Dalam sejarah peradaban Melayu apabila dua golongan utama iaitu umara (pemerintah) dan ulama bekerjasama dengan erat dan saling memperkukuhkan seperti pada zaman Samudera-Pasai, Melaka, Acheh, Demak, Bentan, Mataram, dan Johor-Riau, maka peradaban Melayu-Islam memuncak ke taraf tamadun dunia, dan pusat kuasa itu juga menjadi pusat penyebaran agama Islam di seluruh alam Melayu.
Namun yang akan mengisi dan menggerakkan semua prasarana, peralatan, sistem dan organisasi itu ialah manusianya iaitu Muslim, Mukmin dan Muhsin.Tanpa manusia demikian, segala prasarana, peralatan, sistem dan organisasi itu sia-sia belaka.
Strategi utama untuk mengisi hati kalbu dan akal budi manusia dengan Islam, iman dan ehsan ialah dengan berdasarkan kaedah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw ke atas sahabatnya seperti yang digariskan oleh al-Quran dan Hadis.Pelaksanaan amalan dan misi dakwah seperti mengajak manusia kepada Islam, iman dan ehsan, sambil diri sendiri mempelajari dan mengamalkannya sepenuhnya.Sekuat dan sebanyak mana seseorang itu melaksanakannya, maka sekuat dan sebanyak itulah hati, kalbu dan akal budinya akan meresapi Islam, iman dan ehsan.Namun, seandainya hati kalbu yang senantiasa dibelenggu oleh kebesaran harta benda, pangkat, kuasa, kemewahan dan ego maka amat susah dimasuki Islam, iman dan ehsan secara lebih mendalam lagi.Mungkin hanya sampai ke tahap asas Islam dan iman semata dan ianya tidak akan sama sekali bertunjangkan keikhlasan yang sebenar.
Oleh itu, perlu dilepaskan dulu belenggunya melalui strategi yang kedua iaitu amalan mujahadah atau pembersihan hati melalui penggunaan dan pengorbanan apa-apa perkara yang membelenggui hati itu dalam pelaksanaan misi dakwah, seperti juga digariskan dalam al-Quran. Strategi ketiga ialah amalan penghadapan dan penghargaan sepenuhnya kepada Allah swt melalui amalan doa, tawakal dan tawajjuh kepada Allah, supaya dengan itu akan lahir keikhlasan dan ketulusan bahawa hidup ini hanya semata-mata untuk mendapat keredaan Allah.Kaedah yang diamalkan oleh golongan sufiyyah juga sebenarnya mampu melahirkan khairu ummah yang terhebat dan mampu berjuang demi menegakkan agama dan bangsa.
Dalam sejarah kebangkitan tamadun Melayu Islam sendiri ada beberapa faktor pergerakan dakwah ke alam Melayu. Di antaranya ialah kedatangan misi pendakwah Islam dari Timur Tengah pada kurun ketujuh hingga 11 Masihi.Kedatangan misi pendakwah bermazhab Syafi’i kurun ke-12 hingga 16 Masihi begitu juga terdapat kegiatan dakwah kebanyakannya dilaksanakan oleh pendakwah kelahiran di alam Melayu sendiri dengan bantuan pendakwah dari Timur Tengah dan India.Umat Melayu Islam adalah golongan Islam terbesar di dunia Timur iaitu hampir sesuku bilion. Dalam sejarah tamadun Islam, pusatnya berubah-ubah, daripada tanah Arab ke Turki, Afrika Utara, Andalusia dan Asia Tengah.Kini ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa pusatnya mula bergerak ke Timur.
Apakah kita umat Melayu Islam sebagai golongan Islam terbesar di dunia Timur sedia memikul tanggungjawab dan amanah untuk menjadi penyambung dan penyumbang kepada pembentukan semula sebuah tamadun Islam bertaraf dunia pada alaf ketiga ini?
Ada tiga kekuatan Melayu asasi yang boleh membantunya untuk memenuhi amanah ini, iaitu ke"dinamik"an budaya Melayu yang selama beribu-ribu tahun telah menyerap unsur positif daripada tamadun besar dunia. Kedua, hakikat Melayu sebagai entiti budaya yang secara terbuka menerima masuk sebarang kumpulan etnik dan ras, asalkan mereka tercerna dan terjelma dalam tiga ciri Melayu iaitu berbahasa dan berbudaya Melayu dan beragama Islam. Ketiga, kekuatan agama Islam anutannya yang diredai dan dijamin kejayaannya oleh Allah swt.
Sejarah Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan selama-lamanya. Orientalis dan negarawan pelopor imperialisme terkenal akhir abad ke-19, Gladstone (1809-1898) pernah mengungkapkan kesulitan penjajah menguasai negeri Islam.
Sambil memegang al-Quran dalam House of Common, beliau berkata: “Selama kitab ini masih dibaca orang Islam, selama itu mereka masih melawan kita.”
Betapa dekatnya Islam dan bangsa Melayu, abadi selama-lamanya menjadi kekuatan yang terbukti boleh menentang sesiapa yang mahu mempermainkan ketinggian maruah mereka. Perkataan Gladstone menjadi bukti bahawa kekuatan Melayu berpunca daripada keyakinan mereka terhadap agamanya, Islam.
Manakala Prof. Dr. Hamka mendedahkan melalui buku sejarah yang ditulis K M Panikkar bertajuk Asia and Western Dominant. Ketika Panglima Perang Portugis Alfonso d’Albuquerque mahu menyerang Melaka yang menjadi pertahanan Islam kuat ketika itu, dia mengobarkan semangat juang tenteranya dengan pidatonya yang terkenal: “Adalah suatu pemujaan dan persembahan ibadat yang amat suci dari kita untuk Tuhan dengan mengusir dan menghakis habis orang Arab dari negeri ini, dan dengan menghembus padam pelita pengikut Muhammad sehingga tidak ada lagi cahayanya di sini buat selama-lamanya. Apabila perniagaan di Melaka ini kita rampas daripada tangan orang Islam, maka habislah masa depan Kaherah dan Makkah, dan Vanesia tidak akan dapat lagi berniaga rempah kalau tidak berhubungan dengan Portugis.”
Sedarlah wahai saudara-saudaraku,kita umat yang hebat. dunia orang Melayu sepatutnya berterima kasih dengan Islam kerana perkembangan dunia menjadi maju setelah kedatangan Islam,tetapi yang menjadi masalah kini ialah ada sebilangan umat Islam yang tidak nampak kehebatan Islam khususnya ulamak-ulamak nusantara kita telah dilupakan.Malah memandang tinggi dan memuja-muja kepada barat.Sumbangan para ulamak dalam perjuangan Islam dan dakwah Islamiah di Alam Melayu adalah satu sumbangan besar yang tidak boleh dilupakan. Sumbangan ini sungguh bermakna dan perlu dilihat secara 'ilmiah' supaya keunggulan sejarah ini tidak dikuburkan oleh pihak musuh Islam.
Transformasi budaya berunsur negatif sedikit sebanyak menghilangkan jatidiri generasi baru bangsa ini. Bukankah sebilangan besar anak muda kini (yang merasakan diri sudah "up to date") malu mengaku Melayu dan Muslim dalam bergaya, berekspresi dan bergerak dalam percaturan dunia?Kita sudah merdeka dan kekal dengan semangat ‘Islam dan Melayu’ yang takkan hilang ditelan zaman. Namun akhir-akhir ini kita dikejutkan oleh usaha pengkhianat bangsa yang mahu meruntuhkan jiwa bangsa, menghirup kasih sayang dan toleransi dari darah daging generasi baru. Suka pada perpecahan, fanatik pada kelompok sendiri, sentiasa mahu disanjungi dengan sikap mengampu yang tidak pernah kena pada tempatnya, sempit dalam memikirkan kebaikan untuk bangsa sendiri kerana kita perlu sedar setiap kebaikan harus ada pengorbanan.
Sindiran yang amat tajam dari Yusuf Islam sebagai berkata:”budaya dan nilai hidup barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut untuk membeli tiket untuk menaikinya”
Mungkin pula kita perlu renung kembali sejarah bagaimana pejuang Melayu dulu dalam menentang penjajah dengan hanya berbekalkan Islam, iman dan ehsan semata-mata.Sesuatu yang amat besar mampu melahirkan semangat kepahlawanan dalam diri syuhada. Roh Islamlah sebenarnya berperanan menghidupkan jiwa mereka menentang kolonialisme. Islam telah menjanjikan kemuliaan kepada sesiapa yang berjuang menegakkan yang hak.
Semua pahlawan negara itu menjadikan ajaran Islam yang dipelajari dan diamalkan sebagai pedoman dalam gerakan dan perjuangannya. Patutkah kita melupakan jasa ulama di Alam Melayu Nusantara ini yang memperteguhkan ajaran Islam dikalangan umat Melayu sejagat? Alangkah lemahnya pandangan mata hati yang tidak mahu mengakui bahawa roh Islamlah sebenarnya yang menggerakkan dan menjadi pembakar semangat dalam perjuangan yang suci itu.Menerusi semangat al-Quran mereka menggenggam semangat jihad hingga mencapai kemerdekaan.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya seperti mana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang yang bertakwa.” (Surah Al-Taubah, ayat 36)
Dan kerana iman kepada Allah jualah mereka memperjuangkan agama dan bangsa, seperti maksud firman-Nya: “Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” (Surah Al-Taubah, ayat 41)
Mereka teguh percaya dengan janji Allah bagi sesiapa memperjuangkan agamanya adalah nikmat syurga yang kekal abadi seperti dimaktubkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud: “Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman.” (Surah Al-Saf, ayat 10-13)
Jika para penjajah yang datang dari barat dengan kekuatan semangat salibiyyahnya, maka tidak kurang pula para syuhada tanah air bergerak menentang kezaliman dan penindasan dengan berbekalkan kekuatan akidah dan tauhid terhadap ugama yang cukup jitu.Jelas terpancar semangat Islamlah yang membangkitkan pahlawan kita hingga mampu menggegarkan kekuatan penjajah.
Penjajah dulu menggunakan taktik pecah dan perintah? Maka hari ini sikap orang Melayu itu sendiri seolah suka melihat akan perpecahan, jadi apa bezanya sikap kita pada hari ini dengan taktik penjajah di suatu waktu dulu? Sukar hendak bersatu, sukar hendak duduk semeja berbincang mengenai hala tuju umat melayu di masa mendatang. Jangan sampai generasi Melayu akan datang percaya yang Melayu ini hidup dalam berbagai fahaman dan suku yang tidak punya penyatuan. Yang menjadi mangsa bukan hanya umat Islam dan orang Melayu, bahkan kaum minoriti lain ikut terbabit kerana kemajuan ekonomi dan pembangunan boleh terjejas dengan isu keselamatan negara. Akhirnya kita akur, kesan penjajahan itu tak boleh dihapuskan, taktik dan muslihat mereka lebih canggih daripada dulu.
Fakir ada menyimpan kata-kata yang cukup dalam maknanya yang pernah diungkap oleh mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr. Mahathir untuk renungan bersama.....
Dulu Bangsanya Di Pijak
Dulu Bangsanya Retak
Dulu Bangsanya Teriak
Dulu Bangsanya Haprak
Dulu Bangsanya Kelas Kedua
Dulu Bangsanya Hina
Dulu Bangsanya Sengketa
Dulu Bangsanya Derita
Dulu Bangsanya Kerdil
Dulu Bangsanya Terpencil
Tiada Daulat
Tiada Maruah
Tiada Bebas
Sejarah Bangsanya Yang Lena
Tanah Lahirnya Yang Merekah Berdarah
Wahai Bangsaku Jangan Mudah Lupa Lagi
Kerana Perjuanganmu Belum Selesai
rujukan
Berita harian 20 April 2001
Profesor Hashim
pensyarah Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya.
Universiti Malaya.
drjuanda.protajdid.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan