Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

28 Oktober 2010

Gelora Hidup


Hidup ini adakalanya dikelilingi oleh rasa suka dan gembira, adakalanya penuh dengan rasa duka dan kecewa dan selebihnya punya semangat dan pengharapan setinggi gunung. Yang datangnya itu kalau membawa suka dan gembira pasti jiwa rasa lapang dan akan  menghamburkan wangian keceriaan. Manakala yang datang mengusung duka dan kecewa pula sudah tentu akan dihurungi oleh kekusutan dan patah hati serta semangat. Ibarat panah beracun yang tertancap tepat ke jantung dan meresap ke seluruh anggota.

Hidup fana ini sesungguhnya penuh dengan liku dan ujian yang tidak akan terduga sama sekali. Dalam gembira ia menyelinap dan dalam kecewa ia menyusup bersama. Maka terhimpunlah seribu satu watak yang bercampur baur dalam setiap diri yang fana ini pula. Adakala penantian membawa kejutan yang amat sangat ibarat terenjat kuasa elektrik yang amat tinggi. Adakalanya pula pengharapan tenggelam tak akan timbul-timbul ibarat disapu oleh tsunami yang dahsyat. Meniti hidup yang sementara ini sesungguhnya amat payah untuk meneka liku-likunya. Benarlah keberadaan kita di dunia majazi ini hanya untuk dinilai sejauh mana ketahanan yang berkota dalam diri dan sejauh mana pula kita sedar akan pengakuan kita kepada Allah SWT sejak azali lagi.

Hidup ini sesungguhnya umpama lukisan abstrak yang sukar dimengerti akan maksud dan kiasannya yang tersirat. Hanya Sang Pencipta sajalah yang tahu akan maksud dan tujuannya kerana semua itu adalah karyaNya. Sulit dimengerti akan seribu rahsia yang terconteng dalam diri kalau ditinjau hanya dari sudut pandang mata kasar dan mengikut logika semata. Yang perit itu tidak semestinya berkekalan sulit manakala yang bahagia itu tidak pula semestinya terus menerus dalam kesegaran rasa. Jangan pula sampai terliur dengan  kenikmatan yang tak bertahan dan jangan pula tersungkur dek derita yang belum tentu membawa bencana.

Terkadang yang membawa seribu kejujuran tak punya sedikit pun ruang untuk ditampilkan kehadapan manakala yang membawa sejuta kepuraan akan dikagumi dan disanjungi. Maka menerpalah pelbagai bisikan kehampaan yang menarik ke lembah hina, maka tercucuklah hidung dengan tali nafsu  ibarat lembu yang patuh mengikut ke mana kemahuan tuannya.

Suhu pengharapan yang tinggi diiringi dengan doa dan keyakinan adakalanya pula hancur berderai ditengah jalan ibarat kaca di puncak gunung terhempas di tanah datar. Keyakinan dan pengharapan yang memanjat usaha diri belum tentu dapat dituai hasilnya di depan mata. Sebaliknya perkara lebih memedihkan akan melukai keyakinan dan pengharapan yang ada ibarat belati merobek isi. Yang diharap tinggal harapan dan yang dinanti tak pernah kunjung tiba.

Inilah rahsia di dalam rahsia untuk lebih mengenali diri sendiri sebelum mengenali Pencipta Sejati. Segala restu hidayah yang sedang menanti tidak akan pernah jemu untuk menyambut dan menyapa mesra bagi yang lulus ujian dan melepasi segala liku yang ada. Mengharungi lautan hidup bukanlah mudah, apatah lagi untuk menemukan daratan kebahagiaan yang baqa. Layarnya mestilah berjenama keredhaan - yang teguh yang tidak mudah carik dek sapaan ribut dan pendayungnya pula wajiblah bermutukan kesabaran yang tidak mudah reput dek masinnya laut dan teriknya mentari! Pada akhirnya menitislah airmata menerima segala anugerah kurniaNya yang tidak pernah terbayangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan