Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

tweet twiit

30 Julai 2010

Sebuah catatan jati diri Utusan

Fakir sangat tertarik dengan artikel ini yang telah disiarkan pada 5hb April 2001, walau agak lama namun ianya sangat menarik bagi Fakir untuk dikongsi bersama saudara-saudara Fakir yang mengunjungi Selasar Fakir ini.  Fakir jumpa rencana ini pada 16hb April 2010 tapi Fakir sengaja menerbitkannya pada hari ini. 

Utusan Malaysia 05 April 2001

Oleh: ZAINUDDIN MAIDIN (ZAM) Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu

SAID ZAHARI, bekas pengarang Utusan Melayu mengemukakan karya teragungnya Meniti Lautan Gelora, sebuah memoir perjuangan panjang seorang wartawan yang terlibat dalam zaman awal kebangkitan nasionalisme Malaya, Malaysia, Nusantara dan Afro-Asia yang banyak didorongkan oleh euphoria kemenangan ideologi komunis dan sosialis di Rusia dan China.
Sekalipun jelas kecenderungan dan simpati politiknya tetapi dalam buku ini, Said Zahari lebih bersedia untuk melihat dan mengemukakan dirinya sebagai wartawan bebas yang tidak terikat dengan sesuatu ideologi atau mana-mana parti politik dalam perjuangannya itu.
Mungkin saya sekarang berada dalam keadaan yang sama, yang sekalipun telah dilihat sebagai seorang ahli politik tetapi masih merasakan diri sebagai seorang wartawan bebas dengan perwatakan dan nilai profesionalisme yang melampaui fahaman dan ikatan politik.
Saya lebih suka untuk mengingatkan Said Zahari sebagai seorang yang saya amat terhutang budi kepadanya. Beliaulah yang mengambil saya berkhidmat dengan Utusan Melayu pada tahun 1960 sebagai stringer di Alor Setar dengan bayaran $50 sebulan dan seterusnya melantik saya menjadi wakil tetap Utusan Melayu bagi Kedah dan Perlis dengan gaji tetap $120 sebulan tidak termasuk elaun dan lain-lain tuntutan perjalanan ketika saya berumur 21 tahun.
Saya dilantik menggantikan Azhari Taib (tan sri) yang menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Kedah mewakili Perikatan di awal tahun 60-an.
Said Zahari juga tidak secara langsung mendorongkan saya ke dunia kewartawanan. Laporan Said Zahari sebagai wartawan Utusan Melayu mengenai perundingan damai pada tahun 1955 antara perwakilan Kerajaan Malaya yang diketuai oleh Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman Putra dengan Parti Komunis Malaya yang diketuai oleh Chin Peng menyebabkan saya memandang dunia kewartawanan sebagai dunia yang penuh dengan excitement, dramatik, glamor, kuasa, populariti dan penghormatan.
Laporan anecdote mengenai pertemuan itu seperti jenis rokok yang dihisap oleh Rashid Maidin juga masih menjadi ingatan saya dan terus mengingatkan saya untuk memberikan sesuatu yang ringan dan menarik di samping hard news atau heavy stuff dalam laporan.
Adalah di luar perhitungan saya bahawa 34 tahun kemudiannya saya sendiri akan melaporkan dari Haadyai penandatanganan perjanjian damai antara Parti Komunis Malaya yang diwakili oleh Chin Peng, Rashid Maidin dan Abdullah C.D. dengan kerajaan Malaysia dan Thailand.
Bagaimanapun upacara itu tidaklah didramatikkan oleh suasana prasangka, ketidakpastian, kecemasan dan ketegangan yang membendung pertemuan Baling sebaliknya berlangsung di sebuah hotel yang tidak terkawal ketat di bandar Haadyai, majlis tidak teratur, bising dan kelam-kabut dengan jurugambar dan para wartawan yang tidak lagi menghormati protokol tetapi berdiri membelakangi para tetamu kehormat yang sepatutnya menyaksikan peristiwa itu.
Majlis itu berderai dengan ketawa apabila seorang dua jurugambar jatuh tersungkur kerana pasu bunga yang dipijak oleh mereka untuk membuat sudut penggambaran menarik telah pecah dan memecahkan suasana yang sepatutnya hening dan tenang.
Di dalam buku ini Said Zahari menulis bahawa perjanjian perdamaian di Haadyai itu boleh dianggap sebagai satu kemenangan besar kepada rakyat Malaysia seluruhnya. Ia mencerminkan kebijaksanaan dan keberanian serta visi politik yang jauh oleh kepimpinan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dan juga Setiausaha Agung PKM, Chin Peng.
Said Zahari juga mencatatkan perintah melarangnya memasuki Malaysia yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah dimansuhkan 28 tahun kemudiannya oleh Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad pada bulan Mei 1989 bersempena dengan Utusan Melayu merayakan ulang tahunnya yang ke-50 secara besar-besaran. Beliau terperanjat kerana diundang ke majlis itu.
Said Zahari merasakan undangannya ke perayaan ulang tahun ke-50 dan tawaran kepadanya untuk menulis rencana mengenai mogok Utusan Melayu dan kepimpinannya di Utusan Melayu adalah menunjukkan jiwa besar Utusan Melayu, mengakui dan menghormati sejarah.
Dalam hal ini Said Zahari telah mencatatkan prakata saya dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan yang diterbitkan bersempena dengan 50 tahun Utusan Melayu bahawa, ``Utusan Melayu'' didukung oleh orang-orang yang berjiwa besar, orang-orang perjuangan yang tidak pernah takut dan gentar. Baik di kiri atau di kanan, mereka adalah anak-anak Utusan Melayu yang berani, penuh dedikasi dan mempunyai perasaan yang amat mendalam terhadap Utusan Melayu. Utusan Melayu lahir dengan semangat yang dibangunkan oleh kemiskinan dan keinsafan. Sesungguhnya Utusan Melayu adalah pusaka bangsa yang termulia yang terus mengharapkan kesetiaan, kejujuran, kemahiran, dedikasi dan ada kalanya pengorbanan yang besar dari pewarisnya sepertimana yang telah diberikan oleh orang-orang yang terdahulu.''
Dalam Utusan Melayu, wartawan tidak sekadar wartawan tetapi mereka adalah juga pejuang. Kebenaran ini tertegak sampai sekarang, keberaniannya tetap terserlah dan terus menempa satu demi satu sejarah dan terus menimbulkan kontroversi di luar dan di dalam parti. Ini jelas terlihat dari Yusoff Ishak, Samad Ismail, Said Zahari, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin, Johan Jaffar dan di era Khalid Mohd.
Kalau sampai masanya Utusan Melayu tidak lagi menjadi kontroversi, maka itulah masanya Utusan Melayu telah kehilangan jati diri. Kerana jati dirinyalah maka Utusan Melayu terus menghantui mereka yang memusuhinya.
Kepada Said Zahari, pemogokan Utusan Melayu yang dikepalainya dari bulan Julai hingga Oktober 1961 bukan sahaja sebahagian daripada sejarah penting Utusan Melayu sendiri bahkan juga sejarah persuratkhabaran dan kewartawanan tanah air yang tidak boleh dipadamkan daripada lembaran sejarah. Demikian hakikatnya sama ada suka atau tidak.
Kepada saya, saya melihat pemogokan ini adalah merupakan puncak penglibatan para wartawan Utusan Melayu secara langsung dalam percaturan politik tanah air dan negara.
Dibandingkan dengan pengarang-pengarang sebelumnya dan pascanya, Said Zahari tidak sekadarkan melibatkan dirinya dalam perjuangan politik tetapi telah membawa seluruh organisasi Utusan Melayu daripada kewartawanan kepada pengilangan ke dalam kancah perjuangan politik untuk menegakkan konsep nasionalisme asal Utusan Melayu yang pada Said Zahari tidak boleh ditolakansurkan sekalipun realiti tanah air telah berubah.
Apakah pemogokan itu merupakan suatu perjuangan untuk pembebasan akhbar atau untuk ketahanan dan kebebasan nasionalisme, sosialisme dan komunisme yang menghadapi cabaran dan kemaraan daripada westernization dan kapitalisme Barat? Biarlah anda menjawab pertanyaan ini setelah selesai membaca Meniti Lautan Gelora.
Pemogokan ini yang gagal telah mendorongkan perjuangan politik Said Zahari dengan lebih kental di luar dunia kewartawanan sehingga menjerumuskannya ke dalam penjara selama 17 tahun di Singapura, suatu jangka masa tahanan yang tidak boleh diterima oleh akal dan pemikiran waras sebagai kewajaran dalam era masyarakat manusia dan kemanusiaan dunia bertamadun.
Said Zahari tidak mungkin akan menghadapi keadaan yang sama di Malaysia kerana apabila Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih kuasa pada tahun 1981, beliau dengan segera mengambil tindakan membebaskan 21 orang tahanan politik termasuk Pengerusi Parti Rakyat Malaysia, Kassim Ahmad dan dua orang anggota Parlimen DAP.
Saya merasa amat bangga di dalam keruncingan politik negara sekarang ini, Said Zahari adalah hanya di antara beberapa kerat pejuang antikolonialisme yang tidak hilang perspektif politiknya kerana prejudis politik, yang tidak menyekutukan dirinya dengan golongan reaksioner yang mahu menjadikan agama sebagai candu dan terlihat bersekongkol dan melangkah senada dengan agenda Barat dan media Barat dengan bertopengkan kebebasan dan globalisasi tetapi berorientasikan neokolonialisme.
Saya agak terpegun bila pada satu malam Said Zahari telah muncul di televisyen Malaysia menyeru media massa di negara ini agar bangun, serentak dan sederap untuk menentang agenda media Barat dengan teratur dan berkesan. Beliau disertai oleh Saudara Kassim Ahmad (bekas pemimpin Parti Rakyat Malaysia). Mereka adalah pemimpin yang teguh dengan jati diri. Pemimpin sejati!
Said Zahari mengagumi penentangan berani kepimpinan Malaysia terhadap oligarki Barat, Soros di Hong Kong sehingga akhirnya menggoncangkan dunia. Tidak banyak lagi orang yang jelas perspektif sepertinya yang tetap dapat melihat kebenaran di dalam kekaburan.
Secara ikhlas saya ingin menyatakan bahawa saya telah terperangkap apabila membaca buku Meniti Lautan Gelora.
Dengan bahasa kewartawanannya yang mudah, terang, bersahaja dan bertenaga, Said Zahari memerangkap dan mendorongkan kita untuk terus membaca dari satu bab ke satu bab tanpa jemu.
Said Zahari terikat dengan stail penulisan kewartawanan yang memilih hanya fakta yang menarik, penting dan mahu diketahui oleh pembaca untuk dipaparkan dalam buku ini. Beliau membuang fakta-fakta yang remeh-temeh dan terlalu melihat ke dalam diri seperti yang terdapat dalam beberapa buku memoir yang pernah saya baca.
Kata Said Zahari, ``saya menulis buku ini sebagai seorang wartawan yang menulis dan mengupas apa yang dilihat dan dialaminya, apa yang dirasakan menurut tanggapan dan pengamatan saya terhadap manusia, persekitarannya dan terhadap peristiwa tertentu pada zamannya.''
Setelah tamat membaca buku ini, saya tetap tidak dapat mengenali siapa Said Zahari yang sebenarnya sekalipun beliau berharap melalui buku memoirnya ini ``siapa aku sebenarnya dapat dijelaskan.''
Yang ternyata Said tidak senang dengan anggapan terhadapnya sebagai seorang komunis ``yang membayangi diriku dan menafikan kebebasanku selama 17 tahun,'' katanya.
Tetapi dalam epilog terakhir, saya melihat Said Zahari sebagai communist sympathiser apabila beliau menyesali kesilapan seorang ejen komunis The Plen yang termasuk dalam perangkap Lee Kuan Yew kerana mahu membuktikan bahawa dia seorang penting dan berpengaruh dalam PKM di Singapura apabila Lee Kuan Yew meminta berbuat demikian sebagai syarat untuk bekerjasama dengan PKM dalam ``Barisan Bersatu Antipenjajah British.'' Ini membolehkan Lee Kuan Yew melumpuhkan gerakan kiri di Singapura.
Said Zahari melihat ini sebagai satu pengkhianatan besar kepada pergerakan kiri di Singapura.
Apabila hal ini diadukan kepada Chin Peng oleh Said Zahari dalam pertemuan di Bangkok pada Mac 1999, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya itu meminta supaya Said Zahari tidak meletakkan semua kesalahan sepenuhnya ke atas bahu Chuang Pi (The Plen) sebaliknya dia menerima tanggungjawab itu sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya.
Mungkin Said Zahari sendiri tidak dapat mengenali dirinya kerana dia tetap mengingati dirinya sebagai seorang wartawan Utusan Melayu.
Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan penulisan Said Zahari, kita tidak dapat menafikan bahawa Said Zahari adalah sebahagian daripada sejarah Utusan dan Utusan adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia. Sama ada mereka berhaluan kiri atau kanan, orang seperti Said Zahari menjadikan Utusan Melayu itu hebat.
Wartawan International Herald Tribune, Thomas Fuller telah bertanya kepada saya di hadapan Joseline Tan, wartawan Straits Times Singapura dalam satu pertemuan dengan wartawan-wartawan asing baru-baru ini, ``Kenapa Utusan kadang-kadang dilihat tidak senada dengan kerajaan?''
Saya menjawab itu adalah tradisi yang diwarisi, itu adalah jati diri.
Hari ini Utusan Melayu, khususnya Utusan Publications and Distributors dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia menerbitkan sebuah karya yang ditulis oleh orang yang melancarkan mogok Utusan Melayu, sebuah memoir yang mungkin dianggap merah, yang sikap pengarangnya akan terus menjadi persoalan dan kontroversi.
Dan orang tentu akan bertanya lagi, kenapa Utusan?
Jawabnya kerana itulah tradisi, itulah jati diri Utusan Melayu yang telah dibangunkan oleh Yusoff Ishak, Rahim Kajai, Samad Ismail, Melan Abdullah, Mazlan Nordin dan lain-lain dengan matlamat sama untuk menjadi ``suara keramat bangsa'' sekalipun cara dan fahaman mereka berbeza.

21 Julai 2010

Sajak "Melayu" - Usman Awang


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak
Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!


16 Julai 2010

Israel Kepung Kapal Bantuan Libya


Jumaat, 16/07/2010 – Ketua Pelaksana Yayasan Pembangunan Al-Qadafi Yusuf Ridlwan menegaskan, sebanyak 8 buah kapal perang Zionis-Israel mengepung kapal bantuan ke Gaza. Kapal bantuan ini berasal dari Libya. Sukarelawan Libya turut bersama mengikuti konvoi bantuan ke Gaza. PM Zionis-Israel telah mengarahkan agar kapal-kapal dari Libya itu berada berdekatan perairan Gaza.
Kapal dari Libya itu dipercayai mengalami kerosakan teknikal yang kecil. Kerosakan itu disebabkan gangguan pihak tentera Zionis. Seluruh relawan bertegas untuk berlabuh di pelabuhan Gaza walaupun mendapat keizinan untuk berlabuh di Pelabuah el- Arish, Mesir.
sumber : COMES
penterjemah : Abu ‘Umair

Kerajaan Mesir melarang konvoi dari Jordan “al Ansar-1″ dari memasuki wilayah mereka


Jumaat, 16/07/2010 – Kerajaan Mesir pada malam selasa yang lepas (14-7) melarang konvoi dari Jordan (Ansar 1) memasuki pelabuhan laut Mesir (Nuwaiba`) untuk menuju ke Gaza dengan alasan tidak mampu mencapai persetujuan keselamatan.
Menurut Ketua konvoi, yang juga presiden persatuan doktor-doktor haiwan, Abdel Fattah Kilani, pihak berkuasa Mesir telah melarang 138 anggota dari memasuki wilayah mereka. Kilani menjelaskan lagi dalam laporan akhbar bahawa Kementerian Luar Mesir telah berhubung dengan Kementerian Luar Jordan dan meminta mereka senarai nama-nama delegasi yang telah menyertai konvoi tersebut.
sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah :   arif

Punca Kelemahan Umat Islam - Perspektif Mahathir Mohamad (bah.4)


Pengertian mengikut sunah Rasulullah s.a.w.
Umat Islam mencari model pembangunan tamadun dan peradaban. Ini mungkin bertolak dari sikap mahu mengamalkan Islam atau cara menghadapi cabaran-cabaran dunia kini. Oleh itu, rata-rata kefahaman umat Islam ialah berusaha menghidupkan kembali sunah Rasulullah s.a.w. Ini juga adalah sebagai merealisasikan ajaran-ajaran al-Quran. Niat dan sikap ini adalah baik. Namun ia mengundang beberapa persoalan yang juga ditanyakan oleh Mahathir. Apakah perlu kita ikut segala bentuk tindakan yang telah dibuat oleh Rasulullah
s.a.w. atau para sahabat Baginda? Apakah ajaran Islam yang sebenarnya bermakna kita perlu ikut dan turut tiru sepenuhnya semua sunah itu? Dalam hal ini Mahathir mempunyai analisis yang menarik bagi membuka fikiran sebahagian umat Islam yang rigid cara berfikir.Menurut beliau kita tidak perlu ikut persis apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. itu justeru masyarakat, masa, budaya dan sebagainya yang berlainan. Apakah makna apabila kita menyebut yang Islam itu sesuai dengan semua zaman dan tempat tiba-tiba kita menyeru semua umat Islam supaya meniru kehidupan dari kurun ke-7 hingga kepada kejatuhan kerajaan Turki? Kalau hendak tiru yang lama, bermakna Islam tidak sesuai pada zaman ini. Inilah yang dibangkitkan oleh Mahathir dalam ucapannya sewaktu merasmikan The World Islamic Civilization Festival 1994 di Kuala Lumpur 17 Jun 1994 dahulu.
Dalam ucapannya Mahathir menyebut "But when we talk of recreating the Islamic civilization, we do not mean to build a .fair copy of the Muslim world from the 7th century until decline of the Turkish Sultanate. Even when we are enjoined to seek guidance from the sunnah of Prophet (s.a.w.), we are not expected to reproduce exactly the achievements and the life of the Prophet. Indeed the golden period of Islamic civilization was not brought about by the reproduction of the life and times of the Prophet in Makkah and Madinah. The Islamic civilization was then result of following the true teachings of Islam which the people in the lifetimes of the Prophet were not able to benefit from fully because of time. In size and in span of knowledge and achievements, the Islamic civilization that was built after the demise of the Prophet was, far greater than the Muslim world in the Prophet’s time. This is because the application of Islamic teachings and creed over the
centuries was able to bring about the maximum results. "
(Mahathir Mohamad 1995. Islam and the Muslim Ummah. Selected speeches. 9). Jadi kita perlu ikut ajaran Islam yang menjawab masalah-masalah kontemporari.

Pakaian tidak menentukan pegangan agama
Salah satu budaya umat Melayu malah umat Islam umumnya ialah keyakinan bahawa pakaian adalah parameter atau ukuran kehebatan komitmen agama seseorang. Lazimnya nilai keislaman sesorang itu
dipandang dari sudut cara ia berpakaian. Jika la berjubah atau sering berserban ke mana sahaja dia pergi, itu dikira hebat walaupun ilmu agamanya tidak setinggi mana. Umat Melayu ada keyakinan ini. Oleh itu
sesiapa yang membudayakan dirinya dengan berjubah, berserban atau berketayap putih selalu, adalah dianggap tinggi keislamannya. Dia dihormati melebihi daripada seorang profesor pengajian Islam di pusat-pusat pengajian Islam yang suka memakai baju kemeja biasa atau batik. Ini sangat lumrah dalam budaya orang-orang Melayu, hingga siswa-siswi di universiti pun akan menghorrnati ‘individu hebat’ itu daripada mahagurunya sendiri. Sebaliknya pula jika individu idola itu menukar budaya dengan memakai batik atau berkemeja dan bertali leher, maka rasa hormat tadi akan menurun. Oleh itu mempertahankan budaya jubah, berserban dan berketayap putih menjadi kemestian justeru dipandang tinggi lagi mulia,walaupun ilmu Islamnya berputar-putar di sekitar akidah atau akhlak sahaja. Perkara budaya bercirikan kearaban itu ada baiknya, namun Islam tidak menetapkan corak kearaban itu sebagai satu kehebatan dan kemuliaan. A1-Quran hanya menetapkan garis panduan berpakaian tetapi tidak menetapkan bahawa semua umat Islam perlu ikut patuh pakaian kearaban itu. Orang Arab sendiri pun menurut Mahathir ada yang beragama
Nasrani tetapi masih juga orang Arab dan memakai jubah. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat umpamanya "tidak ada perbezaan antara pakaian orang Arab yang bukan Islam termasuk orang jahiliah dengan orang Arab yang telah menerima agama Islam, melainkan dari segi menentukan pegangan kepada agama Islam. Yang menentukannya ialah iman dan takwa. Tetapi ramai orang Melayu Islam sanggup bermusuh-musuhan dengan orang Islam saudara sesama mereka sambil memegang kuat kepada rupa bentuk yang dianggap Islam oleh mereka" (Ucapan Mahathir di Persidangan Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam. 29-31 Januari 2002. Kuala Lumpur).

Umat Islam dan budaya mahu hidup mudah
Islam berjaya membentuk minda dan budaya orang Melayu-Islam.Tetapi orang Melayu juga terus dipengaruhi oleh nilai-nilai hidup kemelayuan yang diwarisi turun-temurun. Mahathir menyebut "Sesuatu yang terdapat orang Melayu dahulu dan masih ada pada mereka sekarang ialah kegemaran kepada yang mudah. Kerana kegemaran ini, negeri tergadai. Apabila dijanji oleh saudagar Cina kutipan cukai yang tinggi dan tetap, Raja-raja Melayu memberi monopoli cukai dan penjualan candu kepada saudagar-saudagar Cina. Kemudian datang British yang berjanji dengan menggunakan nasihat mereka, pentadbiran negeri Melayu akan lebih tertib dan political pension tetap serta kemudahan-kemudahan hidup yang luar biasa akan dinikmati oleh Raja-raja Melayu. Dengan janji ini kuasa penuh diberi kepada penjajah untuk mentadbir mengikut kehendak mereka.

Kehidupan memang menjadi lebih mudah tetapi negeri
tergadai.
Sikap ambil mudah ini berterusan. Orang Melayu Islam suka yang mudah dan senang. Kemudahan-kemudahan yang disediakan pihak pemerintah di bawah Dasar Ekonomi Baru seperti lesen, permit-permit
perniagaan dan lain-lain yang berpotensi membuat keuntungan jika serius bekerja dan bersusah payah, tetapi jalan mudah dilakukan iaitu menjual lesen, permit, saham dan lain-lain kepada bukan Islam. Mereka mendapat
untung cepat dan mudah tanpa bersusah payah. Tindakan ini akhirnya memberi kekayaan kepada orang lain. Dan Melayu itu akan meminta-minta lagi. Jika tidak dilayan, ia akan menganggap kerajaan itu zalim, tidak
mahu membawa orang-orang Melayu. Maka minda orang-orang Melayu Islam perlu dibuka dan menerima nilai-nilai dan ajaran Islam yang lebih baik." (Ucapan Mahathir di Persidangan Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam).


Umat Islam tidak boleh jadi kaya kerana ia bermakna
materialisme
Satu perkara yang lumrah diyakini oleh orang Melayu ialah mereka tidak perlu bekerja kuat untuk mencari kesenangan hidup atau memiliki harta. Itu dianggap materialisme. Itu semua dunia belaka! Oleh itu orang
Islam perlu hidup seadanya sahaja. Tidak perlu tekun bekerja atau berusaha menjadi kaya. Biarlah kekayaan negara dibolot oleh bukan Islam kerana dunia untuk orang bukan Islam. Mahathir membetulkan perspektif
umat Islam ini. Dalam bukunya Menghadapi Cabaran (1976) di bawah tajuk`Kerohanian dan cabaran moden'Mahathir memberi penjelasan. "Di sini patut ditegaskan bahawa keduniaan tidak semestinya bemakna
materialisme. Manusia tidak dapat mengelakkan daripada mempunyai harta. Pengemis pun ada harta, walaupun ia mempunyai sehelai kain di pinggang. la mesti dihargai dan sayang kepada hartanya ini. Tetapi ini
tidak bermakna dia tamak kepada kebendaan ataupun dia materialistik.Pengemis pun akan cuba menambah hartanya. Begitu juga seorang yang sudah pun ada harta akan cuba menambah lagi harta itu’
Percubaan untuk menambah kekayaan belum menjadikan seseorang itu orang yang materialistik.

Tetapi pengemis atau jutawan menjadi seorang materialis apabila dia sanggup membuat apa sahaja untuk menambah harta dan kekayaan dan kehidupannya dikuasai oleh usaha merebut kekayaan semata-mata. Orang seperti ini tidak akan memulangkan balik kepada masyarakat sebahagian daripada kekayaannya, sama ada secara sukarela atau tidak, untuk menolong golongan yang tidak bernasib baik. Mereka akan cuba mengelakkan daripada sebarang tanggungjawab terhadap masyarakat kerana tamak.


Apa yang jelas daripada keterangan ini ialah memiliki harta atau mencari kekayaan tidak menjadikan seseorang itu materialis jika dia tidak tertaasub dengan kekayaan sehingga lupa dan tidak mempunyai
perasaan 'kemanusiaan'. Fahaman ini penting kerana adalah mudah bagi masyarakat dikelirukan dengan anggapan dan tafsiran bahawa kemiskinan bermakna kerohanian dan kekayaan di dunia ini adalah sama dengan materialisme.

Dari sejarah Islam kita tahu bahawa miskin dan kaya tidak ada pertalian yang tetap dengan kerohanian dan kebendaan. Pemimpinpemimpin Islam ramai yang kaya tetapi pegangan mereka kepada ajaran Islam yang mengutamakan nilai-nilai rohaniah tidak dapat dinafikan.


Sayidina Usman, umpamanya adalah orang kaya. Begitu juga Siti Khatijah yang menjadi isteri yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang peniaga yang kaya. Walaupun mereka hartawan, mereka bukan tertaasub dengan materialisme. Islam tidak pernah menuntut supaya kekayaan dunia digugurkan. Di antara ‘dunia’ dengan ‘akhirat’ mesti ada imbangan. Sebab itu orang Islam didesak bekerja seolah-olah akan hidup selama-lamanya tetapi beramal ibadat seolah-olah akan mati keesokan harinya. "Bekerjalah untuk duniamu seakan-akan kamu akan hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seakan-akan kamu akan mati besoknya."

Pandangan Islam terhadap dunia tidak pernah melampau seperti dengan agama-agama lain. Sistem monastery dan nunnery; tegahan beristeri, dan berapa tidak dituntut oleh Islam. Sebaliknya amalan rejection of worldliness banyak terdapat dalam agama Kristian umpamanya. Paderi dalam mazhab Roman Katolik tidak boleh beristeri. Terdapat pula berbagaibagai religious order dalam agama lain yang mana ahlinya mengasingkan diri daripada masyarakat luar, menolak `keduniaan' sepanjang hayat mereka dan mereka semata-mata membuat ibadat. Sungguhpun pada masa-masa yang lewat ini ahli-ahli religious orders tidak lagi begitu rigid sikap mereka, tetapi konsep menolak `dunia' masih ada di kalangan orang
Kristian Katolik.

Dalam Islam tidak ada golongan orang yang `bertapa' dan religious order yang menolak dunia. Sebabnya ialah penolakan dunia dengan kekayaan tidak semestinya bermakna pegangan kepada nilai nilai rohaniah
tidak tercapai, ataupun menjadi lebih tinggi lagi. Sungguhpun tinjauan dibuat oleh ahli-ahli sufi untuk mencapai nilai rohaniah yang tinggi, Sufisme tidak menjadi satu religious order yang menolak semua `keduniaan'. Apa yang dituntut oleh Islam bukan penolakan dunia tetapi kesedaran dan kemanusiaan. Amalan sembahyang mengingatkan sekalian orang Islam bahawa walaupun kaya, atau berkuasa, atau pandai, masih ada kuasa yang lebih besar, lebih tinggi dan lebih kaya daripada mereka. Sembahyang juga
mengingatkan bahawa sebenarnya kaya dan miskin, raja atau rakyat, pemimpin atau penganut adalah sama. Dengan ini perasaan sombong dan bongkak yang mudah menguasai jiwa orang yang terlalu pandai atau terlalu berkuasa atau terlalu kaya dihindarkan. Masyarakat menjadi lebih adil dan tenteram dan bahagia kerana tidak terdapat perasaan sombong dan bongkak yang membawa kepada salah faham dan ketegangan.

Puasa yang diwajibkan kepada seluruh orang Islam menyedarkan mereka tentang keazaban orang yang diserang kelaparan (iaitu orang miskin). Di dalam bulan puasa bukan sahaja seorang Islam merasai
tekanan kelaparan tetapi ia dikehendaki menyingkirkan fikiran, niat dan perbuatan-perbuatan yang tidak baik yang dilarang oleh agama dan masyarakat. Ini adalah suatu latihan jiwa yang kuat dan berkesan.
Dalam keadaan haus dan lapar dia dikehendaki mengawal perasaan-perasaan yang liar yang boleh merosakkan dirinya dan masyarakat. Sudah tentu latihan ini akan menambah keupayaan orang Islam menghadapi cabaran hidup dengan jayanya dan menjadikan masyarakat mereka lebih tertib dan aman. Ibadat zakat pula menolong mengurangkan perbezaan golongan-golongan dalam masyarakat supaya
ketenangan dan pemusuhan tidak berlaku.

Zakat membentuk dan menyuburkan perasaan tanggungjawab dan timbang rasa di kalangan orang Islam, yang akan mengurangkan hasad dengki yang biasanya membawa kecelakaan dalam masyarakat.
Akhirnya fardu haji menggolongkan semua latihan ini supaya lebih berkesan dan menyedarkan tentang persaudaraan umat Islam yang tidak membezakan kulit atau bangsa ataupun lain-lain perbezaan yang wujud di kalangan manusia.

Apa yang jelas dari ibadah yang diwajibkan oleh Islam ialah amalan yang menyedarkan tiap-tiap orang Islam tentang sikap dan tanggung-jawab kepada masyarakat dan kepada Tuhan. Sikap dan tanggungjawab ini cuma berkesan jika seseorang itu memainkan peranan nya yang penuh dalam masyarakat. Jika dia menarik diri daripada masyarakat, bertapa dan beribadat seorang diri maka sudah tentu dia tidak boleh memainkan apa-apa peranan. Dengan perkataan lain seorang Islam tidak dituntut supaya menolak terus semua yangberunsurkan keduniaan dan mengasingkan diri daripada masyarakat.  Apa yang dikehendaki ialah supaya keduniaan tidak membolot semua fikirannya sehingga sikapnya kepada orang lain tidak bertimbang rasa, tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan." (Mahathir Mohamad. Menghadapi Cabaran. 1976-1985).

14 Julai 2010

Hamas Tiada Masalah Clinton Sebagai Orang Tengah


Rabu , 14/07/2010 -Pemimpin Hamas Dr. Shaleh Bardawil menegaskan pihaknya tidak menentang usaha mantan Presiden Amerika, Bill Clinton sebagai orang tengah untuk menyelesaikan isu pertukaran tahanan. Namun begitu beliau menegaskan bahawa Hamas tidak akan beranjak daripada tuntutannya daripada pertukaran tersebut.
Bardawil mendakwa Zionis Israel telah acapkali menggugurkan/mengenepikan perundingan sebelumnya untuk mendapat kata sepakat dalam isu pertukaran tahanan. Beliau menegaskan kesediaan pihak Hamas untuk menerima mana-mana pihak yang bersedia menjadi orang tengah namun perlu meneruskan perundingan dari noktah mana perundingan tersebut terhenti.
Beliau menjelaskan, “Secara prinsipnya kami tidak menentang peranan orang tengah dari pihak manapun, sama ada dari Clinton atau pihak lain, dalam isu pertukaran tahanan. Apa yang penting orang tengah perlulah memainkan peranan yang neutral terhadap kedua-dua belah pihak. Kami tidak berbicara tentang apa-apa syarat. Apa yang kami tekankan adalah perlunya diteruskan perundingan dari noktah mana perundingan terhenti sebelum digagalkan Netanyahu.”
sumber : COMES
penterjemah : osman

Pelampau Yahudi rancang serbu al-Aqsa setiap hari


Rabu , 14/07/2010 -Yayasan al-Aqsa mengingatkan seluruh rakyat Palestin terdapatnya cubaan pelampau Yahudi yang akan membuat kacau di seluruh kawasan al-Aqsa. Pelampau Yahudi akan masuk melalui pintu-pintu al-Aqsa. Mereka turut menyebarkan risalah-risalah. Pelampau Yahudi menggunakan internet dalam menyebarluaskan aktiviti kebinatangan meraka itu.
Pihak Yayasan AlAqsa dengan tegas berpendirian, masjid al-Aqsa adalah hak kaum muslimin dan non-muslim tidak ada hak walaupun sebesar zarah. Modus operandi pelampau Yahudi ini sama, iaitu memainkan sentiman Arab dan kuil Haikal.
sumber : COMES
penterjemah : Abu ‘Umair

13 Julai 2010

Persatuan Bulan Sabit Merah Turki mendermakan 3 tangki air di Gaza.


Selasa, 13/07/2010 – Persatuan Bulan Sabit Merah Turki telah mendermakan tiga tangki air di Gaza yang telah dikepung semenjak 4 tahun yang lepas,dan saluran bantuan tersebut dibuat adalah bertujuan untuk mengubati luka para penduduk Palestin dan mengembalikan mereka kepada kehidupan yang normal.
Persatuan Bulan Sabit Merah Turki telah meneruskan misi kemanusiaanya tanpa henti kepada penduduk Gaza dan telah banyak melancarkan program-program yang bermanfaat untuk penduduk Gaza.Di antaranya ialah membuat kerja-kerja penyelenggeraan dan membaik pulih tangki-tangki air yang telah rosak dan musnah akibat serangan-serangan bersifat jenyah Zionis kepada penduduk Gaza.
Dan berkatanya Pengerusi Bulan Sabit Merah Turki bahawa mereka telah merangka untuk melancarkan enam program untuk penduduk Gaza dan bakal membina tiga lagi tangki air dalam masa terdekat yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti bekalan air kepada penduduk Gaza,sambil mengatakan bahawa program bekalan air tersebut bakal membekalkan air kepada lebih 240 000 penduduk.
sumber : http://www.palestine-info.info/ar
penterjemah :  putra duad

Bot-bot bersenjata Zionis tembak bot nelayan di Rafah


Selasa, 13/07/2010 – Beberapa bot yang lengkap bersenjata milik rejim Zionis hari ini mengepung dan melepaskan tembakan ke arah bot-bot nelayan Palestin di perairan Rafah, kata sumber tempatan.
Sumber tempatan melaporkan bahawa bot-bot rejim Zionis itu telah mengejar bot-bot nelayan Palestin dan melepaskan tembakan ke arah mereka, tetapi tiada kecederaan dilaporkan. Dua hari lepas, bot-bot bersenjata milik rejim Zionis telah melepaskan tembakan ke arah nelayan-nelayan Gaza sehingga mencederakan Alam Baker yang ketika itu sedang menangkap ikan.

sumber : The Palestine Telegraph
penterjemah :  salwa

11 Julai 2010

Jejak Pendekar - Riwayat Hidup Pengasas Silat Seni Gayong


Dato' Meor Abdul Rahman Bin Uda Hashim

 
Bergambar bersama Dato' Onn Jaafar
Silat Seni Gayong merupakan sebuah pertubuhan silat yang amat sinonim dengan orang Melayu. Setelah hampir sedekad Silat Seni Gayong telah ‘bermesra’ dengan orang Melayu. Aliran Seni gayong merupakan aliran tradisional seni beladiri Melayu yang telah mencapai kegemilangan di hampir sebahagian dunia Eropah, Australia dan Amerika Syarikat. Bermula dengan hasil usaha pengasasnya yang sememangnya tersohor dari dulu hingga kini; iaitu Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman Bin Uda Hashim yang telah berjasa besar dalam mengembangkan seni warisan Melayu yang hebat ini. Walaupun Fakir bukanlah seorang pesilat yang professional (Cuma belajar masa zaman kanak-kanak dan remaja sahaja) namun sejak kecil Fakir sudah mengenali nama hebat pendekar ini, banyak cerita-cerita hebat pendekar yang bernama Dato’ Mahaguru Meor Abdul Rahman ini. Hingga menjadi impian untuk bertemu dengan beliau, hingga kini impian itu tinggal impian.
Untuk kali ini, izinkan Fakir memuatkan artikel berkenaan riwayat hidup Mahaguru hebat ini sebagai penghargaan dan sanjungan fakir terhadap beliau. Fakir menyemak banyak blog dan lelaman yang memuatkan kisah hidup Dato’ Meor Abdul Rahman tetapi Fakir lebih tertarik kepada lelaman onnjadi.tripod.com. Fakir telah sunting artikel tersebut kerana ianya terlalu panjang untuk dimuatkan dalam ruangan yang tidak seberapa dalam blog Fakir ini. Jadi kepada sesiapa sahaja pengunjung yang ingin mengetahui lebih terperinci tentang riwayat hidup Dato’ Meor maka eloklah berkunjung ke lelaman onnjadi yang Fakir pautkan di bawah artikel ini nanti.

Salasilah keturunan dan kehidupan masa kecil. 
 Darah yang mengalir di dalam tubuh Meor Abdul Rahman adalah darah Bugis yang diwarisi daripada Daeng Kuning, seorang pendekar terbilang pada penghujung abad ke-18. Daeng Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah seorang daripada tujuh beradik anak raja Bugis berasal dari Makasar, Sulawesi, yang sangat-sangat ditakuti dan dihormati di seluruh Makasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau Melayu yang berhampiran, kerana kegagahan dan keperkasaan mereka yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Ketujuh-tujuh beradik ini, Daeng Jalak, Daeng Celak, Daeng Merawak, Daeng Mempawah, Daeng Telani, Daeng Pelangi dan Daeng Kuning telah belayar meninggalkan tanah Bugis untuk mencari tapak penghidupan baru. Mereka telah menjelajah ke serata kepulauan Melayu bagi mencari kawasan penempatan yang sesuai menurut firasat masing-masing.
Dalam tahun 1813, anak-anak Raja Bugis ini telah mendarat di Kuala Larut. Tempat persinggahan mereka dikenali sebagai Pangkalan Alur atau Relur Tujuh(kini dikenali sebagai Ayer Kuning). Hanya Daeng Kuning yang terus menetap di Relur Tujuh dan bertapa di situ(gua tempat pertapaan Daeng Kuning masih lagi wujud dan terletak di Bukit Larut). Saudara-saudara Daeng Kuning yang lain telah meneruskan pelayaran dan berpecah ke seluruh Tanah Melayu, mengikut firasat masing-masing. Daeng Kuning terkenal dengan kemahirannya bermain senjata sundang lipas. Kedatangan orang-orang Bugis ke Tanah Melayu ini telah memperkuatkan struktur kesultanan Melayu. Melalui bantuan kuasa Bugis, ketuanan raja-raja Melayu telah dapat dinobatkan kembali.

Hasil perkongsian hidup Daeng Kuning dengan seorang puteri Raja Pattani, beliau telah dikurniakan seorang putera yang kemudiannya dikenali dengan panggilan Penghulu Che’ Ngah Tambah(Daeng Kuning meninggal dunia pada tahun 1875 di Taiping, Perak). Penghulu Che Ngah Tambah ialah orang yang membuka daerah Matang dan telah dilantik oleh Sultan Perak sebagai salah seorang Orang Besar Lapan. Penghulu Che’ Ngah Tambah pula telah mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Uda Mohd. Hashim. Uda Mohd.Hashim(seorang arkitek) kemudiannya mendirikan rumahtangga dengan Sharifah Aluyah binti Syed Zainal Al-Attas dan dikurniakan dua orang putera. Salah seorang puteranya, Meor Abdul Rahman dilahirkan pada 21 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden,Taiping. Syed Zainal Al-Attas ialah seorang hulubalang di Pahang yang terkenal dengan semangat penentangan penjajah serta ilmu persilatan yang tinggi. Beliau adalah sahabat karib pahlawan Mat Kilau dan Dato’ Bahaman, dan pernah menjadi penghulu di Pekan, Pahang(di bawah pentadbiran Tok Gajah).

Sewaktu bonda beliau melahirkannya, ada benda yang seakan-akan cacing tetapi panjang(ular?)keluar mengiringi kelahirannya. Ayahanda beliau mengambil cacing tadi lalu menyimpannya di dalam tempurung kelapa. Kelahiran Meor Abdul Rahman disambut dengan hujan yang turun mencurah-curah. Pada malamnya, bonda beliau telah bermimpi diberitahu oleh suara ghaib supaya melepaskan cacing(ular?) tersebut ke laut melalui Teluk Kertang dekat Matang. Seminggu kemudian bonda beliau bermimpi lagi, kali ini suara ghaib menasihati bonda Meor Abdul Rahman agar jangan risaukan tentang perihal cacing tersebut. Cacing itu adalah kembar anakanda Meor Abdul Rahman. Ia sebenarnya adalah naga "di lautan sana bercula tujuh, di lautan sini bercula se(satu)".

"Kamu janganlah susahkan aku. Aku cuma mengiringkan kamu semasa melahirkan anak. Aku kembar dengan anak kamu. Akulah naga bercula tujuh. Di lautan sini aku bercula sa (satu). Aku kembaran dia..."

Mengikut kata bondanya juga, itu adalah tanda yang Meor Abdul Rahman akan menjadi seorang pendekar besar pada suatu masa kelak.

Walaupun beliau dilahirkan di tengah-tengah keluarga berdarah pendekar, ini tidak bermakna beliau sudah mempunyai kekuatan luar biasa serta ilmu persilatan yang tinggi. Disebabkan "darah pendekar" yang diwarisinya itu beliau kerap menjadi mangsa buli rakan-rakannya di sekolah, yang sengaja mahu menguji tahap keilmuannya dalam dunia persilatan. Setiap hari beliau akan dibuli, diherdik, diugut dan kadangkala dibelasah kerana kawan-kawannya menyangka beliau kebal seperti datuknya yang terkenal sebagai pendekar terbilang.

Beliau pernah dibelasah oleh 7-8 orang rakan-rakannya. Walaupun beliau belum mempelajari silat lagi pada ketika itu, beliau sering menang dalam setiap perkelahian yang dicetuskan oleh rakan-rakannya tersebut. Walaupun demikian, kerana sering sahaja dibuli, Meor Abdul Rahman seolah-olah patah semangat untuk meneruskan persekolahannya akibat tindak tanduk rakan-rakannya itu. Beliau mengadu kepada bondanya, Sharifah Aluyah mengenai sikap rakan-rakannya itu serta niatnya untuk berhenti sekolah jika hasratnya untuk mempelajari silat tidak ditunaikan. Walaupun datuknya, Syed Zainal itu seorang pendekar terbilang, malah saban hari ramai yang datang berguru, namun Meor Abdul Rahman tidak pernah diberi peluang untuk sama-sama belajar. Beliau terpaksa menyorok di bawah rumah mengintai datuknya bercerita tentang silat kepada anak-anak muridnya. Ibunya bersetuju untuk menyampaikan permintaan Meor Abdul Rahman kepada datuknya.

Berguru dengan Syed Zainal Al-Attas
Ketika umur Meor Abdul Rahman dua belas tahun barulah beliau berpeluang berguru dengan datuknya iaitu Syed Zainal yang ketika itu sudah menjangkau ke usia 100 tahun lebih.

Segala ilmu dan petua Silat Seni Gayong diperturunkan satu persatu oleh Syed Zainal Al-Attas. Hari berganti minggu, bulan berganti tahun. Silat Seni Gayong semakin sebati dalam diri Meor Abdul Rahman. Segala sepak terajang orang bersilat ditempuhi dengan hati yang tabah.

Meor Abdul Rahman belajar Silat Seni Gayong bersama-sama 40 orang rakannya di Kampung Pokok Assam, Taiping. Keluarga beliau berpindah ke Kampung Pokok Assam ketika usia beliau kira-kira sepuluh tahun.(Menurut Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman, kekandanya Meor Abdul Aziz tidak ikut sama mempelajari silat kerana beliau lebih gemarkan aktiviti bermotosikal - memiliki tiga buah motosikal).

Setelah tiga tahun berguru dengan Syed Zainal,kesemua rakan-rakannya kecuali beliau seorang telah dikhatamkan oleh Syed Zainal. Meor Abdul Rahman begitu kecewa dengan sikap datuknya yang tidak mengkhatamkan dirinya seperti rakan-rakannya yang lain. Beliau telah menjadi mangsa ejekan rakan-rakannya, sehingga digelar "buah yang tidak masak". Beliau tidak tahu sampai bilakah datuknya akan "menggantungnya secara tidak bertali". Beliau lantas mengadu kepada bondanya. Kerana rasa kasih terhadap anakandanya tersebut, Sharifah Aluyah lalu bersemuka dengan ayahandanya Syed Zainal dan bertanyakan ayahandanya itu mengapa Meor Abdul Rahman tidak dikhatamkan sebagaimana rakan-rakannya yang lain. Sharifah Aluyah sanggup menawarkan seekor kambing untuk disembelih sebagai syarat untuk Meor Abdul Rahman dikhatamkan. Walau bagaimanapun, permintaan Sharifah Aluyah tidak dapat dipenuhi oleh Syed Zainal. Menurut Syed Zainal, beliau tidak boleh mengkhatamkan cucunya tersebut kerana masanya belum tiba lagi. Apabila masanya tiba kelak, Meor Abdul Rahman pasti akan dikhatamkan walaupun bukan oleh beliau,datuknya. Menurut firasat Syed Zainal, cucunya Meor Abdul Rahman akan dikhatamkan oleh orang ghaib di suatu tempat yang terletak di sempadan Siam - Tanah Melayu. Syed Zainal menyuruh Sharifah Aluyah menasihatkan Meor Abdul Rahman supaya menunggu sahaja ketibaan masa pengkhataman tersebut.

Penjelasan bondanya tersebut sedikit-sebanyak telah melegakan hati Meor Abdul Rahman, namun dia terus menanti-nanti masa yang disebutkan oleh datuknya itu. Ketika usianya sembilan belas tahun, beliau sudah pun mahir dalam segala aspek ilmu persilatan dan adat istiadat Silat Seni Gayong ini. Sebagai seorang anak muda yang sedang naik, Meor Abdul Rahman sering sahaja terlibat dalam peristiwa beradu tenaga dan sentiasa pula dapat menewaskan lawannya tersebut.

Panglima Sendo Perak 
Untuk menghadap sultan bukannya tugas yang mudah. Beberapa kali Meor Abdul Rahman dihalang oleh Datuk Seri Nara Diraja. Pada ketika itu baginda sultan tengah sibuk kerana sedang bermain mahjong. Setelah puas didesak akhirnya Datuk Seri Nara Diraja membenarkan Meor Abdul Rahman bertemu dengan Sultan,

"Kamu nak jumpa, kamu pergilah jumpa. Tapi kalau kamu kena sebat, itu kamu punya pasal..."kata Datuk Seri Nara Diraja mengingatkan Meor Abdul Rahman tentang baginda Sultan yang terkenal bengis dan garang. Lalu dijawab oleh Meor Abdul Rahman,

"Kena sebat pun tak apa..."

"Kamu nak apa?" titah Sultan Alang Iskandar sebaik sahaja Meor Abdul Rahman menghadap.

"Tuanku, patiklah orang yang paling gagah sekali di negeri tuanku." sembah Meor Abdul Rahman kepada baginda Sultan.

"Hah! Hah! Apa kamu kata? Kamu nak melawak dengan aku ya? Kamu tahu aku siapa? Kamu nak kena sebat?" Baginda Sultan kembali bertitah sebaik sahaja mendengar kata-kata Meor Abdul Rahman, yang dirasakan seperti hendak mempersendakan baginda.

"Tahu tuanku. Tuanku Raja Perak, raja patik. Tapi kalau tuanku tak percaya, patik boleh buktikan." ujar Meor Abdul Rahman pula.

"Pergi angkat Puteh Lawak!" titah Sultan.

Di hadapan Sultan, beliau telah menunjukkan kegagahan beliau dengan mengangkat seorang yang berbadan besar(Puteh Lawak) dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Puteh Lawak telah dijulang dan diputar-putarkan sebelum dicampak.

"Megah sungguh kamu ni." titah baginda Sultan selepas menyaksikan peristiwa tersebut.

Selepas peristiwa itu, baginda Sultan telah memerintahkan Meor Abdul Rahman agar menghadap baginda sekali lagi iaitu bertempat di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Di sana Meor Abdul Rahman telah menunjukkan kebolehannya membengkokkan paku sepanjang enam inci, membengkokkan besi dengan leher, berlawan tarik tali dengan 50 orang lelaki(25 di kanan, dan 25 di kiri), mematahkan wang syiling perak dengan menggunakan jari, badan beliau digelek dengan kereta Bentley milik Sultan dan beliau juga berjaya memutuskan rantai pengikat kaki gajah. Semua ujian tersebut dijalankan pada waktu malam. Sultan Alang Iskandar masih lagi belum berpuas hati. Pada keesokan harinya baginda telah memerintahkan Meor Abdul Rahman mengangkat selaras meriam penabur yang terbesar di istana. Atas kejayaannya itu, baginda Sultan telah menggelarnya "Panglima Sendo Perak" atau "Orang Kuat Perak".

Sejak hari itu beliau dikenali sebagai "Rahman Sendo". Baginda juga berkenan mengambil beliau sebagai anak angkat dan mulai saat itu tinggallah Meor Abdul Rahman di Istana Mercu, Kuala Kangsar. Meor Abdul Rahman hanya kembali semula ke kampungnya(Kampung Pokok Assam) setelah Sultan Alang Iskandar mangkat pada tahun 1938. Beliau telah dinasihatkan oleh ayahanda saudaranya, Ngah Majid yang menjawat jawatan Panglima Perang Kiri, Perak, supaya pulang semula ke Kampung Pokok Assam, untuk mengelakkan diri beliau dianiayai oleh pembesar negeri yang cemburu kepada beliau.(Setengah bahagian daripada wang syiling perak 50 sen ini disimpan oleh Cikgu Siti Kalsom manakala setengah bahagian yang lain disimpan oleh waris Almarhum Sultan Idris Syah. Wang syiling ini kelihatan seperti telah disiat kepada dua bahagian.)

Berhijrah ke Singapura dan Peristiwa di Pulau Sudong 
Tidak berapa lama setelah keluar dari istana, Meor Abdul Rahman tekah mendirikan rumah tangga dengan Kalsom binti Hj. Kechik, seorang anak tempatan Kedah yang juga menjadi adik angkat kekandanya, Hendon. Setelah berumahtangga, Meor Abdul Rahman dan isterinya menetap di rumah kekandanya, Hendon di Kuala Nerang.

Pada penghujung tahun 1938, bersama Zainal Abidin(Bidin) sepupunya, beliau telah berangkat ke Singapura mencuba nasib untuk mencari pekerjaan. Beliau bekerja di Naval Base yang baru sahaja dibuka ketika itu. Oleh kerana beliau lulusan daripada Government Trade School, Meor Abdul Rahman telah diterima bekerja sebagai tukang kimpal manakala Zainal Abidin sebagai mekanik mesin. Setelah enam bulan bekerja di Naval Base, Meor Abdul Rahman telah mendapat pekerjaan di Royal Signal Corps sebagai seorang mekanik. Di Gillman Barrack, Royal Signal Corps, beliau turut menjadi Guru Kombat(Combat Instructor) yang mengajar ahli-ahli Royal Signal Corps tentera British, yang ketika itu di bawah Pegawai Memerintah Lt. Kol. Pope.

Pada pertengahan tahun 1941, Meor Abdul Rahman pulang ke Kota Sarang Semut untuk menghantar isterinya yang sedang sarat mengandung anak mereka yang pertama. Dalam perjalanan pulang ke Singapura, Meor Abdul Rahman singgah di Kg. Pokok Assam untuk melawat kedua-dua orang tuanya. Semasa menziarahi kekanda sepupunya, Nuteh Alang Abdul Rahman, beliau telah terpikat dengan anak perempuan Nuteh, Faridah(Anin). Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Faridah tidak lama selepas itu.

Selepas berkahwin, Meor Abdul Rahman telah membawa isteri keduanya ke Singapura. Mereka menyewa sebuah bilik di Bushi Park. Dua bulan kemudian mereka disertai pula oleh isteri pertama Meor Abdul Rahman bersama anak sulung mereka Fadhilah. Tidak berapa lama kemudian, mereka sekeluarga berpindah ke Raden Mas dan menyewa sebuah rumah di situ. Lebih kurang sebulan di Raden Mas, Perang Dunia Kedua pun meletus di Singapura.

Pada 15 Februari 1942 Singapura telah jatuh ke tangan tentera Jepun. Meor Abdul Rahman telah mendapat arahan daripada Lt.Kol. Pope supaya menyelamatkan diri dari pulau Singapura.

Meor Abdul Rahman meninggalkan pulau Singapura hanya setelah diarahkan berbuat demikian oleh pegawai atasannya. Kerana keberaniannya itulah beliau dianugerahkan pingat King George VI daripada kerajaan British pada tahun 1947.

Dalam suasana huru-hara, Meor Abdul Rahman sekeluarga telah berpindah dari Raden Mas ke Batu 5 1/2 Pasir Panjang. Di situ terdapat sebuah jeti yang digunakan oleh nelayan untuk memunggah hasil tangkapan mereka ke darat. Meor Abdul Rahman berjaya mendapatkan sebuah perahu yang ditinggalkan di jeti tersebut. Walaupun tidak pandai berperahu, Meor Abdul Rahman atas daya usahanya sendiri telah mengemudi perahu tersebut. Beliau sekeluarga terpaksa mengharungi lautan luas di perairan Singapura yang bergelombang besar dan berapi-api kerana terbakar akibat tumpahan minyak. Dalam suasana yang sangat mencemaskan itu, mereka terpaksa pula berhadapan dengan ancaman bom yang digugurkan daripada kapal terbang Jepun.

Selepas sehari berkayuh akhirnya beliau dan keluarga beliau mendarat di sebuah pulau yang kelihatannya agak selamat daripada hujan peluru musuh. Di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah disambut oleh seorang penduduk pulau yang bernama Naning. Naning telah memaklumkan syarat untuk orang luar yang ingin menumpang di pulau tersebut, iaitu bertarung dengan seorang jaguh Pulau Sudong, yang bernama Wak Kusang. Wak Kusang berkulit gelap,bertubuh pendek tetapi tegap. Beliau mempunyai lengan sebesar paha orang dewasa. Penduduk Pulau Sudong mula keluar beramai-ramai untuk menyaksikan pertarungan tersebut. Mereka telah memukul gendang sambil bersorak-sorai seolah-olah menyaksikan suatu pesta pula. Dalam keadaan diri yang sangat keletihan setelah sehari suntuk mengharungi lautan, Meor Abdul Rahman terpaksa pula berlawan dengan pendekar Pulau Sudong bagi memenuhi tuntutan syarat jika ingin menumpang di pulau tersebut. Sebelum pertarungan bermula, beliau terlebih dahulu meminta pandangan ahli keluarga beliau. Nampaknya beliau sudah tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa menghadapi Wak Kusang. Pertarungan antara Wak Kusang dengan Meor Abdul Rahman berlangsung di kawasan tanah perkuburan, kerana penduduk pulau membina rumah bertiang tinggi di tepi pantai, manakala bahagian tengah pulau dikhaskan sebagai tanah perkuburan. Pertarungan tersebut berlangsung dalam suasana yang sangat tegang dan hebat. Dengan berkat ilmu Silat Seni Gayongnya, maka di akhir pertarungan, Wak Kusang telah dihempas oleh Meor Abdul Rahman. Darah mula mengalir daripada kepala Wak Kusang kerana kepala beliau telah terhempas ke batu nesan kubur di situ. Kemenangan Meor Abdul Rahman telah disambut dengan perasaan gembira oleh ahli keluarga beliau. Penduduk pulau pula telah bersorak gembira seolah-olah menyaksikan suatu perlawanan sabung haiwan.

Pada suatu malam, lebih kurang satu minggu beliau berada di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah bermimpi didatangi satu lembaga yang memberi amaran kepadanya iaitu suatu bahaya akan menimpa penduduk Pulau Sudong. Lembaga tersebut menyuruh Meor Abdul Rahman berusaha menghalang bahaya itu dan ia(lembaga itu) berjanji akan membantu beliau.Pada keesokan harinya iaitu pagi tanggal 17 Februari 1942, penduduk Pulau Sudong telah mendapat khabar bahawa tentera Jepun akan mendarat. Orang-orang yang berada di Pulau sudong menjadi gempar. Berita tentang pendaratan tentera Jepun telah membimbangkan penduduk pulau kerana mereka banyak mendengar berita tentang kekejaman tentera Jepun. Seorang nelayan dari pulau berdekatan datang ke Pulau Sudong memberitahu anak dan isterinya telah dirampas oleh tentera Jepun dan dibawa naik ke atas kapal perang mereka. Terdapat beratus-ratus kapal perang Jepun yang berlabuh di hadapan Pulau Bukum. Berita ini telah menggemparkan penduduk Pulau Sudong. Masing-masing menjadi begitu khuatir dan bimbang, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak gadis. Penghulu dan penduduk pulau telah berkumpul dan mula membincangkan soal keselamatan anak-anak gadis mereka yang berada dalam keadaan bahaya. Berbagai-bagai pandangan dikemukakan. Penghulu Pulau Sudong mencadangkan supaya dipindahkan sahaja semua perempuan-perempuan muda ke Pulau Senang atau ke Pulau Pawai sementara yang lain mencadangkan supaya perempuan-perempuan muda disorokkan ke dalam hutan. Yang lebih berani pula menyuruh supaya menentang sahaja orang-orang Jepun yang ingin merosakkan anak-anak gadis pulau itu, serta bermacam-macam lagi cadangan. Setelah keadaan menjadi semakin buntu, Meor Abdul Rahman pun memberikan pandangan beliau. Orang-orang pulau memang menaruh harapan kepada beliau kerana mereka mengetahui Meor Abdul Rahman pernah menewaskan jaguh Pulau Sudong, iaitu Wak Kusang.

Penduduk Pulau Sudong kemudian diarah untuk mengisikan air ke dalam tempayan. Mereka bertanyakan Meor Abdul Rahman di mana mereka boleh mendapatkan air tawar kerana pada kebiasaannya air tawar diperoleh dari Pulau Senang. Meor Abdul Rahman lalu berdoa memohon supaya diturunkan hujan. Dengan izin Allah, tidak berapa lama kemudian langit pun mendung dan hujan mulai turun. Orang-orang kampung lalu mengisikan tempayan dengan air hujan. Setelah air tempayan itu dibacakan doa dan ayat-ayat Al-Quran, Meor Abdul Rahman pun menjiruskan/memperlimaukan tujuh orang pemuda yang sanggup menentang kemasukan tentera Jepun.Tujuh pemuda tersebut terdiri daripada Naning, Mat Resad, Ahmad Puah, Kekeh, Mustapa, Bendol dan Wak Kusang. Itulah detik permulaan Meor Abdul Rahman memperkenalkan ilmu Silat Seni Gayong serta adat istiadatnya kepada orang ramai yang berlaku pada kira-kira jam 11.00 pagi 17 Februari 1942 di rumah penghulu Pulau Sudong.

Pada waktu itu laut kelihatan dipenuhi api yang menjulang. Pulau Bukum kelihatan telah terbakar. Penduduk Pulau Sudong kemudian diminta mengumpulkan periuk belanga dari tiap-tiap rumah. Buntut periuk tersebut kemudian dikikis untuk diambil arangnya. Ada periuk yang pecah akibat terlalu kuat dikikis. Selepas itu arang tersebut dicampurkan dengan minyak kelapa dan dibancuh seperti membancuh simen. Meor Abdul Rahman kemudiannya mengumpulkan semua perempuan yang berada di Pulau Sudong. Campuran arang dan minyak kelapa itu pun disuruh sapu ke muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kaum perempuan. Tepung gandum pula diletak dicelah-celah rambut supaya rambut kelihatan seperti telah beruban. Perempuan-perempuan muda kemudian disuruh masuk ke dalam rumah Meor Abdul Rahman(kira-kira seramai 200 orang). Meor Abdul Rahman kemudian meminta beras kunyit. Setelah dibacakan doa tertentu, beras kunyit tersebut diserahkan kepada Naning. Naning kemudian mengetuai enam lagi rakannya pun mula bergerak mengikut gerak hati yang dipimpin oleh semangat beras kunyit tersebut. Apabila sampai di tepi pantai, Meor Abdul Rahman menyuruh Naning menabur beras kunyit ke laut dan mengarahkan Naning dan rakan-rakannya meraba-raba(menggagau) di dalam air. Sebanyak tujuh bilah keris tanpa hulu dan tanpa sarung diperoleh dari dalam air laut di gigi pantai tersebut. Meor Abdul Rahman mengarahkan Naning dan rakan-rakannya membalut bahagian hulu keris dengan kain layar buruk serta sedikit kain kuning. Keris-keris tersebut lalu disorokkan dicelah dinding atap rumah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman lalu bertanya kepada ketujuh-tujuh pemuda tadi apakah yang akan mereka lakukan sekiranya anak isteri mereka dirampas oleh tentera Jepun.

Mereka menjawab, "Kita bunuh. Jika Cikgu suruh bunuh, kami bunuh..."

Seorang daripada penghulu-penghulu pulau telah menyuarakan rasa kebimbangannya, takut-takut nanti jika dibunuh tentera Jepun tersebut, Pulau Sudong akan menjadi padang jarak, padang terkukur akibat serangan balas daripada tentera Jepun yang lain.

Ketujuh-tujuh mereka lalu menjawab,"Kami lebih rela mati syahid daripada hidup dayus..."

Keadaan ini telah membuktikan bahawa ketujuh-tujuh lelaki tersebut telah naik semangat keberanian. Dari tujuh orang murid lelaki pertama Gayong ini, hanya empat orang murid sahaja yang berani menawarkan diri menjadi pengawal di rumah Meor Abdul Rahman. Perempuan-perempuan tua pula disuruh mengusutmasaikan rambut dan ditempatkan di bawah pokok kelapa yang terdapat di pesisiran pantai Pulau Sudong.

Tidak berapa lama kemudian, tentera Jepun pun tibalah dengan kapal pendarat tenteranya. Seperti kebiasaan, mereka melepaskan beberapa das tembakan pistol ke udara untuk memanggil orang-orang kampung agar mengangkat mereka ke darat. Sebaik sahaja mereka mendarat, mereka melihat hanya perempuan-perempuan tua sahaja yang kelihatan. Mulut mereka becok merungut-rungut kerana belum berjumpa wanita muda di pulau tersebut. Tentera Jepun tersebut terus mencari di sekitar pulau. Tidak lama kemudian,tentera Jepun itu sampailah ke rumah Meor Abdul Rahman. Tindakan pemuda-pemuda kampung yang asyik memandang ke arah rumah Meor Abdul Rahman telah mencurigakan pihak tentera Jepun. Mereka pun terus naik ke atas rumah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman yang berdiri di muka pintu pun terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran sambil terus berdoa.

Sebaik sahaja daun pintu ditolak, tentera Jepun menjadi begitu terkejut dan ketakutan melihat betapa hodohnya perempuan-perempuan yang berada di dalam rumah Meor Abdul Rahman.Sentuh pun mereka tidak mahu.Askar-askar Jepun tersebut menjadi gempar ketakutan sambil menjerit-jerit dalam bahasa Jepun.

Tentera Jepun pun berlalu dari rumah Meor Abdul Rahman. Sebaik sahaja tentera Jepun berundur dari rumah Meor Abdul Rahman, mereka telah melihat penduduk kampung yang asyik memerhatikan ke arah sebuah tongkang Cina. Mereka nampak seorang lelaki Cina tua sedang menimba air laut dari geladak tongkangnya. Tentera Jepun pun terus pergi mendapatkan tongkang tersebut. Setelah memeriksanya, mereka lalu mengesyaki sesuatu. Tentera Jepun lalu menolak papan besar yang menutup lantai tongkang tersebut. Sebaik sahaja papan penutup tersebut ditolak, kelihatanlah ramai anak-anak gadis Cina di dalamnya. Lelaki Cina tua tersebut telah ditolak ke dalam air laut dan ditembak sehingga mati. Anak-anak gadis Cina tersebut pula telah diangkut ke dalam kapal perang mereka. Di atas kapal tersebut, anak-anak gadis Cina tersebut telah diperkosa beramai-ramai. Jerit pekik mereka dikatakan kedengaran sehingga ke Pulau Sudong.

Mengembangkan Silat Seni Gayong 
Dalam tahun 1947, kerajaan British telah menawarkan Meor Abdul Rahman jawatan sebagai pegawai dalam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Ketua Polis Singapura telah mendapat tahu rahsia kehebatan Mahaguru Meor Abdul Rahman sewaktu beliau berkhidmat sebagai Guru Kombat di Gillman Barrack. Setelah empat bulan, beliau memohon dipindahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah(CID). Permohonan beliau diluluskan dan beliau telah ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan dan ditugaskan menyiasat sebarang penipuan dalam timbangan. Tidak lama kemudian beliau ditugaskan pula di bahagian kepolisan yakni di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang pegawai berpangkat Sarjan.

Pada tahun 1947 juga, atas jasa-jasa beliau menentang keganasan tentera Jepun, beliau telah dikurniakan pingat keberanian King George VI oleh kerajaan Inggeris. Di sekitar tahun ini juga beliau giat mengembangkan ilmu Silat Seni Gayong di tanah besar Singapura. Menjelang tahun 1948, jumlah anak murid Gayong sudah mencapai 100,000 orang, dengan 50,000 daripadanya adalah dari kepulauan Indonesia.

Dalam tahun 1957, Sultan Kedah yang ketika itu DYMM Almarhum Sultan Badlishah telah mewakilkan Tengku Kassim yang juga bergelar Tengku Laksamana Kedah menjemput Meor Abdul Rahman serta rombongan Silat Seni Gayong Singapura datang ke negeri Kedah, seterusnya mengadakan persembahan silat di Kelab Sukan Sultan Abdul Hamid.Tujuannya ialah untuk memperkenalkan Silat Seni Gayong kepada rakyat Kedah agar dapat dipelajari. Di Kedah, Meor Abdul Rahman telah berunding dengan Sultan Kedah tentang permintaan baginda Sultan supaya Seni Gayong diajarkan kepada rakyat Kedah. Beliau telah bertanya kepada Sultan Badlishah mengapa beliau dipilih untuk mengembangkan silatnya di Kedah sedangkan di Kedah terdapat ramai pendekar silat. Baginda Sultan telah bertitah,

"Adik Kassim yang desak kerana main(silat) dengan Siam tak sampai dua minit dah kalah. Beta dengar Cikgu pernah kalahkan orang-orang Siam dan tangkap sehingga terjelir lidah..."

Pada awalnya Meor Abdul Rahman berasa keberatan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong di Kedah kerana menghormati pendekar-pendekar silat yang telah sedia ada di Kedah. Walaupun beliau telah mengemukakan pelbagai alasan, akhirnya beliau terpaksa menurut kemahuan Sultan apabila baginda menghantar anggota Polis untuk menjemput Meor Abdul Rahman mengajar di Kedah. Baginda telah bertanya kepada Meor Abdul Rahman tentang rahsia berjalan di atas bara api yang baginda saksikan sendiri dalam demonstrasi di Kelab Sukan Sultan Abdul Hamid.

Dalam tahun 1959, Meor Abdul Rahman bertemu dengan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar di Alexandra,Singapura. Sebelum daripada itu, Meor Abdul Rahman telah mendapat isyarat daripada bapanya, Daing Uda Mohd.Hashim menyuruh Meor Abdul Rahman mencari seorang murid yang tua, yang keningnya telah putih. Menurut Daing Uda Mohd.Hashim yang sedang "keturun tok nenek"(diresapi semangat ghaib pahlawan dahulu kala/didatangi rohaniah nenek moyang) ketika itu, orang itulah yang boleh merebakkan Gayong. Orang tersebut tinggal di seberang Tambak Johor. Sejak dari itu, Meor Abdul Rahman mula mencari orang yang dimaksudkan. Pada masa yang sama Dato' Onn juga mendapat firasat untuk mencari Meor Abdul Rahman. Dalam pertemuan tersebut, Dato' Onn telah berkata,

"Jika betul awak keturunan Raja Bugis, cuba tukarkan bunga melur ini kepada benda lain..."

Meor Abdul Rahman pun membaca sepotong doa lalu dihembuskan kepada bunga melur tersebut. Dengan takdir Allah, bunga tersebut telah bertukar menjadi batu akik. Dato’ Onn pun melamar untuk menjadi murid Gayong dan lamarannya telah diterima oleh Meor Abdul Rahman. Atas nasihat dan usaha Dato’ Onn, Silat Seni Gayong pun didaftarkan di Johor Bahru dan dikenali sebagai Pertubuhan Silat Seni Gayong (No. Pendaftaran 361/tahun 1962, Johor Bahru). Dato’ Onn dilantik sebagai Penasihat dan beliau sendiri menjadi Pengerusi. Dengan terdaftarnya Silat Seni Gayong, maka aktivitinya dapat dijalankan dengan lebih bersistematik dan efektif. Dari Singapura, Silat Seni Gayong telah bertapak di Johor. Di Johor Bahru, terletak pejabat Gayong iaitu di Jalan Yahya Awal, iaitu di rumah Cikgu Ibrahim. Ahli jawatan kuasa pusat ketika itu terdiri daripada Cikgu Ibrahim, Hajjah Asmah, Cikgu Kadir(ayahanda Cikgu Abd.Rahman) dan beberapa orang ahli jawatankuasa yang lain. Gelanggang latihan silat yang terawal di Johor ialah di Jalan Puteri, iaitu di kediaman Dato' Onn Jaafar. Antara murid-murid Gayong Johor yang awal ialah anak-anak Dato' Onn sendiri iaitu antaranya, Fuzi(berkahwin dengan Jeneral Ghazali Mohd.Seth) dan Tun Hussein Onn sendiri(Perdana Menteri Malaysia yang Ketiga).

Dalam tahun 1961, Meor Abdul Rahman bersara dari jawatan sebagai mata-mata gelap dan terus menceburkan dirinya dalam perniagaan. Segala aktiviti Gayong beliau jalankan di tempat kediamannya di Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Pada sekitar tahun 1960, Mahaguru Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Pendita Za'ba di Singapura. Pendita Za'ba adalah berketurunan Bugis. Beliau telah diminta oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman untuk melukis lambang Gayong iaitu yang terdiri daripada gambar seekor naga, sempena peristiwa kelahiran beliau yang berkembarkan seekor ular yang telah bertukar menjadi naga. Dengan bantuan Cikgu Nor Aidil, sijil Gayong yang berasaskan lambang naga satu ini kemudian direka bentuk.

Dato' Paduka Chura Simanja Kini 
 Pada tahun 1971, di atas kegigihan Mahaguru Meor Abdul Rahman mengembangkan Silat Seni Gayongnya, beliau telah dikurniakan bintang kebesaran Dato' Paduka Chura Simanja Kini(DPCM) yang membawa gelaran Dato' oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Idris Shah ibni Almarhum Sultan Alang Iskandar.

Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman merupakan orang pertama diletakkan keris Taming Sari di atas kepalanya, iaitu sebelum beliau dikurniakan anugerah darjah kebesaran Dato' Paduka Chura Simanja Kini oleh Sultan Perak. Menurut Dato' Meor Abdul Rahman, keris Taming Sari itu sangat berdaulat kerana sebaik sahaja tamat upacara penganugerahan tersebut dan apabila beliau telah kembali semula ke rumahnya, beliau telah diserang seram sejuk yang teramat sangat sehingga menyebabkan beliau mengamuk dan bertempik tidak tentu arah. Beliau tidak pernah mengalami perasaan yang sedemikian sepanjang beliau melibatkan diri dalam Silat Seni Gayong. Menurut Dato' Meor Abdul Rahman lagi, keris Taming Sari ini telah diserahkan oleh Sultan Mahmud Shah kepada anakandanya Raja Muzaffar yang hendak dirajakan di Perak. Sultan Mahmud juga telah menitahkan Raja Muzaffar supaya menamakan semula negeri Gangga Negara(nama lama Perak) dengan nama Perak, sempena nama Bendahara Melaka, Paduka Tun Perak.

Pada tahun 1972, Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Idris Shah telah berkenan menjadi Penaung Agung PSSGM dan Serantau. Baginda juga pernah suatu ketika turun takhta kerana mengambil Tapak Gayong di hadapan Mahaguru Dato’Meor Abdul Rahman. Selepas upacara tersebut baginda ditabalkan kembali menjadi sultan. Sultan Perak mempunyai hirarki paling tinggi di dalam Silat Seni Gayong. Baginda memakai sandang Seri Mahkota Agong Gangga Cula Sakti dan Seri Tribuana Gangga Cula Sakti. Hal ini disebabkan Sultan Perak adalah daripada jurai keturunan Sultan Melaka.

Pada 6 Mac 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak telah dilantik menjadi Paduka Imam Khalifah dan Penasihat Agung Majlis Tertinggi Adat Istiadat Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau oleh Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman. Dengan perlantikan ini, Perdana Menteri Malaysia(berketurunan Bugis) dengan rasminya telah menjadi murid kepada Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim. Istiadat pertabalan itu telah diadakan di kediaman Tun Abdul Razak iaitu di Seri Taman, dengan disaksikan oleh kerabat-kerabat Gayong dari Perak, Kedah dan Selangor. Tun Abdul Razak kemudian mengakui dan berikrar bahawa anggota-anggota Gayong adalah "saudara segayong". Beliau juga diterima menjadi "anak angkat" kepada Dato' Meor Abdul Rahman dan menjadi "abang angkat" kepada Sultan Perak, Sultan Idris Shah yang menjadi Penaung Agung Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau. Adat istiadat melantik Tun Abdul Razak ini diselubungi suasana yang mengandungi unsur-unsur ghaib. Menurut Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman, beliau mengambil Tun Abdul Razak sebagai anak angkat kerana berlaku beberapa petanda baik semasa istiadat pertabalan itu dilakukan. Tun Abdul Razak mempunyai beberapa petanda baik yang dapat dilihat semasa istiadat pertabalan itu dijalankan dan adalah suatu perkara yang luar biasa dan sukar diperoleh oleh orang lain. Hadir sama di istiadat itu ialah Imam Khalifah Gayong Selangor, Datuk Harun Idris, Imam Khalifah Gayong Perak, Datuk Sri Kamaruddin Mat Isa, Imam Khalifah Gayong Pulau Pinang, Tan Sri Hamdan Sheikh Tahir, Datuk Senu Abdul Rahman(Imam Khalifah Malaysia), Tan Sri Syed Nasir(Imam Khalifah Malaysia) dan beberapa orang pembesar negara yang lain.

Patah Tumbuh Hilang Berganti 
Dato' Meor Abdul Rahman juga sangat rapat dengan Sultan Johor, Sultan Mahmood Iskandar yang berketurunan Raja Bugis. Dato' Meor Abdul Rahman pernah berkereta dengan baginda Sultan dan sering bertindak sebagai penasihat sultan. Kerana akrabnya hubungan Dato' Meor Abdul Rahman dengan Sultan Johor, menurut ceritanya, baginda Sultan Johor pernah bertitah bahawa cuma Dato'Meor Abdul Rahman sahaja yang boleh menasihati baginda. Dato' Meor Abdul Rahman pernah mempersembahkan berita penemuan makam Daing Kuning kepada baginda Sultan Johor. Dato' Onn Jaafar merupakan orang pertama yang dibawa melawat Makam Daing Kuning.

Sewaktu ditanya tentang lambang Gayong(temuramah di Universiti Malaya pada tahun 1979), Dato' Meor Abdul Rahman menyatakan,

"Asalnya, lambang Gayong bernaga satu. (Apabila)Dato' balik dari Singapura ke Taiping, Dato' kasihankan abang Dato', Meor Aziz yang banyak tolong Dato'. Meor Aziz tidak belajar silat tetapi cukup faham tentang adat-istiadat. Dato' angkat Meor Aziz jadi Penasihat Tertinggi(Advisor), ketika di Perak. Dato' dua beradik, (jadi) tambah satu naga lagi pada lambang Gayong. Yang betul cuma seekor naga sahaja lahir di dunia. Dato' lahir ke dunia dengan seekor ular yang telah pergi ke laut melalui Teluk Kertang di Matang, tempat orang Cina dan Melayu berperang pasal lombong. Ekor naga mengelilingi dunia bermakna Gayong akan terkenal ke seluruh dunia..."

Ketika ditanya tentang siapa pewaris Gayong selepas beliau(di Taiping pada tahun 1989), Dato' Meor Abdul Rahman berkata,

"Pesanan Ungku Syed Zainal, Gayong ini tidak boleh dibagi kepada murid yang tidak diturunkan(tak mahu belajar). Gayong ini, diwajibkan darah daging kita belajar. Kalau tidak mahu belajar, cuma hendakkan warisan - tiada warisan! Orang yang betul-betul jujur mengikut Gayong sekurang-kurangnya 21 tahun, tak putus-putus. Mengikut Dato' ke darat, ke laut, ke lembah...Cikgu Siti Kalsom - jadi Ibu Gayong. Dato' datang ke dunia ini untuk Gayong sahaja. Seorang pembantu Dato' iaitu Ibu Gayong. Gayong akan datang kembali balik semula, yang pangkal balik ke hujung, yang hujung balik ke pangkal, akhirnya akan bersatu balik. Segayong, sekendi, seperigi, seminum, sejalan, sejadi, sedarah, sedaging, sepadu. Dato' tidak turunkan kesemua ilmu Gayong kepada seseorang murid - PERLU BERCANTUM!"

Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman telah kembali ke Rahmatullah pada pagi 23 Jun 1991, bertempat di Pusat Perubatan Pakar, Ipoh kerana sakit tua. Jenazah beliau telah dikebumikan di tanah perkuburan di perkarangan Masjid Lama, Taiping.

Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Al-Fatihah