Dah masuk raya kelima, tetamu dari kalangan keluarga dan sahabat handai masih mengunjungi pondok Fakir. Dalam keletihan masih terasa keseronokan dapat bertemu dengan handai taulan yang lama-lama sekali baru berjumpa. Walaupun adakalanya sebelum menjelang Ramadhan ada sedikit sebanyak terasa hati namun mudah terhapus bila masing-masing ikhlas menghulurkan tangan melupakan segala silap dan salah yang telah sengaja atau tidak sengaja dilakukan. Itulah manusia yang penuh dengan sifat-sifat yang sangat serba kekurangan ini.
Raya kali ini, perbelanjaannya amat ketara dirasai, semua barang melambung-lambung ke puncak awan harganya. Kalau dulu wang lima puluh ringgit itu paling tidak dapat dibelanjakan untuk 2-3 hari. Tapi pada hari ini dengan duit sebanyak itu kalau digunakan, setengah jam pun tak sampai, sudah habis dengan hanya satu dua barang saja dapat dibeli. Bagi golongan mewah semua itu tidak menjadi hal buat mereka. Bagaimana pula buat golongan yang kurang upaya? Bayangkanlah sebatang lemang sebesar betis budak berumur 2 tahun dijual dengan harga RM10, dodol 500gram pula sudah mencecah RM10 sebungkus.. congak-congakkanlah berapa duit yang harus keluar untuk dua benda ini saja. Harga barangan runcit pun melambung sederas tsunami melanggar tanah besar.
Fakir langsung teringat raya dulu-dulu, rasanya kemeriahan raya ketika itu jauh lebih terasa meriahnya. Dengan sanak saudara berkumpul bersama menyediakan juadah untuk hari raya, letih macamana sekali pun hati tetap riang. Malah dapat pula berbuka puasa buat kali terakhir untuk tahun itu bersama-sama.
Dulu kemeriahan dan kegilaan menghantar kad raya adalah satu kemestian. Cantik dan penuh kepelbagaian menghiasi muka depan kad tersebut. Ada gambar masjid, bunga, kucing lukisan malah kartun yang menggelikan hati. Ayat-ayat yang terukir di dalam kad-kad tersebut terkadang sangat menyentuh perasaan. Hari ini duit tak payah keluar untuk beli kad dan setem kerana berbagai e-kad raya boleh dipilih di alam siber. Maka e-kad raya itu hanya boleh diketemukan oleh orang-orang yang menggunakan internet sahaja...titik habis disitu. Bagaimana emak dan ayah atau bapa dan emak saudara yang sudah tua?
Fakir di zaman kanak-kanak dulu riuh sakan bermain bunga api dan mercun, malah meriam buluh juga tidak ketinggalan. Membedil meriam buluh menjadikan satu pertandingan tidak resmi antara kampung. Pun begitu, tidak pernah sekali pun terdengar ada budak yang putus tangan atau melecur sana sini kerana main benda-benda tersebut. Hari ini mungkin budak-budak terlebih genius dan inovatif dalam mengolah semula bahan-bahan tersebut sehinggakan seawal ramadhan sudah masuk televisyen cedera di sana-sini. Mungkin selari dengan kehebatan teknologi sekarang, anak-anak kita terlebih inovatif dalam segala hal.
Dulu-dulu juga anak-anak bebas ziarah menziarahi sanak saudara untuk kutip duit raya. Tak ada bahaya yang datang mengundang. Hari ini jangan kata hendak kunjung mengunjungi, melangkah keluar pagar sahaja mak bapak pasti sudah risau kerana berbagai jenayah dan bahaya sedang menunggu habuan. Penyangak-penyangak durjana sedang menunggu umpan bagaikan serigala yang rakus bila berpeluang membaham mangsa di depan mata. Kalau dulu juga setiap kunjungan pasti kenyang dengan jamuan namun hari ini anak-anak kecil sudah siap memberitahu mereka tak nak makanan tapi hanya nak kutip duit raya sahaja. (tersengih sendirian bila mengenangkan telatah anak-anak kecil sekarang).
Kalau dulu kuih muih raya semuanya dibuat sendiri. Anak lelaki pun adakalanya turut terpaksa membantu emak atau kakak di dapur. Para ibu masa tu kalau tak silap masih menggunakan marjerin untuk biskut-biskut raya, mentega agak janggal didengar. Dodol dikacau sehingga berbuka puasa pun belum tentu siap, dahaganya alahai mak datuk usah dicakaplah. Paling menarik apabila membakar lemang di malam raya, yang pastinya semua pakat menanti pengisytiharan tarikh 1 Syawal dulu barulah kerja-kerja membakar dijalankan. Hari ini peratusan besar biskut-biskut dibeli, mungkin kerana semuanya hari ini mengejar masa yang semakin sempit. Walaupun harga mencecah RM30-40 untuk 50 ketul terpaksa dibeli hatta bahulu yang benar-benar tradisional pun terpaksa dibeli. Bahulu buatan sendiri emak-emak atau nenek-nenek kita dulu sangat enak kerana garing di luar lembut di dalam. Bahulu mesin yang dikomersilkan hari ini pun tetap enak cuma luar dan dalam sama sahaja.
Begitulah perbezaannya... Fakir nak mengucapkan Selamat Hari Raya dan Mohon Maaf Lahir dan Batin buat rakan-rakan dan saudara-saudara pengunjung Selasar Si Fakir ini. Seandainya ada yang terkilan, marah dan tersinggung dalam posting yang lalu. Sebagai manusia yang serba kekurangan ini, Fakir tidak terlepas dari membuat kesilapan, apalagi dosa-dosa yang adakalanya tidak sedar telah dilakukan sesama insan lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan