Utusan Malaysia 05 April 2001
Oleh: ZAINUDDIN MAIDIN (ZAM) Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu
SAID ZAHARI, bekas pengarang Utusan Melayu mengemukakan karya teragungnya Meniti Lautan Gelora, sebuah memoir perjuangan panjang seorang wartawan yang terlibat dalam zaman awal kebangkitan nasionalisme Malaya, Malaysia, Nusantara dan Afro-Asia yang banyak didorongkan oleh euphoria kemenangan ideologi komunis dan sosialis di Rusia dan China.Sekalipun jelas kecenderungan dan simpati politiknya tetapi dalam buku ini, Said Zahari lebih bersedia untuk melihat dan mengemukakan dirinya sebagai wartawan bebas yang tidak terikat dengan sesuatu ideologi atau mana-mana parti politik dalam perjuangannya itu.
Mungkin saya sekarang berada dalam keadaan yang sama, yang sekalipun telah dilihat sebagai seorang ahli politik tetapi masih merasakan diri sebagai seorang wartawan bebas dengan perwatakan dan nilai profesionalisme yang melampaui fahaman dan ikatan politik.
Saya lebih suka untuk mengingatkan Said Zahari sebagai seorang yang saya amat terhutang budi kepadanya. Beliaulah yang mengambil saya berkhidmat dengan Utusan Melayu pada tahun 1960 sebagai stringer di Alor Setar dengan bayaran $50 sebulan dan seterusnya melantik saya menjadi wakil tetap Utusan Melayu bagi Kedah dan Perlis dengan gaji tetap $120 sebulan tidak termasuk elaun dan lain-lain tuntutan perjalanan ketika saya berumur 21 tahun.
Saya dilantik menggantikan Azhari Taib (tan sri) yang menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Kedah mewakili Perikatan di awal tahun 60-an.
Said Zahari juga tidak secara langsung mendorongkan saya ke dunia kewartawanan. Laporan Said Zahari sebagai wartawan Utusan Melayu mengenai perundingan damai pada tahun 1955 antara perwakilan Kerajaan Malaya yang diketuai oleh Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman Putra dengan Parti Komunis Malaya yang diketuai oleh Chin Peng menyebabkan saya memandang dunia kewartawanan sebagai dunia yang penuh dengan excitement, dramatik, glamor, kuasa, populariti dan penghormatan.
Laporan anecdote mengenai pertemuan itu seperti jenis rokok yang dihisap oleh Rashid Maidin juga masih menjadi ingatan saya dan terus mengingatkan saya untuk memberikan sesuatu yang ringan dan menarik di samping hard news atau heavy stuff dalam laporan.
Adalah di luar perhitungan saya bahawa 34 tahun kemudiannya saya sendiri akan melaporkan dari Haadyai penandatanganan perjanjian damai antara Parti Komunis Malaya yang diwakili oleh Chin Peng, Rashid Maidin dan Abdullah C.D. dengan kerajaan Malaysia dan Thailand.
Bagaimanapun upacara itu tidaklah didramatikkan oleh suasana prasangka, ketidakpastian, kecemasan dan ketegangan yang membendung pertemuan Baling sebaliknya berlangsung di sebuah hotel yang tidak terkawal ketat di bandar Haadyai, majlis tidak teratur, bising dan kelam-kabut dengan jurugambar dan para wartawan yang tidak lagi menghormati protokol tetapi berdiri membelakangi para tetamu kehormat yang sepatutnya menyaksikan peristiwa itu.
Majlis itu berderai dengan ketawa apabila seorang dua jurugambar jatuh tersungkur kerana pasu bunga yang dipijak oleh mereka untuk membuat sudut penggambaran menarik telah pecah dan memecahkan suasana yang sepatutnya hening dan tenang.
Di dalam buku ini Said Zahari menulis bahawa perjanjian perdamaian di Haadyai itu boleh dianggap sebagai satu kemenangan besar kepada rakyat Malaysia seluruhnya. Ia mencerminkan kebijaksanaan dan keberanian serta visi politik yang jauh oleh kepimpinan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dan juga Setiausaha Agung PKM, Chin Peng.
Said Zahari juga mencatatkan perintah melarangnya memasuki Malaysia yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah dimansuhkan 28 tahun kemudiannya oleh Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad pada bulan Mei 1989 bersempena dengan Utusan Melayu merayakan ulang tahunnya yang ke-50 secara besar-besaran. Beliau terperanjat kerana diundang ke majlis itu.
Said Zahari merasakan undangannya ke perayaan ulang tahun ke-50 dan tawaran kepadanya untuk menulis rencana mengenai mogok Utusan Melayu dan kepimpinannya di Utusan Melayu adalah menunjukkan jiwa besar Utusan Melayu, mengakui dan menghormati sejarah.
Dalam hal ini Said Zahari telah mencatatkan prakata saya dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan yang diterbitkan bersempena dengan 50 tahun Utusan Melayu bahawa, ``Utusan Melayu'' didukung oleh orang-orang yang berjiwa besar, orang-orang perjuangan yang tidak pernah takut dan gentar. Baik di kiri atau di kanan, mereka adalah anak-anak Utusan Melayu yang berani, penuh dedikasi dan mempunyai perasaan yang amat mendalam terhadap Utusan Melayu. Utusan Melayu lahir dengan semangat yang dibangunkan oleh kemiskinan dan keinsafan. Sesungguhnya Utusan Melayu adalah pusaka bangsa yang termulia yang terus mengharapkan kesetiaan, kejujuran, kemahiran, dedikasi dan ada kalanya pengorbanan yang besar dari pewarisnya sepertimana yang telah diberikan oleh orang-orang yang terdahulu.''
Dalam Utusan Melayu, wartawan tidak sekadar wartawan tetapi mereka adalah juga pejuang. Kebenaran ini tertegak sampai sekarang, keberaniannya tetap terserlah dan terus menempa satu demi satu sejarah dan terus menimbulkan kontroversi di luar dan di dalam parti. Ini jelas terlihat dari Yusoff Ishak, Samad Ismail, Said Zahari, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin, Johan Jaffar dan di era Khalid Mohd.
Kalau sampai masanya Utusan Melayu tidak lagi menjadi kontroversi, maka itulah masanya Utusan Melayu telah kehilangan jati diri. Kerana jati dirinyalah maka Utusan Melayu terus menghantui mereka yang memusuhinya.
Kepada Said Zahari, pemogokan Utusan Melayu yang dikepalainya dari bulan Julai hingga Oktober 1961 bukan sahaja sebahagian daripada sejarah penting Utusan Melayu sendiri bahkan juga sejarah persuratkhabaran dan kewartawanan tanah air yang tidak boleh dipadamkan daripada lembaran sejarah. Demikian hakikatnya sama ada suka atau tidak.
Kepada saya, saya melihat pemogokan ini adalah merupakan puncak penglibatan para wartawan Utusan Melayu secara langsung dalam percaturan politik tanah air dan negara.
Dibandingkan dengan pengarang-pengarang sebelumnya dan pascanya, Said Zahari tidak sekadarkan melibatkan dirinya dalam perjuangan politik tetapi telah membawa seluruh organisasi Utusan Melayu daripada kewartawanan kepada pengilangan ke dalam kancah perjuangan politik untuk menegakkan konsep nasionalisme asal Utusan Melayu yang pada Said Zahari tidak boleh ditolakansurkan sekalipun realiti tanah air telah berubah.
Apakah pemogokan itu merupakan suatu perjuangan untuk pembebasan akhbar atau untuk ketahanan dan kebebasan nasionalisme, sosialisme dan komunisme yang menghadapi cabaran dan kemaraan daripada westernization dan kapitalisme Barat? Biarlah anda menjawab pertanyaan ini setelah selesai membaca Meniti Lautan Gelora.
Pemogokan ini yang gagal telah mendorongkan perjuangan politik Said Zahari dengan lebih kental di luar dunia kewartawanan sehingga menjerumuskannya ke dalam penjara selama 17 tahun di Singapura, suatu jangka masa tahanan yang tidak boleh diterima oleh akal dan pemikiran waras sebagai kewajaran dalam era masyarakat manusia dan kemanusiaan dunia bertamadun.
Said Zahari tidak mungkin akan menghadapi keadaan yang sama di Malaysia kerana apabila Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih kuasa pada tahun 1981, beliau dengan segera mengambil tindakan membebaskan 21 orang tahanan politik termasuk Pengerusi Parti Rakyat Malaysia, Kassim Ahmad dan dua orang anggota Parlimen DAP.
Saya merasa amat bangga di dalam keruncingan politik negara sekarang ini, Said Zahari adalah hanya di antara beberapa kerat pejuang antikolonialisme yang tidak hilang perspektif politiknya kerana prejudis politik, yang tidak menyekutukan dirinya dengan golongan reaksioner yang mahu menjadikan agama sebagai candu dan terlihat bersekongkol dan melangkah senada dengan agenda Barat dan media Barat dengan bertopengkan kebebasan dan globalisasi tetapi berorientasikan neokolonialisme.
Saya agak terpegun bila pada satu malam Said Zahari telah muncul di televisyen Malaysia menyeru media massa di negara ini agar bangun, serentak dan sederap untuk menentang agenda media Barat dengan teratur dan berkesan. Beliau disertai oleh Saudara Kassim Ahmad (bekas pemimpin Parti Rakyat Malaysia). Mereka adalah pemimpin yang teguh dengan jati diri. Pemimpin sejati!
Said Zahari mengagumi penentangan berani kepimpinan Malaysia terhadap oligarki Barat, Soros di Hong Kong sehingga akhirnya menggoncangkan dunia. Tidak banyak lagi orang yang jelas perspektif sepertinya yang tetap dapat melihat kebenaran di dalam kekaburan.
Secara ikhlas saya ingin menyatakan bahawa saya telah terperangkap apabila membaca buku Meniti Lautan Gelora.
Dengan bahasa kewartawanannya yang mudah, terang, bersahaja dan bertenaga, Said Zahari memerangkap dan mendorongkan kita untuk terus membaca dari satu bab ke satu bab tanpa jemu.
Said Zahari terikat dengan stail penulisan kewartawanan yang memilih hanya fakta yang menarik, penting dan mahu diketahui oleh pembaca untuk dipaparkan dalam buku ini. Beliau membuang fakta-fakta yang remeh-temeh dan terlalu melihat ke dalam diri seperti yang terdapat dalam beberapa buku memoir yang pernah saya baca.
Kata Said Zahari, ``saya menulis buku ini sebagai seorang wartawan yang menulis dan mengupas apa yang dilihat dan dialaminya, apa yang dirasakan menurut tanggapan dan pengamatan saya terhadap manusia, persekitarannya dan terhadap peristiwa tertentu pada zamannya.''
Setelah tamat membaca buku ini, saya tetap tidak dapat mengenali siapa Said Zahari yang sebenarnya sekalipun beliau berharap melalui buku memoirnya ini ``siapa aku sebenarnya dapat dijelaskan.''
Yang ternyata Said tidak senang dengan anggapan terhadapnya sebagai seorang komunis ``yang membayangi diriku dan menafikan kebebasanku selama 17 tahun,'' katanya.
Tetapi dalam epilog terakhir, saya melihat Said Zahari sebagai communist sympathiser apabila beliau menyesali kesilapan seorang ejen komunis The Plen yang termasuk dalam perangkap Lee Kuan Yew kerana mahu membuktikan bahawa dia seorang penting dan berpengaruh dalam PKM di Singapura apabila Lee Kuan Yew meminta berbuat demikian sebagai syarat untuk bekerjasama dengan PKM dalam ``Barisan Bersatu Antipenjajah British.'' Ini membolehkan Lee Kuan Yew melumpuhkan gerakan kiri di Singapura.
Said Zahari melihat ini sebagai satu pengkhianatan besar kepada pergerakan kiri di Singapura.
Apabila hal ini diadukan kepada Chin Peng oleh Said Zahari dalam pertemuan di Bangkok pada Mac 1999, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya itu meminta supaya Said Zahari tidak meletakkan semua kesalahan sepenuhnya ke atas bahu Chuang Pi (The Plen) sebaliknya dia menerima tanggungjawab itu sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya.
Mungkin Said Zahari sendiri tidak dapat mengenali dirinya kerana dia tetap mengingati dirinya sebagai seorang wartawan Utusan Melayu.
Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan penulisan Said Zahari, kita tidak dapat menafikan bahawa Said Zahari adalah sebahagian daripada sejarah Utusan dan Utusan adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia. Sama ada mereka berhaluan kiri atau kanan, orang seperti Said Zahari menjadikan Utusan Melayu itu hebat.
Wartawan International Herald Tribune, Thomas Fuller telah bertanya kepada saya di hadapan Joseline Tan, wartawan Straits Times Singapura dalam satu pertemuan dengan wartawan-wartawan asing baru-baru ini, ``Kenapa Utusan kadang-kadang dilihat tidak senada dengan kerajaan?''
Saya menjawab itu adalah tradisi yang diwarisi, itu adalah jati diri.
Hari ini Utusan Melayu, khususnya Utusan Publications and Distributors dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia menerbitkan sebuah karya yang ditulis oleh orang yang melancarkan mogok Utusan Melayu, sebuah memoir yang mungkin dianggap merah, yang sikap pengarangnya akan terus menjadi persoalan dan kontroversi.
Dan orang tentu akan bertanya lagi, kenapa Utusan?
Jawabnya kerana itulah tradisi, itulah jati diri Utusan Melayu yang telah dibangunkan oleh Yusoff Ishak, Rahim Kajai, Samad Ismail, Melan Abdullah, Mazlan Nordin dan lain-lain dengan matlamat sama untuk menjadi ``suara keramat bangsa'' sekalipun cara dan fahaman mereka berbeza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan