Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

16 Mei 2010

Jejak Ulamak - Tuan Hussien Kedah Al Banjari




Nama sebenar ulamak pemahsyur institusi pondok di Kedah ini ialah Hussein bin Haji Muhammad Nasir. Dilahirkan pada 12 Jamadil Awal 1280H (1863M) di Titi Gajah, Kedah. Gelaran "al-Banjari" di hujung namanya diguna pakai kerana beliau berasal dari keturunan Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari iaitu seorang ulama terbilang yang terkenal dengan kitab karangannya Sabilal Muhtadin.  Sejak kecil, Tuan Hussein mendapat asuhan ibunya Tengku Fatimah dan didikan agama daripada datuknya, Haji Mohd. Taib, seorang ulama terkenal di Kedah yang mengasas pondok pengajian agama di Titi Gajah sekitar tahun 1870M.

Sejarah kedatangan keturunan beliau ke Kedah adalah apabila datuk kepada datuknya yang bernama Qadhi Haji Abu Su'ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Apabila Sultan Kedah mendapat tahu kehadiran ulama Banjar ini maka baginda Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah untuk menjadi guru baginda dan juga rakyat Kedah.

Di Kedah Qadhi Haji Abu Su'ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan Mas'ud, iaitu moyang kepada Tuan Hussin Kedah. Moyang kepada Tuan Hussin Kedah ini iaitu Haji Mas’udbin Qadhi Abu Su’ud selain menjadi ulama di Kedah, beliau juga dilantik oleh Sultan Kedah, menjadi salah seorang panglima perang kerajaan Kedah ketika menentang kerajaan Thai (Siam Budha). Dan beliau gugur sebagai syahid ketika peperangan menentang Thai.
Seorang pendakwah yang aktif mengasaskan enam pondok pengajian dalam negeri Kedah, termasuk Madrasah Taufiqiah al-Khairiah di Padang Lumat, Yan (yang dikenali sebagai Pondok Pak Ya).Mengarang 18 buah judul kitab yang meletakkannya sebagai ulama pondok yang paling banyak mengarang kitab, khususnya di Kedah.

Tuan Hussin Kedah Al Banjari mendapat didikan awal dari datuknya Haji Muhammad Thayyib bin Mus’ud al-Khalidi an-Naqsyabandi dipondok Titi Gajah.Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di Pondok Bendang Daya, Pattani. Beliau sempat belajar dengan Tuan Guru Syaikh Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syaikh Abdul Qadir bin Syaikh Wan Mushthafa (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa al-Fathani (Tok Ayah Doi – pengasas pondok Gajah Mati, Kedah) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya, Tuan Husein Kedah juga pernah belajar di Pondok Semela, pondok dimana datuknya pernah menuntut ilmu. Tuan Hussain Kedah telah merantau ke Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Perak untuk mendalami ilmu agama. Setelah setahun belajar di Acheh, beliau pulang ke Semenanjung dan mendarat di Melaka. Kemudian menuju ke Perak melalui jalan darat. Di Perak, Tun Hussein mengajar dan banyak menyelesaikan persoalan masyarakat berdasarkan hukum syarak. Di sinilah beliau mula terkenal dengan panggilan ‘Tuan Hussein’.

Memang sudah menjadi tradisi pada zaman tersebut, tidak lengkap ilmu seseorang sekiranya tidak melanjutkan pelajaran ke Mekah, yang merupakan pusat ilmu ketika itu. Maka pada tahun 1892, beliau berangkat ke Mekah bersama isterinya iaitu Wan Khadijah binti Wan Yusuf untuk mengerjakan haji dan menambahkan pengetahuan agamanya. Ketika di Mekah beliau sempat berjumpa dan berguru dengan ulama-ulama besar disana seperti Syaikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Nawawi al-Bantani, Syaikh Umar Sumbawa, Syaikh Ahmad Umar Bali, Syaikh Ahmad Lingga, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dan ramai lagi.

Apabila Tuan Hussain pulang dari Mekah pada tahun 1896M, beliau meneruskan pengajarannya di pondok Titi Gajah dan pada waktu yang sama beliau ditawarkan untuk membuka pondok di kampung Alor Ganu, sebuah perkampungan yang berhampiran. Beliau menerima tawaran tersebut dan mengajar di sana selama tiga tahun.

Pada tahun 1924M, Tuan Hussein mengasaskan Pondok al-Taufiqiah al-Hidayah di Batu 16, Padang Lumat (yang lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya). Manakala sebab-sebab beliau membangunkan pondok di Alor Ganu kerana memenuhi permintaan masyarakat tempatan. Beberapa tahun kemudian, beliau berhijrah dan mengasas pondok pengajian di Bohor pula. Dalam tahun 1912M, Tuan Hussein berhijrah lagi untuk membangunkan pondok di Bagan Ulu, Pantai Merdeka. Selepas lebih kurang tujuh tahun di Pantai Merdeka, barulah beliau membangunkan pondok di Kampung Selengkoh, Sungai Limau (sekarang menjadi sekolah menengah agama dengan penuntutnya melebihi 3,000 orang di pelbagai peringkat pengajian). Tuan Hussein membuka pondok keenam di Pokok Sena iaitu Madarasah al-Khairiah al-Islamiah.

Prinsip Tuan Hussein membangunkan pondok ialah untuk mengembangkan ajaran Islam dan memudahkan bagi orang yang ingin mempelajarinya. Dengan sebab itu, kalau sudah didapati tempat itu telah ramai orang yang berpengetahuan agama maka ia akan berpindah ke tempat lain. Dengan sebab kebanyakan orang tidak tahu membaca dan menulis, maka dia akan berpindah ke tempat lain pula, begitulah seterusnya sehingga akhir hayatnya.

Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama yang wara’ dan rajin beribadah. Sering membawa tongkat ketika berjalan. Sebagai seorang ulamak sufi, beliau berpegang dan beramal pada tarikat Syattariah. Almarhum adalah seorang tuan guru pondok yang  sangat tegas. Tuan Hussin Kedah Al Banjari juga merupakan seorang ulama besar yang sangat gigih dalam perjuangan menggunakan kalam (perkataan) dan qalam (pena/penulisan) demi penyebaran ilmu pengetahuan Islam. Dalam kesibukan mengajar, beliau masih sempat untuk menulis kitab untuk diwariskan kepada generasi seterusnya. Antara kitab-kitab tulisannya yang mahsyur ialah seperti;
1.)an-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, diselesaikan pada tahun 1305H/1888M. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Kitab ini adalah kitab pertama yang beliau karang.
2.) .Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fekah. Cetakan yang pertama Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah 1330H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927H. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
3.) Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318H. Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Zulkaedah 1346H, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
4.) Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir, diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336H. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Cetakan yang ketiga, Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar 1356H/April 1937M.
5.) Hidayatul Athfal, diselesaikan pada 1336H. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.
6.) Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927M. Cetakan yang kelima, Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1377H/1957M.
7.) Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan, diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341H. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم Dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Acheh Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1382H/1962M.
8.) Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344H. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
9.) Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam, diselesaikan pada hari Ahad, 6 Sya’ban 1354H. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan: “Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi al-Madrasah al-Khairiyah al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.”
Dan banyak lagi kitab-kitab yang tidak dimuatkan dalam artikel kali ini. Manakala kitab terakhir yang beliau tulis ialah yang berjodol Bunga Geti, diselesaikan pada tahun 1354H. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qadha atau mengganti sembahyang yang ketinggalan.

Falsafah yang terdapat dalam diri Tuan Hussien Kedah Al Banjari ialah berpangkalkan kepada ketegasan, keberanian serta sikap suka berterus terang. Dalam kitab karanganya yang berjudul Bidayat al- Talhim, Tuan Hussien ada mengatakan tiada ia takut membuat pekerjaan Allah SWT itu akan cela daripada orang yang mencelakan. Maksudnya disini, beliau tidak takut sesuatu yang dilakukannya atau yang diusahakan selama ini tidak menjadi kenyataan daripada orang yang langsung tidak berusaha untuk berjaya. Beliau juga ada menjelaskan bahawa setiap perkara yang mungkar dan dilarang oleh Allah SWT hendaklah dijauhi. Maka beliau dengan berani menegur kemungkaran yang dilakukan oleh orang bawahan mahupun orang atasan yang berjawatan tinggi. Sikap beliau yang berani dan tegas itulah menyebabkan dan membuatkan orang ramai menyanjungi beliau. 

Sebagai ulama dan pendakwah, prinsip hidup Tuan Hussein ialah berdakwah secara bebas untuk membetulkan akidah dan cara hidup manusia supaya bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Dalam menjalankan peranan ini, beliau tidak menghiraukan batasan politik. Setiap kemungkaran yang dilakukan dan dilihat akan ditegur oleh Tuan Hussien tanpa mengira peringkat umur serta pangkat darjat.

Tuan Hussein sangat tegas dalam melaksanakan disiplin pondok. Beliau akan memastikan anak-anak murid dan pengikut-pengikutnya tidak merokok, tidak menyimpan rambut panjang, tidak menyanyi dan tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Beliau memastikan murid-muridnya sembahyang berjemaah dan menghadiri kuliah yang ditetapkan. Malahan beliau menyusun kedudukan pondok-pondok lelaki, perempuan dan pondok-pondok kelamin dengan kemas sekali supaya terhindar daripada pergaulan bebas lelaki perempuan. Semua pelajar perempuan menutup aurat dan yang lelaki memakai kopiah putih. Tindakan terakhirnya dalam memastikan tatatertib pondoknya berjalan baik dengan merotan pelajar-pelajar yang tidak mematuhi peraturannya.

Tuan Hussien pernah menolak jawatan menjadi mufti negeri Kedah yang ditawarkan oleh Sultan Kedah. Jawatan itu ditolak kerana beliau khuatir tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan adil, Tuan Hussein sebenarnya memilih hidup bebas daripada terikat dengan jawatan rasmi. Dengan itu, Tuan Hussein menghabiskan usianya dengan berdakwah secara lisan dan tulisan serta mengajar ilmu secara terbuka dan khusus  seperti membuka pondok pengajian. Sememangnya dizaman beliau institusi pondok sangat-sangat mendapat sambutan ramai.

Ketika beliau jatuh sakit, Tengku Abdullah; bekas muridnya meminta beliau pulang ke Kedah. Dan beliau pulang ke Kedah setelah dirayu oleh anaknya. Tengku Abdullah telah mengambil beliau di Pokok Sena dan dibawa ke rumahnya di Batu 16, Padang Lumat, dan pada 18 Zulkaedah 1354H bersamaan 10 Februari 1936M, dengan kehendak Allah Tuan Hussin pulang ke rahmatullah dan jenazahnya telah dikebumikan di perkuburan Titi Gajah. Perjuangannya diteruskan oleh anakandanya iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, yang juga merupakan Qadhi Besar, Pulau Pinang.

Perginya sebutir permata bermutu tinggi ini tidak sia-sia kerana curahan ilmu melalui pena dan keringat dapat dinikmati bersama oleh umat Melayu sejagat.

Al Fatihah buat almarhum Tuan Guru Tuan Hussin Kedah Al Banjari.......

rujukan
Ulama Nusantara, akhbar Utusan Malaysia 29 Jumadilakhir 1425H / 6 Ogos 2004 (tulisan Almarhum Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah
Buku 7 Wali Melayu
www.tokoh islam.com
al-fanshuri.blogspot.com
Hassan Ahmad .1985 . Pengenalan Tamadun Islam dalam Ilmu Perubatan . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan