Tak sangka dalam sebulan dua ni Fakir dapat bertemu kembali
rakan-rakan di zaman persekolahan dulu melalui laman sosial FB. Dah hampir 20
tahun lebih Fakir tidak pernah ambil tahu kabar dan tentang kehidupan
sahabat-sahabat Fakir di zaman persekolahan dulu. Hati rasa terharu juga bila
seorang demi seorang sahabat handai meminta jadi rakan dalam FB, walhal ada
diantara mereka yang sudah memegang jawatan tinggi seperti Ketua Pengarah dan orang-orang
professional serta usahawan yang berjaya.
Jauh disudut hati perasaan bercampur baur, samada nak
beramah mesra, bergurau senda macam zaman remaja dulu atau hanya berdiam diri.
Rasa segan dan kekok pulak nak bergurau macam dulu-dulu, almaklumlah Fakir ini
ke langit tidak, ke bumi pun tidak. Hidup ini nak kata susah sangat pun tidak
juga hanya ala kadar saja... Alhamdulillah pun begitu Allah masih melapangkan
kehidupan Fakir walau Fakir ini banyak sangat engkar akan perintah Allah.
Masa silih berganti dan perubahan demi perubahan berlaku,
sedar tak sedar semuanya dah punya anak-anak yang meningkat remaja. Malah ada
di antara mereka punya anak-anak yang sudah melanjutkan pelajaran ke luar
negeri.Tinggal Fakir, anak-anak masih kecil. Yang sulung akan mencapai usia 12
tahun pada 2012 nanti.
Terkenang - dalam masa-masa mereka berusaha menempa
kejayaan, Fakir banyak “laqho” dengan
kehidupan. Kehidupan Fakir macam rojak, banyak merapu dan terkadang keras hati
dan baran juga sentiasa mendampingi diri ini. Pantang orang lintas angin
mulalah melenting. Dalam masa-masa itu juga Fakir terputus langsung dengan
sahabat-sahabat zaman sekolah dulu. Bila usia dah mula mencecah 25 tahun keatas
barulah Fakir terbuka mata, dibantu oleh guru pertama Fakir dalam bidang
tarikat untuk menjadi manusia seadanya. Bermula dari itulah Fakir buang jauh-jauh
sifat panas baran dan yang buruk-buruk yang ada dalam diri Fakir ini.
Fakir juga terkenang akan perbualan Fakir dengan guru, nak
bersihkan diri dan nak dekat dengan Allah bukannya mudah - kata guru. 1001
halangan yang perlu ditempuhi, salah satu ialah kebencian orang pada kita
merupakan cabang halangan yang akan menanti. Sungguh benar apa yang diucapkan
oleh guru. Fakir diuji dengan seribu satu masalah, terutama hal-hal rezeki yang
hampir-hampir membuatkan Fakir tenggelam punca.
Kebencian orang jangan dibilang,
pernah dihina sampai maruah terjelepuk ke tanah. Pernah juga terdengar desas
desus ada rakan yang berjaya dalam hidup sanggup mengatakan Fakir ini jenis “job hoping” . Diketika itu ada timbul
rasa benci kerana Fakir tidak pernah pun berhasrat nak minta tolong sesiapa
dari sahabat-sahabat zaman sekolah dulu. Fakir harungi seorang diri.
Alhamdulillah juga sebab dalam naik turun alunan kehidupan
ini, Allah masih memberi peluang untuk Fakir kerana masih tetap cintakan
mencari ilmu tentang cara membersihkan diri. Ada di antara guru-guru pembimbing
Fakir itu telah kembali ke rahmatullah – al Fatihah. Fakir ini terkadang amat
degil dan bebal juga. Kehidupan hari ini masih juga “laqho” tapi punya batas
disebabkan pesanan-pesanan dari guru-guru masih tersemat melekat di hati ini
walau sedegil dan sebebal mana pun diri Fakir ini.
Dipendekkan cerita, disebabkan diri Fakir ini tidak pernah
sesempurna dan sehebat orang lain, maka Fakir ambil keputusan hanya akan
berhubung dengan orang-orang yang tidak pernah jemu berhubung dengan Fakir.
Maafkan aku wahai para sahabat, aku tak mampu memeriahkan suasana - hanya sekadar bertanya kabar lantaran diri
ini tidak pernah sesempurna dan sehebat anda semua. Pun begitu Fakir doakan
kejayaan anda semua di dunia dan akhirat- insyaAllah.