Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

01 Julai 2011

Makbul - Ternyata Sebuah Drama Yang Hebat





Fakir bukan orang yang pandai dalam memberi komen-komen apatah lagi mengkritik sesebuah filem atau drama, Fakir hanya ingin menyatakan rasa kepuasan dalam menonton drama bersiri hebat ini. Sebagai seorang yang dah agak berumur dan acapkali bersama keluarga diwaktu malam seandainya tidak bekerja atau tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti luar bersama persatuan atau sahabat handai sudah tentulah akan menghabiskan masa menonton tv bersama. Kali ini Fakir rasa amat berminat dengan sebuah drama yang berjudul Makbul - Sebuah Cerita Tentang Doa yang sedang ditayangkan di TV2 pada setiap khamis-jam 9 malam.




Sudah lama Fakir "ketagih" dengan drama-drama berunsur keagamaan dan bertaut rapat dengan suasana ala-ala kampung, dengan menonton drama Makbul ini timbul rasa kepuasan, apatah lagi didokong pula oleh para pelakon yang ternyata hebat dan dapat membawa watak dengan penghayatan yang padu ditambah dengan dialog dalam bahasa Kedah menambahkan lagi minat Fakir. Sudah jelak rasanya kalau mata disogok dengan kisah-kisah cinta korporat, skandal sana-sini, lambakan kisah-kisah hantu yang tidak ketahuan punca memualkan anak tekak kalau dipaksa-paksa menontonnya.




Ternyata penerbit drama bersiri ini iaitu Asri Alias telah berjaya melarikan kebiasaan unsur-unsur yang sama dalam setiap drama yang dimainkan di mana-mana stesen tv. Drama yang tinggi mutunya kerana didalam ingin menyampaikan mesej bahawa hebatnya sesuatu doa dan semua rahsia ketentuan hanya milik Allah SWT jua namun ianya tetap santai dan kita akan terus terhibur hingga ke penghujung episod. Diselit dengan unsur-unsur komedi dari watak-watak tertentu dan dari skrip yang kuat oleh Zabidi Mohamed membuatkan kita terasa benar-benar santai untuk menontonnya dan terus menanti episod mendatang.


Semua karektur di dalam drama bersiri ini dijayakan dengan begitu berkesan dan hidup sekali. Bermula dengan karektur dari pelakon veteran hinggalah kepada para pelakon cilik semuanya memang berjaya menghayati watak. Gandingan hebat pelakon lama dan baru seperti Datuk Jalaluddin Hassan sebagai Anuar, Kartina Aziz (Jamiah), Yushazizi Yusof (Bol), Zakaria Yusoff (Pak Aji), Mubarak Majid (Ustaz Rahim) dan Zulkifli Ismail (Datuk Borhan).

Tidak ketinggalan bantuan pelakon-pelakon lain yang membintanginya seperti Fathil Dani (Imam Rosdi), Khatijah Tan (Hajah Tam), Prof. Dr Samad Salleh (Penghulu), Badrul Munir Md Isa (Haji Salim), Bustamam Haron (Haji Badar), Wan Maimunah (Rosnah), Isa Mean (Burn) dan Kazar (Jamil).



Alangkah baiknya kalau drama ini disiarkan oleh RTM pada bulan Ramadhan nanti, sudah tentu ianya akan menjadi bertambah menarik lagi. Atau setidaknya RTM akan mengulang tayang sekali lagi di musim puasa mendatang nanti.


Sinopsisnya berkisar tentang seorang kontraktor berjaya, Anuar yang kurang mempercayai keberkatan doa dalam kehidupan harian. Bagi Anuar, kejayaan diraihnya kini bersandarkan kegigihan, usaha serta kebijaksanaannya mencari peluang.
Namun, di kampung dia sekeluarga menetap, tinggal seorang pemuda lurus bendul yang sering dibuli, Bol yang sentiasa rajin berdoa. Malah, Bol menyimpan impian untuk menziarah makam Rasulullah s.a.w di Tanah Suci ketika mengerjakan umrah.

Di saat Anuar diuji dengan masalah yang melanda perniagaannya, Anuar terbuka hati menaja seramai 12 orang kampung mengerjakan umrah. Tujuannya, supaya mereka yang ke Tanah Suci itu dapat mendoakan dia mendapat kelulusan pinjaman bank.



Saksikanlah sendiri drama bersiri ini untuk mengetahui cerita selanjutnya kerana Fakir rasa drama ini sudah hampir ke penghujungnya seminggu dua lagi. Tahniah buat penerbit Asri Alias, penulis skrip Zabibi Mohamed dan team produksi dalaman RTM yang telah membikin sebuah drama hebat seperti ini.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan