HIDUP ini sebuah hadiah besar dari Allah SWT kepada setiap
yang bernyawa terutama manusia. Disampingkan olehNYA pahit manis, suka duka,
tawa tangis serta gelap dan terang sebagai rencah kehidupan.
Ada beberapa hal yang tak akan sekali-kali kita mampu
membelinya walau sekaya mana pun kita ini, ianya merupakan anugerah besar dari
Allah iaitu iman yang benar, redha, tawakkal yang asli, keluarga bahagia,
sahabat sejati, kasih sayang yang murni, setia dan jujur dan pengalaman hidup.
Yang paling teratas adalah masa.dan keikhlasan yang sebenar-benarnya.
Kita dah banyak kali tahu dan difahamkan akan semua
perkara-perkara diatas namun tidak semua perkara di atas pernah kita tempuhi.
Terkadang ada yang pernah dan sedang kita lalui tapi tidak pula kita mahu ambil
iktibar akan semua itu. Sampai bila pun kita tidak akan pernah pula jumpa
ikhlas yang sebenar yang terbit dari nurani yang suci dan masa juga memainkan
peranan paling penting kerana ianya tidak pernah mengundur malah terus
melangkah tanpa memperdulikan kita. Pun begitu selagi dilimpahkan masa oleh
Robbul Izzati kita perlu segera menggapainya untuk menjadi manusia yang
sentiasa bersyukur akan segalanya, walau seburuk dan seperit mana yang sedang
kita lalui. Itu lah pelajaran pertama kearah ikhlas yang hakiki.
"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali
amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap
redha Allah. [Abu Daud dan An-Nasa'i]
Fakir tidak mengata kepada sesiapa, cuma menilai diri
sendiri sejauh mana diri ini redha dan ikhlas dengan apa yang dihidangkan oleh
Allah dalam hidup. Ada masa bermain dalam kepala dan mempertikaikan akan segala
ujian, dugaan dan kifarah Allah terhadap diri ini. Bila ianya berlawanan dengan
naluri kita, maka timbullah hasutan iblis mempertikaikan kerja buat Allah. Jauh
sungguh nilai diri ini dengan orang-orang sufi seperti mana yang pernah fakir
celotehkan pada tahun 2010 suatu ketika dulu hidup seorang darwisy
Para Ulama Arifin, membahagikan ikhlas kepada beberapa
peringkat seperti :
1. Ikhlas orang awam
2. Ikhlas orang abrar
3. Ikhlas orang Arif
Percayalah setiap keikhlasan itu punya habuan yang Allah
sediakan kepada mereka. Cuma habuan itu berbeza-beza mengikut tingkatannya.
Sebabnya mudah Allah itu al Latiff. Jadi jangan sesekali tanam dihati bahawa
kita sudah cukup baik dan ikhlas di sisiNYA.
Fakir sering ingatkan anak-anak fakir untuk belajar ikhlas
memberi makan kepada kucing-kucing jalanan dan liar kerana sebahagian rezeki
kita adalah rezeki mereka juga. Bukannya total milik kita. Anak-anak fakir
menjadi lebih "advance" dengan memberi makan anjing jalanan. Malah anjing
itu tahu menilai budi yang ditaburkan. Dia seolah faham, bahawa kita tak boleh
memegangnya dan menjarakkan diri bila diberi makan. Apa yang paling menarik ada
sesekali dan ketika dia seolah menjaga keselamatan rumah fakir. Terfikir diri
hina ini bahawa seekor anjing itu lebih mulia sfatnya dari diri fakir. Dia
tidak sibuk meminta malah tahu membalas dan menghargai orang yang memberi
makan. Si fakir ini sibuk memohon meminta hak sebagai manusia kepada Robbnya
walhal tak pernah ambil peduli tentang amanah Allah untuk dilunaskan.
Akhir celoteh, fakir mengajak diri fakir dan semua
teman-teman selasar untuk memperbanyakkan selawat keatas baginda SAW dan
memperbanyakan belajar sirah hidup baginda kerana tanpa baginda tidak ada iman,
islam dan ihsan kita.
اَللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى
مَوْلاَنَا مٌحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ فِي كٌكِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ
عِلْمُ اللهِ
Terhenti sudah celoteh sifakir untuk kali ini di hujung
selasar sambil menghirup kopi pekat (tersenyum sendiri)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan