Selasar Si Fakir

kliklah di sini untuk terus menghidupkan blog ini

Catatan Popular

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Cari Blog Ini

Ketahui Pagerank Blog Anda

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

tweet twiit

29 Mei 2010

Ungkapan Cinta

Cinta itu adalah sebuah kesucian yang lahir dari cetusan hati yang tertarik pada sebuah keindahan, keunikan yang khusus disudut pandang mata si pencinta itu sendiri. Dari kesucian cinta pasti ada pengorbanan, ketaatan, malah cinta itu tidak pernah meminta tetapi sentiasa memberi, berdepan dengan pelbagai penderitaan namun ia tidak pernah berdendam.

Dari sebuah cinta juga lahirlah sebuah pengharapan, sang pencinta senantiasa mahu bergandingan setiap waktu, tidak ingin dilepaskan atau terlepas, yang tidak pernah pula mahu meninggalkan atau ditinggalkan. Dalam mencari secebis kebahagiaan, cinta terkadang meminta sebuah tangisan, cinta meminta sebuah kepahitan dan kepedihan. Titisan airmata zahir dapat dihapus manakala airmata dihati membawa luka yang berpanjangan. Terkadang yang dicintai sering menyakiti yang menyintai.Di ambang cinta pasti terjadi, yang menangisi masih setia menanti dan terus menanti dengan sebuah pengharapan. Cinta yang kukuh sekukuh tembok sebuah kota itu hanya dimiliki oleh penagih cinta yang tegar.

Cinta itu juga bukan sekadar satu pandangan tetapi melibatkan sebuah rasa. Keasyikan dalam rasa cinta menjadikan pencinta mabuk dan kadang-kadang menghilangkan sebahagian kesedaran diri. Dari mabuknya cinta akan lahir sebuah ketulusan walaupun seringkali tewas dipersada juang.

Cinta adalah suatu perasaan ingin berkongsi secara bersama, cinta juga adalah sebuah aksi berupa pengorbanan diri, simpati, memberi dan mahukan perhatian, memberikan dan mengharapkan kasih sayang, membantu, menuruti perkataan, mengikuti, patuh, dan mahu melakukan apa saja demi yang dicintai. Saling mendoakan, mengharapkan keselamatan. Malah sebuah ketulusan yang bukan dibuat-buat apabila kesediaan hati menerima segala keinginan yang dicintai.

Kecenderungan sepenuh hati untuk lebih mengutamakan dia daripada diri sendiri, seia sekata dengannya baik dengan sembunyi-sembunyi maupun terang-terangan, kemudian merasa bahawa kecintaan tersebut masih kurang. Mengembaranya hati kerana mencari yang dicintai sementara lisan senantiasa menyebut-nyebut namanya. Menyibukkan diri untuk mengenang yang dicintainya dan menghinakan diri kepadanya.

Imam Ibnu Qayyim mengatakan, "Tidak ada batasan cinta yang lebih jelas daripada kata cinta itu sendiri; 
membatasinya justeru hanya akan menambah kabur dan kering maknanya. Maka batasan dan penjelasan cinta tersebut tidak mampu dilukiskan hakikatnya secara jelas, kecuali dengan kata cinta itu sendiri.

Maka dimanakah letaknya cinta anda dan landasannya.................?

28 Mei 2010

Kurang Ajar - Usman Awang


Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata itu kuajar akan pada anakku;
Kau harus jadi manusia yang kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.

Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar.

27 Mei 2010

Bunga Popi - Usman Awang


Dari darah, dari nanah yang punah di tanah,
Rangka manusia kehilangan nyawa disambar senjata,
Hasil manusia gila perang membunuh mesra,
Bunga merah berkembang indah minta disembah.

Yang hidup tinggal sisa nyawa, penuh derita,
Kering, bongkok, cacat, tempang dan buta,
Perang dalam kenangan penuh kengerian,
Sekarang dalam kepahitan, dalam kesepian.

Yang lain kehilangan anak, suami dan kekasih,
Hilang pergantungan, hilang pencarian, hidup kebuluran,
Ribuan janda, ribuan kecewa, ribuan sengsara,
Jutaan anak-anak yatim hidup meminta-minta.

Manusia gila perang telah membunuh segala mesra!
Perang berlangsung mencari untung tanah jajahan!
Perang berlangsung membunuh anak dalam buaian!
Perang berlangsung menghancur lebur nilai kebudayaan!

Bunga popi bunga mayat perajurit bergelimpangan,
Bunga darah merah menyimbah, penuh kengerian,
Kami benci pada perang penuh pembunuhan!
Kami rindu pada damai sepanjang zaman!
Artikel Pilihan kali ini diambil dari Akhbar Kosmo Bertarikh 13hb May 2010

Azam mendidik anak

Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?

"BELAJARLAH memahami setiap tindakan anak kerana dengan cara inilah anda menggalakkan komunikasi yang lebih baik."


KITA sering mendengar resolusi tahun baru kebanyakan orang adalah untuk berhenti merokok, lebihkan senaman atau mengubah tabiat pemakanan. Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?
Mungkinkah terdapat teknik mendidik anak yang perlu anda tukar? Ataupun terdapat tabiat anak anda yang perlu diubah?
Berikut adalah sesetengah resolusi mendidik anak yang mungkin boleh dipertimbangkan.
Jadikan contoh
Kebanyakan ibu bapa tidak sedar akan pengaruh mereka terhadap anak-anak.
Anak biasanya cenderung terpengaruh dengan tabiat merokok, pengamalan diet yang tidak sihat, tidak memakai topi keledar dan sebagainya jika salah seorang daripada ibu bapa mempunyai tabiat buruk.
Ibu bapa perlu menjadi model yang baik sama ada dari segi tingkah laku mahupun kaedah pengurusan emosi.
Mendisiplinkan anak
Belajar mendisiplinkan anak secara efektif amat mustahak. Mendidik mereka kaedah bertindak balas dan mengurangkan tingkah laku yang buruk adalah salah satu contohnya.
Disiplin dan hukuman bukan perkara yang sama. Jika anda berdepan dengan masalah mendisiplinkan anak, maka jangan segan mendapatkan bantuan. Setiap kanak-kanak adalah berbeza. Teknik didikan tertentu tidak semestinya boleh diaplikasikan untuk semua anak.
Didikan adalah sebahagian besar daripada disiplin. Jika anak melenting, mengehadkannya daripada menikmati pelbagai keistimewaan mungkin satu tindakan yang wajar.
Tetapi, si anak tidak mungkin belajar atau tahu apa yang betul sehinggalah anda menunjukkan kepadanya. Luangkan masa untuk menerangkan perilaku yang betul kepada anak.



Memahami anak
Adakah anda memahami perkara yang dilakukan oleh anak? Mengapa anak kecil memandang anda dan sejurus selepas itu memukul abangnya atau melontarkan sesuatu ke atas lantai? Tidakkah dia tahu itu sesuatu yang salah?
Dia mungkin tahu tetapi tidak bermakna apa yang dilakukan itu jahat. Sebaliknya, kebanyakan kanak-kanak berada dalam kedudukan menerokai had mereka. Inilah satu proses normal dan merupakan sebahagian daripada perkembangan semula jadi. Jika anda berusaha memahami rasional anak, boleh jadi kemarahan dan reaksi anda tidaklah seteruk yang disangkakan.
Sebahagian besar ibu bapa telah mengukuhkan perilaku buruk anak tanpa disedari. Keadaan ini boleh berlaku apabila anak disalurkan dengan pelbagai perhatian negatif dan tidak konsisten. Sekiranya anda masih tidak dapat memahami mengapa anak bertindak sedemikian, maka ini mungkin bermakna teknik mendisiplinkan anak anda itu tidak berkesan.
Pemakanan sihat
Dewasa ini kebanyakan ibu bapa dilihat cenderung memanjakan anak. Malah, mereka juga terlupa meminta anak membasuh pinggan mangkuk setiap kali selepas makan. Sepatutnya, anak perlu belajar menghabiskan makanan agar tidak meninggalkan separuh daripada sajian tersebut di dalam pinggan.
Jika anda sentiasa membiarkan lebihan makanan berada dalam pinggan secara konsisten, tabiat ini akan terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa. Untuk menyelesaikan masalah ini, anda mungkin boleh memberikan hidangan kecil kepada anak bagi melatihnya menghabiskan semua makanan. Sediakan juga pilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan, sayuran, daging dan produk tenusu rendah lemak. Hadkan pengambilan minuman bersoda, tinggi gula dan makanan kaya lemak dalam diet pemakanan anak anda.
"GALAKKAN anak aktif dalam aktiviti fizikal bagi mengelakkan risiko menjadi obes."


Aktiviti fizikal
Bilangan kanak-kanak dan anak remaja yang obes kian bertambah. Menghabiskan masa berjam-jam di depan televisyen, bermain permainan video dan komputer adalah antara puncanya. Jadi, selain pengamalan diet yang seimbang, pastikan anak diberi masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti fizikal secara kerap untuk kekal sihat dan cergas.
Berkomunikasi secara efektif
Adakah anda tahu bagaimana berinteraksi dengan anak? Apakah yang akan anda lakukan apabila anak bermasalah? Belajar berkomunikasi dengan anak jelas merupakan satu kemahiran penting.
Sebenarnya terdapat banyak perkara yang boleh dibincangkan bersama anak. Misalnya, pendidikan seks, bahaya merokok dan penyalahgunaan dadah serta alkohol.
Sentiasa bersedia
Apakah yang akan anda lakukan pada kali pertama berdepan dengan masalah didikan anak yang spesifik? Misalnya, ketika anak bercakap bohong, mencuri atau ponteng sekolah? Anda mungkin tidak bersedia untuk setiap situasi tetapi perancangan awal mungkin dapat membantu.
Membuat perancangan awal juga boleh membantu anda berdepan dengan anak-anak yang sukar dikawal.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://pediatrics. about.com

20 Mei 2010

Tanda-tanda seseorang itu sedang berbohong


Samada anda sedar atau tidak terkadang anda sedang dibohongi tanpa anda sedar atau perasan tentang itu.Sebenarnya ada terdapat ciri-ciri yang terzahir dari "body language" seseorang yang sedang berbohong itu yang secara automatik terjadi reaksinya bila seseorang sedang mengucapkan pembohongan.

Sebelum kita berbicara lebih lanjut bagaimana mengetahui seseorang berbohong atau tidak, ada baiknya sama-sama kita mengetahui terlebih dahulu 4 golongan pembohong :

1. Pembohong Sesekali
Kita semua pasti pernah melakukan pembohongan selama hidup. Pembohong sesekali tidak biasa berbohong, hanya karena beberapa alasan mereka melakukannya, mungkin karena ingin melindungi dirinya, temannya, orang yang ia cintai atau seseorang yang lain. Perlu diketahui bahwa di balik setiap kebohongan selalu ada ketakutan. Ketakutan untuk menghadapi suatu kenyataan. Pembohong sesekali memikirkan betul-betul apa yang akan diucapkannya sehingga nampak masuk akal. Tetapi kerana mereka tidak biasa berbohong, bahasa tubuhnya tetap memperlihatkan banyak tanda/signal yang menunjukkan bahawa mereka sedang berbohong. Sehingga tidak terlalu sulit menidentifikasikan jenis pembohong seperti ini.

2. Pembohong Berkali-kali
Pembohong berkali-kali adalah orang-orang yang berbohong ‘dengan teratur’. Tidak seperti pembohong sesekali, pembohong berkali-kali tidak mempunyai waktu untuk berfikir tentang kebohongan kerana mereka berbohong sepanjang hidupnya. Tetapi mereka sebetulnya menyedari bahawa mereka berbohong. Orang-orang ini sering terjebak dengan tindakan yang mereka lakukan yang tidak sesuai dengan apa yang mereka ucapkan.

3. Pembohong rutin
Pembohong alami adalah orang-orang yang berbohong secara terus menerus dan seringkali mereka tidak menyedari bahwa mereka sedang berbohong. Bahasa tubuh mereka pun terlihat sangat rutin, karena terbiasa berbohong. Namun ketika mereka ditekan dengan pertanyaan-pertanyaan yang menyudutkan, bahasa tubuhnya memperlihatkan adanya kontradiksi yang menidentifikasikan bahwa mereka sedang menyembunyikan sesuatu. Jenis pembohong rutin agak mirip dengan pembohong berkali-kali. Mungkin anda pernah mendengar istilah 'alaaahhh tahuuuu", ya ini adalah salah satu contoh golongan pembohong rutin.

4. Pembohong Profesional
Jenis pembohong ini berbohong untuk suatu tujuan tertentu atau sengaja ingin mengabui mata kita. Mereka mempelajari segala kemungkinan dan mengetahui mirip apa yang ingin mereka ucapkan. Mereka membuat sinario, memperhitungkan risiko kegagalan dan membuat pelan-pelan cadangan. Meskipun mereka terlatih untuk menggunakan bahasa tubuhnya, tetapi selalu ada ada hal kecil yang terzahir oleh mereka. Kita dapat mengetahui hal-hal kecil tersebut dengan sering mengamati dengan teliti. Salah satu contoh golongan pembohong seperti ini adalah jurujual, mohon maaf kerana yang dimaksudkan disini adalah jurujual yang terlalu berlebihan mempromosikan suatu produk padahal produknya sendiri mempunyai kualiti yang sangat rendah dan pembohongan itu terkeluar dari isu-isu logik dan terkadang menzahirkan kedangkalan akal. Contoh yang lain adalah para ahli politik yang tidak lain hanya bertujuan memecah belahkan umat, mereka sengaja mengabui mata masyarakat untuk kepentingan peribadi.


Diantara tips yang mudah (perlu diperhati) untuk kita rujuk bila berdepan dengan seseorang pembohong adalah seperti di bawah:


Menyentuh Hidung
Apabila seseorang itu berbohong, tisu-tisu erektil pada hidungnya akan dipenuhi darah menyebabkan ianya membesar. Fenomena ini juga dikenali sebagai 'Kesan Pinocchio'. Jadi, apabila si dia bercakap dengan anda dan kerap menyentuh hidung yang sebenarnya tidak gatal, sebenarnya ada sesuatu yang diselindungkan si dia.

Menutup Mulut
Ada sesetengah orang meletakkan tangan di atas mulut mereka apabila berbohong. Ini merupakan suatu tindak balas automatik yang lahir dari segi psikologi kerana dari kecil lagi sudah dididik untuk tidak berbohong. Apabila mulut mengeluarkan kata-kata dusta, tangan cuba menghalangnya.

Gagap
Apabila seseorang yang bercakap lancar dan licin tiba-tiba gagap merupakan tanda-tanda sedang mengalami tekanan emosi. Sekiranya tiada apa-apa petunjuk bahawa tekanan ini disebabkan perkara lain seperti sedih, pilu, marah dan sebagainya, kemungkinan besar orang tersebut berbohong. Jadi, jika anda bertanya pada teman anda dan si dia gagap untuk menjawabnya, maka anda tahu membuat kesimpulan atas tindakannya itu.

Pergerakan Mata
Orang yang berbohong akan cuba menyakinkan pendengarnya dengan memandang tepat pada mata mangsanya. Oleh itu, sekiranya kelipan mata berkurangan dari kadar biasa, ini mungkin tanda berbohong. Sebaliknya ada juga keadaan di mana sekiranya mata seseorang itu tiba-tiba berkedip dengan banyaknya, ini merupakan tanda-tanda tekanan perasaan yang berkemungkinan disebabkan berbohong juga. Kerlipan mata yang normal sahaja menunjukkan dirinya tidak berbohong.

Melengah-lengahkan Jawapan
Orang yang berbohong perlu berfikir sebentar untuk mereka cipta pembohongannya. Berfikir terlalu lama, berdehem, batuk dan sebagainya merupakan tanda-tanda bahawa orang tersebut mungkin berdusta.

Resah
Orang yang berdusta kerap gelisah dan mengubah-ubah posturnya. Apabila seseorang dalam keadaan tenang tiba-tiba sahaja menjadi resah dan tidak senang duduk apabila berhadapan dengan sesuatu soalan, ini berkemungkinan merupakan bahawa seseorang itu sedang berbohong.

Kesimpulannya, sekiranya kita ingin mengesan samada seseorang itu berbohong, kita perlu sentiasa memerhatikan air muka dan gerak badannya dengan teliti. "Body language" sudah boleh menunjukkan sama ada dirinya berbohong atau tidak. Sebarang perubahan dari keadaan normal mungkin merupakan tanda orang tersebut berbohong

16 Mei 2010

Jejak Ulamak - Tuan Hussien Kedah Al Banjari




Nama sebenar ulamak pemahsyur institusi pondok di Kedah ini ialah Hussein bin Haji Muhammad Nasir. Dilahirkan pada 12 Jamadil Awal 1280H (1863M) di Titi Gajah, Kedah. Gelaran "al-Banjari" di hujung namanya diguna pakai kerana beliau berasal dari keturunan Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari iaitu seorang ulama terbilang yang terkenal dengan kitab karangannya Sabilal Muhtadin.  Sejak kecil, Tuan Hussein mendapat asuhan ibunya Tengku Fatimah dan didikan agama daripada datuknya, Haji Mohd. Taib, seorang ulama terkenal di Kedah yang mengasas pondok pengajian agama di Titi Gajah sekitar tahun 1870M.

Sejarah kedatangan keturunan beliau ke Kedah adalah apabila datuk kepada datuknya yang bernama Qadhi Haji Abu Su'ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Apabila Sultan Kedah mendapat tahu kehadiran ulama Banjar ini maka baginda Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah untuk menjadi guru baginda dan juga rakyat Kedah.

Di Kedah Qadhi Haji Abu Su'ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan Mas'ud, iaitu moyang kepada Tuan Hussin Kedah. Moyang kepada Tuan Hussin Kedah ini iaitu Haji Mas’udbin Qadhi Abu Su’ud selain menjadi ulama di Kedah, beliau juga dilantik oleh Sultan Kedah, menjadi salah seorang panglima perang kerajaan Kedah ketika menentang kerajaan Thai (Siam Budha). Dan beliau gugur sebagai syahid ketika peperangan menentang Thai.
Seorang pendakwah yang aktif mengasaskan enam pondok pengajian dalam negeri Kedah, termasuk Madrasah Taufiqiah al-Khairiah di Padang Lumat, Yan (yang dikenali sebagai Pondok Pak Ya).Mengarang 18 buah judul kitab yang meletakkannya sebagai ulama pondok yang paling banyak mengarang kitab, khususnya di Kedah.

Tuan Hussin Kedah Al Banjari mendapat didikan awal dari datuknya Haji Muhammad Thayyib bin Mus’ud al-Khalidi an-Naqsyabandi dipondok Titi Gajah.Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di Pondok Bendang Daya, Pattani. Beliau sempat belajar dengan Tuan Guru Syaikh Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syaikh Abdul Qadir bin Syaikh Wan Mushthafa (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa al-Fathani (Tok Ayah Doi – pengasas pondok Gajah Mati, Kedah) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya, Tuan Husein Kedah juga pernah belajar di Pondok Semela, pondok dimana datuknya pernah menuntut ilmu. Tuan Hussain Kedah telah merantau ke Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Perak untuk mendalami ilmu agama. Setelah setahun belajar di Acheh, beliau pulang ke Semenanjung dan mendarat di Melaka. Kemudian menuju ke Perak melalui jalan darat. Di Perak, Tun Hussein mengajar dan banyak menyelesaikan persoalan masyarakat berdasarkan hukum syarak. Di sinilah beliau mula terkenal dengan panggilan ‘Tuan Hussein’.

Memang sudah menjadi tradisi pada zaman tersebut, tidak lengkap ilmu seseorang sekiranya tidak melanjutkan pelajaran ke Mekah, yang merupakan pusat ilmu ketika itu. Maka pada tahun 1892, beliau berangkat ke Mekah bersama isterinya iaitu Wan Khadijah binti Wan Yusuf untuk mengerjakan haji dan menambahkan pengetahuan agamanya. Ketika di Mekah beliau sempat berjumpa dan berguru dengan ulama-ulama besar disana seperti Syaikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Nawawi al-Bantani, Syaikh Umar Sumbawa, Syaikh Ahmad Umar Bali, Syaikh Ahmad Lingga, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dan ramai lagi.

Apabila Tuan Hussain pulang dari Mekah pada tahun 1896M, beliau meneruskan pengajarannya di pondok Titi Gajah dan pada waktu yang sama beliau ditawarkan untuk membuka pondok di kampung Alor Ganu, sebuah perkampungan yang berhampiran. Beliau menerima tawaran tersebut dan mengajar di sana selama tiga tahun.

Pada tahun 1924M, Tuan Hussein mengasaskan Pondok al-Taufiqiah al-Hidayah di Batu 16, Padang Lumat (yang lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya). Manakala sebab-sebab beliau membangunkan pondok di Alor Ganu kerana memenuhi permintaan masyarakat tempatan. Beberapa tahun kemudian, beliau berhijrah dan mengasas pondok pengajian di Bohor pula. Dalam tahun 1912M, Tuan Hussein berhijrah lagi untuk membangunkan pondok di Bagan Ulu, Pantai Merdeka. Selepas lebih kurang tujuh tahun di Pantai Merdeka, barulah beliau membangunkan pondok di Kampung Selengkoh, Sungai Limau (sekarang menjadi sekolah menengah agama dengan penuntutnya melebihi 3,000 orang di pelbagai peringkat pengajian). Tuan Hussein membuka pondok keenam di Pokok Sena iaitu Madarasah al-Khairiah al-Islamiah.

Prinsip Tuan Hussein membangunkan pondok ialah untuk mengembangkan ajaran Islam dan memudahkan bagi orang yang ingin mempelajarinya. Dengan sebab itu, kalau sudah didapati tempat itu telah ramai orang yang berpengetahuan agama maka ia akan berpindah ke tempat lain. Dengan sebab kebanyakan orang tidak tahu membaca dan menulis, maka dia akan berpindah ke tempat lain pula, begitulah seterusnya sehingga akhir hayatnya.

Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama yang wara’ dan rajin beribadah. Sering membawa tongkat ketika berjalan. Sebagai seorang ulamak sufi, beliau berpegang dan beramal pada tarikat Syattariah. Almarhum adalah seorang tuan guru pondok yang  sangat tegas. Tuan Hussin Kedah Al Banjari juga merupakan seorang ulama besar yang sangat gigih dalam perjuangan menggunakan kalam (perkataan) dan qalam (pena/penulisan) demi penyebaran ilmu pengetahuan Islam. Dalam kesibukan mengajar, beliau masih sempat untuk menulis kitab untuk diwariskan kepada generasi seterusnya. Antara kitab-kitab tulisannya yang mahsyur ialah seperti;
1.)an-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, diselesaikan pada tahun 1305H/1888M. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Kitab ini adalah kitab pertama yang beliau karang.
2.) .Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fekah. Cetakan yang pertama Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah 1330H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927H. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
3.) Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318H. Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Zulkaedah 1346H, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
4.) Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir, diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336H. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Cetakan yang ketiga, Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar 1356H/April 1937M.
5.) Hidayatul Athfal, diselesaikan pada 1336H. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.
6.) Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927M. Cetakan yang kelima, Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1377H/1957M.
7.) Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan, diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341H. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم Dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Acheh Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1382H/1962M.
8.) Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344H. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
9.) Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam, diselesaikan pada hari Ahad, 6 Sya’ban 1354H. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan: “Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi al-Madrasah al-Khairiyah al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.”
Dan banyak lagi kitab-kitab yang tidak dimuatkan dalam artikel kali ini. Manakala kitab terakhir yang beliau tulis ialah yang berjodol Bunga Geti, diselesaikan pada tahun 1354H. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qadha atau mengganti sembahyang yang ketinggalan.

Falsafah yang terdapat dalam diri Tuan Hussien Kedah Al Banjari ialah berpangkalkan kepada ketegasan, keberanian serta sikap suka berterus terang. Dalam kitab karanganya yang berjudul Bidayat al- Talhim, Tuan Hussien ada mengatakan tiada ia takut membuat pekerjaan Allah SWT itu akan cela daripada orang yang mencelakan. Maksudnya disini, beliau tidak takut sesuatu yang dilakukannya atau yang diusahakan selama ini tidak menjadi kenyataan daripada orang yang langsung tidak berusaha untuk berjaya. Beliau juga ada menjelaskan bahawa setiap perkara yang mungkar dan dilarang oleh Allah SWT hendaklah dijauhi. Maka beliau dengan berani menegur kemungkaran yang dilakukan oleh orang bawahan mahupun orang atasan yang berjawatan tinggi. Sikap beliau yang berani dan tegas itulah menyebabkan dan membuatkan orang ramai menyanjungi beliau. 

Sebagai ulama dan pendakwah, prinsip hidup Tuan Hussein ialah berdakwah secara bebas untuk membetulkan akidah dan cara hidup manusia supaya bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Dalam menjalankan peranan ini, beliau tidak menghiraukan batasan politik. Setiap kemungkaran yang dilakukan dan dilihat akan ditegur oleh Tuan Hussien tanpa mengira peringkat umur serta pangkat darjat.

Tuan Hussein sangat tegas dalam melaksanakan disiplin pondok. Beliau akan memastikan anak-anak murid dan pengikut-pengikutnya tidak merokok, tidak menyimpan rambut panjang, tidak menyanyi dan tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Beliau memastikan murid-muridnya sembahyang berjemaah dan menghadiri kuliah yang ditetapkan. Malahan beliau menyusun kedudukan pondok-pondok lelaki, perempuan dan pondok-pondok kelamin dengan kemas sekali supaya terhindar daripada pergaulan bebas lelaki perempuan. Semua pelajar perempuan menutup aurat dan yang lelaki memakai kopiah putih. Tindakan terakhirnya dalam memastikan tatatertib pondoknya berjalan baik dengan merotan pelajar-pelajar yang tidak mematuhi peraturannya.

Tuan Hussien pernah menolak jawatan menjadi mufti negeri Kedah yang ditawarkan oleh Sultan Kedah. Jawatan itu ditolak kerana beliau khuatir tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan adil, Tuan Hussein sebenarnya memilih hidup bebas daripada terikat dengan jawatan rasmi. Dengan itu, Tuan Hussein menghabiskan usianya dengan berdakwah secara lisan dan tulisan serta mengajar ilmu secara terbuka dan khusus  seperti membuka pondok pengajian. Sememangnya dizaman beliau institusi pondok sangat-sangat mendapat sambutan ramai.

Ketika beliau jatuh sakit, Tengku Abdullah; bekas muridnya meminta beliau pulang ke Kedah. Dan beliau pulang ke Kedah setelah dirayu oleh anaknya. Tengku Abdullah telah mengambil beliau di Pokok Sena dan dibawa ke rumahnya di Batu 16, Padang Lumat, dan pada 18 Zulkaedah 1354H bersamaan 10 Februari 1936M, dengan kehendak Allah Tuan Hussin pulang ke rahmatullah dan jenazahnya telah dikebumikan di perkuburan Titi Gajah. Perjuangannya diteruskan oleh anakandanya iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, yang juga merupakan Qadhi Besar, Pulau Pinang.

Perginya sebutir permata bermutu tinggi ini tidak sia-sia kerana curahan ilmu melalui pena dan keringat dapat dinikmati bersama oleh umat Melayu sejagat.

Al Fatihah buat almarhum Tuan Guru Tuan Hussin Kedah Al Banjari.......

rujukan
Ulama Nusantara, akhbar Utusan Malaysia 29 Jumadilakhir 1425H / 6 Ogos 2004 (tulisan Almarhum Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah
Buku 7 Wali Melayu
www.tokoh islam.com
al-fanshuri.blogspot.com
Hassan Ahmad .1985 . Pengenalan Tamadun Islam dalam Ilmu Perubatan . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka .

13 Mei 2010

Apa kata Melayu tentang artikel Tun Mahathir berjudul "Kaki Dalam Kasut"

Orang-orang Melayu patut membaca artikel yang ditulis oleh Tun Mahathir dalam blog beliau pada 20hb Julai 2009. Artikel ini telah menimbulkan kontroversi yang mengatakan Tun adalah rasis. Apa pula pandangan kita terhadap artikel ini? Apa yang disuarakan oleh Tun adalah sebuah kebenaran yang hak yang tidak dapat disangkal oleh bangsa Melayu sendiri apatah lagi "orang lain" yang mana dalam banyak hal orang Melayu ini banyak beralah dan berkorban namun jarang yang dihargai...... 

By Dr. Mahathir Mohamad
on July 20, 2009 5:58 PM








1. Di forum anjuran Gempita dan UMNO bertajuk Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di Zaman Liberalisasi dan Globalisasi, saya ditanya oleh seorang pensyarah Melayu dari UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) apakah saya pernah fikir untuk meletak diri saya di tempat orang bukan Melayu (put yourself in the shoes of a non-Malay) bersabit dengan diskriminasi terhadap mereka di negara ini.

2. Saya percaya penyoal berpendapat orang bukan Melayu berasa amat tertekan dan kecewa dengan "ketidakadilan" terhadap mereka di Malaysia (oleh Kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu).

3. Saya tidak tahu samada penyoal ini pernah bertanya kepada tokoh bukan Melayu soalan yang sama iaitu perasaan orang Melayu akan keadaan di negara nenek moyang mereka yang mereka sudah jadi kaum yang secara relatif termiskin dan masih ketinggalan.

4. Jika beliau bertanya dan tokoh tersebut menjawab secara ikhlas, beliau akan dapati bahawa orang Melayu amat kecewa dengan kemiskinan relatif mereka sehingga terpaksa meminta-minta sepanjang masa dan juga ketinggalan dalam pelbagai bidang.

5. Mereka cuba yakin mereka adalah tuan di negara mereka tetapi mereka tahu sebenarnya mereka bukan tuan. Orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar.
6. Kerana mereka rela berkongsi negara mereka dengan kaum lain, kaum yang berasal dari tamadun yang lebih tua (4,000 tahun) dan lebih berjaya, hari ini yang sedikit yang ada pada mereka pun hendak dipisah dari mereka.

7. Fikirkan hanya berkenaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Agihan kekayaan korporat dalam DEB ialah sebanyak 30% bagi bumiputra (walaupun mereka adalah 60% dari penduduk) dan 40% bagi kaum lain serta 30% bagi orang luar. Tetapi setelah diusahakan selama 39 tahun bahagian yang terdapat bagi mereka ialah 20%, sedangkan yang terdapat bagi kaum lain ialah hampir 50%, walaupun mereka hanya 26% dari jumlah penduduk.

8. Nilai harta milik bumiputra pula berjumlah 15% sedangkan yang baki dimiliki oleh bukan bumiputra disebabkan harta di bandar bernilai lebih tinggi dari di luar bandar.

9. Tokoh bukan Melayu yang cuba duduki tempat Melayu (in the shoes of the Malays) jika ikhlas, akan rasa kekecewaan Melayu melihat hampir semua perniagaan dan perusahaan serta kekayaan yang diperolehi darinya dimiliki oleh bukan Melayu. Segala estet rumah mewah juga diduduki oleh bukan Melayu. Sikit benar orang Melayu yang tinggal di estat mewah ini. Lebih ramai yang tinggal di kawasan setinggan.

10. Mungkin semua ini disebabkan kesalahan orang Melayu sendiri. Mereka tidak guna peluang yang disediakan bagi mereka. Ada yang salahguna peluang-peluang ini pun. Tetapi jika seorang pengayuh beca diberi sejuta Ringgit, apakah ia akan dapat berniaga dan berjaya dalam bidang ini.

11. Social engineering bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja. Sosialisme dan Komunisme juga merupakan sejenis social engineering untuk mengurang atau menghapus jurang antara yang miskin dengan yang kaya. Mereka juga tidak berjaya sepenuhnya walaupun mereka mengguna kekerasan yang dahsyat. DEB dilaksanakan dengan berhati-hati tanpa kekerasan, tanpa rampasan dan sering dipinda apabila menghadapi tentangan dari bukan Melayu. Apakah persepsi orang Melayu terhadap DEB?

12. Lihat sahaja sejarah perjuangan Melayu. Pada Pilihanraya 1955, diwaktu mereka menguasai 82% dari kawasan-kawasan pilihanraya, mereka rela memberi sejumlah yang tidak kecil dari kawasan - kawasan mereka kepada kaum lain dan mengundi calon dari kaum-kaum ini sehingga menang melawan calon Melayu lain (PAS).

13. Kemudian mereka anugerahkan satu juta kerakyatan tanpa syarat biasa kepada kaum lain sehingga peratusan rakyat Melayu jatuh dari 82% kepada 60%. Siapakah yang lain yang pernah lakukan yang sedemikian?

14. Pada ketika itu nama rasmi negara ialah Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu dicantum dengan Singapura, Sarawak dan Sabah, perkataan "Tanah Melayu" digugur dan cantuman negeri - negeri ini dinamakan Malaysia. Dengan itu hilanglah identiti Melayu dalam nama negara sendiri. Tidak pula mereka tuntut nama-nama lain digugur.

15. Tidak seperti di negara-negara yang membenar hanya bahasa kebangsaan mereka sahaja untuk semua sekolah nasional, orang Melayu bersetuju bahasa Cina dan Tamil dijadikan bahasa pengantar di sekolah bantuan Kerajaan. Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tidak menjadi bahasa kebangsaan seperti di negara-negara jiran dan di Eropah, Australia dan Amerika.

16. Dan banyaklah lagi korban yang dibuat oleh orang Melayu supaya kaum lain mendapat apa sahaja yang dituntut oleh mereka, demi keamanan dan perpaduan rakyat dan negara.

17. Apakah gamaknya perasaan tokoh yang meletak diri di tempat orang Melayu, terhadap semua korban ini? Apakah dia masih fikir yang orang Melayu harus korban segala-gala yang dituntut daripada mereka?

18. Dengan rencana ini saya tetap akan di cap sebagai racist oleh racist bukan Melayu. Tetapi kalau mereka sanggup menerima yang benar, mereka boleh banding korban orang Melayu pemilik asal negara ini dengan korban mereka untuk kepentingan negara ini.

19. Saya berpendapat jika negara ini hendak aman dan maju, agihan kekayaan dan kualiti hidup semua kaum hendaklah adil (fair) walaupun tidak sama (unequal). Janganlah hendaknya mana-mana pihak atau kaum tanggung beban kemiskinan yang keterlaluan, sementara kaum lain hidup mewah. Mengumpan sokongan dengan mengambil hak satu kaum untuk diberi kepada kaum lain bukanlah caranya - lebih-lebih lagi mengambil dari yang kurang berada untuk diberi kepada yang sudah lebih berada.

manakala di bawah ini pula dari pena Awang Selamat yang diambil dari Arkib Utusan Online 

ARKIB : 26/07/2009



Dr. Mahathir rasis?

Tulisan terbaru mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya Che Det bertajuk Kaki Dalam Kasut, mengundang pelbagai reaksi.


Majoriti Melayu memberikan respons positif dan menyokong apa yang Dr. Mahathir luahkan. Bagaimanapun banyak pihak bukan Melayu terutama parti-parti politik Cina kurang senang dan menuduh beliau rasis.


Awang tidak terkejut dengan reaksi sedemikian kerana itulah senario di Malaysia sekarang. Orang Melayu tidak lagi boleh bersuara dalam mempertahankan kepentingan Melayu. Apabila Melayu bersuara walaupun untuk menyanggah tuntutan dan sikap keterlaluan pihak tertentu bukan Melayu, ia dengan semborono dituduh rasis. Tetapi jika pihak bukan Melayu memperjuangkan kepentingan kaum mereka secara berlebihan sehingga menolak semangat perlembagaan negara dan menafikan hak Melayu, ia tidak dianggap rasis sebaliknya itu dibuat kononnya atas nama kebebasan dan demokrasi.


Itulah juga gelombang reaksi yang Awang terima setiap kali menyentuh soal sikap perkauman yang ditunjukkan oleh sebahagian pihak bukan Melayu. Dengan kata lain, Melayu yang merupakan kaum teras kini menjadi seperti minoriti sementara bukan Melayu pula bertindak sebagai majoriti. Inilah yang ditafsir oleh orang Melayu dan pertubuhan bumiputera sebagai kaduk naik junjung.

10 Mei 2010

Erti tawakal sebenarnya - bah. 1

Macam-macam benda dirancang, macam-macam ada dalam kotak fikiran untuk dilaksanakan namun terkadang tu tidak semuanya berjalan dengan lancar malah tersandung ditengah jalan. Dikala bermasalah bermacam serangan berkecamuk di dalam dada dan fikiran. Mana nak tepis tohmahan dan cebikan bibir-bibir orang yang telah sedia memandang negatif terhadap diri kita. Perancangan yang tidak menjadi menghasilkan perasaan kecewa, rendah diri malah akan hilang keyakinan diri. Terlalu sedikit orang yang tidak kenal erti jemu menghulurkan tangan menarik diri kita yang telah berkali-kali terhumban kejurang lumpur pekat yang bukan sekali hilang jika dicuci. Orang-orang seperti ini sentiasa berpegang bahawa roda dunia ini sentiasa berpusing dan orang-orang selebihnya hidup sentiasa kepala mendongak ke langit.

Kesilapan dan kegagalan yang sentiasa akrab dengan kita itu sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi, kita tidak pernah terfikir bahawa disebalik perancangan yang telah dibuat walau semantap mana pun sebenarnya ada perancangan yang telah diatur dari azali ke atas kita oleh Maha Perancang. Kita juga diberi kesempatan oleh akal untuk menilai diri sendiri dan menilai sejauh mana kesetiaan terhadap Sang Khaliq. Dimana nilai kita di mata orang lain. Secara totalnya kita dapat menguji sejauh mana erti kesabaran dan apa erti tawakal yang sebenarnya. Kalau dulu perkataan tawakal hanya bermain dibibir tanpa dilaluinya tanpa sebarang amali. Maka  erti tawakal yang sebenarnya itu tidak pernah pun dilalui dan diyakini sepenuhnya.

Di dalam kitab Riyadh us Salihin  ada memaparkan sebuah kisah; Dari Abdullah bin Abbas r.a. berkata, Sabda Rasulullah s.a.w

“Telah ditunjukkan kepadaku keadaan umat yang dahulu, hingga aku melihat seorang Nabi dengan rombongan yang kecil, dan ada pula Nabi yang mempunyai satu atau dua pengikut, bahkan ada juga Nabi yang tiada pengikutnya.. Kemudian aku melihat satu rombongan yang besar sekali, aku kira itu umatku, maka diberitahukan padaku bahawa itu adalah Nabi Musa dan kaumnya….

Tiba-tiba di ufuk kanan dan kiriku, di sana aku melihat rombongan yang besar sekali, dikatakan kepadaku: Itulah umatmu dan di samping mereka ada 70000 yang masuk syurga tanpa hisab.”

Setelah itu Nabi pun bangun dan masuk ke rumahnya. Manakala para sahabat tertanya-tanya sesama sendiri mengenai golongan yang masuk syurga tanpa dihisab itu. Pelbagai pendapat yang diutarakan mereka.

Kemudian Rasulullah s.a.w pun kembali dan bertanya: “Apakah yang sedang kau bicarakan?”

Maka para sahabat pun mengajukan masalah itu,

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Mereka itu adalah yang tidak pernah menjampi atau dijampikan dan tidak suka menebak nasib dengan pengantaraan burung, dan kepada Tuhan mereka selalu berserah (bertawakal).

Pabila para sahabat mendengar sabda Rasulullah s.a.w itu, bangunlah Ukkasjah bin Mihshan dan berkata: “Ya Rasulullah doakan semoga Allah memasukkan saya dari golongan mereka.”

Jawab baginda. “Engkau termasuk golongan mereka.”

Kemudian berdiri pula sahabat yang lain. “Doakan semoga Allah menjadikan saya dari golongan mereka!

Jawab baginda: “Engkau telah didahului oleh Ukkasjah..

(Bukhari dan Muslim)

dan perhatikan pula ayat di bawah ini yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka berserah.." (Al-anfal:2)

Imam Al Ghazali menulis, bahwa tawakal termasuk daripada bahagian  keimanan dan menyangkut masalah ketauhidan. Hal Ini dapat dimengerti karena seluruh kejadian dan fenomena yang ada di alam sepenuhnya tunduk pada kekuasaan Allah. Kenyang setelah makan, pintar bila belajar, merupakan hukum kausalitas (sebab-akibat) yang diciptakan Allah. Kenyang memang disebabkan oleh nasi yang dimakan, namun penyebab nasi dapat mengenyangkan merupakan akibat yang diberikan Allah kepada nasi. Jadi semuanya tetap bermuara kepada Allah. Dengan tawakal, seorang mutawakil menyandarkan kekenyangannya disebabkan rahmat Allah bukan kepada nasi yang dimakannya.

Renung dan terus merenung sedalam-dalamnya ayat tersebut yang mempunyai seribu makna yang tersirat, begitu juga apa yang dimaksudkan oleh Hujjatul Islam itu untuk permulaan kita mengenal apa erti tawakal yang sebenarnya.Fakir cuba berkongsi dengan setiap pembaca artikel ini untuk lebih tahu apa itu tawakal dan definisinya. Bila diri Fakir sendiri terpaksa menempuh pengalaman bertawakal dalam persoalan hidup, maka  Fakir mula menyelak satu dua kitab yang mengupaskan kefahaman tentang tawakal. Ini dilakukan oleh Fakir untuk mengubat hati yang sedang bercelaru apabila dilanda masalah. Tiada siapa dikala itu untuk dikongsikan sebarang permasalahan kerana ramai yang seakan jemu mendengarnya. Atas petunjuk dari Allah, tergerak di hati untuk menyemak kitab-kitab tersebut dan sebarang artikel yang berkaitan. Alhamdulillah, Allah telah secara langsung mengajar Fakir untuk mengubat dan menguatkan hati bila dilanda masalah dengan mencari definasi dan konsep tawakal yang sebenarnya.

Kita akan kongsi bersama segala yang Fakir telah baca dan ianya terlalu panjang untuk dimuatkan dalam satu artikel sahaja.InsyaAllah kita akan bahagikan kepada beberapa bahagian kemudiannya. Dimulakan berkongsi dengan apa erti tawakal yang sebenarnya.Tawakal kepada Allah Ta’ala ialah menyerahkan urusan kepadaNya, bergantung kepadaNya dalam semua keadaan, berlepas diri daripada daya upaya sendiri dan bergantung kepada daya dan kekuatanNya.

Tawakal adalah salah satu prinsip penting dalam Islam. Tanpa tawakal, seseorang akan mengandalkan segala usahanya, menyombongkan diri, bahkan dapat menyeret ke lembah keputusasaan. Dengan tawakal seseorang akan sedar bahwa segala sesuatu telah diatur oleh Allah SWT jua.

Kewajiban manusia hanya berusaha, bukan menentukan keberhasilan. Allah SWT memerintahkan hamba-Nya berusaha semaksima mungkin karena Allah SWT tidak akan mengubah nasib suatu kaum, hingga mereka mau mengubahnya sendiri.Sementara, berusaha adalah suatu keniscayaan. Sedangkan hasil usaha itu diserahkan kepada Allah SWT. Bekerja dengan sungguh-sungguh sesuai kemampuan, kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah SWT, itulah konsep tawakal yang sebenarnya.
Sebaliknya, meninggalkan usaha dengan alasan tawakal jelas merupakan kesalahan mengerti dalam makna tawakal itu sendiri. Berpangku tangan, menunggu keajaiban dari langit tanpa upaya konkrit pula merupakan bentuk keputusasaan.

Allah berfirman,
"Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-oang Mukmin bertawakal". (Ali Imran: 122)
"Dan, barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya". (Ath-Thalaq: 33)

Di dalam hadis diriwayatkan, Nabi SAW pernah menyebutkan bahwa di antara umatnya ada tujuh puluh ribu orang yang masuk syurga tanpa hisab. Kemudian beliau bersabda,

"Yaitu mereka yang tidak membual, tidak mencuri, tidak membuat ramalan yang buruk-buruk dan kepada Rabb mereka bertawakal". (Diriwayatkan Al-Bukhary dan Muslim)

Diantara doa yang dibaca Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam ialah:
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon taufik kepada-Mu untuk mencintai-Mu daripada amal-amal, kebenaran tawakal dan baik sangka kepada-Mu". (Hadis Mursal, diriwayatkan Abu Nu'aim)

Rasulullah SAW memuji sifat tawakal, sabda baginda :
“Kalaulah kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepada kamu sebagaimana Dia memberikan rezeki kepada burung. Keluar di waktu pagi dalam keadaan kempis dan pulang dalam keadaan kenyang”.

Perlu juga kita tahu apa itu redha kerana redha itu sangat berkait rapat dengan tawakal.Salah satu takrif redha adalah seperti yang disebutkan oleh Ibnu ‘Athoillah as-Sakandari :“ Redha ialah hati meyakini qadimnya pilihan Allah Ta’ala terhadap hambaNya iaitu meninggalkan sifat marah ”Setelah tawakal kepada Allah, sifat redha dengan ketentuanNya perlu disertakan, kerana Dialah Maha Memberi (al-Wahhab ).
Contoh yang sangat mudah untuk digandingkan ialah, bilamana kita sebagai pesakit telah berusaha sedaya upaya berubat dengan pelbagai cara moden dan tradisional maka pulangannya kembalilah bertawakal kepada Allah, maka satu lagi elemen penting yang tidak boleh untuk dipinggirkan iaitulah sifat redha. Redha dengan takdirNya pada natijah yang akan diperolehi, sama ada kejayaan yang diidamkan atau pun sebaliknya. Andai takdir tidak menyebelahi kita, atau dengan kata lain, andai ada impian yang tidak tercapai, maka disitulah martabat redha perlu dihadirkan ke dalam hati, tanpa sebarang ragu atau kecewa dengan takdir yang menimpa.

Berkata Umar Ibnu Abdul ‘Aziz RA :
“ Tidak menggembirakanku melainkan ketentuan takdir." Beliau ditanya : “Apakah yang menggembirakanmu?" Beliau menjawab : “Apa yang ditakdirkan Ilahi”.

Yakinlah bahawa Allah redha kepada hambaNya, sekiranya hamba itu redha kepada Allah.Kita perlulah meletakkan kedua-dua perkara ini ( tawakal dan redha ) secara beriingan dalam kehidupan kita seharian. Setelah kita bertawakal, maka perlulah redha dengan segala keputusan yang diberi oleh Allah SWT.

Diantara definasi yang pernah diungkapkan oleh beberapa ulamak terkemuka ialah seperti:
1.)Ibnu Abbas r.a. berkata; Tawakal adalah yakin dan percaya kepada Allah. 
2.)Imam Ahmad; Tawakal adalah memutuskan harapan dari sesama makhluk. Juga dia berkata Tawakal adalah menyerahkan suatu perkara kepada Allah serta yakin dan percaya kepadaNya.
3.)Al-Hasan ditanya tentang tawakal; maka ia menjawab Tawakal adalah redha kepada Allah.
4.)Al-Hafidz Ibnu Hajar; memutuskan hubungan dalam melihat sebab musabab setelah melakukan sebab yang seharusnya dilakukan.

Ibnu Qayyim mengatakan "banyak manusia yang memberikan definisi tawakal, diantara mereka ada yang menafsirkan bahawa tawakal adalah keyakinan sehingga keyakinan menjadi hakikat tawakal, ada pula yang menafsirkan dengan penyerahan, ada yang menafsirkan dengan penyadaran, maka dari situ aku dapat mengetahui bahawa hakikat tawakal adalah kumpulan dari yang tersebut".

InsyaAllah akan bersambung lagi dikemudian hari.....

rujukan
Terjemahan Al Quran
Ihya Ulumuddin
Al Tawhid wa al tawakkal
Riyadhus Salihin

08 Mei 2010

Nilai Indah Semangat Melayu Dan Islam

Prinsip yang mengindahkan seseorang Melayu yang sejati tidak lain tidak bukan merupakan mutu atau nilaian manusianya; keteguhan hati budinya yang disepuh dengan Islam; iman dan ehsan; keberkesanan organisasinya; keteguhan ilmunya; kewibawaan norma dan perundangannya; ketinggian nilai dan ethosnya; kesungguhan serta keteguhan masyarakatnya serta kekuatan iltizam, kewibawaan dan wawasan pemimpin.Tidak syak lagi kesemuanya adalah hasil semaian daripada percontohan, pendidikan dan pemupukan oleh Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah (role model) yang melahirkan angkatan manusia terbaik (khairu ummah) dan menjadi peribadi mithali kepada seluruh umat manusia sepanjang zaman hingga ke hari kiamat.Nilai manusia demikianlah yang melahirkan tamadun Islam sebagai tamadun dunia pada zaman kegemilangannya. Warisan yang sama dibawa apabila Islam bertapak di dalam hati sanubari orang Melayu di wilayah alam Melayu ini.

Dalam sejarah peradaban Melayu apabila dua golongan utama iaitu umara (pemerintah) dan ulama bekerjasama dengan erat dan saling memperkukuhkan seperti pada zaman Samudera-Pasai, Melaka, Acheh, Demak, Bentan, Mataram, dan Johor-Riau, maka peradaban Melayu-Islam memuncak ke taraf tamadun dunia, dan pusat kuasa itu juga menjadi pusat penyebaran agama Islam di seluruh alam Melayu.

Namun yang akan mengisi dan menggerakkan semua prasarana, peralatan, sistem dan organisasi itu ialah manusianya iaitu Muslim, Mukmin dan Muhsin.Tanpa manusia demikian, segala prasarana, peralatan, sistem dan organisasi itu sia-sia belaka.

Strategi utama untuk mengisi hati kalbu dan akal budi manusia dengan Islam, iman dan ehsan ialah dengan berdasarkan kaedah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw ke atas sahabatnya seperti yang digariskan oleh al-Quran dan Hadis.Pelaksanaan amalan dan misi dakwah seperti mengajak manusia kepada Islam, iman dan ehsan, sambil diri sendiri mempelajari dan mengamalkannya sepenuhnya.Sekuat dan sebanyak mana seseorang itu melaksanakannya, maka sekuat dan sebanyak itulah hati, kalbu dan akal budinya akan meresapi Islam, iman dan ehsan.Namun, seandainya hati kalbu yang senantiasa dibelenggu oleh kebesaran harta benda, pangkat, kuasa, kemewahan dan ego maka amat susah dimasuki Islam, iman dan ehsan secara lebih mendalam lagi.Mungkin hanya sampai ke tahap asas Islam dan iman semata dan ianya tidak akan sama sekali bertunjangkan keikhlasan yang sebenar.

Oleh itu, perlu dilepaskan dulu belenggunya melalui strategi yang kedua iaitu amalan mujahadah atau pembersihan hati melalui penggunaan dan pengorbanan apa-apa perkara yang membelenggui hati itu dalam pelaksanaan misi dakwah, seperti juga digariskan dalam al-Quran. Strategi ketiga ialah amalan penghadapan dan penghargaan sepenuhnya kepada Allah swt melalui amalan doa, tawakal dan tawajjuh kepada Allah, supaya dengan itu akan lahir keikhlasan dan ketulusan bahawa hidup ini hanya semata-mata untuk mendapat keredaan Allah.Kaedah yang diamalkan oleh golongan sufiyyah juga sebenarnya mampu melahirkan khairu ummah yang terhebat dan mampu berjuang demi menegakkan agama dan bangsa.

Dalam sejarah kebangkitan tamadun Melayu Islam sendiri ada beberapa faktor pergerakan dakwah ke alam Melayu. Di antaranya ialah kedatangan misi pendakwah Islam dari Timur Tengah pada kurun ketujuh hingga 11 Masihi.Kedatangan misi pendakwah bermazhab Syafi’i kurun ke-12 hingga 16 Masihi begitu juga terdapat kegiatan dakwah kebanyakannya dilaksanakan oleh pendakwah kelahiran di alam Melayu sendiri dengan bantuan pendakwah dari Timur Tengah dan India.Umat Melayu Islam adalah golongan Islam terbesar di dunia Timur iaitu hampir sesuku bilion. Dalam sejarah tamadun Islam, pusatnya berubah-ubah, daripada tanah Arab ke Turki, Afrika Utara, Andalusia dan Asia Tengah.Kini ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa pusatnya mula bergerak ke Timur.

Apakah kita umat Melayu Islam sebagai golongan Islam terbesar di dunia Timur sedia memikul tanggungjawab dan amanah untuk menjadi penyambung dan penyumbang kepada pembentukan semula sebuah tamadun Islam bertaraf dunia pada alaf ketiga ini?

Ada tiga kekuatan Melayu asasi yang boleh membantunya untuk memenuhi amanah ini, iaitu ke"dinamik"an budaya Melayu yang selama beribu-ribu tahun telah menyerap unsur positif daripada tamadun besar dunia. Kedua, hakikat Melayu sebagai entiti budaya yang secara terbuka menerima masuk sebarang kumpulan etnik dan ras, asalkan mereka tercerna dan terjelma dalam tiga ciri Melayu iaitu berbahasa dan berbudaya Melayu dan beragama Islam. Ketiga, kekuatan agama Islam anutannya yang diredai dan dijamin kejayaannya oleh Allah swt.

Sejarah Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan selama-lamanya. Orientalis dan negarawan pelopor imperialisme terkenal akhir abad ke-19, Gladstone (1809-1898) pernah mengungkapkan kesulitan penjajah menguasai negeri Islam.

Sambil memegang al-Quran dalam House of Common, beliau berkata: “Selama kitab ini masih dibaca orang Islam, selama itu mereka masih melawan kita.”

Betapa dekatnya Islam dan bangsa Melayu, abadi selama-lamanya menjadi kekuatan yang terbukti boleh menentang sesiapa yang mahu mempermainkan ketinggian maruah mereka. Perkataan Gladstone menjadi bukti bahawa kekuatan Melayu berpunca daripada keyakinan mereka terhadap agamanya, Islam.

Manakala Prof. Dr. Hamka mendedahkan melalui buku sejarah yang ditulis K M Panikkar bertajuk Asia and Western Dominant. Ketika Panglima Perang Portugis Alfonso d’Albuquerque mahu menyerang Melaka yang menjadi pertahanan Islam kuat ketika itu, dia mengobarkan semangat juang tenteranya dengan pidatonya yang terkenal: “Adalah suatu pemujaan dan persembahan ibadat yang amat suci dari kita untuk Tuhan dengan mengusir dan menghakis habis orang Arab dari negeri ini, dan dengan menghembus padam pelita pengikut Muhammad sehingga tidak ada lagi cahayanya di sini buat selama-lamanya. Apabila perniagaan di Melaka ini kita rampas daripada tangan orang Islam, maka habislah masa depan Kaherah dan Makkah, dan Vanesia tidak akan dapat lagi berniaga rempah kalau tidak berhubungan dengan Portugis.”

Sedarlah wahai saudara-saudaraku,kita umat yang hebat. dunia orang Melayu sepatutnya berterima kasih dengan Islam kerana perkembangan dunia menjadi maju setelah kedatangan Islam,tetapi yang menjadi masalah kini ialah ada sebilangan umat Islam yang tidak nampak kehebatan Islam khususnya ulamak-ulamak nusantara kita telah dilupakan.Malah memandang tinggi dan memuja-muja kepada barat.Sumbangan para ulamak dalam perjuangan Islam dan dakwah Islamiah di Alam Melayu adalah satu sumbangan besar yang tidak boleh dilupakan. Sumbangan ini sungguh bermakna dan perlu dilihat secara 'ilmiah' supaya keunggulan sejarah ini tidak dikuburkan oleh pihak musuh Islam.

Transformasi budaya berunsur negatif sedikit sebanyak menghilangkan jatidiri generasi baru bangsa ini. Bukankah sebilangan besar anak muda kini (yang merasakan diri sudah "up to date") malu mengaku Melayu dan Muslim dalam bergaya, berekspresi dan bergerak dalam percaturan dunia?Kita sudah merdeka dan kekal dengan semangat ‘Islam dan Melayu’ yang takkan hilang ditelan zaman. Namun akhir-akhir ini kita dikejutkan oleh usaha pengkhianat bangsa yang mahu meruntuhkan jiwa bangsa, menghirup kasih sayang dan toleransi dari darah daging generasi baru. Suka pada perpecahan, fanatik pada kelompok sendiri, sentiasa mahu disanjungi dengan sikap mengampu yang tidak pernah kena pada tempatnya, sempit dalam memikirkan kebaikan untuk bangsa sendiri kerana kita perlu sedar setiap kebaikan harus ada pengorbanan.

Sindiran yang amat tajam dari Yusuf Islam sebagai berkata:”budaya dan nilai hidup barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut untuk membeli tiket untuk menaikinya” 

Mungkin pula kita perlu renung kembali sejarah bagaimana pejuang Melayu dulu dalam menentang penjajah dengan hanya berbekalkan Islam, iman dan ehsan semata-mata.Sesuatu yang amat besar mampu melahirkan semangat kepahlawanan dalam diri syuhada. Roh Islamlah sebenarnya berperanan menghidupkan jiwa mereka menentang kolonialisme. Islam telah menjanjikan kemuliaan kepada sesiapa yang berjuang menegakkan yang hak.

Semua pahlawan negara itu menjadikan ajaran Islam yang dipelajari dan diamalkan sebagai pedoman dalam gerakan dan perjuangannya. Patutkah kita melupakan jasa ulama di Alam Melayu Nusantara ini yang memperteguhkan ajaran Islam dikalangan umat Melayu sejagat? Alangkah lemahnya pandangan mata hati yang tidak mahu mengakui bahawa roh Islamlah sebenarnya yang menggerakkan dan menjadi pembakar semangat dalam perjuangan yang suci itu.Menerusi semangat al-Quran mereka menggenggam semangat jihad hingga mencapai kemerdekaan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya seperti mana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang yang bertakwa.” (Surah Al-Taubah, ayat 36)

Dan kerana iman kepada Allah jualah mereka memperjuangkan agama dan bangsa, seperti maksud firman-Nya: “Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” (Surah Al-Taubah, ayat 41)

Mereka teguh percaya dengan janji Allah bagi sesiapa memperjuangkan agamanya adalah nikmat syurga yang kekal abadi seperti dimaktubkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud: “Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman.” (Surah Al-Saf, ayat 10-13)

Jika para penjajah yang datang dari barat dengan kekuatan semangat salibiyyahnya, maka tidak kurang pula para syuhada tanah air bergerak menentang kezaliman dan penindasan dengan berbekalkan kekuatan akidah dan tauhid terhadap ugama yang cukup jitu.Jelas terpancar semangat Islamlah yang membangkitkan pahlawan kita hingga mampu menggegarkan kekuatan penjajah.

Penjajah dulu menggunakan taktik pecah dan perintah? Maka hari ini sikap orang Melayu itu sendiri seolah suka melihat akan perpecahan, jadi apa bezanya sikap kita pada hari ini dengan taktik penjajah di suatu waktu dulu? Sukar hendak bersatu, sukar hendak duduk semeja berbincang mengenai hala tuju umat melayu di masa mendatang. Jangan sampai generasi Melayu akan datang percaya yang Melayu ini hidup dalam berbagai fahaman dan suku yang tidak punya penyatuan. Yang menjadi mangsa bukan hanya umat Islam dan orang Melayu, bahkan kaum minoriti lain ikut terbabit kerana kemajuan ekonomi dan pembangunan boleh terjejas dengan isu keselamatan negara. Akhirnya kita akur, kesan penjajahan itu tak boleh dihapuskan, taktik dan muslihat mereka lebih canggih daripada dulu.

Fakir ada menyimpan kata-kata yang cukup dalam maknanya yang pernah diungkap oleh mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr. Mahathir untuk renungan bersama.....

Dulu Bangsanya Di Pijak
Dulu Bangsanya Retak
Dulu Bangsanya Teriak
Dulu Bangsanya Haprak
Dulu Bangsanya Kelas Kedua
Dulu Bangsanya Hina
Dulu Bangsanya Sengketa
Dulu Bangsanya Derita
Dulu Bangsanya Kerdil
Dulu Bangsanya Terpencil
Tiada Daulat
Tiada Maruah
Tiada Bebas
Sejarah Bangsanya Yang Lena
Tanah Lahirnya Yang Merekah Berdarah
Wahai Bangsaku Jangan Mudah Lupa Lagi
Kerana Perjuanganmu Belum Selesai


rujukan
Berita harian 20 April 2001
Profesor Hashim
pensyarah Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya.

drjuanda.protajdid.com






01 Mei 2010

Jejak Pahlawan - Mat Kilau


Seorang pahlawan dan pejuang bangsa Melayu yang telah bangkit menentang penjajah Inggeris sekitar 1880an hingga 1890an tanpa kenal erti jemu. Beliau adalah Mat Kilau atau nama penuhnya sebagai Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah (Imam Perang Rasu). Manakala ibu beliau bernama Mahda. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Kelebihan dan keistimewaan Mat Kilau ialah pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Diusia mudanya hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau. Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau banyak menuntut ilmu batin dan kepahlawanan hinggakan boleh menghilangkan diri. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum tuan gurunya itu berpindah ke Pekan menjadi Mufti Negeri Pahang.

Sebelum kelahirannya, ibunya telah mendapat mimpi langit telah mengeluarkan cahaya berkilau-kilauan.Mimpi tersebut diceritakan kepada Mak Utih iaitu seorang bidan kampung .Mak Utih menasihatkan supaya ibunya Teh Mahada supaya jangan bimbang kerana mengikut tafsirannya mimpi itu membawa berita gembira dan anak yang bakal dilahirkan nanti akan menjadi seorang yang hebat dan terkenal.Mat Kilau dilahirkan pada waktu subuh lalu diazankan oleh ayahnya sendiri Imam Rasu yang juga merupakan Imam Masjid Pulau Tawar Itu.Selepas itu Mat Kilau terus dibelah mulutnya dengan garam , madu dan air zam zam.

Sejak kecil lagi Mat Kilau mempunyai beberapa tanda ganjil di badannya.Bulu roma dibelakangnya berpusar ke arah kiri dan bulu roma di dadanya berpusar ke kanan.Tangan kanan dan kirinya sama kuat begitu juga kaki kanan dan kirinya. Ada tahi lalat besar di pipi kanannya dan satu lagi tahi lalat panjang di bahunya. Dicelah jari kelenkeng kirinya ada buntat embun. Bila umurnya meningkat 7 tahun dia sudah tidak meninggalkan sembahyang fardu dan berpuasa.Bila dia bermain atau bergaduh , pasti dia akan menjadi pemenangnya. Pernah pada suatu hari Tok Gajah memberitahu Mat kilau yang Pahlawan Hang Tuah juga mempunyai buntat embun di celah jari kelenkeng kiri!

Tahun 1857, adalah tahun permulaan kepada sengketa atau perang saudara di Pahang setelah Bendahara Tun Ali yang memerintah negeri Pahang mangkat.Perebutan kuasa terjadi antara Tun Mutahir dan Tun Ahmad yang merupakan anak Bendahara Tun Ali dari ibu yang berlainan walaupun sebelum mangkat tugas untuk menggantikannya telah diwasiatkan dihadapan Tok Gajah kepada Tun Ahmad. Tun Mutahir iaitu kakanda kepada Tun Ahmad telah membatalkan surat wasiat ayahandanya dan melantik dirinya sebagai Bendahara atau pemerintah Pahang dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja Pahang..Ini menimbulkan kemarahan adiknya Tun Ahmad.Perbalahan adik beradik merebut kuasa inilah sebenarnya punca atau titik bermulanya campur tangan Inggeris di Pahang.Tun Ahmad mendapat sokongan dari Sultan Trengganu dan Raja siam manakala Tun Mutahir mendapat sokongan Inggeris dan Johor.Pada akhir tahun 1857 Tun Ahmad dengan bantuan Tok Gajah berjaya merampas kuasa dari Tun Mutahir.

Ketika belajar dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau diajar juga ilmu untuk menundukkan Gajah dan harimau.ketika remaja Mat Kilau mempunyai 4 orang sahabat baik seperguruannya iaitu Mat kelubi, Mat Tahir, Mat Ali dan Mat Awang

Mat Kilau mempunyai sifat-sifat serta ketokohan sebagai seorang pemimpin dan mempunyai pemikiran yang matang sehingga menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford amat kagum dan mempercayai idea-idea Mat Kilau. Mat Kilau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Malah Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah seperti Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali (khatib), Awang (Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini merupakan pejuang dan pengikut yang sangat setia sehingga sanggup susah senang malah sehidup dan semati dengan Mat Kilau.

Perlu diingatkan di sini bahawa daripada ramai pahlawan Melayu Pahang yang bangkit menentang penjajahan Inggeris pada 1880-an, hanya seorang daripada mereka yang sempat menyaksikan sendiri detik kemerdekaan negara dan beliau yang dimaksudkan adalah Mat Kilau.Lebih daripada itu, Mat Kilau juga berpeluang melaungkan ungkapan keramat "Merdeka!" pada 31 Ogos 1957, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh ayahandanya sendiri Tok Gajah dan rakan-rakan perjuangan seangkatan dengannya seperti Datuk Bahaman,Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut atau yang lebih awal seperti Datuk Maharaja Lela dan Dol Said.

Siapa yang menyangka pada hari keramat itu dalam kelompok puluhan ribu manusia yang berkumpul di Padang Masjid Negeri di Kuantan mengetahui bahawa orang tua yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun di kalangan mereka adalah pahlawan Melayu yang amat terkenal dan digeruni suatu waktu dulu iaitu Mat Kilau.Ini kerana pahlawan Melayu yang hebat ini pada satu ketika dahulu menghilangkan diri selama lebih separuh abad selepas pihak British memburunya dan mendakwa beliau dengan alasan yang tidak munasabah iaitu menderhaka terhadap sultan.

Pada peringkat awal, Mat kilau dan rakan seperjuangannya seperti Datuk Bahaman, Mat Kelubi, Awang Nong, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid dan Mat Lela berjaya mencabar British sehinggakan mereka berjaya menguasai Temerloh. Nama pejuang ini dan Datuk Bahaman telah terukir dalam sejarah negara kerana mereka mengetuai Perang Lubuk Terua di mana mereka telah menyerang sebuah pos polis menyebabkan dua anggota polis British terbunuh.

Bagaimanapun, penjajah telah menambah kekuatan askar dan polis tambahan malah menjalankan tipu helah sepenuhnya dengan mengatakan kononnya pejuang-pejuang itu sebenarnya menderhaka kepada sultan, British berjaya memperdaya rakyat supaya tidak lagi menyertai kumpulan itu.Ini sekali gus melumpuhkan kekuatan kumpulan pejuang itu yang pada satu ketika meningkat sehingga ke 600 orang.

Tekanan demi tekanan diterima menyebabkan pasukan pejuang itu terpaksa mengundur diri ke negeri Terengganu dan Kelantan. Di Terengganu pasukan pejuang itu mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi dari Sultan, Tokku Paloh dan kerajaan Terengganu sendiri. Di sana Mat Kilau dan para sahabatnya sempat mendalami ilmu agama dan kerohanian dari Ulamak Besar Tokku Paloh. Mat Kilau terus-terusan menjadi buruan pihak British dan menerima tekanan yang cukup hebat.Tok Gajah yang juga menentang penjajah meninggal dunia di Hulu Terengganu, manakala Datuk Bahaman dan beberapa pengikutnya menyerah diri kepada kerajaan Siam.Semenjak 1930 hidup Mat Kilau sebagai pelarian seakan terpaksa menempuhi seribu satu macam penderitaan, berpindah-randah dan hidup menggunakan nama samaran seperti Mat Dahan, Mat Dadu dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah". Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris itulah maka terpaksa Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang.

Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Al Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengistiharan ini telah menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun. Beliau tidak sempat menceritakan kisah-kisah perjuangannya dengan lebih tepat kepada generasi mendatang dengan lebih lanjut.Jenazahnya dikebumikan dengan penuh penghormatan seorang pahlawan di bumi kelahirannya di Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut. Anak angkat beliau yang kemudian menjadi menantunya, Abu Bakar Awang, 80, berkata sebelum mengisytiharkan dirinya yang sebenar, Mat Kilau sentiasa berdalih setiap kali ditanya tentang asal-usul dirinya, mungkin kerana khuatir beliau belum lagi diampunkan oleh sultan. Semasa kebangkitan itu, Pahang berada di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muazam Shah.

"Beliau juga mengambil masa hampir 12 tahun selepas merdeka sebelum tampil mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau kerana khuatir sultan belum mengampunkan dirinya yang dianggap sebagai penderhaka," kata Abu Bakar Awang. Salah seorang anak Mat Kilau, Aminah, 80, yang ditemui di rumahnya di Kampung Batu 5, mengesahkan bahawa sebelum perisytiharan tentang identitiya, beliau dan anak-anak lain tidak pernah menyangka bahawa manusia yang bergelar Mat Siam itu adalah pahlawan yang digeruni Inggeris.

Apa yang si Fakir sangat-sangat ingin berkongsi di sini ialah bagaimana saat-saat kesempatan beliau menyambut hari kemerdekaan yang mana tidak ramai orang yang mengetahuinya. Si Fakir telah menyuntingnya dari mStar online. Bagi diri si Fakir, rasa sangat terharu dan sebak telah bercampur baur apabila membacanya. Ikutilah saat-saat dilalui oleh pejuang bangsa ini dalam para-para dibawah.......

Meneruskan cerita Abu Bakar, beliau adalah antara orang yang paling gembira apabila mengingat kembali keghairahan luar biasa Mat Kilau menunggu saat-saat perisytiharan kemerdekaan."Hari itu (31 Ogos 1957) awal-awal pagi lagi dia sudah bangun dan lepas sembahyang subuh dia terus bersiap untuk ke bandar Kuantan apabila mendapat tahu upacara sambutan juga akan diadakan di peringkat negeri, selain daripada Stadium Merdeka di Kuala Lumpur.

"Saya agak hairan melihat dia beria-ia benar hendak ke Padang Masjid Negeri. Walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, saya lihat dia begitu bersemangat sekali untuk turut menyambut hari bersejarah itu," katanya.Beliau masih ingat pada hari berkenaan Mat Kilau memakai kemeja-T leher bulat warna putih, kot warna kelabu, berseluar panjang dan bersamping serta lengkap berkasut, manakala kepalanya pula berlilit kain cindai.

"Saya sendiri tidak tahu di mana beliau perolehi semua itu dan apakah maksud tersirat di sebalik melilit kain cindai di kepala," katanya.

Menurut tradisi, kain cindai iaitu sejenis kain sutera nipis untuk lilitan kepala atau bengkung yang digunakan oleh pahlawan-pahlawan Melayu ketika turun ke gelanggang untuk berhadapan dengan musuh.

Meneruskan ceritanya tentang detik-detik pagi keramat itu, Abu Bakar berkata gelagat bapa mertuanya yang ternyata amat bersemangat itu menyebabkan isteri Mat Kilau, Ajrah Bakar menganggapnya sebagai "buang tabiat". Selesai bersiap-siap, Abu Bakar dan Mat Kilau keluar rumah dan sama-sama menunggu bas percuma yang disediakan pihak berkuasa sempena sambutan itu.

Walaupun bas berkenaan penuh sesak hingga memaksa ramai yang berdiri dan berhimpit-himpit, Mat Kilau tetap nekad dan seolah-olah tidak sabar untuk ke padang berkenaan. "Bila sampai di padang kami sama-sama menunggu detik laungan Merdeka. Sempat juga tengok orang berarak... kereta berhias pun ada dan dia (Mat Kilau) hari itu kelihatan cukup seronok," katanya. Apabila laungan merdeka kedengaran, Mat Kilau turut serta melaungkan merdeka.
Malah ketika berada di padang itu, Mat Kilau ada cuba memberi bayangan kepada Abu Bakar tentang siapa dirinya sebenar dengan berkata: "Tengok, siapa sangka aku juga sempat melihat (negara) merdeka".

Abu Bakar yang tinggal bersama Mat Kilau sejak berusia 18 tahun berkata walaupun tidak berupaya untuk pergi ke Stadium Merdeka di mana perisytiharan kemerdekaan peringkat kebangsaan diadakan, bapa mertuanya tetap berpuas hati kerana dapat turut melaungkan "Merdeka!" di padang Kuantan itu.

Bagi Abu Bakar, laungan itu adalah manifestasi sebenar kegembiraan seorang pahlawan yang terpaksa menjalani liku-liku kehidupan penuh keperitan semata-mata kerana bangkit mempertahankan maruah bangsa dan agama serta kedaulatan tanahairnya.

Beliau juga berharap agar sesetengah teks sejarah disemak atau ditulis semula kerana masih ada yang terus menganggap Mat Kilau sebagai seorang penderhaka raja. "Pihak Inggeris yang melabelkan Mat Kilau serta rakan-rakannya termasuk Datuk Bahaman sebagai pemberontak dan penderhaka, semata-mata untuk mengabui mata rakyat agar perjuangan mereka ketika itu tidak mendapat sokongan," kata Abu Bakar yang juga Ketua Kampung Batu 5.

Cucu Mat Kilau, Alhamadi Abu Bakar, 40, berkata datuknya tidak meninggalkan apa-apa harta pusaka kecuali semangat perjuangan dan keberanian untuk diwarisi generasi sekarang dan akan datang agar negara tidak kembali dijajah!

Sekalung Al fatihah buat pendekar berjiwa sufi yang bernama Mat Kilau!

rujukan : Perpustakaan Negara Malaysia
                Tuan Sharifah Shahaini dan Mohd Shukri Ishak
                Mstar online
                Bernama