Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

07 September 2019

'SULTAN KUBANG PASU'

MAKAM Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih. - Foto Amran Hamid


Assalamualaikum, Artikel ini fakir ambil dari BH Online dan dimuatkan ke selasar si fakir untuk menjadi bahan bacaan terutamanya buat para peminat sejarah. Semoga ada banyak manafaatnya buat kita semua khususnya anak-anak Kedah. Jadi tak perlulah fakir berceloteh banyak untuk kali ini, elok kita teruskan dengan membaca artikel tersebut dibawah…..

suzalina@bh.com.my

ALOR SETAR: Sesiapa sahaja yang melalui jalan utama dari Kubang Pasu ke Jitra, khususnya di Tok Jalai dekat sini, pasti menyedari kewujudan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.

Walaupun nama Tunku Anum dianggap tidak asing bagi penduduk Kedah, hakikatnya tidak ramai menyedari identiti dan peranan individu di sebalik nama Tunku Anum yang dimeterai pada nama sekolah berusia lebih sedekad itu.

Apa yang pasti, Tunku Anum yang juga anak kepada Tunku Rahmah iaitu puteri sulung Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II, memainkan peranan besar dalam mempercepatkan proses pembebasan Kedah daripada penjajahan Siam selama 20 tahun pada 1839, hasil kebijaksanaannya mengambil hati pemerintah Siam di Ligor ketika itu.

Berdasarkan rekod sejarah, Tunku Anum selain membantu membebaskan Kedah, turut mencetus usaha membawa pulang Sultan Kedah ke-22, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, yang diusir Siam ke Melaka, untuk menyambung semula pentadbiran di Kedah, selepas bebas daripada Siam ketika itu.

Kini selepas beratus-ratus tahun, makam Tunku Anum selaku bekas pemerintah negeri Kubang Pasu Darul Qiyam, yang bersemadi di Pulau Pisang, Jitra dan pernah menjadi pusat pemerintahannya, seolah-olah tidak dihiraukan generasi muda, apatah lagi untuk diangkat sebagai antara destinasi pelancongan di Kedah.

Selain Tunku Anum, nasib sama turut menimpa seorang lagi bekas pembesar Kedah iaitu Puteri Lindungan Bulan, yang turut mempunyai peranan tersendiri dalam menyumbang kepada sejarah kelangsungan pentadbiran di Kedah.

Ini kerana, makam Puteri Lindungan Bulan yang menjadi satu-satunya bukti wujudnya pusat pemerintahan Kedah Ke-3 di Kota Siputeh, antara tahun 1282 hingga tahun 1626 yang membabitkan pemerintahan lapan Sultan, turut sepi.

Ketua Penghantar Bunga Emas

Siapa sangka Tunku Anum dan Puteri Lindungan Bulan antara dua nama besar yang pernah menyumbang kepada sejarah pentadbiran kerajaan Melayu di Kedah. Namun, selepas ratusan tahun berlalu, kedua-dua makam ini ternyata dipandang sepi dan gagal ditonjolkan sebagai antara destinasi pelancongan di negeri ini. Sesuatu perlu dilakukan pihak berwajib untuk memastikan generasi muda kini mengenali sejarah membabitkan kedua-dua individu ini.

Tokoh Sejarawan, Wan Shamsudin Mohd Yusof, ketika mengupas sejarah Tunku Anum, berkata pemuda itu turut mendapat gelaran Tunku Paduka Raja Jambangan berikutan dilantik sebagai Ketua Penghantar Bunga Emas kepada Raja Siam di Kota Bangkok pada tahun 1809, iaitu ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin.

Bagaimanapun, katanya, bermula tahun 1821, Raja Siam mengarahkan armada Ligor menawan kota Kuala Kedah dan bandar Alor Setar, sekali gus berjaya mempertahankan taklukannya selama hampir 20 tahun, menyebabkan Sultan Ahmad Tajudin terpaksa menyembunyikan diri di Melaka.

Kebangkitan pahlawan Kedah

Namun, pada masa sama, katanya, berlaku kebangkitan pahlawan di Kedah untuk mengambil semula negeri daripada tangan Siam dengan melancarkan dua jenis peperangan yang masing-masing berlangsung pada era 1828 hingga 1831 dan 1838 hingga 1839.

Beliau berkata, Tunku Anum bagaimanapun ketika itu tidak gemarkan peperangan kerana ia disifatkan beliau sebagai berisiko menyebabkan banyak nyawa terkorban dan membabitkan pertumpahan darah.

Justeru, Tunku Anum menjalankan strategi dengan menggunakan helah berangkat ke Ligor kononnya untuk menjaga tawanan Kedah yang ditahan di sana. Kelebihan diperoleh Tunku Anom sepanjang berada di Ligor, digunakan untuk memujuk dan mendapatkan kepercayaan Raja Ligor bagi menyerahkan kembali Kedah kepada pimpinan asal.
"Hasilnya, proses pembebasan Kedah menjadi lebih cepat, malah Sultan Ahmad Tajuddin yang berkelana di Melaka juga dipanggil balik untuk memegang tampuk pimpinan Kedah semula," katanya.

Wan Shamsudin berkata, sebagai membalas jasa Tunku Anum, Sultan mengurniakan Kubang Pasu Darul Qiyam yang mempunyai 24 mukim dengan jajahan takluknya bermula dari Tunjang ke Sadao, untuk ditadbir sebagai sebuah negeri dengan pusat pemerintahannya terletak di Pulau Pisang di Jitra.
Ketika ditanya bagaimana keadaan Kubang Pasu sepanjang pentadbiran Tunku Anom, ini jawapannya;

Kubang Pasu diserah kembali kepada Kedah

Kubang Pasu sepanjang pemerintahan Tunku Anom pada 1839 hingga 1853 ketika itu pesat membangun dan berjaya menaikkan taraf ekonomi rakyatnya dengan wujudnya kilang kain, mahkamah, penjara, pejabat tanah malah masih tersimpan bukti geran tanah yang mempunyai cop negeri Kubang Pasu.

Namun Wan Shamsudin berkata, malangnya selepas kemangkatan Tunku Anum pada 1854, Kubang Pasu yang diserahkan kepada cucunya, Tunku Ishak yang menjadi Raja dan memerintah selama 10 tahun, gagal mempertahankan negeri itu lalu diserahkan kembali kepada Sultan Kedah ke-24 ketika itu iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.

Puteri Lindungan Bulan

Berbeza dengan sejarah Puteri Lindungan Bulan, Wan Shamsudin berkata terdapat dua versi membabitkan fakta dan legenda yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh penduduk kampung dahulu kala.

Beliau berkata, dari segi mitos dan lagendanya, Sultan Kedah ketika itu iaitu Sultan Sulaiman Syah menyembunyikan puterinya yang bernama Zaleha di dalam sebuah lubang kecil, sehingga terlindung dari cahaya bulan selama tempoh sebulan, bagi mengelak Raja Acheh memperisterikan anaknya itu.

Katanya, dari situlah gelaran Puteri Lindungan Bulan diperoleh dan rentetan insiden itu, Raja Acheh amat marah terhadap Sultan Kedah kerana memperdayakannya sehingga Kedah diserang.
Namun cerita itu hanyalah disebut sebagai mitos dan gagal dibuktikan melalui fakta dan ini adalah cerita sebenarnya;

Kedah diserang Acheh ketika itu berikutan Acheh ingin meluaskan empayarnya di nusantara ini, selain berang dengan tindakan Kedah yang turut menanam lada hitam di beberapa daerah termasuk Langkawi sedangkan Acheh sudah terlebih dahulu menanam tanaman itu yang mampu dijual pada harga tinggi. Keengganan Sultan Kedah mendengar amaran dari Acheh supaya menghentikan tanaman lada hitam menyebabkan Raja Acheh berang lantas menyerang Kedah.

Sumber artikel: Berita Harian Online
                         Rabu 18 March 2015
                Oleh: suzalina@bh.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan