Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

25 Disember 2010

Terkenang Zaman Remajaku


Dah nak masuk 3 hari Fakir bercuti termasuk cuti umum perayaan hari natal, cuti tahunan yang berbaki 8 hari. Yang dapat diambil hanya 2 hari. 4 hari lagi "carry forward" ke tahun hadapan. Selebihnya hangus lah agaknya, apakan tidak kerja yang semakin hari semakin memaksa komitmen yang tidak mengenal masa. Hidup sebagai pekerja bawahan ini tidak memberikan ruang untuk "menentang" atau memprotes apa yang dirasakan tidak kena pada tempatnya, pun begitu Fakir tidaklah mahu menjadi "yes man" setiap waktu. Ada masanya jika Fakir rasa pandangan dan pendirian Fakir ini adalah benar maka insyaAllah Fakir akan mempertahankan habis-habisan dengan cara dan saluran yang bersesuaian. Walaupun begitu pendirian Fakir, tidak juga Fakir ini boleh dianggap penderhaka kerana Fakir seorang Melayu yang berpegang pada tatasusila dan kesopanan. Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.

Dalam masa bercuti ini, Fakir dengan penyakit yang ada pada tubuh ini terkadang terasa amat lesu dan keletihan dan adakalanya rasa sihat dan sempat pula bermain "playstation" dengan anak-anak. Cuma kadang-kadang pula syaitan merasuk fikiran dan merasakan tidak kuat melawan penyakit yang datang. Isteri Fakir sedar akan semangat yang tidak kuat yang adakalanya terpamir pada diri Fakir. Seperti celoteh yang lalu, sesungguhnya sekali lagi Fakir nyatakan diabetes merupakan penyakit yang paling Fakir geruni sejak dari usia muda lagi. Apakan tidak sejarah keluarga Fakir yang rata-ratanya memang pengidap penyakit tersebut. Dapat dilihat dengan mata kepala sendiri betapa deritanya bila tidak benar-benar mengawal dan mengikut arahan doktor, maka ianya pasti akan berlarutan kepada penyakit lain seperti buah pinggang pula. Akhirnya Fakir sendiri terjebak dengan penyakit yang paling digeruni itu atas kesilapan sendiri. Atas kegerunan tersebutlah membuatkan Fakir ada masanya seakan putus semangat. Apa yang paling penting ialah belajar meredhai ketentuan Allah, mengucapkannya mudah namun untuk mempraktikkannya perlukan kekuatan. Itulah yang sedang Fakir usahakan sehingga ke hari ini. Beringatlah saudaraku semua, dalam keasyikan kita dalam menikmati juadah tanpa kita sedari sesuatu yang sangat bahaya sedang menanti dengan buasnya untuk menyerang dan membaham kesihatan kita.

Baiklah kita lupakan tentang diabetes, sebenarnya Fakir sejak dua menjak ni  entah kenapa terimbau kembali di zaman remaja terutamanya di zaman persekolahan. Teringat pada kawan-kawan sehati sejiwa, rapat bagaikan saudara sendiri.Sama-sama mengayuh basikal lepas waktu persekolahan pergi ke pekan membeli kaset-kaset rock Inggeris seperti Def Leppard, Motley Crue dan sebagainya (masa tu era rock menjulang-julang kegemilangannya), minum air asam dan air batu campur di gerai mamak Saleh yang cukup popular dikalangan budak-budak sekolah pada masa itu. Punya minat yang sama dalam seni beladiri, tidak cukup dengan silat,belajar pula Tae Kwan Do, Karate Do dan Muaythai...walaupun hangat-hangat tahi ayam. Tidak kemana perginya sekadar dipinggiran sahaja. Akan tetapi dikala itu semuanya indah belaka.Kumpulan rakan-rakan kami tidak menganggu orang malah tidak pula mendatangkan kemarahan orang kerana kami hanya buat hal sendiri.

Kami selalu berkumpul selepas sekolah menjelang petang di suatu tempat lapang berhampiran bukit (kini sudah dipenuhi dengan kawasan perumahan) yang kami gelarkan sebagai "tempat menanti". Sungguh indah dan sungguh seronok dikala itu. Adakalanya pula selepas belajar silat maka lepak pula di rumah kawan untuk menghiburkan hati sambil menyanyi dan bermain gitar (bagi rakan yang tahu memetik gitar). Lepas itu baru pulang mengayuh basikal merentasi pekan kecil untuk pulang ke rumah. Walaupun begitu kami tetap patuh pada arahan kedua orang tua agar tidak melebihi jam 12 untuk berada di rumah. Agaknya dengan tetapan waktu sebegitu emak dan ayah boleh mengawasi dan mengagak bahawa kami ini dalam masalah atau sebaliknya jika tidak pulang pada masa yang ditetapkan itu. Setelah punya anak-anak sendiri baru tersedar bahawa peraturan sebegitu amat berguna.

Bahaya pun agak berkurangan dikala itu. Kejadian bunuh pula setahun sekali pun payah didengar akan tetapi seandainya terjadi pasti ianya sebuah berita yang amat menggemparkan.Pecah rumah,ragut dan jenayah rogol ada terjadi tetapi amat jarang berlaku. Anak-anak muda dikala itu pun ada yang menjadi penagih dadah dan sebagainya tetapi peratusannya amat kecil. Contohnya istilah rempit juga tidak pernah ada di zaman itu. Kini anak-anak muda terasa gah apabila mampu menjadi mat rempit, bohsia atau bohjan, menjadi ahli kumpulan gelap, ajaran sesat seperti blackmetal dan sebagainya. Merasa cukup berbangga dan cukup hebat seandainya melakukan zina, ragut, pakar berjudi, minum arak, berlumba haram dan segala macam kemungkaran yang disanjung tinggi apabila dilakukan. Semua perbuatan yang akan meruntuhkan moral bangsa dan menghasilkan generasi yang rosak akhlak dimasa hadapan telah dihasilkan pada hari ini.

Zaman terasa begitu cepat berlalu, sedar tak sedar usia dah memasuki waktu asar. Ada diantara kawan-kawan Fakir yang telah meninggal dunia dan tak kurang juga yang hilang dan senyap tanpa berita. Di hati begitu teringin untuk bertemu dengan kawan-kawan lama diwaktu zaman persekolahan dulu. Namun agak sukar untuk menghubungi lantaran apabila masing-masing sudah berkeluarga maka khabar berita kian lenyap begitu saja......




Tiada ulasan:

Catat Ulasan