Oleh
Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2010/07/01
SECARA tradisinya, ibu atau nenek bertindak sebagai penglipur lara dalam keluarga masyarakat Melayu dengan menghiburkan hati anak melalui cerita rakyat disampaikan secara lisan yang biasanya pada waktu malam sebelum mereka tidur. Cerita rakyat seperti cerita binatang, asal usul tempat, hikayat kayangan, putera-puteri raja, pahlawan dan hantu membentuk imej yang lekat dalam jiwa sehingga mereka membesar dengan ingatan budaya terhadap contoh teladan dan sempadan yang dekat dengan akar budi budaya bangsa.
Bagaimanapun, fungsi penglipur lara dalam konteks keluarga tradisional Melayu itu, bertukar kepada media seperti televisyen dan komputer dengan ceritanya yang jauh daripada budaya setempat sehingga mereka membesar dengan ikon asing melekat dalam ingatan.
Tak hairanlah anak kecil lebih senang menyebut watak animasi dari Jepun atau putera dan puteri cerita rakyat dari Barat, tetapi berasa asing dan terpinga-pinga apabila didedahkan dengan watak dalam cerita rakyat, legenda dan hikayat daripada bangsanya sendiri.
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Abdul Rahim Marsidi, mengakui asakan cerita kartun dan animasi dari Jepun atau Barat menarik perhatian kanak-kanak kerana ia dianggap sesuai dengan tanggapan masa kini yang canggih.
Lalu kisah seperti Naruto, Dragon Ball, Pokemon, Digimon, Detective Canon dan Doraemon, meskipun kisah yang tidak masuk di akal pada orang dewasa mendapat tempat di hati kanak-kanak sedangkan ia tidak membawa budaya tempatan sama sekali.
“Ini menarik perhatian kanak-kanak berbanding cerita lisan bersumberkan tradisional Melayu yang dianggap dongeng dan kuno sehingga mereka lebih memberi tumpuan kepada cerita animasi Jepun dan Barat itu.
“Memang kita kehilangan warisan yang amat mahal harganya, tetapi kita tidak dapat nafikan kanak-kanak kini tetap beruntung kerana dapat menonton rancangan bersifat masa kini,” katanya kepada Sastera di UPM, Serdang, baru-baru ini.
Dr Abdul Rahim mengingatkan ia tidak lagi boleh berpatah balik kepada zaman lampau, sebaliknya perlu merintis dunia kartun dan animasi dengan mengabadikan cerita klasik dalam bentuk baru tanpa mengubah latar yang menjadi sebahagian sosiobudaya masyarakat di negara ini.
“Ini sudah dirintis oleh anak muda Melayu melalui animasi Upin dan Ipin, Usop Santorian dan Kampung Boy, meskipun tidak memfokuskan cerita tradisional 100 peratus kerana perlu mengisi keperluan dan kehendak kanak-kanak masa kini, selain faktor ekonomi.
“Kita juga boleh membawa cerita tradisional itu dengan suasana dan aroma baru kerana mesej dan pesannya masih tetap sama, sebaliknya yang berubah hanyalah zaman, lalu ia bergantung kepada kreativiti mereka yang terbabit dalam kartun dan animasi,” katanya.
Bagaimanapun, Penerima Anugerah Penulisan Sea 2005, Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi, tetap mempertahankan fungsi ibu bapa dan datuk nenek sebagai penglipur lara dalam keluarga, tanpa menafikan kepentingan memberi cerita rakyat sebagai isi dalam kartun dan animasi.
“Fungsi penglipur lara sebenarnya boleh dimainkan oleh tiga pihak, iaitu keluarga, guru dan media massa dalam menyampaikan cerita rakyat dengan falsafah dan nasihat kerana ia dekat dengan jiwa bangsa itu sendiri.
“Kita memerlukan kesinambungan penceritaan rakyat itu daripada generasi ke generasi dengan membiasakan kanak-kanak itu dengan cerita tradisi lisan dalam bentuk budaya bercerita, manakala guru pula bertindak sebagai pencerita yang baik dan bukan hanya sebagai pengajar,” katanya yang juga Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (FTKA), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Agi turut menyarankan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran menggunakan cerita rakyat sebagai isi dalam kartun dan animasi pendidikan yang dianggap tidak sukar dilaksanakan kerana teknologi dan struktur cerita sudah ada untuk dimanfaatkan.
“Kita perlu tonjolkan cerita berlandaskan kebudayaan dan kesenian bangsa termasuk permainan rakyat, adat istiadat dan salasilah pahlawan, sekali gus dapat membangkitkan semangat patriotisme dan setia kepada bangsa.
“Sekarang ini, kebanyakan kartun dan animasi yang ada tidak ada sangkut-paut pun dengan jati diri bangsa dan negara kita sehingga anak kita membesar dengan imej yang tertanam dalam jiwa mereka tetapi tidak ada kena-mengena dengan budaya,” katanya.
Ia berlaku kerana media massa seperti televisyen berjaya mengubah perhatian kanak-kanak daripada cerita lisan kepada cerita visual yang tidak memerlukan mereka mempunyai dan menggunakan kemahiran untuk mengeja mahupun membaca.
Bagaimanapun, Agi optimis terhadap keupayaan tenaga kreatif di negara ini untuk menghasilkan kartun dan animasi berwajah, watak, bahasa, budaya dan busana tempatan seperti diperlihatkan dalam animasi Mat Som, Kampung Boy, Upin dan Ipin.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/WarnaKehidupan_Tradisiberceritaterhenti/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan