Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

26 April 2010


Allah rahsiakan bila kiamat





SEMUA keindahan dan nikmat yang ada di dunia tidak dapat mengatasi ganjaran yang disediakan di syurga Allah. - gambar hiasan



Mukadimah
Al-Maraghi berkata: Selepas Allah SWT menjelaskan kekuasaan-Nya dengan kebangkitan semula orang yang telah mati sebagaimana Dia berkuasa mencipta alam semesta. Kemudian Dia menerangkan berkenaan kebenaran yang diwahyukan kepada nabi-Nya bahawa hari kebangkitan manusia adalah milik Allah Tuhan Alam Semesta.
Ketika malapetakanya yang hebat melebihi segala bencana itu datang, ketika segala perbuatan diperlihatkan kepada para pengamalnya ketika itulah manusia mengingati apa yang telah dilakukannya.
Allah SWT memperlihatkan neraka di hadapan manusia sehingga semua mata dapat melihatnya. Pada hari itulah ditimpakan pembalasan kepada manusia yang melampaui batasan syariat Allah.
Ini kerana mereka mengutamakan kelazatan dunia dari akhirat untuk mereka itulah neraka sebagai tempat azab. Sementara manusia yang takut kepada kebesaran dan keagungan Tuhan-Nya serta mengawal hawa nafsunya, maka sudah pasti syurga tempatnya sebagai pembalasan apa yang telah mereka kerjakan dahulu.
Firman Allah SWT: Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar. Ibn Abbas berkata: Iaitu hari kiamat. Ibn Kathir berkata: Disebut dengan perkataan Tammah kerana ia meliputi segala yang menakutkan lagi menyeramkan.
Firman Allah SWT: Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya. Al-Maraghi berkata: Pada hari itu manusia melihat perbuatannya termaktub dalam buku catatan amalannya yang hampir dilupakan tetapi dia segera mengingati kembali apa yang dilakukan dahulu.
Firman Allah SWT: Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya.Syed Qutb berkata: Neraka kelihatan jelas kepada setiap mata yang membawa makna dan bunyi yang kasar dan keras dan menonjol pemandangan neraka di hadapan setiap mata.
Ketika itu manusia akan menerima balasan dan akibat yang berbeza-beza. Dan ketika itu lahirlah tujuan dan matlamat pentadbiran dan perencanaan Allah yang mewujudkan kehidupan dunia.
Firman Allah SWT: Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya), adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya). Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata. Maka sesungguhnya neraka jahanamlah tempat kediamannya.
Al-Maraghi berkata: Orang yang sombong, melampaui batas dan mengutamakan kelazatan dunia serta nafsu syahwatnya daripada akhirat, maka nerakalah tempat tinggalnya.
Firman Allah SWT: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.
Syed Qutb berkata: Pencegahan diri dari keinginan hawa nafsu merupakan tiang seri ketaatan. Keinginan hawa nafsu merupakan pendorong yang kuat kepada tindak-tanduk yang melampau dan kepada perbuatan maksiat.
Ia menjadi punca segala bala bencana dan kejahatan. Jarang manusia binasa kecuali dengan sebab mengikut hawa nafsu.
Kejahilan mudah diubati tetapi penyakit mengikut hawa nafsu selepas berilmu merupakan penyakit jiwa yang memerlukan mujahadah yang bersungguh-sungguh dan memerlukan masa yang lama untuk mengubatinya.
Perasaan takut kepada Allah SWT merupakan dinding yang teguh untuk mencegah segala keinginan nafsu yang kuat tetapi semua dinding yang lain jarang dapat mencegah gelojak hawa nafsu kerana itulah kedua-duanya dikumpulkan dalam satu ayat.
Yang bercakap di sini ialah Allah pencipta manusia. Kerana itu Dialah yang mengetahui tentang penyakit jiwa dan ubatnya. Begitu juga Maha Mengetahui dengan segala lorong dan likunya.
Dialah Maha Mengetahui di mana tersembunyinya keinginan nafsu dan apakah pula ubatnya dan bagaimana mengusir dan memburu hawa nafsu itu dari tempat-tempat persembunyiannya.
Firman Allah SWT: Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Begitu juga persoalan berlegar kepada orang yang telah mati, bila akan dibangkitkan? Ibn Kathir berkata: Pengetahuan tentangnya tidak diberikan kepadamu.
Firman Allah SWT: Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?
Diriwayatkan oleh Aishah r.anha bahawa Rasulullah SAW sering menyebut hari kiamat dan hal itu selalu ditanya sehinggalah ayat ini diturunkan.
Al-Maraghi berkata: Kamu jangan bersedih hati dalam menangani masalah ini serta jangan memaksa diri kamu untuk mengetahui rahsia-rahsianya dan ingin mengetahui sesuatu yang disembunyikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.
Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya. Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.
Ibn Kathir berkata: Barang siapa yang takut kepada Allah SWT dan takut kepada ancaman-Nya, maka dia akan mengikutimu. Oleh yang demikian, dia sangat beruntung dan memperoleh kegembiraan. Kegagalan dan kerugian hanya untuk orang yang mendustakan dan melakukan penentangan.
Firman Allah SWT: (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.
Al-Maraghi berkata: Dalam bahasa Arab terdapat ungkapan yang sama seperti kenyataan di atas: Aku akan mengunjungi kamu pada waktu petang atau pagi. Atau sebaliknya, ungkapan ini bermaksud mereka akan memendekkan masa kunjungannya dan sangkaan mereka hanya akan tinggal sepanjang waktu petang atau pagi.
Penutup
Syed Qutb berkata: Selesailah sudah kehidupan dunia yang selalu membuat penghuni-penghuninya berperang dan bertarung satu sama lain kerana merebut kenikmatannya. Dunia yang selalu membuat mereka mengutamakan kenikmatannya dan mengabaikan usaha mereka mendapat habuan di akhirat.
Dunia yang selalu membuat mereka sanggup melakukan untuknya segala jenayah, maksiat dan kezaliman, dan dunia yang selalu membuat mereka dihanyut nafsu dan hidup kerana nafsu.
Terlipatlah sudah kehidupan dunia ini dalam hati pencintanya hingga dirasakan mereka seolah-olah kehidupan itu hanya berlangsung selama satu petang atau satu pagi sahaja. Inilah kehidupan dunia yang singkat.
Adakah kerana kehidupan pagi dan petang, mereka sanggup mengorbankan kehidupan akhirat yang kekal?
Adakah kerana kepuasan hawa nafsu yang fana, mereka sanggup meninggalkan kediaman syurga yang kekal di akhirat? Tidakkah ini suatu kebodohan yang paling besar?

* artikel diambil langsung dari arkib Utusan Malaysia online bertarikh 23/4/2010

17 April 2010

Deritanya Hang Tuah


Siapa dikalangan anak Melayu yang tidak kenal dengan pahlawan legenda Dato' Laksamana Hang Tuah? Anak-anak kecil yang dah mula petah berbahasa juga ada yang sudah mengenali siapa pahlawan kebanggaan bangsa Melayu ini. Berbagai asumsi tentang sejarah pahlawan ini dibuat, termasuklah berbagai bentuk response samada positif mahupun negatif tentang perjuangan dan perilaku pahlawan ini. Namun pada hari ini hanya sesetengah orang saja yang sudi menyanjungi sebahagian tindakan beliau yang masih dianggap sebagai kontroversi. Manakala yang paling ramai, sangat-sangat mengecam beliau sebagai seorang yang taat tidak bertempat dan tiada kesudahannya.

Pun begitu berapa ramai dikalangan kita yang sudah habis membaca hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)? Sulalatus Salatin adalah judul asal Sejarah Melayu. Dan judul asal inilah yang digunakan untuk versi terbaru yang diberi jodol Sejarah Melayu. Sepanjang yang diketahui versi ini telah menunjukkan beberapa kelainan yang jelas dan ia lebih mendekati karya asal sekiranya dibandingkan dengan versi-versi yang sedia ada iaitu Shellabear, Abdullah Munshi dan Winstedt Raffles Mss. No. 18. Penghargaan sewajamyalah diberikan kepada Encik A. Samad Ahmad yang telah melakukan satu kajian yang khusus dan teliti bagi menyediakan versi ini. Siapa saja sudah pasti akan dapat merasakan betapa sukarnya untuk membuat kajian bagi sesebuah karya yang lama seperti Sulalatus Salatin ini. Ia menuntut satu gabungan usaha yang sulit dan rumit, selain menghendaki ketelitian dan ketekunan yang tidak jemu-jemu. Inilah yang telah dilakukan oleh penyelenggara buku ini sewaktu beliau menjadi Penulis Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1978. Latar belakang hidupnya banyak mendorong beliau mengenengahkan semula cerita-cerita lama kepada masyarakat hari ini. Sejak kecilnya lagi beliau telah mula berminat membaca hikayat-hikayat lama sehingga beliau mengenali banyak jenis karya tersebut.

Bagaimana bermulanya kehidupan seorang yang bernama Hang Tuah dan bagaimana pengakhiran dari sebuah hikayat yang ternama itu? Apakah rahsia jika direnung sedalam-dalamnya setiap tindakan laksamana ini yang mana kesudahannya mengheret Sultan menjadi sebagai seorang apa dihujung usianya? Si Fakir terbaca satu artikel dalam rantaian facebook yang mempertikaikan kata-kata mutiara Laksamana Hang Tuah "Tak Melayu Hilang Di Dunia" kerana pada penulis tersebut Hang Tuah cakap tidak serupa bikin kerana dia sendiri hilang entah kemana tiada dapat dikesan. Betapa sempitnya pemikiran penulis ini yang telah menerbitkan artikel yang dibuat secara melulu, walau sekadar pandangan peribadi tetap nampak ianya dibuat secara melulu apabila kata-kata mutiara itu dipandang dari sudut keperibadian Hang Tuah itu semata-mata. Walhal kata-kata itu merupakan pandangan jauh dan pembakar semangat dari Hang Tuah ke atas generasi mendatang. Penulis tersebut juga telah melabelkan kategori orang-orang lurus bendul di zaman ini adalah sama sejenis dengan keperibadian Hang Tuah. Apa yang dapat si Fakir perhatikan ialah penulis ini sangat membenci sebuah parti Melayu hingga mudah saja mengecam apa saja berkaitan dengannya, sehingga terlupa pula beliau juga dilahirkan dibumi permai ini dengan darah leluhur yang sama dengan Laksamana Hang Tuah.

Mungkin juga disebabkan pertindihan fakta tentang kewujudan Hang Tuah maka pelbagai teori dibuat diantara mitos, legenda atau sejarah. Kita menjadi pening kepala dibuatnya bila terus-terusan memikirkan tentang hal berkenaan. Si Fakir quote kata-kata Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, En. Mohd Ismail Jamjam yang lebih dikenali dengan nama pena; Zam Ismail yang telah disiarkan dalam Berita Harian pada 8hb Dis, 2009 sebagai berkata "Keraguan tentang benar atau tidak Hang Tuah wujud berpunca kerana kita tidak memahami secara mendalam tentang pensejarahan Melayu.Memanglah ada antaranya yang dicedok daripada cerita-cerita lisan namun tidak bermakna kandungannya langsung tidak boleh diberi peluang untuk dinilai semula" Beliau juga berpendapat ketika Tun Sri Lanang penulis Sejarah Melayu (yang ditulis kira-kira sekurun selepas kejatuhan empayar Melaka ke tangan Portugis) tiada orang Melayu lain yang lebih arif dalam merekodkan apa yang terjadi di zaman tersebut. Oleh itu ianya adalah sumber yang paling hampir yang boleh kita terokai dan mengkajinya.Jalan keluarnya adalah dengan menjalankan kajian yang terperinci supaya kedudukan Hang Tuah lebih kukuh dalam pemikiran dan penilaian generasi semasa dan akan datang. Beliau juga menekankan “Sebarang usaha memutarbelit cerita tentang laksamana itu sebenarnya didorong oleh keinginan untuk merendahkan ketuanan Melayu di negara ini hingga membuatkan masyarakat Melayu berasa lemah. “Tindakan memperlekeh ini tidak boleh berterusan,” tegas Ismail yang juga tidak dapat menerima idea yang mengatakan Hang Tuah itu berketurunan Cina.

Bagi diri si fakir, mudah saja kalau diri ini sentiasa tertanam rasa sayang akan bangsa dan segala khazanah warisannya harus mempertahankannya. Jangan mudah jadi derhaka dengan terjahan emosi sendiri tanpa berfikir panjang. Walau sebanyak mana pertindihan fakta dan pendapat sekali pun kita tetap berpegang dengan apa yang kita fahami sejak dulu. Tinggalan warisan Hang Tuah seperti keris asal 'Pandai Saras' dan 'Taming Sari' kepunyaan beliau, perigi Hang Tuah di Duyong, begitu juga satu catatan sejarah jepun (Kitab Sejarah Ryukyu XXXIX, Doc. No.10) rujukan dari majalah Waris terbitan MANe mengisahkan "Lo-hsi-ma-na (Laksamana) atau Hu-wang-Tu-ha (Hang tuah) singgah di pelabuhan Chiao-chin di Vietnam untuk mendapat bekalan air, Masjid lama Gerisik di Pattani yang dikenali sebagai Pintu Gerbang Hang Tuah, kesan tapak kaki Hang Tuah di Tanjung Kling adalah sebahagian fakta sejarah.Tidak cukupkah fakta-fakta tersebut untuk meyakinkan kita bahawa Hang Tuah benar-benar wujud. Kalau manuskrip-manuskrip berkaitan Hang Tuah tersimpan rapi sebagai rujukan warisan bangsa Melayu samada di tanah air sendiri mahupun di England dan Belanda kenapa tidak kita orang biasa ini mempertahankannya? Sememangnya dalam Hikayat Hang Tuah ada coretan-coretan yang menunjukkan kehebatan Hang Tuah yang kadangkalanya nampak tidak masuk akal, namun itulah hebatnya seni kesusasteraan Melayu dalam menyelitkan beberapa unsur untuk menjadikan pembacanya bertambah jelira lazat untuk menghabiskan sebuah Hikayat yang dipersembahkan.
Berbalik kepada setiap tindakan Hang Tuah yang menampakkan beliau sebagai seorang yang taat melulu juga harus direnung sedalam-dalamnya. Pada si Fakir , Hang Tuah ini seorang yang tenang dalam bertindak dan tidak melatah walau seribu tohmahan dan fitnah dilontarkan kepada beliau. Beliau tahu apa jalur garis perjuangannya dan dimana penghujungnya.Dengan ini sekali gus menidakkan tohmahan hari ini yang mengatakan beliau taat melulu dan sanggup berbuat apa saja demi menunjukkan ketaatan beliau dan seolah-olah mengampu Sultan.
Dalam Hikayat Hang Tuah, kita dapat melihat ketaatan Laksamana Hang Tuah seratus peratus terhadap keturunan Bukit Seguntang, beliau patuh akan suruhan agama agar taat pada para ulamak dan umarak. Kita petik kata-kata Hang Tuah sewaktu bertikam dengan Hang Jebat sebagai "Sayang engkau berdosa. Jika lain dari dosa ini, tiada engkau mati. Barang tipunya dayakan pun ku lepaskan juga engkau daripada mati." Jelas kelihatan bahawa derhaka itu bagi Hang Tuah suatu dosa yang tidak dapat diampunkan. Apabila negeri dipenuhi dengan pemberontak dan para pegawai yang tidak setia maka negeri itu akan mengalami bencana dan akan hancur akhirnya seperti terlihat pada pemberontakan Hang Jebat. Bahawa dengan pemberontakan Hang Jebat itu menyebabkan ribuan rakyat yang tidak berdosa menjadi korban.Tindakan-tindakan Hang Jebat ini sewajarnya dilihat dari sudut perwatakannya. Yang menjadi persoalannya apakah tujuan Hang Jebat yang akhirnya menghalalkan darah ribuan rakyat untuk disimbah sedangkan pada hakikatnya raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah namun kenapa rakyat yang menjadi korbannya? Dalam Hikayat Hang Tuah memang benar dia mencurahkan airmata mengenangkan nasib dan tindakan yang diterima oleh Hang Tuah sebagai orang yang banyak berjasa tetapi dalam masa yang sama Hang Jebat masih menunjukan taat setia kepada raja apabila dititahkan kepadanya untuk mengambil keris pandak dari Hang Tuah, setelah diberi tidak pula sedikit pun ada bantahan darinya, malahan menerimanya dengan rasa gembira. Berkata pula di dalam hatinya "Aku pula rupanya menjadi laksamana." Selanjutnya Hang Jebat diberi pula gelaran 'Paduka Raja' suatu gelaran yang cukup tinggi yang kebiasaannya hanya diberi pada bendahara sahaja. Hang Jebat terus tinggal di istana raja dan tidak pulang-pulang ke rumahnya lagi. Tambahan pula Hang Jebat mula terjebak dengan dosa-dosa besar iaitu berfoya-foya dengan perempuan-perempuan istana. Jika dibaca dari Hikayat Hang Tuah sehingga setakat itu kenapa masih belum ternampak tanda-tanda pembelaan dan membalas dendam mewakili pihak Hang Tuah? Hinggakan perbuatannya yang sumbang itu ditegur oleh saudaranya Hang kasturi.Dari mula tamat perguruan dengan guru mereka Aria Putra, guru tersebut telah berfirasat bahawa Jebat akan mati di tangan Tuah. Apakah kurang wibawa Sang Adi Putra sebagai seorang guru untuk menilai Hang Tuah sebagai orang yang lurus bendul dan taat membabi buta sedangkan beliau boleh mendapat firasat sejauh itu? Pemberontakan ini seolah-olah memenuhi prinsip hidup Hang Jebat iaitu "Sepala-pala nama jahat jangan kepalang."

Kembali kita kepada watak sultan yang telah menghukum Hang Tuah tanpa soal siasat yang lebih mendalam, ternampak dalam hikayat ini sultan telah menerima bencana dengan tindakannya itu apabila tidak tertepis dengan penderhakaan yang dibuat oleh Jebat hingga terpaksa menumpang rumah bendahara. Hukuman yang setimpal diterima oleh sultan dengan tindakannya menghukum tanpa usul periksa. Seorang raja yang berdaulat terpaksa menumpang di rumah pegawainya rentetan dari hukuman yang telah dibuat ke atas Hang Tuah. Pada si Fakir, Hang Tuah menerima ketentuan dari Yang Maha Esa dengan penuh sabar dan Allah membalas sikap zalim terhadap orang-orang yang telah dianiayai.

Nilai-nilai baik yang ada pada Hang Tuah selain sifat keperwiraannya yang gagah berani sesuai dengan jawatannya sebagai pegawai istana ialah kesetiaan. Kesetiaan diberikan tempat yang paling utama bagi seseorang pegawai yang telah diamanahkan. Kesetiaan beliau terhadap rajanya berjaya mengekalkan beliau bersama rajanya. Sehinggalah didalam Hikayat Hang Tuah telah menceritakan bagaimana Hang Tuah telah berjaya merubah rajanya menjadi seorang sufi. Hang tuah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Melaka kepada negara-negara luar dan membawa khabar berita yang cukup asing dari dunia luar kepada rajanya. Dengan itu Sultan Melaka mulai sedar bahawa ada peradaban yang lebih besar dan lebih gah dari kerajaan yang dimiliki baginda. Maka bermulalah terfikir oleh raja bahawa semua berita dari luar jauh dan dekat sudah habis didengar. Kini beliau mula terfikir-fikir untuk mengetahui berita dari alam yang lagi satu iaitu alam kubur kerana tiada siapa pun yang mati kembali dan menceritakan apa yang terjadi di alam kubur.Baginda mula merasakan bahawa ada dunia yang lebih kekal dari dunia yang fana ini. Dipendekkan cerita di sini Hang Tuahlah yang sudi dikuburkan secara olokan untuk menyampaikan apakah rahsia alam kubur itu.

Setelah Hang Tuah menceritakan apa yang dialami didalam kubur itu, membuatkan Sultan berubah sikap. Baginda menjadi tidak lokek dengan bersedekah segedung emas kepada rakyat jelata dan segedung lagi untuk simpanan anak-anak baginda. Baginda juga tidak ragu-ragu lagi menyerahkan takhta kepada anaknya dan beliau hidup sebagai seorang darwisy (sufi) selepas itu. Tidakkah keberhasilan besar ini adalah datangnya dari taat setia Hang Tuah?
Pada diri Hang Tuah juga terdapat keistimewaan yang telah mengukuh keperibadian beliau. Diantara sifat yang penting yang ada pada Hang Tuah ialah pandangannya yang tinggi kepada ilmu dan orang yang berilmu. Hang Tuah memberikan penghormatan yang tinggi kepada guru-gurunya setaraf dengan penghormatan terhadap rajanya. Lihat saja pada kisah ketika beliau hendak meninggalkan gurunya Syeikh Mansur beliau memohon restu dihujung kaki gurunya itu. Selain itu sejak kecil Hang Tuah memperlihatkan kecenderongan beliau dalam berilmu. Beliau telah berusaha mempelajari pelbagai bahasa asing untuk mempersiapkan diri sebagai bakal pegawai istana, tindakan ini menunjukan bahawa Hang Tuah mempunyai wawasan yang jauh dalam memajukan diri.

Kelebihan Hang Tuah juga terlihat apabila beliau mempunyai kemampuan mengetahui hal-hal yang tidak diketahui oleh orang lain. Ia mengetahui semacam 'ilmu firasat' sehingga selalu dapat membaca gerak lawannya. Beliau juga membuktikan kelebihannya apabila dapat membezakan antara kuda tezi dengan kuda biasa. Hang Tuah juga boleh dikatakan sebagai orang yang selalu beringat. Walau dalam keadaan apa pun beliau tidak pernah leka sehinggakan sukar bagi pihak lawan mencubanya.

Namun sebagai seorang manusia biasa Hang Tuah tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan ketika beliau asyik bercerita hinggakan tidak sedar kerisnya dicuri oleh orang suruhan Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada. Hang Tuah terselamat dek kerana kebolehannya berfikir dengan pantas kerana membalasnya dengan mengambil pula keris Patih Gajah Mada. Dengan itu rancangan pembesar Majapahit itu menjadi gagal.

Kegagahan Hang Tuah dalam Hikayat ini mencapai ke tingkat 'super human'. Dalam Hikayat ini juga digambarkan banyak unsur-unsur ghaib. Diceritakan Hang Tuah banyak mendapat pertolongan yang tidak diperolehi oleh manusia biasa seperti munculnya nabi Khidir yang memberikan suatu cembul air kepadanya. Dengan menyapukan air tersebut ke mulut dan telinganya maka Hang Tuah akan petah dan memahami bahasa-bahasa asing yang tidak difahami sebelumnya. Kehadiran Nabi Khidir bagi para ulamak sufi yang bergelar wali adalah suatu kebiasaan yang mana ianya digelar sebagai 'yaqazah'. Fikirlah apa layakkah Hang Tuah untuk bertemu dengan Nabi Khidir kalau beliau bukan seorang yang istimewa?

Pengalaman pahit manis yang Hang Tuah lalui didalam hidupnya sebagaimana diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah telah mencerminkan nilai-nilai orang Melayu dizamannya. Konsep keperwiraan beliau seperti gagah,berani,selalu merendah diri, tidak mencari musuh namun pantang berundur apabila bertemu, taat setia yang tidak berbelah bagi mewakili nilai-nilai dan cita-cita orang Melayu pada zaman itu. Apakah tidak sesuai diterapkan nilai-nilai tersebut pada zaman Melayu sekarang?

Terfikir oleh si Fakir seandainya Hang Tuah masih hidup, alangkah sedih dan deritanya beliau apabila sehingga ke hari ini ramai yang mencemuhnya dari mendengar dan meneliti titian hidupnya dengan lebih menyeluruh. Seakan dugaan buatnya tidak pernah putus. Dengan mudahnya dan tanpa usul periksa kita mengutuk tindakan-tindakan beliau yang nampak amat tidak wajar pada pandangan mata kasar kita. Kalau kita menolak cerita-cerita dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu ini maka dari unsur mana pula kita ambil untuk mengecam wira Melayu ini?

Benarlah kata Hang Tuah "Tak Melayu Hilang Di Dunia" kerana dari setiap zaman orang Melayu sebenarnya melahirkan sebilangan orang yang hebat dipersada dunia ini.Contohnya para Ulamak Melayu suatu ketika dulu cukup disegani walaupun di jazirah Arab sendiri.Tidak perlulah si Fakir menyenaraikan kesemuanya kerana tepuk dada tanyalah selera!

*rujukan dari Hikayat Hang Tuah, 
Sejarah Melayu (diusahakan oleh WG Shellabear-terbitan Fajar Bakti), 
Sulalatus Salatin-Sejarah Melayu (oleh A. Samad Ahmad terbitan DBP)
Peristiwa-Peristiwa Dari Hikayat Hang Tuah-Terbitan Dewan Bahasa dan  Pustaka,
artikel dari Berita Harian

15 April 2010

Lirik Yang Menyentak Rasa

Semalam terasa amat bosan dan tak tahu pula nak buat apa. Lalu teringat nak selak cakera padat lagu yang dah berabuk, lama tidak digunakan. Terjumpa saja album penyanyi dan komposer yang bergelar "sifu"; M.Nasir. Terus saja dibuka dan dipasang, ternyata lagu-lagu beliau amat serasi dengan jiwa si Fakir. Namun yang paling menyentak rasa kemelayuan dalam diri ini apabila terdengar lagu 'Anak-Anak Kita'. Sungguh jauh pandangan penyanyi popular ini yang sentiasa membangkitkan rasa dan semangat kemelayuan dalam lagu-lagu beliau. "Perisa" kemelayuan akan segar kembali setiap kali mendengar lagu-lagu beliau. Mungkin ramai yang sudah dengar lagu Anak-Anak Kita dan mungkin pula sesetengah dari kita ada yang sudah lupa akan senikata indah dan tajam dalam lagu tersebut. Untuk itu perhatikanlah sekali lagi lirik tersebut;-

Anak Anak Kita
Artis: M Nasir
Anak-anak kitakah yang berlari telanjang
Di bawah mentari sumbing
Sambil bernyanyi lagu
Ketakutan hari-hari ini

Anak-anak kitakah yang memikul beban
Kesilapan kita
Hingga dia tak kenal
Budaya canggung bangsa sendiri

Selamatkan anak kita
Dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita
Orde baru politikus usang

Anak-anak kitakah yang bermain
Di hutan belukar
Dengan senapang kayu ubi
Cambah tak kenal bahaya

Anak-anak kitakah yang tak tahu nak pulang
Bila petang
kerana terlalu sibuk main lastik
Dan berpistolan
Pistol-pistolan

Jaga-jaga anak kita
Jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita
Kita ini orang merdeka

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi

Fikir
Selamatkah kita di tangan tukang karut itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan dalang wayang itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan ahli koporat itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan doktor jiwa itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan pakar kitab itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan Tuhan-Tuhan itu

08 April 2010

Derhakakah kita ini?




(Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya maka KAMI membinasakan mereka disebabkan dosa-dosanya dan KAMI Tenggelamkan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya; dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim( Al Anfal 54).
Demikianlah salah satu firman Allah di dalam Al Qur an tentang kaum yang derhaka, yang mana kisah kaum-kaum yang derhaka ini disebut kisahnya berulangkali di dalam kitab suci umat islam itu.


Daripada Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim, Ahmad dan Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Fudhalah bin ‘Ubaid r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka : Seorang lelaki yang meninggalkan jemaah, menderhakai imamnya dan mati sebagai penderhaka. Seorang hamba lelaki atau wanita yang lari lalu mati. Seorang wanita yang ketiadaan suaminya di rumah padahal suaminya telah mencukupkan kepadanya belanja dunia lalu ia berhias selepas ketiadaan suaminya di rumah. Maka mereka tidak ditanya. Dan tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka iaitu: Seorang lelaki yang merebut pakaian Allah kerana pakaian Allah ialah kesombongan dan kainnya ialah kemuliaan. Dan seorang lelaki yang ragu mengenai urusan Allah dan putus asa dari rahmat Allah.”


Dari kedua ayat Al Qur an dan hadis ini kita dapat renungkan betapa menjadi seorang penderhaka itu amatlah dilarang oleh Allah dan Rasulnya. Sebagai orang Melayu Islam perkataan derhaka itu dirasakan sejenis petualangan yang besar yang mana selain berbuat dosa besar ianya juga akan meruntuhkan adab kesopanan sebagai seorang Melayu. Pantang Melayu menjadi penderhaka namun pada hari ini berbagai penderhakaan telah dibuat oleh sebahagian besar orang Melayu itu sendiri. Bukan sekadar satu jenis penderhakaan yang dibuat malah mencakupi berbagai sudut dalam kehidupan ini.


Derhaka yang paling besar dilakukan oleh Melayu Islam khususnya dan sebahagian umat Islam amnya pada hari ini ialah berbuat dosa dan engkar akan perintah Allah SWT.Kita sering abaikan solat fardhu lantaran kita sedang sibuk dengan hal-hal duniawi atau sedang mencongak-congak kelazatan dunia mahupun sedang sugul dilanda pelbagai masalah. Pernahkah kita bermuhasabah diri bahawa apakah penderhakaan yang telah dilakukan oleh kita terhadap Allah pada hari ini? Selagi diri kita masih diseliputi oleh rasa "keakuan" sepenuhnya maka selagi itulah kita akan sentiasa menjadi ego dan bongkak di bumi Allah ini. Rasa keakuan ini mencakupi pelbagai perkara yang khafi tanpa kita sedari sedikit pun. Semua kejayaan atau semua perkara yang telah dikecapi itu atas usaha sendiri tanpa bersandar pada ketentuan Allah. Maka jadilah kita ini sebagai qarun moden walaupun sekelumit cuma terlintas di hati pada kejayaan atau kesenangan yang sedang kita kecapi ini adalah dari jerih payah diri sendiri. Kenapa apabila sedang ditimpa sebarang kepayahan ataupun kesusahan maka terlintas pula di hati, Allah itu tidak adil dalam membahagikan kebahagiaan terhadap makhluk ciptaanNYA. Kenapa tidak ada keakuan diri apabila ditimpa sebarang musibah, kenapa pula mempertikaikan keadilan dan kasih sayang Allah terhadap diri sendiri? Bukankah itu suatu cabang penderhakaan terhadap Allah? Kita cuma cungkilkan satu sahaja dari jenis penderhakaan terhadap Allah namun renungkanlah betapa sudah jauh kita terpesong dengan perkara sekecil ini. Padahal setiap kejadian itu merupakan ujian Allah semata-mata terhadap makhluk yang dilantik menjadi khalifah di muka bumi ini. Allah tidak meletakkan sesuatu ujian itu melebihi tahap keimanan dan ketahanan diri seseorang itu.


Derhaka pada Rasululullah SAW juga suatu perkara yang amat besar yang patut kita fikirkan. Apakah salah satu sunnah Rasul itu sudah cuba kita praktikkan dalam diari kehidupan kita pada hari ini? Pernahkah kita cuba untuk mengenali dan menyayangi Rasululullah dengan lebih mendalam lagi? Di atas jasa Bagindalah kita semua berada di jalan yang lurus. Berapa banyak hukum-hukum yang ditekankan oleh Rasululullah sudah kita amalkan? Semua ajaran dan undang-undang hidup yang dibawa oleh Baginda Rasululullah SAW itu adalah suci... pernahkah kita mempertahankannya? Rasa kasih sayang pada Rasululullah SAW itu hanya akan timbul apabila kita meniti sirah baginda dan memperbanyakan selawat ke atas Baginda. Percayalah bahawa sesiapa saja yang memperbanyakan selawat ke atas Rasululullah maka suatu hari nanti akan lahir kerinduan yang amat sangat kepada Baginda. Bukan setakat itu sahaja, memperbanyakan selawat ini akan mendatangkan kekuatan di dalam diri dan memudahkan perjalanan dan urusan hidup. Tidak hairanlah kebanyakan aliran thorikat tasawuf itu mempunyai kaedah berselawat yang sangat baik untuk dijadikan rutin harian setiap pengamalnya. Maka apabila kita mengabaikan sebahagian dari apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu tidak dinamakan derhaka pada Baginda? 


Apabila telah berlaku penderhakaan terhadap Allah dan RasulNYA maka akan mengheret kita melakukan penderhakaan terhadap banyak perkara lagi. Derhaka pada agama suci yang kita pegangi ini, derhaka pada kedua ibubapa, derhaka kepada para ulamak dan umara', derhaka pada masyarakat yang membawa kecelakaan kepada maruah bangsa kita sendiri dan akhir sekali derhaka kepada sebaik-baik kejadian Allah iaitu diri sendiri. Selama ini kita hanya mengenali derhaka itu dalam bentuk yang amat jumud sedangkan ianya bersulaman diantara satu derhaka kepada derhaka yang seterusnya.


“ Apakah kamu mengira, KAMI menciptakan kamu hanya untuk bermain-main? Dan kamu kepada KAMI tidak dikembalikan?” (Surah Al-Mu’minuun ayat 115.)


Betapa dunia Melayu sekarang kalau diimbas kembali akan membuatkan setiap kita yang bergelar Melayu ini akan terasa semput dan sesak nafas dibuatnya. Yang tua dengan pelbagai kerenah dan onarnya, yang berkuasa dengan mabuk kuasanya dan senantiasa mencari jalan untuk cantas mencantas, disuatu sudut pula terdapat yang susah dan bermasalah menjadi kaku dan sempit fikiran sehingga tidak lagi menghiraukan keadaan sekeliling manakala yang muda gah dengan kehebatan dalam merosakkan diri sendiri termasuk merosakkan masyarakat. Masyarakat kita pula sekarang sering mengambil sikap tidak suka menjaga tepi kain orang. Sikap aku dengan urusan aku dan kau dengan urusan kau.Tidak seperti kehidupan orang tua-tua dahulu yang hidup di kampung susah senang, bahagia derita jiran sekampung sama dirasa. Zaman sekarang yang bermasalah lagi ditekan, dihimpit dan dipersalahkan tidak ada keikhlasan dalam membantu mahupun memulihkan keadaan saudara sebangsa sendiri. Seandainya berlaku sebarang kesilapan dan kesalahan, ramai yang lebih selesa menuding jari dan menghukum. Tidak ramai pula yang tampil mengaku kesalahan diri atau berdiri mengutarakan solusi bagaimana hendak menangani atau mengatasi sebarang masalah atau kesalahan tersebut. 


Suatu ketika dulu fahaman Black Metal menular menyusur sampai berjaya melahirkan ramai anak muda Melayu murtad yang tergamak memijak dan mengencingi kitab suci Al Qur an. Pun begitu berapa ramai Melayu Islam yang mula bertindak menangani akan gejala tersebut. Ibubapa sendiri pun tak akan sedar bahawa anak-anak sendiri pun terkadang terpengaruh dengan fenomena bahaya itu. Belum reda budaya black metal, gejala rempit dan bohsia pula merampas takhta dipersada noda yang mana semakin dilihat menjadi-jadi. Sekali lagi ibubapa sendiri seolah-olah lepas tangan dan tidak teringin pun nak siasat aktiviti anak-anak di luar pagar rumah.Agaknya tanggungjawab membendung budaya ganas merempit ini hanya tertakluk pada pihak berkuasa semata kerana lepas dari lingkungan rumah ibubapa sudah boleh cuci tangan. 


Budaya ala samseng seperti dalam filem-filem Hong Kong menjadi kebanggaan dan ikutan. Rentetan dari semua itu maka terlihat kerakusan seperti binatang dalam mempamirkan pengaruh dan gah diri, kumpulan-kumpulan samseng yang meluaskan empayar dan budaya kuning yang lain-lainnya. Malah acara penzinaan seolah tersebar luas pula dalam bentuk video dan 3gp akan hebatnya anak-anak Melayu dalam aksi berzina seperti tidak terbendung lagi. Anak-anak Melayu yang beragama Islam dengan bangganya menjadi aktor dan aktres dalam klip-klip tersebut. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah janin dan bayi-bayi yang tidak berdosa dilempar, dilontar dan dihumban tanpa ada rasa kemanusiaan lagi.


Apabila terjadinya kemungkaran demi kemungkaran maka wujudlah gagasan derhaka dalam dunia bangsa kita.Bangsa kita akan terus leka dan asyik dalam menjunamkan diri kearah pelbagai sudut penderhakaan. Hidup dalam zaman serba canggih ini, tiada sekatan tiada larangan kerana semua ada hak keatas kebebasan dalam melakukan apa saja. Ibubapa perlu seratus peratus mempercayai apa saja tindakan anak-anak mereka tanpa ada tinjauan susulan, kerana zaman dunia tanpa batas ini berfikiran juga harus terbuka dan moden.


Sucikan kembali bumi tercinta yang sedang kita pijak ini dari sebarang bentuk penderhakaan. Jangan sampai Allah mendatangkan bala untuk membasuh noda yang telah kita perbuatkan di muka bumi milik Allah ini. Semua pihak tidak terlepas untuk mengembling tenaga dan fikiran dalam memulihkan maruah bangsa. Jangan jadikan jurang ideologi politik, taraf pendidikan, kaya miskin dan sebagainya sebagai batu penghalang untuk menjernihkan kembali maruah bangsa yang semakin jauh tercemar. Bersatulah sebagaimana puak Ansar dan Muhajirin bersatu dalam menangani ancaman luar. Selagi kita ini punya darah sebagai Melayu Islam maka bersatulah dan bertegaslah dalam memulihkan sebahagian dari umat ini dari terus dipaliti oleh dosa-dosa sebagai penderhaka! Bulat air kerana pembentung, bulat Melayu kerana muafakat.


“ Sesungguhnya ALLAH itu tidak menzalimi manusia sedikit pun, tetapi manusia itulah yang menzalimi diri mereka sendiri” (Surah Yunus ayat 44.)

01 April 2010

Adab Berguru Membawa Berkatnya Ilmu (Bah.2)


Pada 18hb Mac lalu si Fakir telah berceloteh tentang adab-adab berguru, dan hari ini si Fakir telah menyambung kembali celoteh si Fakir berkaitan tajuk tersebut. Bezanya kali ini si Fakir akan memperincikan apakah adab-adab yang sesuai dan wajib untuk dipraktikkan apabila kita ini masih bergelar murid. Sama-samalah kita berkongsi dan ingat memperingati sesama insan...insyaAllah.

Guru itu adalah pendidik yang mencurahkan ilmu bagi sepencari ilmu, sewajarnyalah beliau disanjung dan dimuliakan kerana ketinggian ilmunya. Pepatah pujangga juga ada menyatakan bahawa "Guru itu umpama bintang dilangit yang senantiasa menghiasi dan menerangi kegelapan di lautan dan daratan". Dalam menyumbangkan ilmu seseorang guru itu sebenarnya telah berbuat bakti yang sangat besar hinggakan tidak terungkap dengan kata-kata. Seorang guru yang bijaksana dapat mengembangkan daya keilmuan dan kepintaran setiap murid di bawah didikannya sehingga mencapai kecemerlangan selain dari usaha dan kesungguhan murid itu sendiri.

Ibarat nur dan lilin yang membakar diri hanya untuk menerangi kegelapan orang lain.Sebenarnya dalam Al Qur'an sendiri sudah menerangkan tentang betapa pentingnya adab seorang murid terhadap guru. Perhatikan saja di dalam surah Al Kahfi ayat 66-82, yang mana menekankan tentang kisah Nabi Musa a.s dengan gurunya Nabi Khidir a.s. Kisah ini amat sekali terasa kesannya jika direnung dan dikaji secara mendalam betapa pengajaran dari sejarah ini seseorang guru yang alim lagi bijaksana itu sedapatnya tidak disanggah secara melulu selagi kita tidak cuba berfikir secara positif apakah kesudahan dari tindakan guru tersebut. 

Berikut adalah adab-adab yang patut diamalkan oleh seseorang murid terhadap gurunya (guru yang sebenar-benar guru yang akan membimbing kearah ketakwaan dan kebaikan).


  • sentiasa merendah diri di hadapan mahupun di belakang gurunya.


  • memandang guru dengan penuh kasih dan hormat kerana keperibadian guru itu jauh lebih sempurna.


  • janganlah sesekali menentang guru apatah lagi mencemohnya selagi guru itu tidak melanggari batas-batas syariat yang telah ditetapkan.


  • menyerah diri sepenuhnya kepada guru untuk digilap dan dicuci segala karat yang ada pada hati.


  • sentiasa memanggil dengan gelaran yang baik terhadap guru tanda memuliakannya.


  • sentiasa pula mendoakan akan kesejahteraan guru kita samada semasa hayatnya mahupun setelah beliau kembali menghadap Ilahi.


  • berkelakuan penuh sopan samada ketika pembelajaran mahupun ketika berbual dengan guru.


  • meminta izin untuk memasuki ruangan pembelajaran, rumah mahupun tempat-tempat khusus yang berkaitan dengan guru itu.


  • mendengar dengan penuh tekun dan tidak bertanya ataupun mencelah ketika sesi pembelajaran sedang berjalan walaupun pelajaran itu berulangkali ataupun sudah lama diketahui.
Bagi seseorang pengikut atau pengamal cabang-cabang atau aliran-aliran thorikat tasawuf yang muktabarah, adab-adab ini merupakan teras yang sentiasa dipraktikkan. Kerana seseorang yang bergelar salik ini sentiasa pula mengharapkan bimbingan dan cahaya seseorang "syeikh" (guru) secara lahiriah mahupun rohaniah dalam memperbaiki diri dan meningkatkan diri ke maqam nafsu yang lebih tinggi. Seseorang guru yang mursyid itu akan sentiasa pula dapat berhubung dan mengetahui akan angin perubahan seseorang murid itu secara kerohanian.

Maka dengan menjaga adab-adab terhadap guru itu adalah sebenarnya dalam ertikata yang lebih halus adalah setiap penuntut itu mengharapkan keredhaan Allah dan mendapat keberkatan dariNYA. Setiap guru itu adalah orang yang lebih alim dari muridnya disudut ilmu yang dimilikinya. Maka guru-guru yang membimbing para penuntutnya kearah kebaikan itu akan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah SWT, maka apa yang harus dititikberatkan oleh seseorang murid selain menjaga adab-adab terhadap gurunya?