Assalamualaikum semua, setelah bertahun fakir tidak menjenguk selasar fakir yang semakin usang dan hampir nak roboh ini. Entri fakir terakhir sebelum ini bertarikh 16 Januari 2014 dengan tajuk sekitar maulid dan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Malas membelenggu diri fakir untuk menjenguk blog yang tidak seberapa ini. Pun begitu bukanlah bermaksud fakir dah malas nak berkongsi apa-apa pun untuk kawan-kawan pengunjung. Cuma bila umur semakin meningkat fakir takut ada lintasan yang tidak baik menjelma didalam hati ini.Oleh itu sentiasa bertangguh untuk berkongsi di selasar ini, dalam sedar tidak sedar dah tiga tahun lebih fakir tidak berborak di selasar pondok usang fakir ini. Terimakasih kepada sesetengah rakan-rakan pengunjung yang bertanya khabar tentang fakir yang hina ini. Cuma fakir tidak akan 'publish' beberapa komen yang menanti untuk diterbitkan. Pertamanya ianya lebih bersifat pertanyaan khabar dari saudara-saudara yang ikhlas berkawan dengan fakir dan yang keduanya kerana ada beberapa pertanyaan berkaitan entri-entri lama yang fakir rasakan sudah semakin lapuk.
Terjadi sekira dua bulan lepas ketika fakir menghadiri sessi temuduga untuk pekerjaan fakir sekarang ini, pihak pengurusan syarikat dan majikan telah bertanya sekitar pengalaman menulis blog maka fakir pun teringatlah selasar ini dan satu lagi blog sampingan khazanah ilmuwan. Walhal pekerjaan fakir sekarang tidak ada kaitan langsung dengan penulisan cuma ingin fakir panjatkan rasa syukur kerana Allah SWT telah mengaturkan persekitaran yang penuh keislaman ditempat kerja fakir sekarang dan insyaAllah jika ikhlas dalam bekerja akan menambahkan kekuatan iman di diri yang lemah dan banyak dosa ini....inilah yang fakir harapkan selama ini semoga mendatangkan keberkatan dan redha Allah. Bukan nilai gaji yang diburu tetapi diusia hampir setengah abad ini hanya menagih redha Allah semata-mata. Lagipun bersyukurlah dengan apa yang ditawarkan dengan taraf pendidikan yang tidak seberapa ini. Sebelum fakir bekerja ditempat sekarang, sempat juga fakir bekerja sebagai warden anak-anak yatim islam di bandar tempat tinggal fakir. Walaupun tidak lama, namun Allah membuka mata hati ini tentang banyaknya nilai kehidupan yang perlu direnungi dan menjadi pedoman.
Baiklah, sempena kedatangan bulan Ramadhan, sang pencuci yang mulia yang akan mencuci segala kekaratan hati pada tahun ini ingin pula rasanya berkongsi satu perkara yang pernah diceritakan oleh salah seorang pembimbing fakir berkaitan doa Jibril a.s yang diamiinkan oleh baginda tercinta Rasulullah SAW sebanyak tiga kali agar dapat diri yang hina ini dan saudara-saudara fakir yang sangat-sangat fakir cintai untuk memuhasabah diri. Guru pembimbing fakir bercerita secara sambil lalu namun melekat dalam hati ini. Untuk entri ini fakir masukkan hadis yang lengkap berkenaannya.
Dari Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Hampirlah kamu semua ke mimbar!”
Lalu kami pun mendekati mimbar itu. Ketika Rasulullah SAW menaiki tangga mimbar yang pertama, baginda berkata, “Amiin.” Ketika baginda menaiki tangga yang kedua, baginda pun berkata, “Amiin.” Ketika baginda SAW menaiki tangga yang ketiga, baginda pun berkata, “Amiin.”
Setelah Rasulullah SAW turun dari mimbar, kami pun berkata,
“Ya Rasulullah, sungguh kami telah mendengar dari engkau pada hari ini, sesuatu yang belum pernah kami dengar sebelumnya.”
Rasulullah SAW bersabda, “Ketika aku menaiki tangga pertama, Jibril muncul di hadapanku dan berkata,
“Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan yang penuh berkah, tetapi tidak memperoleh keampunan.” Maka aku berkata, “Amiin”
Ketika aku menaiki tangga yang kedua, Jibril berkata,
“Celakalah orang yang apabila namamu disebutkan, dia tidak bersalawat ke atasmu.” Aku pun berkata, Amiin.’
Ketika aku melangkah ke tangga ketiga, Jibril berkata,
“Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang telah tua, atau salah satu dari keduanya, tetapi keduanya tidak menyebabkan orang itu masuk syurga.” Akupun berkata, Amiin :” (HR. Hakim)
Selamat menjalani ibadah puasa pada tahun 1438 ini, Anggaplah seolah-olah inilah ibadah puasa yang terakhir buat kita, semoga ada manafaatnya...insyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan