Sesungguhnya Allah sukakan orang-orang yang berjuang di
jalan Nya dalam satu barisan seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh."
(As Saff : 4)
Dalil Hadith dan
Sunnah Rasulullah S.A.W
Maksudnya: "Hendaklah kamu berada dalam jama'ah kerana
sesungguhnya berjama'ah itu adalah rahmat , sedangkan perpecahan itu merupakan
azab." (Muslim)
Dalil-dalil Qawa'idul
Fiqhiyyah (kaedah fekah)
Maksudnya: "Jika
tidak terlaksana perkara yang wajib itu sehingga ada perkara yang membawa ia
terlaksana, maka tidak dapat tidak perkara tersebut juga menjadi wajib."
Dalil Aqli (akal)
berdasarkan kepada Waqi' (realiti) semasa
Diperhatikan mereka
yang menentang Islam, mereka bekerja secara pasukan. Sebab itu tidak boleh
diterima syara' dan akal, musuh seperti ini dapat dihadapi dengan jayanya
secara individu. Abu Bakar r.a pernah berkata kepada Khalid Al Walid:
"Perangilah mereka sebagaimana mereka memerangi kamu, pedang dengan pedang,
lembing dengan lembing dan panah dengan panah."
Jerussalem merupakan
kota Suci bagi ketiga-tiga agama samawi yakni Islam, Yahudi dan Kristian. Di
dalam kota inilah letaknya Masjid Al-Aqsa yang dibangun oleh Nabi Sulaiman dan
menjadi Kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Baitullah di Makkah.
Ketika Nabi Muhammad Isra', singgah dan solat di masjid ini sebelum Mi'raj ke
langit. Nabi Isa as. juga dilahirkan di Baitullaham berdekatan kota Jerussalam
ini.
Di masa pemerintahan
Khalifah Umar bin Khattab (13-23 H/634-644 M) Jerussalam dapat direbut oleh
kaum Muslimin dalam suatu penyerahan kuasa secara damai. Khalifah Umar sendiri
datang ke Jerussalem untuk menerima penyerahan kota Suci itu atas desakan dan
persetujuan Uskup Agung Sophronius.
Berabad abad lamanya
kota itu berada di bawah pentadbiran Islam, tapi penduduknya bebas memeluk
agama dan melaksanakan ajaran agamanya masing-masing tanpa ada gangguan.
Orang-orang Kristian dari seluruh dunia juga bebas datang untuk mengerjakan
haji di kota Suci itu dan mengerjakan upacara keagamaannya. Orang-orang
Kristian dari Eropah datang mengerjakan haji dalam jumlah rombongan yang besar
dengan membawa obor dan pedang seperti tentera. Sebahagian dari mereka
mempermainkan pedang dengan dikelilingi pasukan gendang dan seruling dan
diiringkan pula oleh pasukan bersenjata lengkap.
Sebelum Jerussalem
ditadbir Kerajaan Seljuk pada tahun 1070, upacara seperti itu dibiarkan saja
oleh umat Islam, kerana dasar toleransi agama. Akan tetapi apabila Kerajaan
Seljuk memerintah, upacara seperti itu tidak dibernarkan, dengan alasan
keselamatan.
Mungkin kerana
upacara tersebut semakin berbahaya. Lebih-lebih lagi kumpulan-kumpulan yang
mengambil bahagian dalam upacara itu sering menyebabkan pergaduhan dan
huruhara. Disebutkan bahawa pada tahun 1064 ketua Uskup memimpin pasukan
seramai 7000 orang jemaah haji yang terdiri dari kumpulan Baron-baron dan para
pahlawan telah menyerang orang-orang Arab dan orang-orang Turki.
Itulah yang
membimbangkan Kerajaan Seljuk. Jadi larangan itu demi keselamatan Jemaah haji
Kristian itu sendiri. Malangnya, tindakan Seljuk itu menjadi salah anggapan
oleh orang-orang Eropah. Ketua-ketua agama mereka telah berkempin bahawa
kebebasan agamanya telah dicabuli oleh orang-orang Islam dan menyeru agar Tanah
Suci itu dibebaskan dari genggaman umat Islam.
Patriach Ermite adalah
paderi yang paling lantang dan bertungkus lumus mengapi-apikan kemarahan umat
Kristian. Dia asalnya seorang tentera, tapi kemudian menjadi paderi, berwatak
kepala angin dan cepat marah. Dalam usahanya untuk menarik simpati umat
Kristian, Ermite telah berkeliling Eropah dengan mengenderai seekor kaldai
sambil memikul kayu Salib besar, berkaki ayam dan berpakaian compang camping.
Dia telah berpidato di hadapan orang ramai sama ada di dalam gereja, di
jalan-jalan raya atau di pasar-pasar. Dia menceritakan sama ada benar atau
bohong kisah kunjungannya ke Baitul Maqdis.
Katanya, dia melihat
pencerobohan kesucian ke atas kubur Nabi Isa oleh Kerajaan Turki Seljuk.
Diceritakan bahawa jemaah haji Kristian telah dihina, dizalimi dan dinista oleh
orang-orang Islam di Jerussalem. Serentak dengan itu, dia menggalakkan orang
ramai agar bangkit menyertai perang untuk membebaskan Jerussalem dari tangan
orang Islam. Hasutan Ermite berhasil dengan menggalakkan. Paus Urbanus II
mengumumkan ampunan seluruh dosa bagi yang bersedia dengan suka rela mengikuti
Perang Suci itu, sekalipun sebelumnya dia merupakan seorang perompak, pembunuh,
pencuri dan sebagainya. Maka keluarlah ribuan umat Kristian untuk mengikuti
perang dengan memikul senjata untuk menyertai perang Suci. Mereka yang ingin
mengikuti perang ini diperintahkan agar meletakkan tanda Salib di badannya,
oleh kerana itulah perang ini disebut Perang Salib.
Paus Urbanus
menetapkan tarikh 15 Ogos 1095 bagi pemberangkatan tentera Salib menuju Timur
Tengah, tapi kalangan awam sudah tidak sabar menunggu lebih lama lagi setelah
dijanjikan dengan berbagai kebebasan, kemewahan dan habuan. Mereka mendesak
Paderi Patriach Ermite agar berangkat memimpin mereka. Maka Ermite pun
berangkat dengan 60,000 orang pasukan, kemudian disusul oleh kaum tani dari
Jerman seramai 20.000, datang lagi 200,000 orang menjadikan jumlah
keseluruhannya 300,000 orang lelaki dan perempuan. Sepanjang perjalanan, mereka
di izinkan merompak, memperkosa, berzina dan mabuk-mabuk. Setiap penduduk
negeri yang dilaluinya, selalu mengalu-alukan dan memberikan bantuan
seperlunya.
Akan tetapi
sesampainya di Hongaria dan Bulgaria, sambutan sangat dingin, menyebabkan
pasukan Salib yang sudah kekurangan makanan ini marah dan merampas harta benda
penduduk. Penduduk di dua negeri ini tidak tinggal diam. Walau pun mereka
sama-sama beragama Kristian, mereka tidak senang dan bertindak balas.
Terjadilah pertempuran sengit dan pembunuhan yang mengerikan. Dari 300,000
orang pasukan Salib itu hanya 7000 sahaja yang selamat sampai di Semenanjung
Thracia di bawah pimpinan sang Rahib.
Apabila pasukan Salib
itu telah mendarat di pantai Asia kecil, pasukan kaum Muslimin yang di pimpin
oleh Sultan Kalij Arselan telah menyambutnya dengan hayunan pedang. Maka
terjadilah pertempuran sengit antara kaum Salib dengan pasukan Islam yang
berakhir dengan hancur binasanya seluruh pasukan Salib itu.
Kaum Salib Mengganas
Setelah kaum Salib
yang dipimpin oleh para Rahib yang tidak tahu strategi perang itu musnah sama
sekali, muncullah pasukan Salib yang dipimpin oleh anak-anak Raja Godfrey dari
Lorraine Perancis, Bohemund dari Normandy dan Raymond dari Toulouse. Mereka
berkumpul di Konstantinopel dengan kekuatan 150,000 askar, kemudian menyeberang
selat Bosfur dan melanggar wliayah Islam bagaikan air bah. Pasukan kaum
Muslimin yang hanya berkekuatan 50,000 orang bertahan mati-matian di bawah
pimpinan Sultan Kalij Arselan.
Satu persatu kota dan
Benteng kaum Muslimin jatuh ke tangan kaum Salib, memaksa Kalij Arselan
berundur dari satu benteng ke benteng yang lain sambil menyusun kekuatan dan
taktik baru. Bala bantuan kaum Salib datang mencurah-curah dari negara-negara
Eropah. Sedangkan Kalij Arselan tidak dapat mengharapkan bantuan dari
wilayah-wilayah Islam yang lain, kerana mereka sibuk dengan kemelut dalaman
masing-masing.
Setelah berlaku
pertempuran sekian lama, akhirnya kaum Salib dapat mara dan mengepung Baitul
Maqdis, tapi penduduk kota Suci itu tidak mahu menyerah kalah begitu saja.
Mereka telah berjuang dengan jiwa raga mempertahankan kota Suci itu selama satu
bulan. Akhirnya pada 15 Julai 1099, Baitul Maqdis jatuh ke tangan pasukan
Salib, tercapailah cita-cita mereka.
Berlakulah keganasan
luar biasa yang belum pernah terjadi dalam sejarah umat manusia. Kaum kafir
Kristian itu telah menyembelih penduduk awam Islam lelaki, perempuan dan
kanak-kanak dengan sangat ganasnya. Mereka juga membantai orang-orang Yahudi
dan orang-orang Kristian yang enggan bergabung dengan kaum Salib. Keganasan
kaum Salib Kristian yang sangat melampau itu telah dikutuk dan diperkatakan
oleh para saksi dan penulis sejarah yang terdiri dari berbagai agama dan
bangsa.
Seorang ahli sejarah
Perancis, Michaud berkata: "Pada saat penaklukan Jerussalem oleh orang
Kristian tahun 1099, orang-orang Islam dibantai di jalan-jalan dan di
rumah-rumah. Jerussalem tidak punya tempat lagi bagi orang-orang yang kalah
itu. Beberapa orang cuba mengelak dari kematian dengan cara menghendap-hendap
dari benteng, yang lain berkerumun di istana dan berbagai menara untuk mencari
perlindungan terutama di masjid-masjid. Namun mereka tetap tidak dapat
menyembunyikan diri dari pengejaran orang-orang Kristian itu.
Tentera Salib yang
menjadi tuan di Masjid Umar, di mana orang-orang Islam cuba mempertahankan diri
selama beberapa lama menambahkan lagi adegan-adegan yang mengerikan yang
menodai penaklukan Titus. Tentera infanteri dan kaveleri lari tunggang langgang
di antara para buruan. Di tengah huru-hara yang mengerikan itu yang terdengar
hanya rintihan dan jeritan kematian. Orang-orang yang menang itu memijak-mijak
tumpukan mayat ketika mereka lari mengejar orang yang cuba menyelamatkan diri
dengan sia-sia.
Raymond d'Agiles,
yang menyaksikan peristiwa itu dengan mata kepalanya sendiri mengatakan:
"Di bawah serambi masjid yang melengkung itu, genangan darah dalamnya
mencecah lutut dan mencapai tali kekang kuda."
Aksi pembantaian hanya berhenti beberapa saat saja, yakni
ketika pasukan Salib itu berkumpul untuk menyatakan kesyukuran di atas
kemenangan mereka. Tapi sebaik saja upacara itu selesai, pembantaian diteruskan
dengan lebih ganas lagi.
Seterusnya Michaud
berkata: "Semua yang tertangkap yang disisakan dari pembantaian pertama,
semua yang telah diselamatkan untuk mendapatkan upeti, dibantai dengan kejam.
Orang-orang Islam itu dipaksa terjun dari puncak menara dan bumbung-bumbung
rumah, mereka dibakar hidup -hidup , diheret dari tempat persembunyian bawah
tanah, diheret ke hadapan umum dan dikurbankan di tiang gantungan.
Air mata wanita,
tangisan kanak-kanak, begitu juga pemandangan dari tempat Yesus Kristus
memberikan ampun kepada para algojonya, sama sekali tidak dapat meredhakan
nafsu membunuh orang-orang yang menang itu. Penyembelihan itu berlangsung
selama seminggu. Beberapa orang yang berhasil melarikan diri, dimusnahkan atau
dikurangkan bilangannya dengan perhambaan atau kerja paksa yang
mengerikan."
Gustav Le Bon telah
mensifatkan penyembelihan kaum Salib Kristian sebagaimana kata-katanya:
"Kaum Salib kita yang "bertakwa" itu tidak memadai dengan
melakukan berbagai bentuk kezaliman, kerosakan dan penganiayaan, mereka
kemudian mengadakan suatu mesyuarat yang memutuskan supaya dibunuh saja semua
penduduk Baitul Maqdis yang terdiri dari kaum Muslimin dan bangsa Yahudi serta
orang-orang Kristian yang tidak memberikan pertolongan kepada mereka yang
jumlah mencapai 60,000 orang. Orang-orang itu telah dibunuh semua dalam masa 8
hari saja termasuk perempuan, kanak-kanak dan orang tua, tidak seorang pun yang
terkecuali.
Ahli sejarah Kristian
yang lain, Mill, mengatakan: "Ketika itu diputuskan bahawa rasa kasihan
tidak boleh diperlihatkan terhadap kaum Muslimin. Orang-orang yang kalah itu
diheret ke tempat-tempat umum dan dibunuh. Semua kaum wanita yang sedang
menyusu, anak-anak gadis dan anak-anak lelaki dibantai dengan kejam. Tanah
padang, jalan-jalan, bahkan tempat-tempat yang tidak berpenghuni di Jerusssalem
ditaburi oleh mayat-mayat wanita dan lelaki, dan tubuh kanak-kanak yang
koyak-koyak. Tidak ada hati yang lebur dalam keharuan atau yang tergerak untuk
berbuat kebajikan melihat peristiwa mengerikan itu."
Sumber
Mohd Naim Mohd Zain (Taman-Taman Syurga)
Artikel dipetik dari buku Kisah 85 Kekasih Allah (Kisah
Pejuang Islam) Jilid 3, Darul Nu'man, oleh Tuan Hj Ahmad Muhd Abd Ghaffar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan