DUA perkara penting yang diingatkan junjungan Nabi SAW ialah menjaga serta memelihara lidah dan tingkah laku. Lidah termasuk nikmat Allah yang sangat besar kerana kebaikan diucapkannya akan melahirkan manfaat, yang buruk mendatangkan kesan berpanjangan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Pesanan itu adalah manifestasi pentingnya menjaga tutur kata, tidak mengucapkan hal yang buruk dan menyakiti hati saudara seagama kerana bertutur sembarangan tanpa berfikir kesannya akan membawa kepada permusuhan, kekacauan bahkan boleh menjurus kepada pertumpahan darah.
Rasulullah SAW berpesan supaya menjaga lidah dan tingkah laku supaya tidak mengganggu serta melampaui batas atau menyentuh hak orang lain. Sabda Baginda yang bermaksud: "Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam beragama." (Hadis riwayat Ahmad)
Pada saat pengaruh kehidupan bersalut kebendaan, didapati manusia semakin boros mengeluarkan kata-kata sehingga ada yang terlupa mempertahankan sifat santun dan adab dalam menuturkannya hingga menyakitkan hati pendengarnya.
Harus diakui manusia memang berbeza pandangan, pendirian dan bebas membuat penafsiran terhadap sesuatu yang dirasakan benar baginya tetapi ketika yang sama, manusia diberi akal dan iman untuk mempertimbangkan ilmu secara beradab.
Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)
Debat Nabi SAW jelas beretika dan halus budi bahasanya. Setiap patah kata dalam ungkapannya dapat menjadi contoh mereka yang mencintai kebenaran. Tetapi sayang, sebahagian daripada pendebat sekarang menyimpang jauh daripada panduan kerana debat mereka untuk mencari pengaruh dan kemenangan.
Sedangkan debat yang dicadangkan adalah untuk mencari jalan yang lurus. Oleh itu, berhujah untuk memburukkan lawan, pelbagai kata kasar dan nista terkeluar. Keburukan demi keburukan orang didedah dan diaibkan melalui kata-kata.
Cucunda Rasulullah SAW, Saidina Hussain berkata, seseorang yang menceritakan keburukan orang lain di hadapanmu, boleh jadi dia akan menceritakan keburukanmu (juga) pada orang lain.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa mampu menjaga apa yang ada antara dua janggut dan apa yang ada di antara dua kaki, maka aku jamin dia masuk syurga." (Hadis riwayat Sahl bin Sa'ad)
Apabila seseorang memahami dan mengerti bahawa setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya akan dihisab dan dibalas maka, dia akan tahu untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya dan mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.
Justeru, jangan biarkan lidah itu lebih cepat daripada akal dalam menuturkan kata-kata. Apalagi apabila akal gagal mengawal tutur katanya menyebabkan apa yang terkeluar itu menjadi zarah amarah dan dendam bersalut nafsu semata-mata. Bahaya lidah sebenarnya amat bisa dan tajam.
Rasulullah SAW pernah mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, yakni perkara baik dan buruk. Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: "Mahukah engkau aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini? Aku (Muaz) menjawab: Mahu wahai Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata: Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik. Aku (Muaz) pun berkata pula: Wahai Rasulullah SAW, apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami? Lalu Baginda SAW menjawab: Moga-moga Allah memelihara engkau. Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur katanya sendiri." (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Akhir-akhir ini perkataan melaknat dan mengutuk sering menjadi mainan sesetengah individu atau kumpulan dalam masyarakat. Ucapan seperti itu hanya mengundang kemarahan dan perkara itu amat disenangi iblis.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullullah SAW ada menceritakan suatu kisah: -
Pada zaman Bani Israil dulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap berbeza. Lelaki pertama suka berbuat dosa, sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah melihat temannya berbuat dosa, ia menyarankan rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya.
Suatu ketika, ahli ibadah itu berkata lagi: "Berhentilah daripada perbuatan dosa." Ahli maksiat pun menjawab: "Jangan pedulikan aku, terserah kepada Allah yang akan menilai perbuatanku. Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi setiap apa yang aku lakukan?" Ahli ibadah membalas:" Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah. "
Selepas kedua-dua ahli ibadah dan ahli maksiat itu meninggal dunia, Allah menghakimi kedua-dua mereka di hadapan-Nya. Allah menyoal ahli ibadah:" Adakah kamu lebih mengetahui daripada-Ku? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang berada dalam kekuasaan-Ku? "
Kemudian, Allah berfirman kepada ahli maksiat: "Masuklah kamu ke dalam syurga Berkat rahmat-Ku. Sementara kepada ahli ibadah dikatakan: Masukkan orang ini ke dalam neraka."
sumber: taman2 syurga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan