“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia
menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung
dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan
sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda
bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum 30:21)
Dalam hadis, Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya,
dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku". (riwayat
al-Tarmidzi).
Hakikatnya Allah SWT menjadikan isteri itu sebagai pasangan
buat lelaki adalah merupakan anugerah dan bukannya hak milik. Seseorang hanya
akan merasa kaya dan damai apabila dia merasakan dirinya mendapat anugerah yang
istimewa daripada Allah SWT. Dan rasa kekayaan itulah yang dirasai apabila
isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita
merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak pernah akan merasa cukup dengan
pemilikan itu, dan sentiasa merasa gelisah
serta berwaspada akan kehilangannya.
Sering seorang lelaki yang juga merupakan suami merasakan
bahawa dialah ketua dan dialah yang paling tinggi kedudukannya di dalam
keluarga. Sehingga seorang isteri itu perlu taat kepadanya. Kenyataan bahawa
“syurga isteri itu bergantung pada redha suami” menjadikan suami kadangkala menjadi bertambah ego hingga lupa bertanya
diri di mana pula syurganya?
Pernahkah suami bertanya di mana syurganya di dalam rumah
tangga?
Keluarga adalah lubuk kebahagiaan apabila kita mampu
membahagiakan ahli keluarga. Kebahagiaan kita kecapi mencerminkan sebanyak mana
kemampuan diri kita membahagiakan pasangan dan anak–anak.
Ramai yang mengejar
bahagia hanya untuk diri sendiri tanpa ada keinginan untuk membahagiakan orang
lain. Bahagia yang di cari penderitaan yang menjengah.
Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang
berlemah lembut dengan ahli keluarganya. Kita para suami, lihatlah ke dalam
diri kita. Apakah hari ini akhlak kita baik dengan isteri dan anak-anak kita?
Atau adakah kita sebaliknya?
Janganlah jadi lelaki yang tidak bagus akhlaknya. Apabila
dia bersama-sama kawan-kawannya, perangainya sangat baik. Jika kawan-kawannya
dalam kesusahan, dia sanggup menolong. Bahkan sanggup membelanjakan kebanyakan
wangnya untuk mereka. Sedangkan kawan-kawannya tidak sentiasa ada bersama
dengannya ketika susah. Isterilah yang setiap masa bersamanya mengharungi suka
duka kehidupan.
Kita perlu yakin dan percaya bahawa setiap isteri telah
melakukan banyak sumbangannya kepada suami dan anak-anak. Maka, sentiasalah
muhasabah dan fikir-fikirkan serta imbang-imbangkanlah dengan kesalahan atau
kesilapan yang mereka lakukan. Jika ini kita dapat lakukan, maka sudah pasti
kita akan dapat melihat kesilapan mereka adalah kecil berbanding pengorbanan
yang mereka lakukan.
Kita manusia, isteri dan anak-anak juga adalah manusia.
Sesungguhnya, sebagai manusia, sudah tentu tidak ada yang sempurna dan tidak
ada yang tidak melakukan kesilapan. Pasti ada. Bahkan kita juga sudah pasti ada
melakukan kesilapan yang sama. Cuma barangkali ia terhijab dan tidak diketahui
orang lain. Barangkali kesilapan itu hanya kita dan Allah SWT sahaja yang
mengetahuinya. Maka, untuk itu, tidak salah sekiranya kita menutupi kesalahan
isteri dan anak-anak dengan kebaikannya.
Perkahwinan yang tidak didasarkan kepada perasaan kasih
terhadap satu sama lain, tidak disulami dengan kemesraan adalah satu
perkahwinan yang tidak bahagia dan tidak bermakna.
Justeru, Rasulullah SAW sering menasihati suami sebagai
ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaik-baiknya. Suatu ketika,
ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah SAW mengadu mengenai layanan
buruk diterima daripada suami mereka.Tidak dapat dinafikan, manusia masing-masing ada kelemahan
dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik untuk mengatasinya
ialah dengan bersabar dan tidak memperbesarkan kelemahan itu.
Diriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Mana-mana
lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan
berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub a.s kerana bersabar di
atas bala yang menimpanya. Mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan
perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada
Asiah binti Muzahim, isteri Firaun."
Bersama kita renungi kisah seorang lelaki yang mengunjungi
Umar bin Khattab r.a untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di
luar pintu menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang
meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.
Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya, "Jika
beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas,
maka bagaimana dengan aku? Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat
lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.
Lelaki itu berkata, "Wahai Amirulmukminin, aku datang
untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku.
Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku:
Jika begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?
Umar berkata kepadanya, "Wahai saudaraku, sesungguhnya
aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku.
Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian
aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia
juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab
itulah aku bersabar dengan kerenahnya.
Lelaki itu menjawab, "Wahai Amirulmukminin, demikian
jugalah isteriku. Umar pun berkata kepadanya: Maka bersabarlah wahai saudaraku.
Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika."
Oleh itu belajarlah menyayangi isteri dengan lebih jujur dan
ikhlas, jangan sia-siakan anugerah dan amanah yang Allah kurniakan kepada kita
para suami. Bertengkar dan bermasam muka itu lumrah sebuah perkahwinan…
sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Mudah saja untuk
memurnikan hubungan suami isteri seandainya kita mengambil jalan berlapang
dada, buangkan ego yang melampau-lampau sebagai ketua keluarga dan bertolak ansur
dan menerima kritikan secara rela dan berfikiran terbuka.
DIA kesayanganku, dia permaisuri hatiku, dia sentiasa di
sanubariku…..DIAlah isteriku. Terimakasih buat isteri tercinta kerana menerima
diri fakir yang sefakir-fakirnya ini sebagai peneman hidup. Walau hidup tidak
sesempurna dan segembira pasangan lain.. namun kasih sayang, kesetiaan dan
ketaatan yang tiada penghujungnya menjadi antibiotik paling kebal dalam
kehidupan kita.
اَللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ
وَبَارِكْ عَلَى مَوْلاَنَا مٌحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ فِي كٌكِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ
عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan