Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

14 Mac 2010

Semangat Tidak Akan Luntur!





Terdengar saja tiupan serunai,tingkahan gendang dan paluan gong, badan yang lesu, semangat yang luntur dan malas yang menyelubung seakan segera menghilang. Apatah lagi bila diri sudah berada di dalam gelanggang yang seakan samar yang hanya didindingi oleh pelepah kelapa. Semangat kepahlawan tiba-tiba meruntun jiwa untuk bertitar-titar di dalam gelanggang walaupun ilmu hanya sejengkal kail.


Namun semua itu telah berlalu, dunia persilatan kini sudah banyak berubah. Banyak perguruan sudah mengikut arus kemodenan.Sesungguhnya berbanggalah segala anak Melayu kerana ilmu warisan masih tidak terpinggir walaupun segelintir cuma yang memperjuangkannya.Sudah banyak perguruan silat yang berdiri megah di persada dunia menjulang ilmu persilatan Melayu. Jerih payah golongan ini bukanlah semudah yang disangkakan. Sudah terlalu banyak ranjau cobaan perlu diharungi untuk mencapai matlamat sebenar. Yakinlah setiap orang dan perguruannya berjuang memertabatkan ilmu kepahlawanan ini bukan untuk seronok sendiri tetapi semata-mata hanya kerana sayangkan ilmu warisan ini dan berasa berhak untuk memartabatkannya. Ini kerana setiap yang terdidik di gelanggang persilatan sudah pasti sudah dibajai dengan rasa sayang kepada bangsanya dan apa saja warisan bangsanya.


Dengan adanya segelintir pejuang ini, maka hendaknya bersatu bak kata pepatah "bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat". Bersatu dalam ertikata memikirkan dan memperhebatkan lagi cara untuk mempromosi silat di mata dunia mahupun di hati anak-anak muda sendiri.Kalau di era 80an-90an (semasa saya masih muda belia) samada di layar perak mahupun di kaca televisyen banyak menonjolkan cerita-cerita pendekar yang sudah semestinya membakar semangat untuk menjadi paling tidak sehebat pelakon tersebut. Seingat si Fakir di TV1 pernah tersiar drama bersiri "Pendekar Kundur" lakonan seniman Eman Manan. Di kala itu rasa tak sabar untuk menunggu episod seterusnya sentiasa meruntun hati.Setiap kali selepas melihat aksi memencak Eman Manan dalam drama tersebut semangat untuk turun ke gelanggang senantiasa ada. Rasa hendak menjadi seorang yang bercirikan seorang pendekar tulin senantiasa menjadi khayalan.


Hari ini terlalu ketandusan cerita-cerita seperti itu di kaca televisyen.Terlalu banyak disogokkan dengan kisah seram (yang melahirkan insan serba seram diserata tempat), lawak-lawak slapstick yang kekadang sedikit pun tidak mengeletek hati dan kisah percintaan orang-orang korporat.Cerita keruntuhan akhlak muda mudi juga sudah seakan menjadi "trend" pada masa kini. Kononnya ianya sebuah realiti dan semoga menjadi sempadan dan mendatangkan keinsafan pada muda mudi di masa depan. Impaknya nampak semakin galak budaya kuning dan merempit dikalangan remaja. Seumpama membuka pekung di dada sendiri.


Rasa sudah jelak dengan drama-drama seperti ini. Bukan setakat drama malah diseret genre seperti ini ke layar perak yang akhirnya tidak ke mana pun jua. Kenapa para pembikin drama dan filem tidak memikirkan bagaimana cara untuk memartabatkan warisan bangsa seperti silat melalui kaedah mereka? Apakah ada garis panduan yang perlu dipatuhi atau langsung tidak pernah terfikir sebelum ini? Sudah banyak jasanya medium seperti ini yang mampu menjulang sesetengah aliran bela diri dunia. Lihat saja contoh filem seperti "Best of The Best" yang mengangkat Tae Kwon Do menjadi kegilaan di zaman itu. Filem Under Seige dengan aktornya Steven Seagal seorang master dalam aliran Aikido. Begitu juga filem "Ong Bak" yang telah mengharumkan nama Muay Thai (Muay Boran -teknik purba) ke merata pelusuk beserta dengan pelakonnya Tony Jaa yang memang orang yang berpengalaman dalam Muay Boran. Setidaknya dunia semakin ingin mengenali apa itu Muay Thai yang nampak sangat mengagumkan dan secara tidak langsung segelintir penonton telah bertukar menjadi peminat lantas menjadi seorang murid.


Kita tidak ketandusan penerbit, pengarah dan pelakon yang mempunyai idea yang bernas dan berbakat dalam bidang ini yang mampu ketengahkan kehebatan silat.Sedikit terubat hati bila ada pengarah dan penerbit seperti saudara Nuad Haji Othman yang terus berusaha mengenengahkan ilmu persilatan dalam drama-drama beliau seperti Murid Tok Ayah.Seandainya scene-scene pergaduhan itu diperhaluskan lagi semakin tampak hebatlah silat dalam pertempuran.


Alangkah baiknya jika para karyawan bersatu tenaga dengan pakar-pakar silat yang sedia ada untuk membikin sesuatu yang bermutu dan terus menjulang kehebatan silat dan kembali membakar jiwa anak-anak muda untuk lebih mengenali dan mendalaminya.Untuk memperkenalkan silat di mata warga asing rasanya sudah terlaksana dengan hasil usaha dan jerih payah perguruan itu sendiri dengan dibantu oleh pihak yang berwajib. Apa yang penting anak watan perlu kenal, perlu sayang perlu jadikan satu bentuk disiplin kehidupan terhadap warisan bangsa sendiri. Dengan silatlah para pejuang tanah air seperti Tok Gajah, Datuk Maharajalela, Tok Bahaman, Tok Ayah Mat Kilau, Datu Mohammad Salleh bin Datu Batu (Mat Salleh pahlawan sabah)dan para pejuang yang lainnya mempertahankan maruah bangsa. Kalau tidak digiatkan dari sekarang maka dengan apakah nanti anak-anak muda kita akan mempertahankan agama, bangsa dan negara dari ancaman luar? Bukan semuanya pandai bermain senjata api, bukan semuanya menjadi polis ataupun tentera. Setidak-tidaknya kehadiran para pendekar akan menambahkan lagi kekentalan benteng pertahanan kita.


Fikir-fikirkanlah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan