Almarhum Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al Idrus atau lebih tersohor dengan gelaran Tukku Paloh merupakan seorang tokoh ulamak silam yang berasal dari negeri Terengganu Darul Iman. Beliau hidup di zaman pemerintahan lapan orang sultan dan pengaruh beliau paling kuat ketika zaman Sultan Zainal Abidin III iaitu Sultan Terengganu ke 11 (1881M-1918M). Boleh dikatakan ulamak ini regu kepada Sultan Zainal Abidin III kerana baginda akan sering merujuk kepada beliau dalam banyak perkara. Sehinggakan perlantikan sultan juga mempunyai kaitan dengan kewibaan Tukku Paloh. Seorang ulamak sufi yang terlibat secara langsung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik Terengganu pada ketika itu.
Keistimewaan hubungan antara Tukku Paloh dengan Sultan ini boleh disamakan dengan keeratan hubungan seorang lagi ulamak besar serta masyhur dari Terengganu, Syeikh Abdul Malik bin Abdullah atau "Tok Pulau Manis" dengan Sultan Zainal Abidin I yang mana kemudian Sultan Zainal Abidin I menjadi menantu kepada Tok Pulau Manis.
Ketika Sultan Zainal Abidin III mula menaiki takhta Tukku Paloh belum memegang apa-apa jawatan penting secara rasmi, namun ketokohan sebagai seorang ulamak cukup membawa pengaruh di kalangan istana. Selepas itu beliau dilantik sebagai Syeikhul Ulamak Terengganu dan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Dengan jawatan dan kedudukan yang diperolehi Tukku Paloh bertanggungjawab membantu kerajaan mentadbir negeri dan rakyat. Beliau merupakan seorang penasihat kepada Sultan Zainal Abidin III dalam membuat keputusan-keputusan dalam pelbagai perkara terutama dasar luar negeri.
Tukku Paloh merupakan seorang Khalifah bagi salah satu thorikat yang muktabar iaitu Thorikat Naqsyabandiah. Beliau juga turut mengembangkan amalan yang dinamakan sebagai "Syahadat Tokku" yang disusun oleh ayahnya Tukku Tuan Besar atau nama sebenar Sayid Muhammad Al Idrus, seorang Syeikhul Ulamak di zaman pemerintahan Sultan Omar dan dianugerahkan gelaran Paduka Raja Indera oleh tuanku sultan.Sebagai ulamak besar Tukku Tuan Besar yang bertanggungjawab melaksanakan hukum-hukum Islam secara meluas dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri dan kehidupan rakyat negeri Terengganu sehingga Terengganu terkenal sebagai negeri yang berpegang teguh dengan Islam sekitar pertengahan abad ke 18 masehi.
Tukku Paloh adalah nasab ke 32 daripada Rasulullah S.A.W dikalangan keluarga Al Idrus. Nasab dari sebelah bapanya sampai kepada Saidina Hussien r.a anak Saidatina Fatimah Az Zahrah r.ha binti Rasulullah. Di antara kalangan adik beradik beliau , Tukku Paloh yang paling mahsyur dan mempunyai banyak keistimewaan yang luar biasa. Semenjak dari kecil sudah ada tanda-tanda pelik yang mengisyaratkan Tukku Paloh akan menjadi orang penting dalam masyarakat suatu ketika nanti.
Pendidikan awal Tukku Paloh bermula daripada ayahnya sendiri dan dengan beberapa ulamak tempatan. Kemudian beliau mengikut jejak langkah ayahnya mendalami ilmu pengajian di Makkah Al Mukarramah.Di sana beliau belajar dengan para ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah serta khatam banyak kitab muktabar dalam pelbagai ilmu tauhid, feqah, tasawuf, tafsir, nahu, saraf dan lain-lain. Tukku Paloh sangat arif tentang ilmu tasawuf dan ada mengarang beberapa kitab dan risalah berkisar persoalan kerohanian.
Setelah lebih 10 tahun di Mekah beliau pulang ke kampung halaman dan mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Di samping itu sebagai seorang khalifah bagi thorikat yang muktabar beliau turut mengembangkan aliran Naqsyabandiah pada masa itu.
Keberanian beliau terbukti apabila membuat keputusan untuk memberi perlindungan kepada pejuang-pejuang ataupun pahlawan-pahlawan dari Pahang sekitar tahun 1894 dan keengganan beliau secara total untuk bekerjasama dengan pihak British. Pahlawan-pahlawan Pahang seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau beserta pengikut mereka menerima tekanan yang cukup hebat dari pihak penjajah biadap yang mendatangkan keadaan serba salah dan hampir-hampir putus asa. Akhirnya pada bulan Mei 1894, para pahlawan ini membuat keputusan untuk menghubungi Tukku Paloh dan ternyata perhubungan yang terjalin memberi nafas baru serta keyakinan terhadap perjuangan mereka kerana Tukku Paloh sendiri bukan sekadar rasa simpati malah bersedia membantu para pejuang tersebut menentang pihak British. Dikesempatan mendapat perlindungan dari Terengganu itulah pula para pejuang ini sempat mendalami ilmu agama lebih banyak lagi dan mendalami perjalanan ilmu kerohanian (kesufian) dengan Tukku Paloh sebagai bekalan dalam perjuangan yang penuh dengan ranjau itu.
Penentangan Tukku Paloh terhadap penjajah amatlah ketara, apabila beliau menyeru para pejuang negara untuk melancarkan perang jihad ke atas penjajah. Sebagai bekalan beliau memberi amalan-amalan wirid dan pedang bertulis ayat-ayat Al Qur an kepada para pejuang tersebut.Ketika itulah residen Pahang, Hugh Clifford menyedari betapa bahayanya para pahlawan tersebut berlindung di bawah payung kerajaan Terengganu. Bahaya yang paling ditakuti oleh penjajah seandainya ada serangan baru yang bertunjangkan kekuatan agama..
Clifford telah berjumpa dengan Sultan Terengganu untuk mendapatkan kerjasama baginda dalam menangkap para pejuang ini. Kepintaran sultan terbukti apabila beliau dengan senang hati mengeluarkan surat kuasa kepada penjajah untuk menangkap dan menyiasat sesiapa sahaja yang berkomplot dengan para pejuang tetapi surat tersebut tidak memberi sebarang kuasa untuk menangkap dan menyiasat kerabat di raja, keluarga sayid dan para pembesar baginda. Dalam diam baginda juga mengeluarkan satu surat sulit kepada orang-orang besut untuk membantu para pejuang Pahang untuk berlindung di daerah itu.
Hugh Cliiford dari hasil siasatannya dapat mengagak bahawa Tukku Paloh bersekongkol dalam perlindungan ke atas para pejuang Pahang dan bertemu dengan Tukku Paloh. Tukku Paloh membenarkan pasukan penjajah membuat siasatan sekitar rumah beliau dan di Paloh tetapi penjajah gagal menemukan bukti dan dia merasakan penghalang besar bagi usahanya menangkap para pejuang Pahang ialah Tukku Paloh sendiri. Akhirnya Clifford mengambil keputusan meninggalkan Terengganu pada 17 jun 1895.
Tukku Paloh juga menentang pertapakan awal British ke atas Terengganu apabila gabenor Negeri-Negeri Selat Frank Swettenham tanpa terlebih dahulu berunding telah datang ke Terengganu untuk membuat perjanjian mengikut rangkat perjanjian antara British dan kerajaan Siam. Perjanjian itu secara rasmi ditolak oleh kerajaan Terengganu kerana baginda sultan dan para pembesar menyedari kesan akan perjanjian itu. Pihak penjajah membuat perkiraan lain dengan secara jahat membuat perjanjian baru dengan kerajaan Siam untuk memindahkan kuasa, segala hak naungan, perlindungan dan apa saja yang dipunyai oleh negeri-negeri naungan kerajaan Siam seperti Kelantan, Perlis, Kedah dan Terengganu kepada British.Walhal sebelum itu kerajaan Siam amat menghormati kerajaan Terengganu sebagai negeri yang berdaulat.
Dengan perjanjian itu bermakna Terengganu bulat-bulat duduk di bawah kekuasaan British. Sekali lagi kerajaan Terengganu tidak mengiktiraf dan menolak perjanjian tersebut. Malah mendatangkan kemurkaan sultan dan kemarahan para pembesar. Walaupun usaha British gagal namun jenis penjajah ini tidak mengenal erti tewas bilamana mereka menjalankan tektik diplomasi dengan menghantar wakil British CW Conlay untuk berunding. Sebanyak dua kali mereka menghadap sultan dan Sultan Zainal Abidin mengarahkan mereka berjumpa dengan Tukku Paloh dengan bertitah kepada British sebagai "Terengganu ini ada tuannya, sila berunding dengan tuannya (Tukku Paloh)"
Segala "gula-gula" dan ucapan semanis madu yang dihulurkan oleh British ditepis dengan sindiran tajam oleh Tukku Paloh malah lebih memalukan dengan keberkatan serta karomah Tukku Paloh, kerusi yang diduduki oleh perunding British seolah melekat dipunggung mereka. Waktu itu Tukku Paloh dengan bersahaja berkata " Sudahlah tuan-tuan hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan-tuan henndak ambil." Keberanian seorang Ulamak terhadap perkara mungkar yang tidak mengenal erti gentar!
Pihak British pulang dengan keadaan berang bercampur takut akan kebolehan Tukku Paloh.Mereka gagal sama sekali menguasai Terengganu dengan cara diplomasi. Tidak berapa lama pihak penjajah datang lagi ke Terengganu tetapi kali ini dengan armada perang yang menembak meriam ke arah pantai dan menghala ke udara bertujuan menggertak secara keras. Kejadian itu hanya membunuh seekor kambing hitam di Padang Hiliran. Orang ramai menjadi cemas dan sekali lagi khidmat Tukku Paloh diperlukan oleh baginda sultan. Tukku Paloh bersama orang-orang kanannya seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh Ibrahim dan Tok Kelam beserta pengikut mereka meronda sepanjang pantai siang dan malam.
Ekoran dari itu, British tidak lagi membuat kacau dan semua armadanya berundur. Dikatakan angkatan perang British seolah terlihat beribu-ribu pahlawan Terengganu lengkap dengan senjata bersiap sedia melancarkan serangan balas, oleh sebab itulah mereka berundur.Perjuangan beliau terhadap pihak penjajah secara habis-habisan kerana beliau berpegang kepada firman Allah dalam surah Anbid ayat 105
"Sesungguhnya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba Ku yang soleh."
Selepas kembalinya Tukku Paloh ke rahmatullah pada tahun 1917 dan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun berikutnya barulah negeri Terengganu dapat dijajah. Benteng iman dan takwa yang kukuh itulah yang menggagalkan helah British. Beliau juga berpegang kepada falsafah Perjuangan tidak kenal hidup dan mati. Perginya ulamak dan umara' yang berganding bahu dalam pemerintahan meninggalkan kesan yang mendalam. Betapa pihak penjajah menggunakan pelbagai helah untuk menakluki tanah Melayu namun selagi ada insan-insan yang bertakwa pasti Allah akan menolong!
Suntingan dan rujukan dari buku 7 wali Melayu, laman web rasmi KDYMM Sultan Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan