Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

14 Mac 2010

Jejak Ulamak- Syeikh Haji Mohd Yusuf Bin Ahmad (Tok Kenali)




Seorang tokoh ulamak yang amat popular dan tidak asing lagi dari negeri Kelantan hinggalah seluruh pelusuk semenanjung tanah Melayu. Di zaman beliaulah bermulanya Kelantan diberi jolokan sebagai "Serambi Mekah"  kerana merupakan penyemarak kebangkitan sekolah pondok dengan teknik pembelajaran yang unik. Tuk Kenali sangat mementingkan pendidikan sehingga pernah berpesan kepada murid-murid beliau dengan dua perkara; belajar bersungguh-sungguh dan buka pondok.

Beliau di lahirkan di Kampung Kenali di bawah jajahan Kota Bharu 1287H/1870M. Seorang anak yang senantiasa berpegang kepada sabda Rasulullah SAW "syurga di bawah tapak kaki ibu", oleh itu beliau sangat-sangat menghormati ibunya dan sentiasa pula memohon restu ibunya apabila hendak melakukan sesuatu pekerjaan yang penting lagi besar.

Pendidikan awal beliau ialah dengan datuknya sendiri yang dikenali dengan gelaran 'Tuk Leh', seorang imam kampung yang alim. Datuk beliaulah mula mengajar beliau menulis dan membaca al quran. Di usia beliau meningkat 10 tahun telah nampak akan kesungguhan beliau dalam mencari ilmu apabila beliau sanggup berulang alik dari kampung beliau ke Kota Bahru sejauh lebih kurang 8 batu dengan berjalan kaki. Di antara guru Tok Kenali yang amat terkenal ialah Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Mohd Salleh yang lebih terkenal dengan gelaran nama sebagai 'Tuan Tabal'.

Di kala usia beliau sudah mencecah 18 tahun beliau telah mula melangkahkan kaki ke Tanah Suci Mekah. Setibanya beliau ke tanah suci beliau tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap maka serambi Masjidil Haram lah tempat beliau menetap buat sementara waktu. Namun walaupun selepas beliau sudah mempunyai tempat tinggal yang tetap beliau masih gemar beriktikaf, bermutaalah dan belajar di masjid.

Tok Kenali merupakan seorang yang amat suka membaca. Peringkat awalnya beliau sering meminjam kitab-kitab dari teman-teman dan di maktabah ataupun membacanya di kedai-kedai buku.Pun begitu apabila beliau mempunyai wang beliau tidak pernah sayang untuk berbelanja membeli kitab-kitab.

Di antara guru-guru beliau dari bangsa Arab ialah seperti Al 'Alamah Syeikh Habibulah, Al 'Alamah Syeikh 'Abid (Mufti Al Malikiah), Al 'Alamah Syeikh   Muhammad Amin, Al 'Alamah Syeikh Bakri, Al 'Alamah Syeikh Mohd Yusuf Al Khiadh dan Al 'Alamah As Sayid Abdullah Bin Sayid Saleh Az Zawawi (Mufti Mekah)

Manakala guru-guru beliau dari bangsa Melayu ialah seperti Asy Syeikh Mukhtar 'Athar Al Jawi Al Minangkabawi Al Bukri, Asy Syeikh Ahmad bin Abdul Latif Al Minangkabawi, Asy Syeikh Muhammad bin Ismail Al Fathani, Tuan Guru Haji Wan Ali Kutan, Tuan Guru Haji Mohd Daud dan Al 'Alamah Asy Syeikh Wan Ahmad bin Ahmad Mustafa Al Fatani. Guru pembimbing ilmu Tok Kenali yang utama ialah Al 'Alamah Asy Syeikh Wan Ahmad bin Ahmad Mustafa Al Fathani.

Setelah 17 tahun berada di Mekah, beliau bersama guru pembimbing beliau iaitu Al 'Alamah Asy Syeikh Wan Ahmad Al Fathani berangkat ke Mesir. Al 'Alamah Asy Syeikh Wan Ahmad Al Fathani merupakan seorang ulamak yang besar. Kedatangan beliau ke Mesir menjadi buah mulut orang ramai. Apabila orang ramai datang mengaju soalan maka Tok Kenali diberi kepercayaan tuan gurunya untuk menjawab soalan.

Tidak berapa setelah pulang dari Mesir, tuan guru beliau Al 'Alamah Asy Syeikh Wan Ahmad Al Fathani telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1325H (1906M). Maka beliau pun bercadang untuk pulang ke tanah air. Tok kenali amat akrab dan menyayangi gurunya itu sehingga pernah berkata " Jika masih ada Syeikh Ahmad tentu aku tidak pulang lagi".

Bermulanya era sebagai pendidik apabila Tok Kenali membuka kelas pengajian untuk orang ramai di rumahnya sendiri. Semakin hari semakin ramai yang datang belajar hingga mereka mendirikan pondok-pondok di sekitar rumahnya agar mudah mengikuti pengajian beliau. Dalam masa yang sama beliau mengajar di Masjid Al Muhammadi di Kota Bahru. Beliau mempunyai prinsip bahawa dakwah,tarbiah dan ilmu perlu disebarluaskan kepada orang ramai.

Di samping itu Tok Kenali juga giat menulis, dengan inisiatif beliau maka lahirlah majalah Pengasuh. Beliau juga sebagai seorang penasihat dan penulis untuk majalah Al Hidayah.Tok kenali juga menerbitkan risalah pelajar Talamiz. Kitab Khasiat Bintang-Bintang dan Mujarrabat merupakan karangan beliau dengan nama pena Awang Kenali (rujuk *1) 

Kehidupan beliau amat zuhud (tidak mementingkan keduniaan), sentiasa merendah diri, sangat pemurah dan suka bersedekah untuk fakir miskin dan anak-anak yatim. Jika ada sesiapa yang terjumpa barang kepunyaan beliau terjatuh maka disuruhnya ambil kerana dikira sebagai rezeki orang yang terjumpa itu.Beliau juga amat membenci amalan-amalan jahiliah seperti berlaga kerbau. Tok Kenali pernah memberi amaran bahawa banjir besar akan melanda Kelantan dan peristiwa itu benar terjadi dan dikenali sebagai bah merah berlaku pada tahun 1926. Kehalusan budi ini merupakan hasil dari amalan thorikat dan penghayatan ilmu tasauf yang diselami dan dihayati serta diterapkan dalam penghidupan seharian beliau terutamanya dari kitab-kitab besar karangan ulamak muktabar seperti Al Imam Al Ghazali, Ibnu Atho'illah dan Syeikh Abdul Samad Al Palimbangi.

Disamping mengamalkan thorikat Ahmadiyyah Idrissiah (pengetua bagi thorikat ini iaitu As Syeikh As Sayid Ahmad ibni Idris Al Fasi- seorang ulamak muktabar), Tok Kenali juga banyak mengamalkan selawat nabi dan melazimkan bacaan surah Al Ikhlas serta doa karangan Al Imam Al Ghazali.

Setelah umur beliau telah melebihi 60 tahun, Tok Kenali mula uzur dan tidak lama kemudian sakit beliau menjadi semakin berat . Akhirnya beliau kembali menghadap Allah kecintaannya pada bulan Syaaban 1352H-19hb. Nov 1933 ketika berusia 65 tahun. Ulamak berjiwa sufi yang banyak menaburkan jasa bakti dalam bidang keilmuan ini telah banyak melahirkan ulamak-ulamak pelapis selepas era beliau. Perginya seorang ulamak yang tiada kenal jemu dan penat lelah dalam menyebarkan ilmu untuk orang ramai.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmatNYA ke atas roh Tuan Guru Syeikh Mohd Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali). 

Al Fatihah buat Tuan Guru Tok Kenali.......




*1- karangan Ustaz Abdullah Qari' - Pusaka Tok Kenali dan buku berjudul Sumbangan Tok Kenali Kepada Dunia Ilmu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan