Namaku Nuha, seorang anak kampung. Aku
amat bangga menjadi orang kampung. Hidup kami sederhana. Tak susah dan tak
mewah. Sederhana gitu. Ayah aku seorang peniaga kedai runcit, di samping itu
ayahku membeli getah sekerap, hasil-hasil kebun seperti pisang, petai, durian
dan sebagainya. Pendek kata apa yang orang kampung jual, ayah beli. Hidup aku
dan adik beradik tak lah kaya tapi makan minum sentiasa cukup, maklumlah anak
taukeh kedai. Masa kecil aku, amat manis untuk dikenang. Segalanya indah di dalam
ingatan. Rutin seharian aku bila hari cuti berkumpul ramai- ramai bincang apa
nak main.
Selalunya, pagi aktiviti kami bermain guli. Aku ada seorang sepupu,
lelaki...memang pakar bab main guli. Bila menang banyak cepat cepat dia simpan
guli dalam tin milo. Amboi..mak ai, banyak gila guli dia. Lepas tu dengan
bermodalkan dua biji guli dia main lagi, menang lagi, simpan lagi. Kadang ada
budak budak yang menangis sebab kalah banyak. Aku? Kalau kalah aku ambil kayu
atau apa yang dekat dengan aku untuk baling sepupu aku. Jarang kena tapi puas
hati..hehe.
Paling aku tak suka bila tengah kusyuk
main, mak aku panggil suruh jaga kedai waktu mak nak masak. Ayah selalunya
ronda kampung, cari hasil kebun dan timbang getah sekerap. Jadi tugas aku la
jaga kedai. Bila kena jaga kedai, bosannya Allah saja yang tahu. Waktu tu bukan
ke masih budak-budak tentu panggilan kawan-kawan untuk bermain membuatkan aku
tak senang duduk. Musuh aku waktu itu ayam...hahaha..maklum saja, di kampung
ayam suka masuk dalam kedai, habis semua dia nak patuk. Tambah lagi bila guni
beras bocor. Aduh seksanya jiwa raga
kanak kanak aku waktu itu. Bukan dia faham bahasa, dia masuk aku halau,
masuk lagi halau lagi. Last, aku biar dia masuk menikmati beras yang berterabur
di lantai. Aku nampak lastik dan batu di meja ayah aku. Dalam hati aku, siap
kau ayam. Dalam tengah asyik si ayam menikmati beras, aku tarik lastik yang
berpeluru batu. Dari jarak yang tak berapa jauh aku lastik ayam tu. Menggelupur
kesakitan kena batu, aku terkejut sebab batu tembus dalam badan dia. Takut aku
sebab ayam itu mati. Apa aku nak bagi tau mak aku. Akhirnya mak aku dapat tahu,
berbakul aku kena leter. Mak aku kata..perempuan apa ni? Main macam lelaki,
pakai seluar pendek lagi. Sudah la tu habis ayam mak aku nanti. Aduh, menyesal
sungguh bila tengok satu nyawa melayang di tangan aku.
Selesai satu bab, lagi satu
kebiasaan aku dan geng aku ialah mandi sungai. Kalau mandi sungai, pagi turun
petang baru balik rumah. Makan tengah hari? Kami akan balik ke rumah masing
masing ambil nasi , berkelah ramai ramai. Aku masih ingat masa itu mak ayah tak
kongkong kami pun. Tidak pula nampak mereka risau kalua-kalau berlaku trajedi
lemas ke, hanyut ke. Kalau mandi di sungai bukan sekadar mandi, kami bermain
baling batu masuk dalam lubuk yang paling dalam. Kalau aku kenangkan hari ini,
sumpah aku tak bagi kalau anak anak aku beraktiviti macam aku, cara aku. Bahaya
weh..
Last aku nak cerita bab main polis sentri.
Tak tau betul ke tak aku eja. Aku selalu akan bawa bekal kudap kudapan seperti
coklat, keropok untuk sekutu rapat aku. Rasa macam cerita anakku sazali la
pulak. Bila aku sampai, berkerumun kawan-kawan nak jadi geng aku. Maklum lah
poket seluar aku penuh dengan bekalan dunia akhirat untuk geng aku. Kadang aku bawa
susu pekat manis yang dalam peket tu. Masa tu yang femes susu cap junjung la.
Kalau tak pun milo peket. Kami pakat ratah macam tu saja. Air? Tak payah. Ayah
aku tak pernah kedekut dengan budak-budak. Setiap aku pergi main macam macam
makanan aku bawa. Ayah kira sedekah la tu.
Port kami bermain masa tu, dalam hutan
la. Ada pokok kopi, jiran punya. Pokok pinang yang kecil jadi mangsa aku dan
geng aku. Aku rasa pembaca kisah aku ni mesti rasa pelik kalau aku kata abih
pokok pinang yang kecik-kecik rosak kami kerjakan. Kadang aku sampai pening
sebab makan umbut pinang muda. Sedap..manis ja. Jiran aku pernah mengadu dekat
ayah aku gara gara kami rosakkan pokok pinang muda sebab nak makan umbutnya.
Harap-harap tuan tanah yang keba aku rosakkan pokok pinang tu halalkan aku.
Kalau tak, sakit lah aku nak mencari dekat mahsyar nanti.
Ayah aku seorang yang tegas kalau dalam
bab solat dan mengaji. Aku, kakak dan adik lelaki aku mengaji dekat rumah opah.
Rumah opah tu belakang rumah aku ja. Bila nak pergi rumah opah kena lalu bawah
pokok rambai. Besar pokok rambai tu. Kakak aku selalu kata ada penunggu dekat
pokok rambai tu. Bila lalu setiap kali nak pergi mengaji, berterabur kami adik
beradik lari. Selalunya aku yang sampai dulu dekat rumah opah. Sementara
menunggu opah habiskan wirid selepas solat maghrib, kami mengaji yang semalam punya dulu. Elok saja opah
habis wirid, laju saja aku terpa, nak mengaji dulu. Maklum la , lepas berita
ada cerita combat. Lagi satukan, opah selalu puji aku. Opah kata aku terang
hati, mudah ingat bila mengaji. Ewah...kembang aku bila dipuji. Kakak aku kalau
bab mengaji slow sikit. Tapi aku dan kakak memang rapat, tak pernah bergaduh.
Walau kami berlainan ibu, aku sayang kakak aku. Aku selalu tolong ajar dia
mengaji. Sampai sekarang kami berdua rapat. Lagi satu perangai comel aku,
selalu aku tipu opah, kata sakit perut sebab takut terlambat tengok combat.
Comel la sangatkan?
Aku nak bagi tahu, dekat kampung aku masa
tu, cuma pak ngah aku seorang saja yang mampu beli tv. Tak percaya? tanya mak
aku...hahaha.Masa tu cerita bersiri yang paling popular combat, chips, bj and
the bear dan banyak lagi. Bila malam, rumah pak ngah aku macam panggung wayang,
penuh sesak orang datang nak tengok tv. Masa tu pak ngah aku kenakan bayaran
sepuluh sen seorang. Bila orang sampai mereka bayar dengan cara bubuh dalam tin
milo. Keletung...kelatang duit masuk. Kadang ada juga yang nakal bubuh batu.
Masa tu aku berangan, kalau lah ayah aku beli tv, sudah tentu aku kaya raya.
Mesti aku perangai macam mail dalam upin ipin.
Aku nak sambung celoteh pasal musim
buah. Selalunya musim yang ditunggu tunggu oleh aku dan adik beradik serta
sepupu sepapat dah tentu lah musim durian. Pokok durian tok nenek banyak, semuanya keliling rumah ja.
Bila bunyi berdebuk durian luruh, berdesup kami semua berlari, kalah pelari
popular marina chin. Apa taknya, ayah aku bukan ke peraih buah. Buah durian tu
jual dekat ayah aku. Sanggup tak makan, kalau nak makan jual dulu. Dapat duit,
lepas tu minta balik durian dekat ayah aku, untuk makan. Apa jenis anak la kami
masa tu kan? Seingat aku beratus juga duit durian yang aku dapat. Aku tahu ayah
rugi bila beli durian anak anak, apa tidaknya lepas beli, ayah bawa durian
masuk dalam rumah. Ayah aku suruh pula mak aku masak pulut. Makan dengan buah
durian dan santan. Sedapnya nikmat musim durian. Itulah untungnya kami sebagai
anak anak kampung. Penuh dengan keriangan seumpama warna warna pelangi.
Andai
dapat aku undur masa, mahu aku bawa anak anak aku saksikan kehidupan aku yang
terlalu istimewa. Tidak perlukan barang barang mewah. Serba sederhana namun
bahagia sekali.Apapun rindunya aku pada arwah ayah, arwah pak ngah. Al fatihah
untuk insan mulia kesayanganku. Itu lah serba sedikit kisah hidupku di zaman
kanak kanak . Maaf seandainya kisah ku ini ada membuatkan para pembaca tidak
selesa atau bosan membacanya.InshaaAllah, panjang umur boleh aku berceloteh
lagi.