Yang kurik
itu kendi yang merah itu saga
Yang baik
itu budi yang indah itu bahasa
Asam kandis
mari dihiris
Manis sekali
rasa isinya
Dilihat
manis dipandang manis
Lebih manis
hati budinya
Pembangunan fizikal negara Malaysia amat pesat pertumbuhannya, mempunyai infrasruktur kelas pertama dan segalanya ada di tanahair yang tercinta ini. Khazanah lama juga mampu dipertahankan, budaya amalan warisan tetap dipertahankan namun adakah budi bahasa anak bangsa hari ini mampu bertahan dengan perubahan arus kemodenan yang dikecapi oleh negara?
Apa yang paling jelas ternampak budi bahasa yang paling remeh yang jadi amalan nenek moyang kita dulu pun sudah semakin terhakis, anak-anak sekarang sudah tidak segan silu lalu lalang dihadapan tetamu di rumah mereka dan tidak pula pandai bersalaman dengan tetamu yang datang. Gadis-gadis zaman sekarang juga
tidak pandai menyediakan minuman untuk tetamu. Tetamu yang datang kadang-kadang tidak dipedulikan malah lebih selesa mengadap televisyen atau komputer tanpa ada rasa kehendak diri hendak menegur sapa tetamu yang datang.
Itu belum dikira budi bahasa yang lain seperti dalam perbualan sepatutnya percakapan yang tidak meninggi diri dan suara, sentiasa senyum dan memberi maklum balas dengan baik serta memahami orang yang sedang berkomunikasi dengan kita. Tidak pula sibuk mencelah atau secepatnya menyanggah apa yang sedang orang lain pertuturkan. Cara duduk dan berdiri juga melambangkan maksud tersendiri dalam budaya melayu. Adab pergaulan yang kaya dan penuh keindahan. Wanita Melayu amat dijaga dari sudut kesopanannya, umpamanya bercakap tidak boleh terjerit-jerit, tidak sewenang-wenangnya bertepuk tampar dan menjaga kesopanan diri dengan berpakaian yang sopan, malah orang Melayu merasakan gelak yang penuh hilai tawa juga adalah sesuatu yang buruk dipandang mata... hari ini semuanya seakan terbalik dari apa yang diamalkan sejak turun temurun.
Acuan jatidiri bangsa kita yang murni telah semakin rosak sebenarnya, keperihatinan dan kepekaan ibubapa terhadap banyak perkara yang berkaitan dengan budi bahasa kian longgar dan rapuh.Walaupun berbudi bahasa dan nilai-nilai murni itu secara istilahnya bukan disebut sebagai akhlak mulia, namun ia tetap membawa maksud yang sama. Sesuai dengan galakan agama yang menyatakan kepentingan menjaga suara hati dan pertuturan sebagai garis permulaan mempertingkatkan budi pekerti diri. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa mendengar,lagi maha mengetahui." (Surah an-Nisa'ayat 148)
Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara."
Budi bahasa dan nilai-nilai murni harus dipraktikkan di setiap aspek kehidupan agar keindahan Islam itu akan memberi kesan baik yang menyeluruh terhadap keharmonian sesebuah masyarakat. Hidupkan kembali budaya berbudi bahasa yang menjadi kebanggaan umat Melayu kerana kita orang timur tetap orang timur, sejauh mana pun berubah kita tidak akan menjadi kebaratan lebih dari barat.
Tanpa sedari, pelbagai gejala negatif akan boleh timbul akibat daripada kepupusan budi bahasa dan nilai murni. Orang timur pada kebiasaannya memang lemah lembut dan sensitif jiwanya terhadap budi bicara. Hubungan dan keharmonian boleh porak peranda hanya kerana kekurangan budi bahasa. Bak kata pepatah dan bidalan seperti "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa", "Bahasa menunjukkan bangsa", "Terlajak perahu boleh undur semula; terlajak kata buruk padahnya"."Bercakap malam dengar-dengar, bercakap siang pandang-pandang" seharusnya direnung sedalam-dalamnya.
Hari ini, akibat adanya anak-anak Melayu yang membesar di luar suasana yang dapat menanamkan budi bahasa amalan warisan, kita mula berhadapan dengan keadaan bahawa ada anak-anak Melayu sendiri yang tidak mendapat pendidikan budi bahasa ini secara tradisional, maka berlakulah kelemahan dalam penggunaan bahasa yang santun ini.Daripada pengalaman kita dapat mengetahui bahawa peraturan-peraturan budi bahasa ini kita pelajari melalui sistem persekitaran budaya penggunaan bahasa tersebut. Kita dilatih dan diasuh oleh ahli keluarga dalam budaya yang kita amalkan. Guru-guru kita pada masa dahulu pun amat tegas dalam menerapkan nilai nilai murni dalam berbudi bahasa.
Melentur buluh biarlah dari rebung, budi bahasa harus dipupuk bermula dari peringkat institusi kekeluargaan, dikembangkan pula secara berperingkat dalam masyarakat. Berbudi bahasa itu banyak nikmatnya, tidak rugi kalau kita mengamalkan budi bahasa. Malah akan lebih dihormati oleh sesiapa sahaja kalau kita terus menerus mengamalkannya dan diterapkan pula kepada generasi mendatang! Bak kata orang tua-tua " biar kita miskin harta benda tapi janganlah kurang budi bahasa".
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira. Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Menikam dengan pantun.menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah. Meninggi bukan melonjak
~ Usman Awang~
Hayatilah pepatah dan bidalan-bidalan ini..."hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati", "elok basa'kan (tegursapa) bekal hidup,elok budi bekal mati", "hilang bini boleh dicari, hilang budi badan celaka", "sebab budi, boleh kedapatan","nasi habis budi bersua" "hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang jua".
Bahasa jiwa bangsa dan prinsip dalam Rukun Negara terakhir — Kesopanan dan Kesusilaan adalah jati diri rakyat Malaysia yang mampu menyelami roh motto dan Rukun Negara....maka hayatilah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan