Salam Maulidur Rasul buat rakan-rakan pengunjung selasar ini. Malam yang berkah ini terlebih molek seandainya Fakir berkongsi dan sama-sama mengingati kembali akan keputeraan baginda Rasulullah SAW dan sedikit ringkasan tentang perkembangan hidup Rasulullah kecintaan kita ini sehingga dibawah asuhan terakhir dari bapa saudara baginda iaitu Abu Talib serta bagaimana permulaan sambutan Maulidur Rasul diadakan, semoga kita bersama beroleh manafaatnya...insyaAllah.
Sejarah Kelahiran Baginda SAW
di kala umat manusia dalam kegelapan dan kehilangan pegangan
hidupnya, lahirlah ke dunia dari keluarga yang sederhana, di kota Mekah,
seorang bayi yang kelak membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban dunia.
Bayi itu yatim, bapanya yang bernama Abdullah meninggal 7 bulan sebelum dia
lahir. Kehadiran bayi itu disambut oleh datuknya Abdul Mutalib dengan penuh
kasih sayang dan kemudian bayi itu dibawanya ke kaki Kaabah. Di tempat suci
inilah bayi itu diberi nama Muhammad, suatu nama yang belum pernah ada
sebelumnya. Menurut para ahli, kelahiran Muhammad itu pada tanggal 12
Rabiulawal tahun Gajah atau tanggal 20 April tahun 571 M.
Adapun sebab dinamakan tahun kelahiran Nabi itu dengan tahun
Gajah, kerana pada tahun itu, kota Mekah diserang oleh suatu pasukan tentera
orang Nasrani yang kuat di bawah pimpinan Abrahah, gabenor dari kerajaan
Nasrani Abessinia yang memerintah di Yaman, dan mereka bermaksud menghancurkan
Ka'abah kerana inginkan sebuah tempat dibawah pemerintahannya semahsyur Kaabah.
Pada waktu itu Abrahah berkenderaan gajah. Belum lagi maksud mereka tercapai,
mereka sudah dihancurkan oleh Allah s.w.t. dengan mengirimkan burung ababil.
Oleh kerana pasukan itu mempergunakan gajah, maka orang Arab menamakan bala
tentera itu pasukan bergajah, sedang tahun terjadinya peristiwa ini disebut Tahun
Gajah.
Nabi Muhammad saw. adalah keturunan dari Qushai pahlawan
suku Quraisy yang berhasil menggulingkan kekuasaan Khuza’ah atas kota Mekah.
Ayahnya bernama Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin
Qushai bin Kilab bin Murr’ah dari golongan Arab Bani Ismail. Ibunya bernama
Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah, di sinilah
silsilah keturunan ayah dan ibu Nabi Muhammad saw. bertemu. Baik keluarga dari
pihak bapa mahupun dari ibu keduanya termasuk golongan bangsawan dan terhormat
dalam kalangan kabilah-kabilah Arab.
Sudah menjadi kebiasaan pada orang-orang Arab kota Mekah,
terutama pada orang-orang yang tergolong bangsawan, menyusukan dan menitipkan
bayi-bayi mereka kepada wanita badiyah (dusun di padang pasir) agar bayi-bayi
itu dapat menghirup hawa yang bersih, terhindar dari penyakit-penyakit kota dan
supaya bayi-bayi itu dapat berbicara dengan bahasa yang murni dan fasih.
Demikianlah halnya Nabi Muhammad s.a.w. beliau diserahkan oleh ibunya kepada
seorang perempuan yang baik, Halimahtun Sa’diyah dari Bani Sa’ad kabilah
Hawazin, tempatnya tidak jauh dari kota Mekah. Di perkampungan Bani Sa’ad
inilah Nabi Muhammad SAW. diasuh dan dibesarkan sampai berusia lima tahun.
Kematian Ibu dan
datuk
Sesudah berusia lima tahun, Muhammad SAW. dihantarkannya
ke Mekah kembali kepada ibunya, Situ Aminah. Setahun kemudian, iaitu sesudah ia
berusia kira-kira enam tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Madinah,
bersama-sama dengan Ummu Aiman, sahaya peninggalan ayahnya. Maksud membawa Nabi
ke Madinah, pertama untuk memperkenalkannya kepada keluarga neneknya Bani
Najjar dan kedua untuk menziarahi makam ayahnya. Maka di situ diperlihatkan
kepadanya rumah tempat ayahnya dirawat di waktu sakit sampai meninggal, dan
pusara tempat ayahnya dimakamkan. Agak menghibakan juga cerita Aminah kepada
anaknya tentang ayahnya itu; demikian terharunya, sehingga sampai sesudah baginda
diangkat menjadi Rasul dan sesudah baginda berhijrah ke Madinah, peristiwa itu
sering disebut-sebutnya.
Mereka tinggal di situ kira-kira satu bulan, kemudian pulang
kembali ke Mekah. Dalam perjalanan mereka pulang, pada suatu tempat, Abwa’
namanya tiba-tiba Aminah jatuh sakit sehingga meninggal dan dimakamkan di situ
juga. (Abwa’ ialah nama sebuah desa yang terletak antara Madinah dan Juhfah,
kira-kira sejauh 23 mil di sebelah selatan kota Madinah).
Dapatlah dibayangkan betapa sedih dan bingungnya Rasulullah
saw. menghadapi kesedihan yang amat sangat atas kematian ibunya itu. Baru
beberapa hari saja ia mendengar cerita ibunya atas kematian ayahnya yang telah
meninggalkannya ketika Muhammad SAW. dalam kandungan. Sekarang ibunya telah
meninggal pula di hadapan matanya sendiri, sehingga ia sudah tinggal sebatang
kara, menjadi seorang yatim-piatu, tiada berayah dan tiada beribu.
Setelah selesai pemakaman ibundanya, Nabi Muhammad SAW segera meninggalkan kampung Abwa’ kembali ke Mekah dan tinggal bersama-sama
dengan datuknya Abdul Mutalib.Di sinilah Nabi Muhammad SAW. diasuh sendiri oleh datuknya
dengan penuh kecintaan. Usia Abdul Mutalib pada waktu itu mendekati 80 tahun.
Dia adalah seorang pemuka Quraisy yang disegani dan dihormati oleh segenap kaum
Quraisy pada umumnya, dan penduduk kota Mekah pada khususnya. Demikian
penghormatan bagi kedudukannya yang tinggi dan mulia itu, sampai anak-anaknya
sendiri tidak ada yang berani mendahului menduduki tikar yang disediakan khusus
baginya di sisi Kaabah.
Disebabkan kasih sayang datuknya, Abdul Mutalib, Muhammad SAW. dapat hiburan dan dapat melupakan kesedihan nasibnya kerana kematian
ibunya. Tetapi, keadaan ini tidak lama berlalu, sebab baru saja berselang dua
tahun baginda merasa terhibur di bawah asuhan datuknya, orang tua yang baik
hati itu meninggal pula, dalam usia delapan puluh tahun. Muhammad SAW. ketika
itu baru berusia lapan tahun.
Meninggalnya Abdul Mutalib itu, bukan saja merupakan kehilangan
besar bagi Muhammad SAW. tetapi juga merupakan kehilangan dan kerugian bagi
segenap penduduk Mekah. Dengan meninggalnya Abdul Mutalib itu, penduduk Mekah
kehilangan seorang pembesar dan pemimpin yang cerdas, bijaksana, berani dan
perwira yang tidak mudah mencari gantinya.
Sesuai dengan wasiat Abdul Mutalib, maka Nabi Muhammad SAW.
diasuh oleh pakciknya Abu Thalib. Kesungguhan dia mengasuh Nabi serta kasih
sayang yang dicurahkan kepada anak saudaranya ini tidaklah kurang dari apa yang
diberikannya kepada anaknya sendiri. Selama dalam asuhan datuk dan pakciknya,
Nabi Muhammad menunjukkan sikap yang terpuji dan selalu membantu meringankan
kehidupan mereka.
Pengertian dan Sejarah Sambutan Maulidur Rasul
Perayaan Maulidur rasul telah diasaskan oleh kerajaan
Fatimiah di Mesir. Kerajaan Fatimah telah merayakan perayaan ini secara
besar-besaran. Bukan hanya hari kelahiran Rasulullah saw sahaja yang dirayakan,
tetapi juga ahli keluarga Nabi saw seperti Zainab, Hassan, Hussain (r.a.). juga
dirayakan. Bahkan mereka juga merayakan kelahiran Nabi Isa as.
Walaubagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 atas
perintah Perdana Menteri al-Afdal Shahindah pada ketika itu yang berpegang kuat
pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.
Masyarakat berhenti merayakannya sehingga Al-Ma'moon Al-Bataa'ni
memegang kuasa kerajaan. Beliau telah yang memulakan kembali perayaan yang
telah dihentikan sebelum itu. Apabila Kerajaan al-Ayubbiah merampas kuasa,
semua perayaan telah dihentikan. Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya
dikalangan keluarga mereka di dalam rumah. Pada Abad ke 7, Putera Muzafar
Al-Deen Abi Sa'd Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen `Ali- Ibn Tabakatikin telah
mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil. Beliau merupakan seorang
sunni. Muzafar mengambil berat akan perayaan ini sehingga memerintahkan agar
persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi
dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin. Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar
akan menyaksikan perayaan ini di dalam khemah yang telah didirikan itu.
Perayaan diadakan pada 8 Rabiulawal dan kadang-kadang 12 Rabiulawal.
Sambutannya diisikan dengan pelbagai acara antaranya membaca sejarah Nabi SAW sehinggalah kepada menghias binatang ternakan untuk disembelih kemudian
diadakan jamuan besar-besaran.
Berkata Ibnu Haajj Abu Abdullah Al-Abdari, perayaan tersebut
tersebar luas di seluruh Mesir pada zaman pemerintahan Putera Muzafar ini.
Beliau menentang akan perayaan yang diadakan. Banyak buku telah ditulis
mengenai perayan Maulidur Rasul ini antara penulisnya ialah Ibn Dahya, meniggal
dunia pada 633, Muhy Ed-Deen Ibn Al-`Arabi, meniggal di Damascus pada 683, Ibn
Taghrabik, meniggal di Mesir pada 670, dan Ahmad Al-`Azli dan anaknya Muhammad,
meninggal di Sebata pada 670. Oleh kerana amalan bid'ah yang banyak ketika perayaan
itu, ulama' telah berbeza pendapat akan kebolehan merayakan Maulid Nabi ini.
Pendapat pertama membolehkan perayaan ini manakala pendapat yang kedua
mengatakan sebaliknya. Antara yang membolehkan ialah As-Siyooti, Ibn Hajar
Al-`Asqalaani dan Ibn Hajar Al-Haythmi.
Walaupun mereka bersetuju dengan perayaan ini, mereka tetap
membangkang aturcara ketika Maulid itu(pada zamannya).
HUKUM MAULID
Seperti
yang telah diketahui, perayaan Maulidur Rasul ini merupakan satu perayaan yang
kontroversi. Ulama' berbeza pendapat akan kebolehan perayaan ini. Kita sebagai
masyarakat awam tersepit antara dua pendapat. Yang mana perlu kita turuti.
Sedangkan kedua-dua belah pihak terdiri daripada ulama'-ulama' yang hebat dan
tidak boleh ditolak lagi akan kewibawaan mereka. Di dalam artikel ini, akan
dilampirkan kedua-dua belah hujah setakat mana yang mampu dikumpulkan. Melalui
cara ini, kita dapat menilai sendiri yang manakah mempunyai hujah yang kuat.
Dan insya Allah, kita akan berada di jalan yang benar.
HUJAH MEMBOLEHKAN
MAULIDUR RASUL
Antara ulama' yang menyokong akan Maulidur Rasul ialah Imam
Jalaluddin Sayuti dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Telah berkata Imam
Jalaluddin Sayuti: "Ibadat macam itu adalah bid'ah Hasanah (bid'ah baik)
yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana
membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi
Muhammad SAW yang mulia". Dan berkata Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan:
"Telah berlaku kebiasaan bahawa orang apabila mendengar kisah Nabi dilahirkan,
maka ketika Nabi lahir itu mereka berdiri bersama-sama untuk meghormati dan
membesarkan Nabi Muhammad saw. Berdiri itu adalah hal yang mustahsan (bai)
kerana dasarnya ialah membesarkan Nabi Muhammad saw dan sesungguhnya telah
mengerjakan hal serupa itu banyak dari ulama-ulama ikutan umat." Berkata
pula Syeikh Atiah Saqr: "Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk
menyambut maulid. Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa
dengan agama dan kemuliannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah
dicemari oleh perkara-perkara haram dan bid'ah. Seperti pergaulan antara lelaki
dan wanita tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini
sebagai satu tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat jika
sesuatu acara tidak dilansungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan
melanggar syariat."
Syeikh Yusuf Qardawi juga telah memberi komen mengenai
maulid ini. Beliau berkata(ringkasan): "Semua telah sedia maklum bahawa
sahabat-sahabat Rasulullah saw tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah saw.
Ini adalah kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri
Rasulullah saw dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah saw itu kekal di dalam
hati dan juga ingatan. Saad Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah
untuk menceritakan mengenai Rasulullah saw kepada kanak-kanak sama sepertimana
keghairahan mereka mendidik anak-anak itu Al-Quran. Oleh kerana mereka sering
menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah saw, maka tidak perlulah mereka
merayakan sepertimana dirayakan Maulid ar-Rasul kini.
Walaubagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan
kegemilangan sejarah Islam dan kesannya. Dengan itu, perayaan Maulid Rasul ini
diadakan bertujuan untuk mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah saw masih
hidup. Tetapi malangnya, Maulid Rasul ini telah bercampur dengan amalan bid'ah
yang ditentang oleh Islam. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna
meraikan hari kelahiran Islam. Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat
tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bid'ah. Tetapi sebaliknya diisi
dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam."
*Berikut adalah antara dalil-dalil yang menjadi hujah bagi
yang membolehkan Maulid ini:
1) Allah berfirman: "maka orang yang beriman
kepadanya (Muhammad SAW) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang
terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) mereka itulah yang beruntung."
- Al-Araf: 157 Keterangan: Tujuan maulud diadakan adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad SAW. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.
2) Firman Allah:
"Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah."-Ibrahim. Ayat 5
Keterangan: Al-Baihaqi di dalam "Syakbu al-Iman" daripada Ubai bin
Kaab daripada Nabi saw, sesungguhnya baginda menafsirkan 'hari-hari Allah'
ialah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma'ani
menjelaskan lagi dengan katanya "kelahiran Nabi saw merupakan nikmat yang
paling besar."
3) Bahawasanya Nabi Muhammad saw datang ke Madinah maka
beliau mendapati orang-orang yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10
Muharram, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: "Kenapa kamu
berpuasa pada hari Asyura?" Jawab mereka: "Ini adalah hari
peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Firaun dan pada hari serupa itu
Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan." Maka Nabi
berkata: "Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu." –
[Riwayat Bukhari dan Muslim.]
Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama
Fathul Bari berkata bahawa dari hadis ini dapat dipetik hukum: - Umat Islam
dibolehkan bahkan dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang
dianggap besar umpamanya hari-hari maulud, mi'raj dan lain-lain. - Nabi pun
memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa
Asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.
4) Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari
berkata: Nabi SAW telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda
bersabda: "Di hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah
aku diutuskan." Keterangan: Rasul saw menegaskan kelebihan hari
kelahirannya berbanding hari-hari lain. Oleh itu setiap mukmin sewajarnya
berlumba-lumba beramal dan bersyukur dengan kelahiran baginda saw yang membawa
rahmat kepada seluruh alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan