Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

28 Oktober 2010

Gelora Hidup


Hidup ini adakalanya dikelilingi oleh rasa suka dan gembira, adakalanya penuh dengan rasa duka dan kecewa dan selebihnya punya semangat dan pengharapan setinggi gunung. Yang datangnya itu kalau membawa suka dan gembira pasti jiwa rasa lapang dan akan  menghamburkan wangian keceriaan. Manakala yang datang mengusung duka dan kecewa pula sudah tentu akan dihurungi oleh kekusutan dan patah hati serta semangat. Ibarat panah beracun yang tertancap tepat ke jantung dan meresap ke seluruh anggota.

Hidup fana ini sesungguhnya penuh dengan liku dan ujian yang tidak akan terduga sama sekali. Dalam gembira ia menyelinap dan dalam kecewa ia menyusup bersama. Maka terhimpunlah seribu satu watak yang bercampur baur dalam setiap diri yang fana ini pula. Adakala penantian membawa kejutan yang amat sangat ibarat terenjat kuasa elektrik yang amat tinggi. Adakalanya pula pengharapan tenggelam tak akan timbul-timbul ibarat disapu oleh tsunami yang dahsyat. Meniti hidup yang sementara ini sesungguhnya amat payah untuk meneka liku-likunya. Benarlah keberadaan kita di dunia majazi ini hanya untuk dinilai sejauh mana ketahanan yang berkota dalam diri dan sejauh mana pula kita sedar akan pengakuan kita kepada Allah SWT sejak azali lagi.

Hidup ini sesungguhnya umpama lukisan abstrak yang sukar dimengerti akan maksud dan kiasannya yang tersirat. Hanya Sang Pencipta sajalah yang tahu akan maksud dan tujuannya kerana semua itu adalah karyaNya. Sulit dimengerti akan seribu rahsia yang terconteng dalam diri kalau ditinjau hanya dari sudut pandang mata kasar dan mengikut logika semata. Yang perit itu tidak semestinya berkekalan sulit manakala yang bahagia itu tidak pula semestinya terus menerus dalam kesegaran rasa. Jangan pula sampai terliur dengan  kenikmatan yang tak bertahan dan jangan pula tersungkur dek derita yang belum tentu membawa bencana.

Terkadang yang membawa seribu kejujuran tak punya sedikit pun ruang untuk ditampilkan kehadapan manakala yang membawa sejuta kepuraan akan dikagumi dan disanjungi. Maka menerpalah pelbagai bisikan kehampaan yang menarik ke lembah hina, maka tercucuklah hidung dengan tali nafsu  ibarat lembu yang patuh mengikut ke mana kemahuan tuannya.

Suhu pengharapan yang tinggi diiringi dengan doa dan keyakinan adakalanya pula hancur berderai ditengah jalan ibarat kaca di puncak gunung terhempas di tanah datar. Keyakinan dan pengharapan yang memanjat usaha diri belum tentu dapat dituai hasilnya di depan mata. Sebaliknya perkara lebih memedihkan akan melukai keyakinan dan pengharapan yang ada ibarat belati merobek isi. Yang diharap tinggal harapan dan yang dinanti tak pernah kunjung tiba.

Inilah rahsia di dalam rahsia untuk lebih mengenali diri sendiri sebelum mengenali Pencipta Sejati. Segala restu hidayah yang sedang menanti tidak akan pernah jemu untuk menyambut dan menyapa mesra bagi yang lulus ujian dan melepasi segala liku yang ada. Mengharungi lautan hidup bukanlah mudah, apatah lagi untuk menemukan daratan kebahagiaan yang baqa. Layarnya mestilah berjenama keredhaan - yang teguh yang tidak mudah carik dek sapaan ribut dan pendayungnya pula wajiblah bermutukan kesabaran yang tidak mudah reput dek masinnya laut dan teriknya mentari! Pada akhirnya menitislah airmata menerima segala anugerah kurniaNya yang tidak pernah terbayangkan.

27 Oktober 2010

Bersatulah hendaknya kita ini...

Hari ini barulah Fakir rasa ketagih nak berceloteh apatah lagi merapik meraban sebab dah agak lama rasa malas dan letih bercampur baur. Niat nak berkongsi apa yang terlintas dikotakfikir, apa yang didengar dan terlihat oleh mata telinga ini dan berkongsi segala rasa bersama teman-teman yang mengunjungi blog yang tak seberapa ini sering ditangguhkan. Mungkin kelemahan fakir ini ialah suka menangguh apa-apa yang dicadangkan bila diri diselubungi kepenatan.

Rasanya semua kita telah sedia ketahui bahawa sejak dua menjak ni, hubungan diantara negara kita Malaysia dan negara saudara kita Indonesia agak renggang dek kerana isu-isu yang terlalu remeh diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak yang pasti mempunyai agenda-agenda tersendiri. Walhal isu yang diperbangkitkan boleh diselesaikan secara diplomatik dan bertolak ansur. Kedua belah pihak perlu lebih berfikiran terbuka dan bersikap sedia menerima teguran serta pandangan sebelah pihak lagi. Kita punya susur galur yang amat kuat, bermula dari keturunan nenek moyang yang sama malah bahasa kita juga merupakan bahasa yang hampir sama dipertuturkan setiap hari, punya adat dan seni yang tidak jauh berbeza dan punya ciri-ciri semangat bangsa yang sama. Bukankah semua itu merupakan penyatuan yang sudah terjalin utuh sejak berkurun lamanya. Pandanglah kebelakang dan sedarlah yang kita ini punya warisan leluhur sejati yang sama semuanya dan ianya perlu dibaja dan dihargai oleh kita semua.

Selagi mana kita ini berdendam dan masih tidak mahu mengalah, sudah pasti orang luar yang bukan dari rumpun bangsa kita merasa gembira dan mencari-cari peluang untuk menghancurkan perpaduan dan kemesraan yang telah lama terjalin diantara kita semua. Hari ini kita bercakaran maka esok lusa pasti ada pihak yang sedang mengatur rancangan dan strategi untuk menyimbah petrol ke atas api kecil yang sedang membakar.

Fakir termenung sejenak...memikirkan semua ini. Di tempat kerja, Fakir punya seorang kawan yang datang dari Surabaya yang bekerja sebagai buruh binaan. Bukan sekadar seorang yang baik dengan Fakir malah ada tiga empat orang yang selalu boleh diajak berbual dan boleh bergurau senda. Cuma yang datang dari Surabaya ini lebih rapat dengan Fakir. Beliau selalu berada dibahagian Fakir bekerja kerana ada kaitan kerja diantara kami. Ada masa yang terluang Fakir pasti mencarinya untuk diajak berbual. Terkadang kami pergi makan bersama. Banyak yang kami perbualkan sebagai contoh Fakir banyak bertanya tentang tanah kelahirannya dan perkara-perkara yang menarik di sana.Sedikit sebanyak rasanya akan terubatlah sedikit kerinduan pada kampung halamannya. Fakir juga banyak memberi panduan kepadanya tentang suasana di Malaysia agar lebih memudahkan beliau dalam segala urusan. Fakir (malah rakan-rakan sekerja yang lain) rasanya tidak pernah menganggap bahawa pekerja-pekerja asing ini sebagai pendatang tetapi merasakan ada kaitan persaudaraan yang sedia terjalin yang perlu dipertahankan. Banyak pula idea-idea untuk kami berbual dari yang penting-penting hinggalah membawa kepada perkara-perkara melalut yang akhirnya disudahi dengan  hilai gelak tawa mesra sesama saudara.

Alangkah baiknya kemesraan kelompok kecil seperti Fakir dan saudara Fakir dari Indonesia itu dapat disemai, dibajai dan dikembangbiak oleh semua kita dari kedua-dua buah negara tercinta ini. Ingatlah kita dari  satu rumpun yang sama iaitu "Rumpun Melayu". Kalau kita tidak mempertahankannya maka siapa lagi yang sudi-sudi untuk kearah itu. Mahu tidak mahu kita yang sedarah sedaging inilah yang perlu mempertahankan dan memperelokkannya.

Artikel Menarik Dari Blogger Indonesia


12 Oktober 2010

Mitos Melayu Pemalas

Pagi ini Fakir tak punya sebarang komitmen yang perlu dilaksanakan. Macam biasa Fakir akan "blogwalking" mencari artikel-artikel yang berkaitan dengan bangsa Fakir yang sangat Fakir cintai. Maka Fakir terjumpa suatu artikel yang sangat-sangat menarik minat Fakir untuk terus menatapnya sehingga ke akhir penulisan di blog zanas. Penulisnya sudah pasti seorang Melayu yang hebat dan yang pasti orang yang sangat risau dan menyintai bangsanya sendiri. Jom kita baca bersama artikel di bawah ini.



Mitos Melayu Pemalas

‘MELAYU pemalas’.
Sekurang-kurangnya sekali dalam hidup, seseorang anak Melayu akan mendengar frasa itu. Tetapi biasanya dia mendengar lebih daripada sekali. Selalunya berpuluh atau beratus kali!
Frasa yang menyakitkan itu memang cukup tersohor. Ia telah sampai ke segenap penjuru alam. Tidak sedikit orang asing yang mengenali Melayu melalui tulisan atau cakap orang mempercayai bahawa pemalas itu adalah sifat semulajadi manusia Melayu. Jangan hairan kalau ada di kalangan mereka yang mendefinasikan Melayu sebagai ‘sebangsa manusia pemalas yang mendiami suatu kawasan di tenggara Asia.’
Yang menariknya, mitos Melayu malas ini lebih tertumpu pada orang-orang Melayu di Malaysia sahaja. Bangsa Melayu di tempat lain bagaikan terkecuali. Malah orang Melayu Deli dan Kampar, misalnya sentiasa dilihat lebih rajin daripada kita di sini. Bagi sesetengah orang Melayu rumpun Jawa pula, kita orang Melayu Malaysia, bukanlah jenis sahabat yang sesuai dijadikan teman dan bukanlah kawan yang baik untuk diajak mencari makan. Kita, bagi mereka, tidak cukup rajin.
Pendeknya, secara langsung atau tidak, kita telah diterima sebagai bangsa yang pemalas, hatta oleh rakan-rakan yang serumpun dengan kita sendiri.
Kenapa?
Sering terjadi apabila frasa itu timbul, kita – hampir semua Melayu – akan menghalakan tudingan kepada Munsyi Abdullah, jurutulis dan khadam nombor satu Stamford Raffles. Kebanyakan kita percaya bahawa tulisan-tulisan Munsyi Abdullah telah menjadi racun yang telah merosakkan fikiran dan pandangan semua orang terhadap keperibadian Melayu. Dia, Munsyi Abdullah, oleh sesetengah kita, telah diangkat sebagai musuh besar setiap Melayu.
Selain daripada menuduh Abdullah menulis begitu kerana disuruh oleh Raffles, yang mahu melaksanakan agenda kolonialnya dengan bertujuan meranapkan kehormatan masyarakat pribumi, kita jarang bertanya apakah yang ditulis oleh Munsyi itu seratus peratus salah?
Memang benar, Munsyi Abdullah adalah khadam belaan penjajah. Mungkin benar keinginan yang luar biasa untuk menyekutukan dirinya dengan tuan besar dan atas angin telah menyebabkan dia berasa dirinya terlalu istimewa, dan terpisah terus daripada cara hidup Melayu, yang dilihatnya penuh dengan kelekaan dan kealpaan.
Tetapi bolehkah dia mereka-rekakan kenyataan-kenyataan tentang sikap orang Melayu tanpa asas dan bukti yang kukuh? Setakat sekarang ini, apakah segala yang ditulis oleh Munsyi itu karut belaka?
Jawablah, dengan akal yang waras dan dengan hati yang ikhlas.
Dalam membincangkan isu ini, perkara paling pokok yang harus kita semua fikirkan ialah bagaimanakah kepercayaan bahawa Melayu itu pemalas boleh timbul? Di mana puncanya?
Tulisan Munsyi Abdullah atau lain-lain orientalis barat hanyalah sebahagian daripada sebab. Memanglah budaya penjajahan pada bila-bila masa pun akan disulami dengan cerita buruk tentang anak pribumi. Penjajah, dalam usaha menegakkan kedaulatan mereka, akan bersusah payah mencipta kehebatan sendiri dan memperlekehkan kumpulan yang dijajah. Red Indian dikatakan bangsa yang liar dan jahat oleh tukang-tukang cerita Amerika. Aborigines di Australia dituduh pemalas dan hidup bersandarkan takdir oleh anak cucu lanun yang menjadi penjajah benua Australia; malah orang-orang Scotland dan Ireland, yang serumpun dengan Inggeris itu pun, sampai sekarang masih sering dijadikan bahan jenaka di London.
Tetapi semua tohmah yang bersifat memburuk-burukkan anak pribumi itu biasanya boleh berdiri tegak sehingga menjadi semacam kepercayaan disebabkan oleh ‘sokongan’ yang diberi oleh anak-anak pribumi tersebut sendiri. Dengan perkataan lain, sikap, cara dan tindakan mereka selalunya mendorong orang beranggapan apa yang dicanangkan itu adalah betul dan benar.
Dalam hal ini, orang Melayu di Malaysia tidak terkecuali. Kalau orang lain mempunyai sepuluh sebab untuk mengatakan kita ini malas, kita sendiri menyediakan seribu sebab untuk membenarkan kenyataan mereka. Sebab-sebab itu bukanlah berpunca daripada kemalasan kita, tetapi lebih didorong oleh kealpaan kita. Kealpaanlah yang meletakkan Melayu dalam jaket yang dipakainya. Kealpaanlah yang menjadikan Melayu lemah. Kealpaan jugalah yang menyebabkan daya saing Melayu seringkali dipersoalkan.
Mahathir, sejak sebelum kelahiran ‘Dilema Melayu’nya beranggapan kelemahan Melayu lebih berpunca daripada faktor-faktor keturunan dan alam sekitar. Profesor Diraja Ungku Aziz pula menyanggah pandangan itu dengan berkata, Melayu sebenarnya mewarisi sifat rendah din sejak turun temurun.
Sama seperti orang lain, saya tidak tahu pendapat mana yang patut dipakai. Kedua-duanya kelihatan betul, tetapi kedua-duanya juga kelihatan tidak betul.
Hendak dikatakan Melayu lemah kerana pengaruh keturunan, terbukti mereka yang berketurunan Melayu telah pernah berjaya pada masa-masa dahulu. Mereka telah berupaya membina tamadun, telah mampu menjadi pelayar-pelayar agung dan telah terbukti menjadi kuasa yang disegani.
Sekarang ini pun banyak yang berketurunan Melayu mencipta kejayaan, baik di sini mahupun di tempat lain. Di Afrika Selatan, Melayu adalah kelompok manusia kaya yang berpengaruh besar di bidang ekonomi. Di Filipina, Melayu adalah pejuang-pejuang yang berani dan disegani. Di sana sini, anak-anak Melayu yang membawa diri mampu bersaing dan bangkit menjadi orang yang berjaya. Di England, ada anak Melayu telah naik martabatnya sehingga menjadi Datuk Bandar.
Di Hollywood, seorang lagi anak Melayu bergerak naik di celah nama ribuan manusia lain untuk berdiri sebagai karyawan yang dihormati dalam teknologi animasi komputer. Malah studio di mana berlangsungnya penggambaran bagi siri filem-filem James Bond yang terkenal itu pun dikatakan milik anak Melayu!
Persekitaran, di mana-mana dan pada bila-bila masa pun, memanglah merupakan faktor besar yang mempengaruhi kehidupan. Hukum ini tidak sahaja terbatas kepada manusia, tetapi juga mencakupi segala makhluk lain. Anak benih pokok yang sedang membesar sekalipun akan condong mengikut arah datangnya cahaya.
Dalam ‘Dilema Melayu’, Mahathir mengulas bagaimana persekitaran yang melingkungi kehidupan mereka menyebabkan orang Melayu kurang berminat untuk bersaing. Beliau beranggapan tanah semenanjung yang subur telah menyediakan segala-galanya untuk orang Melayu hidup selesa.
“Pendeknya alam keliling menjamin keperluan makanan yang mencukupi untuk menampung seluruh penduduk sepanjang tahun. Kelaparan dan kebuluran yang sentiasa mengancam negeri-negeri lain, seperti Negeri China, tidak terdapat di Tanah Melayu. Dalam keadaan begini maka semua orang dapat terus hidup. Malahan mereka yang paling lemah dan paling malas juga boleh hidup dengan selesa dan dapat berkahwin dan beranak pinak. Dalam keadaan yang begini tidak dapat hendak dikatakan bahawa cuma mereka yang paling kuat dapat terus hidup. Oleh kerana terdapat banyaknya bahan makanan maka orang yang lemah juga akan dapat terus hidup.” (DILEMA MELAYU, ms.25).
Ada benarnya pendapat itu. Tetapi ianya menjadi kurang benar apabila mengambil kira bagaimana keadaan serba kurang di negara-negara seperti Bangladesh, Nepal dan Bhutan juga gagal melahirkan bangsa yang kuat berdaya saing. Kebanyakan tanah di benua Afrika boleh dikatakan gersang dan tidak subur. Ia menuntut setiap orang yang mahu hidup di atas buminya mempunyai ketahanan yang luar biasa. Penduduk-penduduk pribumi Afrika biasanya mempunyai ketahanan itu. Persekitaran mereka hanya membuka pintu pada yang kuat sahaja untuk hidup selesa.
Tetapi kenapa mereka gagal berkembang sebagai bangsa yang besar, hebat dan kuat ? Kenapa anak cucu mereka yang terlontar ke Amerika, atau ke segala penjuru dunia yang lain, gagal mengangkat ketahanan itu untuk dijadikan aset yang boleh menjanjikan kegemilangan pada bangsa mereka? Kenapa?
Memanglah benar orang-orang Melayu, pada peringkat awal penempatannya di Semenanjung ini, lebih tertumpu ke kawasan-kawasan dataran yang subur. Mereka menghuni kawasan pesisir sungai dan pantai yang menjanjikan mereka kesuburan dan kemakmuran. Mereka tidak begitu berminat untuk meneroka bukit bukau dan hutan belantara bagi menambah sumber kesuburan dan kemakmuran tersebut. Hasil daripada keadaan itu timbul suatu tanggapan bahawa orang Melayu lebih suka pada kehidupan yang mudah. Mereka telah terasuh untuk menjadi begitu. Mereka telah dimanjakan oleh alam sekeliling. Mereka lebih senang menerima apa yang ada daripada berusaha mencari sesuatu yang baru.
Namun siapakah yang berani bertaruh untuk berkata bahawa peneroka bukit bukau itu mempunyai keupayaan bersaing yang lebih hebat daripada pemastautin di kawasan kawasan dataran yang subur? Tertumpu pada kawasan pesisir sungai yang subur untuk membina penempatan bukanlah terbatas pada orang Melayu sahaja. Ia merupakan amalan lazim zaman berzaman. Hampir semua tamadun besar terbina di kawasan seperti itu. Nil, Yang Tze dan Ganges tidak akan menjadi terkenal kalau bukan kerana disokong oleh kebangkitan tamadun-tamadun di pinggirnya.
Mencari kesenangan secara mudah bukanlah setakat sifat semulajadi orang Melayu. Ianya fitrah semua bangsa. Semua manusia. Sebab itu bukan pelik jika manusia pada zaman dahulu berebut untuk tinggal di kawasan pinggir sungai yang tidak sahaja menyediakan tanah yang subur, tetapi juga pelbagai kemudahan lain, termasuk mendapatkan bekalan air dan untuk dijadikan laluan pengangkutan. Orang-orang Cina yang baru datang ke Tanah Melayu pada era awal penghijrahan mereka dahulu pun memilih kawasan pinggir sungai untuk bermastautin.
Jika mendiami kawasan-kawasan yang subur itu menyebabkan orang Melayu terasuh untuk menjadi tidak rajin berusaha, maka soalan yang patut ditanya ialah kenapa orang-orang China di pinggir Yang Tze, dan kemudiannya di pinggir Sungai Kelang dan Sungai Gombak tidak pula menjadi malas? Kenapa bangsa-bangsa lain yang turut berkembang biak di kawasan yang serupa tidak menjadi selemah bangsa Melayu? Dan pada masa yang sama patut pula ditanya, mengapa ‘raja-raja bukit’ seperti orang-orang Karen di Burma tidak menjadi bangsa yang hebat sedangkan mereka adalah jenis orang yang sanggup bekerja keras meneroka rimba jerun yang tidak berani dijengah oleh manusia lain?
Banyak orang yang bersependapat dengan Mahathir, yang lewat ‘Dilema Melayu’nya berkata, iklim panas dan lembap di negara ini juga tidak begitu menggalakkan (orang Melayu) untuk melakukan kerja-kerja yang berat. Ia juga tidak merangsang pemikiran mereka untuk menjadi lebih aktif.
Sewaktu menulis fasa-frasa itu Mahathir barangkali terlupa untuk bertanya, kenapa dalam cuaca yang panas dan lembap,orang lain, yang bukan Melayu boleh melakukan kerja-kerja berat dan boleh berfikir secara aktif? Kenapa kesan buruk cuaca itu hanya mempengaruhi orang Melayu bukannya bangsa-bangsa lain? Bagaimana pula halnya dengan orang-orang Mesir Purba yang hidup dalam keadaan serba kontang dan serba kurang, namun mampu membina tamadun besar? Tidakkah cuaca yang panas juga sepatutnya menyebabkan orang-orang Arab tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada duduk berbual di bawah pohon-pohon kurma?
Keturunan mungkin mempunyai pengaruhnya. Namun ada banyak contoh untuk dijadikan bukti bahawa ia bukan penyebab mutlak ke arah menentukan maju mundurnya sesuatu bangsa. Janji Allah bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu sendiri mengubahnya adalah suatu isyarat yang amat jelas bahawa setiap manusia ini dijadikan dengan kemampuan yang sama. Biar dari perdu mana pun seseorang itu lahir, dia berupaya naik ke puncak jika usahanya ke arah itu dilakukan secara sungguh-sungguh. Teori genetik tidak selamanya benar terutama dalam soal menentukan masa depan seseorang manusia atau sesuatu rumpun bangsa. Tuhan akan menjadi sangat tidak adil kalau menentukan karma manusia dengan bakanya. Sesungguhnya tidak adil itu bukanlah sifat Tuhan.
Bangsa-bangsa yang besar dan kuat suatu masa dahulu banyak yang lenyap dan ranap walaupun daripada segi teori mereka memiliki baka yang hebat. Ke mana perginya wira-wira Monggol? Ke mana hilangnya anak cucu Socrates atau Aristotle? Jika hendak dikatakan mereka pupus kerana faktor putaran masa, kenapa anak cucu Shih-Huang Ti masih ada? Kenapa anak cucu pelopor Tamadun China masih sehebat dahulu?
Pendapat tentang sifat semulajadi Melayu yang dibelenggu rasa rendah diri juga mempunyai banyak ruang untuk dipertikaikan. Yang paling penting untuk ditanya ialah, kenapa sifat itu harus ada dan adakah ianya cuma hakmilik istimewa bangsa Melayu?
Kalau dikatakan sifat rendah diri itu lahir secara semulajadi, apakah buktinya? Atas alasan apakah Tuhan memilih orang Melayu untuk diabadikan dengan sifat-sifat itu?
Ada orang berpendapat sifat rendah diri ini datang ke sanubari orang Melayu selepas mereka menganut Islam. Nenek moyang orang Melayu dahulu menganggap diri mereka orang yang jahil dalam ilmu-ilmu akhirat. Oleh itu, setiap kali berhadapan dengan pendakwah-pendakwah Islam yang berilmu tinggi, terutama yang datang daripada Asia Barat, mereka akan dibelenggu oleh rasa ‘kecil’ dan rasa untuk ‘merendah’. Lama-kelamaan perasaan itu berkembang biak lalu terbina menjadi suatu tabiat.
Soalnya, kalaupun betul, kenapa perkara begitu hanya terjadi pada orang Melayu? Kenapa orang Putih yang baru memeluk Islam tidak berasa rendah diri? Kenapa orang India, orang China, orang Parsi dan segala macam orang lain tidak mempunyai perasaan yang sama sedangkan hakikatnya tatkala mula memeluk Islam mereka sudah pasti berada dalam situasi yang sama dengan orang Melayu – berasa kecil dan jahil?
Satu lagi andaian popular ialah perasaan rendah diri orang Melayu ini berpunca daripada salah tanggapan terhadap ajaran Islam. Ketaatan kepada Islam menyebabkan Melayu mentafsirkan nilai toleransi yang dituntut oleh Islam dengan perspektif yang sempit. Mereka juga menerima hukum qada dan qadar dengan cara berfikir yang jumud. Konsep keredhaan mereka ada kalanya melebihi tahap yang dituntut sehingga menyebabkan mereka bersikap ‘tidak apa’ dalam segala perkara. Himpunan daripada semua inilah akhirnya menyebabkan orang Melayu berasa mereka tidak perlu bersaing dan bersikap pasrah kepada kehidupan.
Tetapi sekali lagi persoalannya ialah kenapa anggapan begitu cuma timbul di jiwa orang Melayu? Kenapa bangsa lain yang menganut Islam tidak mempunyai tanggapan dan pemikiran yang sama? Mengapa orang China Islam dan orang India Muslim tidak dibelenggu oleh kejumudan tersebut sedangkan mereka juga tidak kurang taatnya berbanding dengan kita?
Saya sengaja timbulkan soalan-soalan ini kerana saya tahu tiada sesiapa yang akan dapat menjawabnya.
Melayu secara umumnya berada dalam satu posisi yang cukup unik, dan cukup kronik, sehingga tiada mana-mana pengkaji dapat memberikan jawapan mutlak terhadap masalah yang membelenggu kehidupan mereka, khususnya dalam aspek yang membabitkan sikap dan tabiat. Apa juga andaian tentang mereka sampai bila-bila pun akan tinggal sebagai hepotitis yang tidak akan bertukar menjadi teori.
Keunikan peribadi Melayu ini berkemungkinan besar dipengaruhi oleh banyak faktor. Kedudukan bumi Melayu yang terdedah pada segala macam elemen budaya, latar belakang bangsa yang berkembang daripada penganut animisme kepada penganut Islam yang taat, semuanya sama-sama memainkan peranan untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang agak berkecamuk akal fikirannya. Perhatikanlah mana-mana juga Melayu, di dalam dirinya pasti terpancar seribu wajah. Pada tubuhnya tersembunyi unsur Arab, unsur Mamak, unsur orang Putih dan seribu satu unsur lain yang bercampur aduk.
Keperibadian yang berbagai-bagai inilah menyebabkan Melayu menjadi begitu sukar difahami. Dan ketidakfahaman itu menjadi punca terhadap timbulnya pelbagai salah tanggapan terhadap mereka.
‘Melayu pemalas’ adalah rentetan daripada salah tanggapan itu. Orang-orang asing yang gagal memahami susur galur Melayu dengan mudah akan berasa hairan kenapa Melayu boleh menjadi warga kelas dua di bumi yang subur ini. Mereka lalu beranggapan ianya berlaku kerana Melayu tidak rajin.
Silap orang Melayu ialah mereka tidak pernah berusaha memberi kefahaman tentang asal usul mereka kepada orang lain. Sebaliknya, mereka dengan penuh kealpaan hanya menerima bulat-bulat teori yang orang lain sogokkan kepada mereka. Paling Iebih, sekiranya pendapat itu kurang memihak pada mereka, sebahagian daripada orang Melayu mungkin akan marah-marah.
Semua ini tidak akan berlaku kalau orang Melayu mempunyai hubungkait yang kuat dengan akar umbi bangsanya. Mereka tidak akan berasa susah untuk meyakinkan orang lain bahawa Melayu sebenarnya bangsa yang hebat jika mereka rajin mencungkil, mengenang dan menghargai sejarah kehebatan datuk nenek mereka. Tidak susah untuk membuka mata orang asing bagi mengakui bahawa lebih seribu tahun dahulu tamadun-tamadun Melayu telah berkembang biak, telah menjadi gah dan tersohor di nusantara. Dan bangsa yang pemalas sudah tentu tidak akan mampu membina tamadun-tamadun seumpama itu.
Tamadun Greek sudah lama punah. Ranap sama sekali. Greece sekarang hanya tinggal tersepit sebagai sebuah negara kecil di pinggir Mediterranean dan Laut Ageans. Tetapi cubalah anda berkunjung ke Athens. Anda pasti akan dapat mendengar orang-orangnya bercerita seolah-olah Julius Caesar dan Pompei baru meninggal dunia pagi semalam.
Cubalah berkunjung ke China dan dengar sendiri bagaimana anak-anak negerinya bercerita tentang Tembok Besar, tentang Shih-Huang Ti atau tentang Confusius. Bunyinya seolah-olah mereka pernah hidup di era itu. Mereka jelas berbangga dengan apa yang mereka pernah ada.
Kita?
Sementara majoriti orang Melayu tidak pernah tahu di mana letaknya Lembah Bujang, sebahagian besar yang lain pula berkunjung ke Melaka untuk melihat simbol kekuatan Portugis iaitu A Famosa, bukannya untuk menjengah simbol ketuanan Melayu seperti Perigi Hang Tuah atau Makam Hang Jebat. Untuk melihat tingginya seni pertukangan Melayu di Istana Seri Menanti yang tidak berpaku itu pun kita terasa berat hati.
Tidak banyak di kalangan kita yang boleh bercerita tentang kegemilangan silam anak bangsanya. Apabila bercerita pada anak cucu, kita lebih seronok mengulangi kisah ‘Cinderella’ atau ‘Snow White’. Kita biasakan anak-anak kita dengan nama Robin Hood dan Kapten Cook bukannya dengan nama Hang Nadim atau Tun Teja. Kita seolah-olah tidak pernah berbangga dengan apa yang kita ada.
Orang lain sanggup menghabiskan berjuta ringgit untuk mencari sesuatu yang boleh menghidupkan kembali kegemilangan bangsanya. Dalam kes tertentu, mereka malah sanggup mengubah fakta yang ada dan mencipta fakta-fakta baru yang palsu. Mereka melakukannya kerana sayangkan bangsa.
Kita tidak begitu. Kita boleh menghabiskan cukup banyak wang untuk membiayai rombongan ke luar negara, tetapi kita akan ‘berkira’ untuk membina sesuatu yang boleh menghubungkan generasi sekarang dengan masa silamnya.
Pahit atau tidak, kita perlu mengaku bahawa apa yang dilakukan setakat ini belum cukup untuk menggambarkan terima kasih kita pada generasi terdahulu. Apa yang ada itu belum memadai untuk menghidupkan jiwa Melayu sebagaimana hidupnya jiwa orang Amerika setiap kali melihat ‘Statue of Liberty’.
Usahlah melihat terlalu jauh ke belakang. Lihat sahajalah bagaimana kita menghargai Tuk Gajah, Mat Kilau, Tuk Janggut atau pejuang-pejuang selepas mereka. Malah setakat manakah sumbangan kita kepada pejuang-pejuang kemerdekaan selain daripada Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman? Hendak membukukan sejarah perjuangan mereka pun tidak banyak pihak yang sanggup.
Berdasarkan apa yang ada tergambar jelas yang kita bagaikan tidak menghargai kebolehan orang-orang yang dahulu daripada kita. Kita tak pernah ambil kisah. Kita tak pernah peduli. Kita alpa dalam menghargai sumbangan mereka.
Dan apabila kita alpa menghargai bangsa sendiri, bagaimanakah kita boleh mengharapkan orang lain menghargai kita?

11 Oktober 2010

Erdogan : Turki tidak akan berpeluk tubuh di hadapan kanak-kanak Gaza yang kebuluran



Isnin, 11/10/2010 – Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata negaranya tidak akan mendiamkan diri sahaja melihat kekejaman rejim Zionis mahupun memalingkan wajah dari Gaza dan kanak-kanaknya.
Beliau memberi ucapan ini semasa majlis pembukaan Forum Perdagangan Antarabangsa Kali Ke-14 yang dianjurkan oleh MUSIAD, Pertubuhan Bebas Penggiat Industri dan Perniagaan pada Rabu lalu di Istanbul. Forum itu disertai oleh lebih daripada 25 menteri dari pelbagai negara, 5,000 ahli perniagaan dari 65 buah negara, 150,000 pelawat serta 550 peserta pameran dari Turki dan negara-negara lain.
sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : salwa

10 Oktober 2010

12 BARISAN MANUSIA MENUJU KE AKHIRAT

barisan pertama: di iringi dari kubur dlm keadaan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan ini dijelaskan melalui seruan Allah swt :"mereka orang-orang yang menyakiti hati jiran sewaktu hidup mereka, mereka yg sombong dan tidak berbuat kebaikan kepada jiran tetangga akan mendapat kehinaan di dunia maupun di akhirat". Firman Allah 'AKU akan memalingkan hati orang yang sombong serta takbur di muka bumi ini dengan tiada alasan yg benar dari (memahami) ayat-ayat KU (yang menunjukkan kekuasaan KU),itulah balasan dan tempat kembali mereka adalah neraka"

barisan ke-2: di iringi dari kubur dalam bentuk babi hutan datang seruan Allah "mereka orang yang meringan-ringankan solat sewaktu hidup,sesungguhnya orang yang memelihara solat lima waktu akan dihindari dari
siksa kubur sebaliknya,mereka yang mengabaikan maka waktu dia mati,mayatnya akan dihimpit oleh liang lahat sehingga berselisih tulang rusuk." Rasulullah saw bersabda "sesungguhnya seorang hamba apabila dia berdiri untuk bersolat,maka di letakkan semua dosanya di atas kepala  dan kedua-dua bahunya,maka setiap kali dia rukuk atau sujud,berjatuhanlah dosa-dosa itu.

barisan ke-3: di iringi dari kubur dengan bentuk keldai dan perut penuh ular serta kala jengking. Mereka adalah orang yg enggan membayar zakat ketika hidupnya walaupun pada ketika itu mereka tergolong dalam orang yg berkemampuan. Inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka!

barisan ke-4: diiringi dari kubur dalam keadaan darah memancut keluar dari mulut, mereka adalah antara orang yg suka berdusta ketika berjual beli.Berniagalah dengan jujur serta amanah agar hasil yg diperolehi
datang dari sumber yang halal.

barisan ke-5: diiringi dari kubur dalam keadaan berbau busuk seperti bangkai, ketika itu Allah menurunkan angin sehingga bau busuk itu menganggu ketenteraman padang mahsyar, mereka ini adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka,takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula takut kepada Allah. Inilah balasannya dan tempat mereka juga adalah neraka

barisan ke-6 : diiringi dari kubur dengan keadaan kepala terputus dari badan mereka adalah orang yang dahulunya menjadi saksi palsu.

barisan ke-7: diiringi dari kubur tanpa lidah tetapi mengalir darah dan nanah dari mulut mereka, mereka ini adalah orang yang enggan memberi kesaksian kebenaran.

barisan ke-8:diiringi dari kubur dlm keadaan terbalik,kepala ke bawah dan kaki ke atas mereka adalah orang yang melakukan zina.tempat mereka juga adalah di neraka. sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud "tiada bersunyi-sunyian antara seorang lelaki dan wanita,melainkan wujudnya syaitan sebagai orang ketiga antara mereka"

barisan ke-9:diiringi dari kubur dengan wajah hitam dan bermata biru,sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh mereka adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak
sepatutnya.

barisan ke-10: diiringi dari kubur dlm keadaan tubuh berpenyakit sopak dan dipenuhi kusta
mereka ini adalah orang yang derhaka kepada ibu bapa sewaktu hidupnya.

barisan ke-11: diiringi dari kubur dalam keadaan buta,gigi panjang seperti tanduk lembu jantan,bibir terjuih hingga ke dada dan lidah terjulur hingga ke perut serta keluar pelbagai kotoran yang menjijikkan. Mereka ini adalah orang yg minum arak sewaktu hidupnya.

barisan ke-12: diiringi dari kubur dengan wajah bersinar-sinar seperti bulan purnama, mereka melalui titian sirat seperti kilat.Datang suara dari sisi Allah yang memaklumkan "mereka semasa hidupnya adalah orang yang beramal soleh dan melakukan kebaikan. Mereka juga menjauhi perbuatan derhaka,memelihara solat lima waktu dan meninggalkan dunia dalam keadaan bertaubat.Inilah balasan mereka dan tempat kembali mereka adalah syurga,beroleh keampunan,kasih sayang dan keredhaan Allah SWT."

09 Oktober 2010

Mawar Merah Di Langit - Tanda Kiamat Semakin Hampir!

9c66c1.jpg

Semoga ianya menjadi iktibar kepada kita semua umat Islam bahawa Allah itu benar, Islam itu benar, dan kitab suci Al Qur'an itu membawa perkabaran yang benar-benar belaka samada yang terdahulu mahupun mendatang. Sedarlah kita, renungkanlah sedalam-dalamnya dan muhasabahlah diri sehalus-halusnya bahawa adakah kita masih alpa dan bersuka ria yang terlampau dalam hal-hal keduniaan ataupun kita sudah mula merubah diri ke arah kebaikan dan kebajikan....

Walaupun sudah berkali-kali gambar ini tersebar dikalangan umat Islam seluruh dunia, namun Fakir rasa diri Fakir dan anda semua harus menanyakan diri sendiri adakah kita benar-benar mengambil iktibar dan rasa gerun dalam memikirkannya?  Biarlah sudah beratus kali disebarkan gambar ini di internet namun Fakir tetap terpanggil untuk memaparkannya di dalam blog Fakir ini. Agar beratus kali kita tengok maka beratus kali juga ianya menjadi sebuah peringatan buat kita semua! Janji Allah itu semuanya benar...maka berhati-hatilah dalam setiap tindakan kita.

Ambil iktibar wahai orang yang mempunyai penglihatan! Gambar ini dirakam secara tidak sengaja oleh pihak NASA sekaligus membuktikan bahawa peringatan Allah dalam surah ar-Rahman yang melebihi seribu empat ratus tahun dulu itu pasti akan muncul. Firman Allah "SELAIN ITU SESUNGGUHNYA (NGERI) TATKALA LANGIT PECAH-BELAH LALU...MENJADILAH MAWAR MERAH, BERKILAT SEPERTI MINYAK"

Ayat ini menggambarkan kehancuran alam langit ketika kiamat hampir menjelang. Oleh itu perbanyakkanlah kebajikan dan jangan sesekali alpa,bongkak dan sombong dengan gahnya keduniaan yang dimiliki. Dunia ini telah tenat dan sudah menghampiri akhir zaman....beringatlah kita semua.

wallahualam..........

05 Oktober 2010

SOLAT : KEAJAIBAN DARI SUDUT SAINS




Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif.

Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.
Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita.
Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian.Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki.Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan.

Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh.Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam.Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas.

Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dakam tubuh. Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang.

Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.

Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat.Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).

Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu a gama yang l engkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah ynag tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Belaiu merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam. Sekian untuk renungan kita bersama


Sabda Rasulullah.s.a.w. lagi; Daripada Abdullah bin Umar r.a., katanya: Sesungguhnya Rasulullah.s.a.w. telah bersabda: " Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu, samakan kedudukan antara bahu-bahu kamu, penuhkan semua ruangan-ruangan kosong yang terdapat dalam saf, bersopan santunlah dengan saudara-saudara kamu ketika meluruskan dan merapatkan saf dan jangan sekali-kali membiarkan ruangan-ruangan kosong saf terdedah kepada syaitan. Sesiapa yang memenuhkan saf dan merapatkannya, nescaya Allah SWT menyambungkan rahmat-Nya bagi orang tersebut dan sesiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah SWT akan memutuskan rahmat-Nya dan inayah-Nya daripada orang tersebut" ( Riwayat Abu Daud )

SAF SEMBAHYANG JEMAAH RAPAT LURUS BUKTI MENCINTAI RASULULLAH   
Oleh: Syamsul Annuar Yaacob

MENJADI kebiasaan bagi imam bertugas mengungkapkan hadis Rasulullah SAW ketika berdiri mendirikan solat jemaah. Ucapan itu bukan direka tanpa tujuan kerana kata itu sahih daripada mulut Rasulullah SAW. Anas Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Luruskan saf kamu, kerana saf yang lurus termasuk solat yang sempurna." (Hadis Riwayat Muslim) Namun, seruan itu sering diabaikan masyarakat yang mengaku cintakan Nabi Muhammad SAW, tetapi memandang ringan seruan Baginda. Sesungguhnya kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan dengan mengikut sunnah Baginda. 

Anas berakta, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. Pertama, hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai kecuali kerana Allah. Kedua, taat ibu bapa selagi tidak melanggar perintah Allah. Ketiga, hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Jika kecintaan kepada ibu bapa menuntut ketaatan terhadap perintah mereka, apakah pula alasannya tidak mengendahkan perintah Rasulullah SAW sedangkan kedudukan cinta terhadap Baginda lebih tinggi berbanding ibu bapa. Begitulah kecintaan sebenar kepada Rasulullah SAW perlu mengikut sunnah Baginda seperti firman Allah bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali-Imran, ayat 31)

Mungkin ada yang tidak selesa jika bersolat dalam keadaan rapat serta dalam saf lurus. Tidak kurang juga timbul perasaan geli untuk berdiri bersentuhan bahu dan bertemu kaki ketika solat jemaah. Ketahuilah bahawa dalam sunnah yang dipandang ringan ini, terkandung penawar bagi penyakit perpecahan yang sedang melanda umat Islam kini.

Daripada Abu Masud, katanya: "Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok, nescaya yang menyebabkan hatimu berpecah-belah." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW mempunyai cara tersendiri mewujudkan perpaduan utuh di kalangan sahabat dengan menyempurnakan saf. Ini terbukti apabila generasi yang ditarbiah Rasulullah SAW amat menjaga perpaduan dan tidak mementingkan diri seperti puak Muhajirin serta Ansar yang dapat disatukan.

Ada pihak beranggapan tidak sempurna saf jika kanak-kanak solat bersama, tetapi tidak pula rasa solatnya tidak sempurna jika saf tidak lurus. Setiap kali solat Jumaat atau hari raya, jemaah bersembahyang di luar atau di pekarangan masjid kerana ruangan dalam sudah penuh. Jika semua mementingkan susunan saf yang betul dan lurus, pasti ada jemaah berpeluang solat di dalam masjid. Jika benar ikhlas cintakan Rasulullah SAW dan ingin mengeratkan perpaduan Islam, ikut sunnah nabi supaya merapatkan serta meluruskan saf supaya hilang perasaan ego dan sombong sebaliknya lahir rasa kasih sayang.


 '(Yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah! hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.' (ar-Raad : 28).

04 Oktober 2010

KENALI POKOK GHARQAD YAHUDI


Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhi bermaksud: "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam, sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya: 'wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya', kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi".

Hadis ini menceritakan tentang peristiwa akhir zaman iaitu waktu hampir kiamat. Pada waktu ini tentera Yahudi yang dipimpin oleh Dajjal akan berperang dengan orang Islam. Dalam peperangan ini, orang Islam akan dapat membunuh dan menewaskan orang Yahudi sehinggakan apabila mereka berselindung di sebalik mana-mana batu dan pokok untuk menyelamatkan diri, maka dengan izin Allah pokok dan batu akan memberitahu tentera Islam tentang Yahudi yang berlindung di sebaliknya. Akan tetapi satu pohon yang tetap berdiam diri dan akan bersekongkol dengan Yahudi iaitu pohon yang bernama Gharqad.

Dimaklumkan bahawa orang Yahudi Zionis pada waktu ini sedang giat menanam pokok Gharqad secara berleluasa di Negara Haram Israel sebagai suatu persediaan menghadapi tentera Islam pada akhir zaman. Ini juga bermakna bahawa orang Yahudi sebenarnya memang tahu dan sedar tentang kebenaran Islam dan kebenaran hadis nabi saw. keegoaan dan sikap bongkak mereka menyebabkan mereka tidak menerima ajaran Islam, sebaliknya terus berusaha memerangi umat Islam dari semasa ke semasa.

Ramai juga yang bertanya tentang bagaimanakah pokok Gharqad. Ada yang menyatakan bahawa ia pokok Krismas, dan ada pula yang menyatakan bahawa ia pokok ru, pokok kaktus dan sebagainya. Moga gambar pokok Gharqad yang dipapar di atas dapat menyelesaikan kekeliruan tentang gambaran pokok Gharqad. Dan yang pastinya pokok Gharqad tidak sesuai dengan iklim di Malaysia dan ia tidak tumbuh di tempat kita. Wallahu'alam.

02 Oktober 2010

Lirik Pilihan - Rajawali Terbang Tinggi


Terdengar gendang-genderang
Gema menghentam dada
Seluruh nusantara
Rentak yang sama
Pergolakan drama manusia
Masing-masing mahu buktikan
Kuat lemah
Langit mana pun sama
Bulan pun redha
Sinar bumi ayahku
Dan ayahmu jua
Gugur daun
Di telapak tangan
Terpijak ranting di jalanan
Aku rindu oh! kampungku
Aku tak mahu dijadikan hamba lagi
Aku tak mahu dijajah lagi
Biar terkubur jasad terbujur
Tak rela aku berpisah
Dari cintaku yang satu
Dan Rajawali terbang tinggi
Rajawali terbang tinggi... terbang
M. Nasir
©1988 Dunia Musik Wea Sdn. Bhd.