Hidup ini sebuah pelajaran - hidup untuk belajar dan belajar untuk hidup, semua ayat ini kalau dipusing kemana pun jawaban dipenghujungnya adalah sama. Suka, sedih, pahit dan manis yang dilalui adalah pelajaran yang membentuk jatidiri kita yang sebenar. Sukar dan mudah dalam melalui getir hidup itulah ujian yang akan menentukan peringkat ketahanan kita. Kehidupan pasti ada naik dan turun, menang dan kalah, jaya dan gagal.
Walau tinggi mana kita dipuncak atau walau getir mana pun kita terperosok di bawah maka jangan pula sesekali mudah lupa asal mula diri.Ini kunci pegangan hidup yang paling penting dijaga. Kalau hidup kita ini terlalu sukar dalam segala hal maka berbagailah pula racun-racun fikiran mula tertanam dalam benak hati. Semua dipandang nampak kosong, semua dibuat tiada nikmat sama sekali. Benci pula yang muncul bila melihat orang-orang yang suka memberi nasihat akan perkara-perkara baik. Kerana pada masa itu kalau kita mahu jadi baik sudah tentu kita mampu melakukannya. Semuanya tertakluk pada hati. Jangan nafikan bahawa manusia sentiasa berada dalam situasi di mana pengaruh agama sentiasa berperang dengan hawa nafsu. Nafsu ini terlalu bijak menahan dan menyembunyikan kerakusan laparnya.
Cerita susah ini membuatkan keegoan diri akan terungkai dan tersungkur, tersembam maruah diri di hadapan kaki insan-insan lain. Apabila hidup menjadi terlalu sukar kita mungkin terpaksa bersabar kerana itu saja yang kita mampu buat tetapi apabila hidup dilimpahi kekayaan dan diselimuti kemewahan tidak ada pula orang yang TERPAKSA bersyukur. Paling aneh pula apabila kesukaran dan kemiskinan hidup kadang-kadang menghidupkan kepekaan jiwa hinggakan kita lebih banyak memikirkan kepentingan orang lain dari kepentingan peribadi menyebabkan kita membesar dengan jiwa masyarakat.. contohnya kalau ada hanya 2 keping wang seringgit, dengan ikhlas pula memberi seringgit kepada yang meminta kerana jauh di dalam hati bahawa kita juga pernah atau sedang mengalami nasib yang sama.... anehkan?
Sedih, marah, sakit hati dan kebimbangan adalah antara yang dialami apabila seseorang sedang menghadapi masalah. Apakah yang patut dilakukan apabila menghadapi keadaan yang menguji kita?Akibat rasa sedih tidak terkawal boleh menjadikan seseorang itu bertindak di luar batasan.Tindakan di luar batasan itu mungkin membahayakan diri orang lain dan dirinya sendiri.Tetapi apa yang lebih menyedihkan, biasanya tindakan itu juga akan merugikan si pelaku di akhirat kelak.
Mungkinkah ada manusia di dunia ini yang dalam sepanjang hayatnya tidak pernah mempunyai masalah?
Kita bukan orang sufi yang kuat bertahan kerana para sufi menegaskan bahawa, ujian dan musibah merupakan suatu "ta'aruf" atau perkenalan dari Allah s.w.t., di mana setiap kali Allah s.w.t. menguji seseorang hamba tersebut, bererti Dia memperkenalkan diriNya kepada para hambaNya disamping menilai bagaimana hamba tersebut memperkenalkan dirinya kepadaNya. Jadi di mana kita dan siapa kita dalam situasi begini...sekali lagi tepuk dada tanya jawaban hati.
Selama ini kita selalu persoalkan Tuhan. Sebenarnya apa yang Tuhan buatkan sudah adil. Para Rasul adalah orang yang paling kenal Tuhan dan kenal kerja Tuhan, apa pun Tuhan buatkan pada dia, dia faham bahawa itu adalah keadilan Tuhan. Rasul-rasul sejak lahir sudah diuji tetapi tidak pernah susah hati. Contohnya, Nabi Ibrahim lahir di gua, Nabi Musa waktu bayi lagi dihanyutkan di sungai Nil.
Sekarang cuba terangkan pada diri sendiri adakah aku masih tetap aku walau ribut taufan atau badai menghempas dalam gelora hidup masih belum mahu surut???
luahan....
Daku terbang mencari Mu lalu aku dipanah oleh pemanah cederalah dadaku,adakah begini nasib si pencari Mu?tanpa sebarang sisa pada diriku lagi.
Para ahli sufi dihadang oleh berbagai ujian, musibah, penderitaan, kesusahan, kehausan, kelaparan, dan kehinaan. Namun mereka bersabar, tidak mempedulikan semua itu dan tidak mundur sedikit pun, mereka teguh dan tidak berubah. Mereka tetap meneruskan langkahnya sehingga terbukti bahwa hatinya senantiasa bersama dengan al-Haq Azza wa Jalla
(Syeikh Abdul Qadir Jailani)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan