Untuk apakah Allah SWT jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan
munajat kepada Allah SWT dan ada malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah
SWT. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada
penghuni-penghuninya.
Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti
malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan
Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan
bermunajat kepada Tuhannya.
Kalau sepasang kekasih mencari
waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh
juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah SWT.
Berkata Al Fudhail bin Iyadh, “Apabila terbenam matahari maka aku gembira
dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka aku berdukacita kerana
datangnya manusia kepadaku!” Abu Sulaiman pula berkata, “Jikalau tidaklah
kerana malam nescaya aku tidaklah menyukai tinggal di dunia ini.”
Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga
menurunkan malaikat-mlaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepda
hamba-hambaNya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari
manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan
diaminkan doanya.
Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barang siapa yang
berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada
waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud:
“Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada
waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan
kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya aku wajibkan kedua rakaat
itu atas mereka.”
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
“Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan
malam untuk kesuraman kubur.”
Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah
dengan mendirikan ibadah solat. Allah SWT memberi pandangan kepada golongan ini
kerana mereka telah sanggup meninggalkan keenakan dan keselesaan beristirehat
untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan
dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wudhuk dan
berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya
mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab
itu Allah menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hambaNya yang menghidupkan
malam.
Meskipun itu
adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita namun kepayahan untuk menghidupkan
malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh
menghalang manusia melakukannya.
Rasulullah
s.a.w bersabda maksudnya:
“Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu
dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap
tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu
terbangun dan berzikir kepada Allah s.w.t nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau
berwuduk nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat nescaya
terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak
yang demikian nescaya menjadi keji jiwa dan malas.”
Bila dilihat
dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu
menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka di dalam
golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah SWT.
Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan dan rutin para abid dan orang-orang
soleh.
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud:
“Haruslah
kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu.
Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla,
menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah
daripada dosa.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan