Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

08 Januari 2011

NEKAD BERI ANAK DALAM KANDUNGAN



KUALA LUMPUR: “Maafkan ayah nak...walaupun hati ayah berat untuk membuat keputusan ini, namun demi kebaikan masa depanmu, ayah terpaksa,” rintih seorang lelaki yang mahu menyerahkan anak dalam kandungan isterinya kepada keluarga lain atas alasan tidak mampu menampung kehidupannya sekeluarga.

Shahrul Rahman, 33, berkata dia nekad mengambil tindakan itu selepas mengalami masalah kewangan yang teruk dan tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib sama.
Katanya, kehidupannya bermula dengan baik selepas mengahwini isterinya, Aishah Ismail, 26, pada 2006 dan dikurniakan tiga anak berumur antara tiga tahun hingga enam bulan. Selain itu, katanya, dia mempunyai seorang anak tiri hasil perkahwinan isterinya dengan suami terdahulu yang kini berusia enam tahun dan tinggal bersamanya sejak berusia empat bulan.

Namun, episod sedih hidupnya bermula selepas perniagaannya sebagai pengendali makanan di kantin sekolah di Kedah mengalami kerugian.

“Hidup saya menjadi susah dengan bebanan hutang yang semakin bertambah. Saya meminjam daripada bank untuk memulihkan kembali perniagaan, namun tidak berhasil.

“Keadaan bertambah kusut apabila saya membuat pinjaman daripada ceti haram (along) untuk digunakan sebagai modal pusingan perniagaan, tapi segala-galanya tidak menjadi,” katanya ketika ditemui semalam.

Runsing memikirkan masalah dihadapi, Shahrul berkata, dia pernah cuba membunuh diri dengan menelan 60 ubat tidur dan minum cecair peluntur, namun digagalkan isterinya yang menyedari tindakannya itu.

“Tidak cukup dengan itu, saya juga pernah terdorong untuk menukar agama kerana terpengaruh seorang rakan yang hidup senang selepas berhijrah menganuti agama lain. Mujur saya masih ingatkan Allah. Jika tidak saya pun tak pasti apa akan berlaku,” katanya.

Shahrul berkata, kehidupannya tidak banyak berubah selepas itu dan pernah satu ketika dia sekeluarga mengisi perut dengan menjadikan ubi kayu yang ditanam di belakang kantin sekolah sebagai menu hidangan.

“Saya sedih dan tertekan apabila melihat anak-anak hanya minum air sejuk dan terpaksa mengharungi hidup yang sukar hanya kerana saya tidak mampu memberi kesenangan kepada mereka.

“Anak kedua dan ketiga tidak pernah minum susu seperti kanak-kanak lain. Saya hanya mampu memberikan air sejuk sebagai minuman. Mujur anak-anak tidak memilih sebaliknya makan dan minum apa yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, anak keempatnya sudah diserahkan kepada seorang penjawat awam selepas dua hari dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, dan sebagai ganjaran, dia diberikan wang sagu hati RM2,000.

“Waktu itu hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya hati melihat anak yang tersayang berada dalam pangkuan orang lain, tapi apa boleh buat, hanya itu yang terdaya.

“Isteri saya juga seperti tertekan dan menerima hakikat kami terpaksa menyerahkan anak untuk dijaga keluarga lain,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur sejak sebulan lalu, hanya mampu membawa keluarganya tinggal menumpang sebuah bilik di rumah rakannya di Kota Damansara.

“Setiap hari hidup isteri dan anak-anak terkurung dalam bilik itu. Di situ mereka main, tukar baju dan tidur. Ikutkan hati ingin saja saya mencari rumah sewa yang luas sedikit, tetapi saya tidak mampu. Gaji saya sebagai pengawal keselamatan hanya RM780 sebulan,” katanya.

Shahrul berkata, dia bertambah tidak keruan apabila mendapati isterinya mengandung lagi bulan lalu dan dia bimbang dengan nasib menimpa keluarganya akan menjejaskan kehidupan anak yang bakal lahir nanti.

“Isteri berkali-kali mendesak saya supaya digugurkan saja kandungannya itu, tapi saya tidak tergamak untuk melakukan sedemikian kerana anak tidak bersalah, tapi saya yang perlu membela nasib keluarga.

“Sebab itu saya buat keputusan untuk serahkan anak ini kepada keluarga yang mahu menjaganya. Saya juga mohon supaya keluarga barunya akan menjaga anak ini dari dalam kandungan lagi termasuk membiayai rawatan dan pemeriksaan sehingga dia lahir,” katanya.
Katanya, dia berharap anak yang bakal lahir akan selesa dengan kehidupannya bersama keluarga baru dan hubungan kekeluargaan mereka tidak akan terhenti di situ saja.

“Kepada keluarga baru yang akan mengambil anak ini, saya hanya mohon satu perkara iaitu jangan putuskan hubungan kekeluargaan kami. Saya reda dengan apa yang berlaku dan hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya.

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my
Sumber : myMetro

Celoteh Fakir:

Ini adalah satu contoh dari ratusan rentetan kisah kesengsaraan hidup yang dialami oleh sebahagian keluarga Melayu Islam di bumi makmur ini. Seolah-olah tidak pernah tersingkap habis cerita-cerita begini untuk pengetahuan umum. Yang pasti jika ianya dicungkil pasti kita akan bertemu lebih banyak lagi kisah penderitaan dan kesengsaraan hidup yang sangat-sangat menyayukan setiap hati. Sesungguhnya yang benar-benar faham akan setiap penderitaan itu hanyalah pada orang yang pernah mengalaminya. Dalam menangani hal kemiskinan tegar seperti ini, sudah tiba masanya pihak-pihak berkuasa yang berkaitan menyinting lengan turun ke akar umbi mencari, menilai dan menyediakan bantuan yang sepatutnya kepada yang memerlukan. Tidak kiralah walau di mana-mana pun samada negeri di bawah kerajaan ataupun di bawah pemerintahan pembangkang. Kemiskinan ada di mana-mana, oleh itu janganlah isu kemiskinan dipolitikkan untuk tujuan kekuasaaan kerana yang derita pasti akan lebih menderita jika pihak atasan asyik sibuk menuding jari ke arah satu sama lain.

Kita orang awam pun tahu apabila media massa menyiarkan tentang penderitaan dan keperitan hidup sesebuah keluarga maka barulah badan-badan tertentu turun menyibukkan diri meninjau dan memberi bantuan yang kadang-kadang seharusnya telah lebih lama diberikan. Tidak diketuk maka tidak bergeraklah fungsi yang seharusnya ada pada badan-badan yang diberikan kuasa oleh kerajaan dalam mengangani hal-hal seperti ini. Kerenah birokrasi yang tinggi juga sebenarnya menjadi faktor utama sebagai penghalang kepada golongan miskin dan miskin tegar untuk mendapat bantuan bagi mengubah corak kehidupan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata karenah birokrasi ini harus dikurangkan bagi mencapai matlamat kerajaan menghapuskan kumpulan miskin tegar menjelang akhir tahun ini. Katanya maklum balas yang diperolehi daripada kumpulan itu adalah kesusahan mereka mendapatkan pinjaman kewangan dan bantuan modal dari kerajaan dan swasta kerana karenah birokrasi. 

"Mereka amat susah memperolehi peruntukan-peruntukan ini, jadi kita perlu betul-betul kurangkan birokrasi sama ada untuk peruntukan dalam kerajaan mahupun swasta," katanya.

Bagaimana pula dengan Pusat Pungutan Zakat dan Baitulmal yang ada hampir disetiap negeri? Ratusan juta diperolehi dalam setahun dalam setiap pungutan zakat. Selain dari pelaburan rasanya tidak luak dana yang ada untuk membantu orang-orang miskin dengan memberi bantuan dan pinjaman tanpa syarat-syarat yang ketat.Sudahkah pihak tersebut turun ke dasar untuk mengenalpasti setiap keluarga yang sepatutnya diberikan bantuan. Janganlah mengharap orang-orang yang sudah buntu dengan masalah kemiskinan dan penderitaan yang dihadapi untuk turun mengadap para pegawai yang ada untuk memohon bantuan kerana tidak semua orang tahu apa fungsi sepenuhnya dua badan tersebut. Apatah lagi walau seratus kali naik turun ke pejabat-pejabat tersebut belum tentu bantuan dapat diluluskan dek kerana berbagai hal dan kerenah birokrasi yang menyulitkan. Terkadang terfikir dibenak fikiran bahawa fungsi badan pengurusan zakat sudah seakan tidak selari dengan kehendak dan perjalanannya semasa di zaman Rasulullah SAW dan para sahabatnya.Kemana perginya ratusan juta wang zakat yang telah dibayar? Salangkan Saidina Omar R.A sanggup mengorek sebiji tamar dari mulut anaknya kerana memegang amanah inikan pula kita? Jika orang-orang yang berkemampuan tidak membayar zakat sudah dikira berdosa bagaimana pula jabatan-jabatan yang diamanahkan untuk menguruskannya pula seolah mengabaikannya?
Dalam hal ini, Fakir memuji atas arahan DYMM Tuanku Sultan Selangor yang mengharapkan wang zakat seharusnya dipulangkan kepada rakyat. Cara Tuanku telah membuka era baru dan mengorak langkah dengan tegas mengikut tatacara Islam yang sebenar.
Lihat saja agama lain yang mempunyai badan yang khas dalam membantu para penganutnya yang mengalami kesulitan dan masalah kesempitan hidup. Malah ada sesetengahnya mampu menawarkan bantuan kepada yang benar-benar terdesak yang bukan dari kalangan penganutnya sehinggakan ada yang sanggup menukarkan agama dek kerana budi yang telah ditaburkan...fikirkanlah!

Bagaimana pula wakil-wakil rakyat, pegawai daerah dan orang-orang bawahan mereka, penyelaras mukim, para penghulu hatta ketua kampung dan ahli jawatankuasanya sudahkah membuat penilaian dan mempunyai butiran terperinci dan terkini akan perihal dan permasalahan serta masalah kemiskinan setiap ahli komuniti setempat? Seandainya ada syukur alhamdulillah tapi bagaimana pula pelan tindakannya? Janganlah amanah yang diberikan disalahgunakan dengan memasukkan dan disenaraipendekkan para kroni yang adakalanya sudah senang lenang 
Hasrat kerajaan mungkin murni dalam menjadikan kemiskinan kepada sifar di negara ini, namun ianya pasti tidak akan berhasil seandainya para pegawai bawahan tidak sama-sama bersemangat dan bertungkus lumus untuk bergerak ke arah itu. Akhirnya hasrat kerajaan akan tinggal menjadi hasrat yang keberhasilannya tidak seberapa. Rakyat akhirnya menyalahkan kerajaan padahal perancangan yang baik dan murni sudah diwar-warkan cuma para penggeraknya tidak bersungguh dalam pemurnian segala hasrat dan program yang telah dirancangkan oleh kerajaan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan