak pernah gentar dalam berdepan dengan bahaya, kerumitan dan seribu macam halangan dan ujian. Apatah lagi ada sesetengah ibu tergadai maruahnya demi sesuap nasi dan pembelaan buat anak-anaknya... pernah atau tidak kita terfikir  perkara sebegitu? Pernahkah seorang ibu meminta dibalas kembali masa rehat mereka yang telah dikorbankan demi kita yang bergelar anak?


Pada hari ini, apabila kita sudah dewasa maka sudah terbalaskah segala jasa dan jerih payah seorang ibu untuk kita? Yang pasti dipenghujung zaman ini, lebih banyak muncul Alqamah, Malin Kundang dan si Tanggang. Sedar atau tidak maka itulah fenomenanya, benarlah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang menyebut bahawa diakhir zaman nanti anak-anak akan menjadi tuan kepada ibubapanya. Perhatikanlah cara kita berkomunikasi dengan ibu pada hari ini, itu belum mencakupi perkara-perkara yang berkaitan taat. Tepuk dada dan tanyalah selera, jawapannya ada pada diri masing-masing.


Kita perlu sedar bahawa tanggungjawab kita terhadap ibu yang melahirkan dan membesarkan kita (termasuk ayah) itu punya dua bahagian. Yang pertama semasa mereka masih hidup dan yang kedua sesudah mereka meninggal dunia. Sebagai orang yang paling banyak berjasa sepanjang kehidupan kita, maka berbaktilah dan berjasalah serta taatlah selagi mereka masih bernafas kerana redha Allah tertakluk pada keredhaan ibubapa. Seandainya mereka telah menutup rapat mata, maka diketika itu seribu penyesalan sekali pun tidak berguna lagi. Janganlah merasa satu bebanan dalam melayani ibu yang tua kerana mereka tidak pernah jemu melayan kita dari dulu hingga sekarang. Apatah lagi terfikir dan terlintas bahawa sang ibu itu sangat menyusahkan kita yang kononnya terlalu sibuk dengan banyak urusan. Fikirlah kembali siapa yang menjadi pembela utama ketika kita dicaci, dihina dan dilakukan sewenangnya oleh orang terhadap kita suatu ketika dulu.


Manakala apabila mereka sudah meninggal dunia, tanggungjawab kita sebagai anak mengiringi doa buat ibu dan ayah demi kesejahteraan mereka di alam barzakh setiap masa dan hari, melunaskan apa yang terhutang samada pada Allah mahupun sesama insan. Merapatkan silatur rahim dengan saudara-saudaranya dan para sahabatnya. Sering pula hendaknya menziarahi pusara mereka.


 Pada hari ini generasi muda telah banyak merudum jatuh nilai-nilai murni yang wajib dipatuhi yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah SAW untuk dilaksanakan terhadap ibubapa. Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu, bukankah itu suatu penanda aras untuk kita perhatikan.


Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
Riwayat al-Hakim




Firman Allah dalam Al-Qur’an yang bermaksud :“Dan TuhanMu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”(surah al-Isra’ : ayat 23)


Buat Ibu Fakir yang disayangi, isteri yang dicintai dan ibu mertua yang kusanjungi, malah buat semua wanita yang bergelar ibu, Fakir doakan kesejahteraan anda semua. Semoga Allah merahmati setiap insan yang bergelar ibu.

2 ulasan:

  1. salam kenal buat saudara Fakir, saya selalu mengikuti aktiviti saudara di sini..apa mungkin boleh mengenali dgn lebih dekat. Itupun kalau tidak menjadi kesalahan...apapun saya akan terus akan memerhatikan walau hanya dari jauh.Suatu saat nanti saya akan mengenalkan diri saya.

    BalasPadam
  2. salam kenal juga buat anda, biarlah Fakir hanya dikenali sebagai Fakir di selasar ini. Fakir merasa terharu kerana ada yang ingin mengenali Fakir walaupun Fakir hanya seorang manusia biasa. Jika ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi di selasar ini, Fakir amat mengalu-alukan. Kerana tujuan selasar ini diwujudkan adalah untuk berkongsi segala yang baik-baik sesama kita...wallahualam

    BalasPadam