Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

01 Mei 2010

Jejak Pahlawan - Mat Kilau


Seorang pahlawan dan pejuang bangsa Melayu yang telah bangkit menentang penjajah Inggeris sekitar 1880an hingga 1890an tanpa kenal erti jemu. Beliau adalah Mat Kilau atau nama penuhnya sebagai Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah (Imam Perang Rasu). Manakala ibu beliau bernama Mahda. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Kelebihan dan keistimewaan Mat Kilau ialah pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Diusia mudanya hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau. Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau banyak menuntut ilmu batin dan kepahlawanan hinggakan boleh menghilangkan diri. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum tuan gurunya itu berpindah ke Pekan menjadi Mufti Negeri Pahang.

Sebelum kelahirannya, ibunya telah mendapat mimpi langit telah mengeluarkan cahaya berkilau-kilauan.Mimpi tersebut diceritakan kepada Mak Utih iaitu seorang bidan kampung .Mak Utih menasihatkan supaya ibunya Teh Mahada supaya jangan bimbang kerana mengikut tafsirannya mimpi itu membawa berita gembira dan anak yang bakal dilahirkan nanti akan menjadi seorang yang hebat dan terkenal.Mat Kilau dilahirkan pada waktu subuh lalu diazankan oleh ayahnya sendiri Imam Rasu yang juga merupakan Imam Masjid Pulau Tawar Itu.Selepas itu Mat Kilau terus dibelah mulutnya dengan garam , madu dan air zam zam.

Sejak kecil lagi Mat Kilau mempunyai beberapa tanda ganjil di badannya.Bulu roma dibelakangnya berpusar ke arah kiri dan bulu roma di dadanya berpusar ke kanan.Tangan kanan dan kirinya sama kuat begitu juga kaki kanan dan kirinya. Ada tahi lalat besar di pipi kanannya dan satu lagi tahi lalat panjang di bahunya. Dicelah jari kelenkeng kirinya ada buntat embun. Bila umurnya meningkat 7 tahun dia sudah tidak meninggalkan sembahyang fardu dan berpuasa.Bila dia bermain atau bergaduh , pasti dia akan menjadi pemenangnya. Pernah pada suatu hari Tok Gajah memberitahu Mat kilau yang Pahlawan Hang Tuah juga mempunyai buntat embun di celah jari kelenkeng kiri!

Tahun 1857, adalah tahun permulaan kepada sengketa atau perang saudara di Pahang setelah Bendahara Tun Ali yang memerintah negeri Pahang mangkat.Perebutan kuasa terjadi antara Tun Mutahir dan Tun Ahmad yang merupakan anak Bendahara Tun Ali dari ibu yang berlainan walaupun sebelum mangkat tugas untuk menggantikannya telah diwasiatkan dihadapan Tok Gajah kepada Tun Ahmad. Tun Mutahir iaitu kakanda kepada Tun Ahmad telah membatalkan surat wasiat ayahandanya dan melantik dirinya sebagai Bendahara atau pemerintah Pahang dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja Pahang..Ini menimbulkan kemarahan adiknya Tun Ahmad.Perbalahan adik beradik merebut kuasa inilah sebenarnya punca atau titik bermulanya campur tangan Inggeris di Pahang.Tun Ahmad mendapat sokongan dari Sultan Trengganu dan Raja siam manakala Tun Mutahir mendapat sokongan Inggeris dan Johor.Pada akhir tahun 1857 Tun Ahmad dengan bantuan Tok Gajah berjaya merampas kuasa dari Tun Mutahir.

Ketika belajar dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau diajar juga ilmu untuk menundukkan Gajah dan harimau.ketika remaja Mat Kilau mempunyai 4 orang sahabat baik seperguruannya iaitu Mat kelubi, Mat Tahir, Mat Ali dan Mat Awang

Mat Kilau mempunyai sifat-sifat serta ketokohan sebagai seorang pemimpin dan mempunyai pemikiran yang matang sehingga menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford amat kagum dan mempercayai idea-idea Mat Kilau. Mat Kilau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Malah Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah seperti Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali (khatib), Awang (Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini merupakan pejuang dan pengikut yang sangat setia sehingga sanggup susah senang malah sehidup dan semati dengan Mat Kilau.

Perlu diingatkan di sini bahawa daripada ramai pahlawan Melayu Pahang yang bangkit menentang penjajahan Inggeris pada 1880-an, hanya seorang daripada mereka yang sempat menyaksikan sendiri detik kemerdekaan negara dan beliau yang dimaksudkan adalah Mat Kilau.Lebih daripada itu, Mat Kilau juga berpeluang melaungkan ungkapan keramat "Merdeka!" pada 31 Ogos 1957, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh ayahandanya sendiri Tok Gajah dan rakan-rakan perjuangan seangkatan dengannya seperti Datuk Bahaman,Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut atau yang lebih awal seperti Datuk Maharaja Lela dan Dol Said.

Siapa yang menyangka pada hari keramat itu dalam kelompok puluhan ribu manusia yang berkumpul di Padang Masjid Negeri di Kuantan mengetahui bahawa orang tua yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun di kalangan mereka adalah pahlawan Melayu yang amat terkenal dan digeruni suatu waktu dulu iaitu Mat Kilau.Ini kerana pahlawan Melayu yang hebat ini pada satu ketika dahulu menghilangkan diri selama lebih separuh abad selepas pihak British memburunya dan mendakwa beliau dengan alasan yang tidak munasabah iaitu menderhaka terhadap sultan.

Pada peringkat awal, Mat kilau dan rakan seperjuangannya seperti Datuk Bahaman, Mat Kelubi, Awang Nong, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid dan Mat Lela berjaya mencabar British sehinggakan mereka berjaya menguasai Temerloh. Nama pejuang ini dan Datuk Bahaman telah terukir dalam sejarah negara kerana mereka mengetuai Perang Lubuk Terua di mana mereka telah menyerang sebuah pos polis menyebabkan dua anggota polis British terbunuh.

Bagaimanapun, penjajah telah menambah kekuatan askar dan polis tambahan malah menjalankan tipu helah sepenuhnya dengan mengatakan kononnya pejuang-pejuang itu sebenarnya menderhaka kepada sultan, British berjaya memperdaya rakyat supaya tidak lagi menyertai kumpulan itu.Ini sekali gus melumpuhkan kekuatan kumpulan pejuang itu yang pada satu ketika meningkat sehingga ke 600 orang.

Tekanan demi tekanan diterima menyebabkan pasukan pejuang itu terpaksa mengundur diri ke negeri Terengganu dan Kelantan. Di Terengganu pasukan pejuang itu mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi dari Sultan, Tokku Paloh dan kerajaan Terengganu sendiri. Di sana Mat Kilau dan para sahabatnya sempat mendalami ilmu agama dan kerohanian dari Ulamak Besar Tokku Paloh. Mat Kilau terus-terusan menjadi buruan pihak British dan menerima tekanan yang cukup hebat.Tok Gajah yang juga menentang penjajah meninggal dunia di Hulu Terengganu, manakala Datuk Bahaman dan beberapa pengikutnya menyerah diri kepada kerajaan Siam.Semenjak 1930 hidup Mat Kilau sebagai pelarian seakan terpaksa menempuhi seribu satu macam penderitaan, berpindah-randah dan hidup menggunakan nama samaran seperti Mat Dahan, Mat Dadu dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah". Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris itulah maka terpaksa Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang.

Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Al Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengistiharan ini telah menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun. Beliau tidak sempat menceritakan kisah-kisah perjuangannya dengan lebih tepat kepada generasi mendatang dengan lebih lanjut.Jenazahnya dikebumikan dengan penuh penghormatan seorang pahlawan di bumi kelahirannya di Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut. Anak angkat beliau yang kemudian menjadi menantunya, Abu Bakar Awang, 80, berkata sebelum mengisytiharkan dirinya yang sebenar, Mat Kilau sentiasa berdalih setiap kali ditanya tentang asal-usul dirinya, mungkin kerana khuatir beliau belum lagi diampunkan oleh sultan. Semasa kebangkitan itu, Pahang berada di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muazam Shah.

"Beliau juga mengambil masa hampir 12 tahun selepas merdeka sebelum tampil mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau kerana khuatir sultan belum mengampunkan dirinya yang dianggap sebagai penderhaka," kata Abu Bakar Awang. Salah seorang anak Mat Kilau, Aminah, 80, yang ditemui di rumahnya di Kampung Batu 5, mengesahkan bahawa sebelum perisytiharan tentang identitiya, beliau dan anak-anak lain tidak pernah menyangka bahawa manusia yang bergelar Mat Siam itu adalah pahlawan yang digeruni Inggeris.

Apa yang si Fakir sangat-sangat ingin berkongsi di sini ialah bagaimana saat-saat kesempatan beliau menyambut hari kemerdekaan yang mana tidak ramai orang yang mengetahuinya. Si Fakir telah menyuntingnya dari mStar online. Bagi diri si Fakir, rasa sangat terharu dan sebak telah bercampur baur apabila membacanya. Ikutilah saat-saat dilalui oleh pejuang bangsa ini dalam para-para dibawah.......

Meneruskan cerita Abu Bakar, beliau adalah antara orang yang paling gembira apabila mengingat kembali keghairahan luar biasa Mat Kilau menunggu saat-saat perisytiharan kemerdekaan."Hari itu (31 Ogos 1957) awal-awal pagi lagi dia sudah bangun dan lepas sembahyang subuh dia terus bersiap untuk ke bandar Kuantan apabila mendapat tahu upacara sambutan juga akan diadakan di peringkat negeri, selain daripada Stadium Merdeka di Kuala Lumpur.

"Saya agak hairan melihat dia beria-ia benar hendak ke Padang Masjid Negeri. Walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, saya lihat dia begitu bersemangat sekali untuk turut menyambut hari bersejarah itu," katanya.Beliau masih ingat pada hari berkenaan Mat Kilau memakai kemeja-T leher bulat warna putih, kot warna kelabu, berseluar panjang dan bersamping serta lengkap berkasut, manakala kepalanya pula berlilit kain cindai.

"Saya sendiri tidak tahu di mana beliau perolehi semua itu dan apakah maksud tersirat di sebalik melilit kain cindai di kepala," katanya.

Menurut tradisi, kain cindai iaitu sejenis kain sutera nipis untuk lilitan kepala atau bengkung yang digunakan oleh pahlawan-pahlawan Melayu ketika turun ke gelanggang untuk berhadapan dengan musuh.

Meneruskan ceritanya tentang detik-detik pagi keramat itu, Abu Bakar berkata gelagat bapa mertuanya yang ternyata amat bersemangat itu menyebabkan isteri Mat Kilau, Ajrah Bakar menganggapnya sebagai "buang tabiat". Selesai bersiap-siap, Abu Bakar dan Mat Kilau keluar rumah dan sama-sama menunggu bas percuma yang disediakan pihak berkuasa sempena sambutan itu.

Walaupun bas berkenaan penuh sesak hingga memaksa ramai yang berdiri dan berhimpit-himpit, Mat Kilau tetap nekad dan seolah-olah tidak sabar untuk ke padang berkenaan. "Bila sampai di padang kami sama-sama menunggu detik laungan Merdeka. Sempat juga tengok orang berarak... kereta berhias pun ada dan dia (Mat Kilau) hari itu kelihatan cukup seronok," katanya. Apabila laungan merdeka kedengaran, Mat Kilau turut serta melaungkan merdeka.
Malah ketika berada di padang itu, Mat Kilau ada cuba memberi bayangan kepada Abu Bakar tentang siapa dirinya sebenar dengan berkata: "Tengok, siapa sangka aku juga sempat melihat (negara) merdeka".

Abu Bakar yang tinggal bersama Mat Kilau sejak berusia 18 tahun berkata walaupun tidak berupaya untuk pergi ke Stadium Merdeka di mana perisytiharan kemerdekaan peringkat kebangsaan diadakan, bapa mertuanya tetap berpuas hati kerana dapat turut melaungkan "Merdeka!" di padang Kuantan itu.

Bagi Abu Bakar, laungan itu adalah manifestasi sebenar kegembiraan seorang pahlawan yang terpaksa menjalani liku-liku kehidupan penuh keperitan semata-mata kerana bangkit mempertahankan maruah bangsa dan agama serta kedaulatan tanahairnya.

Beliau juga berharap agar sesetengah teks sejarah disemak atau ditulis semula kerana masih ada yang terus menganggap Mat Kilau sebagai seorang penderhaka raja. "Pihak Inggeris yang melabelkan Mat Kilau serta rakan-rakannya termasuk Datuk Bahaman sebagai pemberontak dan penderhaka, semata-mata untuk mengabui mata rakyat agar perjuangan mereka ketika itu tidak mendapat sokongan," kata Abu Bakar yang juga Ketua Kampung Batu 5.

Cucu Mat Kilau, Alhamadi Abu Bakar, 40, berkata datuknya tidak meninggalkan apa-apa harta pusaka kecuali semangat perjuangan dan keberanian untuk diwarisi generasi sekarang dan akan datang agar negara tidak kembali dijajah!

Sekalung Al fatihah buat pendekar berjiwa sufi yang bernama Mat Kilau!

rujukan : Perpustakaan Negara Malaysia
                Tuan Sharifah Shahaini dan Mohd Shukri Ishak
                Mstar online
                Bernama











 




2 ulasan:

  1. kepada yang menulis cerita mat kilau ini..tolong jgn mereka cerita..tolong tanya dengan cucu cicit dia sendiri...saya adalah cicit mat kilau yang sebenidka betul...semua yang saya ada tidak betul jadi tolong rujuk pada kami dahulu. Faham

    BalasPadam
  2. assalamualaikum dan salam hormat buat tuan tanpa mana yang mana telah mengisytiharkan diri sebagai cicit allahyarham Pahlawan Mat Kilau. Fakir mohon maaf seandainya rujukan yang diambil kurang tepat berkenaan pahlawan Melayu yang tersohor itu. Namun niat dihati hanya untuk dikongsi bersama rakan-rakan akan kehebatan dan semangat juang orang-orang Melayu terdahulu. Rujukan yang Fakir buat ada tertera dibawah posting ini, seandainya benar-benar tidak tepat tuan harus segera menghubungi penulis-penulis tersebut untuk diperbetulkan kerana kalau tuan tidak menghubungi individu tersebut bagaimana mungkin mereka boleh mengenali tuan sebagai cicit pahlawan Mat Kilau dan dapat memperbetulkan apa yang tidak tepat dan tidak betul itu. Dalam blog Fakir ini hanya disunting untuk dikongsi. Sila rujuk pada di sini:- http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2007/1/10/TERKINI/Mutakhir/Mat_Kilau_sempat_laung_Merdeka&sec=mstar_beritaartikel. Untuk diperbetulkan di blog ini insyaAllah mungkin Fakir boleh lakukan dan hubungilah fakir di selasarsifakir@gmail.com namun tuan juga harus punya inisiatif menghubungi penulis-penulis yang sebenar yang telah menyiarkan artikel ini sejak 2007 lagi....wallahualam

    BalasPadam